Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Penyembahan Keluarga—Jadikannya Lebih Menyeronokkan

Penyembahan Keluarga—Jadikannya Lebih Menyeronokkan

“Kami begitu seronok berbincang semasa malam Penyembahan Keluarga. Jika saya tidak menghentikannya, penyembahan keluarga kami akan berlanjutan hingga lewat malam,” kata seorang bapa di Brazil. Seorang bapa di Jepun berkata bahawa anaknya yang berumur 10 tahun tidak menyedari masa berlalu dan mahu terus belajar. Mengapa? Dia menjelaskan bahawa anaknya “bersemangat dan itu menyebabkannya gembira.”

Memang tidak semua anak bersemangat semasa penyembahan keluarga, bahkan ada yang tidak menyukainya. Seorang bapa dari Togo berkata, “Menyembah Yehuwa tidak seharusnya membosankan.” Jika penyembahan keluarga membosankan, buatlah perubahan. Banyak keluarga “berbahagia” semasa penyembahan keluarga, seperti orang Israel pada hari Sabat.Yes. 58:13, 14.

Ramai bapa Kristian sedar bahawa ahli keluarga menikmati penyembahan keluarga yang diadakan dalam suasana yang santai. Ralf mempunyai tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki. Dia berkata bahawa malam penyembahan keluarga mereka adalah seperti perbualan biasa dan bukannya seperti pembelajaran. Apakah maksudnya? Semua orang terlibat dalam perbincangan. Walaupun begitu, memang mencabar untuk mengekalkan minat semua orang terhadap bahan perbincangan. Seorang ibu berkata, “Kadangkala saya berasa letih dan tidak larat menjadikan penyembahan keluarga menarik seperti yang saya inginkan.” Dapatkah anda membuatkan penyembahan keluarga lebih menarik?

PELBAGAI CARA DAN MENGIKUT KEADAAN

“Kita harus menyesuaikan diri,” kata seorang bapa dari Jerman yang mempunyai dua orang anak. Menurut Natalia, perkara terpenting bagi keluarganya adalah untuk mengadakan penyembahan keluarga dalam pelbagai cara. Banyak keluarga membahagikan penyembahan keluarga kepada  beberapa bahagian. “Cara ini membuatkan pembelajaran lebih menarik dan melibatkan semua ahli keluarga,” jelas Cleiton, seorang bapa dari Brazil. Jika umur anak jauh berbeza, ibu bapa dapat membahagikan masa penyembahan keluarga mengikut keperluan setiap anak. Ibu bapa juga dapat menyesuaikan bahan dan cara penyembahan keluarga diadakan.

Bagaimanakah kita dapat mempelbagaikan penyembahan keluarga? Ada yang memulakannya dengan lagu teokratik. “Cara ini mewujudkan suasana yang baik dan mempersiapkan minda kami,” kata Juan dari Mexico. Keluarga Juan memilih lagu-lagu yang berkaitan dengan bahan yang akan dibincangkan.

Sri Lanka

Beberapa keluarga membaca Bible bersama. Setiap ahli keluarga akan membaca bahagian watak yang berlainan. Seorang bapa di Jepun mengaku bahawa pada mulanya dia “tidak biasa membaca Bible dengan cara ini.” Tetapi dua orang anaknya menikmati aktiviti ini. Sesetengah keluarga pula melakonkan kisah Bible. Anak-anak “sering mempunyai sudut pandangan yang lain daripada ibu bapa mengenai kisah Bible,” kata Roger, seorang bapa di ­Afrika Selatan yang mempunyai dua orang anak.

Afrika Selatan

Satu lagi cara ialah melakukan projek bersama-sama. Misalnya, membina model bahtera atau Rumah Tuhan. Projek sebegini melibatkan penyelidikan yang menyeronokkan. Contohnya, di negara Asia, seorang anak perempuan yang berumur lima tahun bersama ibu bapa dan neneknya membuat sebuah permainan tentang perjalanan rasul Paulus. Keluarga yang lain pula menggunakan catatan daripada buku Keluaran untuk membuat permainan. Donald dari Togo yang berumur 19 tahun berkata bahawa kepelbagaian dalam penyembahan keluarga membangkitkan minat dan semangat mereka. Bolehkah anda melakukan sebuah projek supaya penyembahan keluarga anda lebih menyeronokkan?

Amerika Syarikat

PERSIAPAN AMAT PENTING

Walaupun penyembahan keluarga diadakan dalam pelbagai cara dan mengikut keadaan, ahli keluarga perlu membuat persiapan. Ada kalanya anak kecil cepat penat, maka bapa harus memilih bahan yang sesuai dan membuat persiapan rapi. Seorang bapa berkata, “Jika saya membuat persediaan yang baik, penyembahan keluarga kami lebih bermakna.” Seorang bapa di Jerman memberitahu keluarganya tentang bahan yang akan dibincangkan bagi minggu-minggu yang seterusnya. Di Benin, seorang bapa memberikan soalan kepada enam orang anaknya bagi DVD yang akan ditonton semasa penyembahan keluarga. Ya, persiapan meningkatkan mutu penyembahan keluarga.

Apabila ahli keluarga mengetahui apa yang akan dibincangkan, mereka mungkin berbual tentangnya, dan minat mereka akan bertambah. Jika setiap ahli keluarga diberi tugasan, mereka akan berasa lebih terlibat dalam penyembahan keluarga.

DIADAKAN SECARA TETAP

Mengadakan penyembahan keluarga secara tetap adalah sesuatu yang mencabar.

Banyak bapa terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga. Contohnya, seorang bapa di Mexico meninggalkan rumah pada jam 6 pagi dan pulang selepas jam 8 malam. Ada kalanya, Penyembahan Keluarga perlu ditunda kerana aktiviti rohani yang lain.

Namun, kita perlu bertekad untuk mengadakan penyembahan keluarga secara tetap. Loïs yang berumur 11 tahun dari Togo berkata, “Walaupun sesuatu berlaku dan penyembahan keluarga kami harus bermula lambat, kami masih akan mengadakannya.” Sesetengah keluarga mengadakan penyembahan keluarga pada awal minggu. Jika sesuatu yang tidak terduga terjadi, mereka dapat menundanya kepada hari lain dalam minggu yang sama.

Aturan penyembahan keluarga ialah sebahagian daripada ibadat kita kepada Yehuwa. Pujilah Yehuwa bersama keluarga anda setiap minggu. (Hos. 14:3) Semoga penyembahan keluarga anda membawa sukacita kerana ‘kesukaan yang diberikan oleh Yehuwa akan menguatkan anda.’Neh. 8:9, 10.