Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Hormatilah Orang Tua di Kalangan Anda

Hormatilah Orang Tua di Kalangan Anda

“Hormatilah orang yang sudah tua.”IM. 19:32

1. Apakah situasi buruk yang dihadapi oleh manusia?

YEHUWA tidak mencipta manusia untuk menjadi tua dan menderita. Sebaliknya, Dia ingin umat manusia menikmati kesihatan yang sempurna di Firdaus. Tetapi hari ini, semua orang sedang “merintih kesakitan.” (Rm. 8:22) Bolehkah anda bayangkan perasaan Tuhan apabila Dia memerhatikan akibat dosa ke atas manusia? Lebih-lebih lagi, ramai orang tua diabaikan pada saat mereka amat memerlukan bantuan.Mzm. 39:6; 2 Tim. 3:3.

2. Mengapakah orang Kristian menghargai orang tua?

2 Umat Yehuwa amat menghargai orang tua di sidang. Kita boleh mendapat manfaat daripada hikmat dan teladan baik mereka. Kebanyakan daripada kita mungkin mempunyai saudara mara yang lanjut usia. Walau bagaimanapun, kita harus memastikan bahawa semua orang tua di dalam sidang dijaga dengan baik. (Gal. 6:10; 1 Ptr. 1:22) Adalah baik untuk mengetahui pandangan Tuhan terhadap orang tua yang dikasihi. Kita juga akan membincangkan tanggungjawab ahli keluarga dan ahli sidang untuk menjaga orang lanjut usia.

“JANGANLAH TOLAK AKU”

3, 4. (a) Apakah yang diminta oleh penulis Mazmur 71 daripada Yehuwa? (b) Apakah yang boleh didoakan oleh orang tua dalam sidang kita?

3 Mazmur 71:9 (ABB) menyatakan “Janganlah tolak aku  sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.” Mazmur ini mungkin ditulis oleh Daud. Dia telah berkhidmat kepada Tuhan sejak muda lagi, dan Tuhan telah menggunakannya dalam banyak cara. (1 Sam. 17:33-37, 50; 1 Raj. 2:1-3, 10) Walaupun sudah tua, Daud berasa bahawa dia masih perlu memohon supaya Yehuwa menjaganya.Baca Mazmur 71:17, 18.

4 Hari ini, ramai berasa seperti Daud. Meskipun mereka menempuh “masa sengsara,” mereka masih dapat memuji Tuhan mengikut kemampuan mereka. (Pkh. 12:1-7) Ramai daripada mereka mungkin terpaksa mengurangkan aktiviti mereka, termasuk aktiviti penyebaran. Tetapi mereka juga dapat memohon supaya Tuhan terus berkenan kepada mereka dan menjaga mereka. Sudah pasti, Yehuwa akan menjawab doa-doa mereka, memandangkan Daud juga mendoakan hal yang sama seperti yang tercatat dalam Bible.

5. Apakah pandangan Yehuwa terhadap orang tua yang setia?

5 Bible menunjukkan bahawa Yehuwa sangat menghargai orang tua dalam sidang, dan Dia menghendaki semua hamba-Nya untuk menghormati orang yang sudah tua. (Mzm. 22:25-27; Ams. 16:31; 20:29) ‘Seganilah dan hormatilah orang yang sudah tua. Kamu harus hormat dan takut akan Aku, kerana Akulah Yehuwa,’ kata Imamat 19:32 (ABB). Ya, menghormati orang tua adalah penting pada zaman dahulu dan juga pada zaman sekarang. Tetapi, siapakah yang sepatutnya menjaga mereka?

TANGGUNGJAWAB KELUARGA

6. Apakah teladan baik Yesus berkenaan menjaga ibu bapa?

6 Bible menyatakan, “Hormatilah bapa dan ibu kamu.” (Kel. 20:12; Ef. 6:2-3) Yesus menekankan perintah ini apabila dia mengutuk orang Farisi dan guru-guru Taurat yang enggan menjaga keperluan ibu bapa mereka. (Mrk. 7:5, 10-13) Yesus sendiri menetapkan teladan yang baik. Misalnya, semasa Yesus di atas tiang seksaan, dia mempercayakan Yohanes dengan tanggungjawab untuk menjaga ibunya yang mungkin merupakan seorang balu.Yoh. 19:26, 27.

7. (a) Apakah prinsip yang dijelaskan Paulus tentang menjaga keperluan ibu bapa? (b) Apakah hal lain yang dinyatakan Paulus?

7 Dalam suratnya kepada Timotius, rasul Paulus menulis bahawa orang Kristian mesti menjaga ahli keluarganya sendiri. (Baca 1 Timotius 5:4, 8, 16.) Dia menyatakan prinsip ini semasa menjelaskan tentang siapa yang layak untuk menerima bantuan kewangan daripada sidang. Paulus mengatakan bahawa balu yang sudah tua harus dijaga oleh anak-anaknya, cucu-cicit, dan sanak saudara lain yang seiman. Maka, sidang tidak perlu dibebani. Begitu juga dewasa ini, orang Kristian membuktikan bahawa mereka mengasihi Tuhan dengan memastikan keperluan ahli keluarga mereka dipenuhi.

8. Mengapakah Bible tidak menyatakan dengan spesifik tentang cara menjaga ibu bapa yang sudah tua?

8 Secara ringkas, anak-anak Kristian yang sudah dewasa memiliki tanggungjawab untuk menyediakan keperluan ibu bapa. Walaupun Paulus memberikan nasihat tentang keluarga yang seiman, ibu bapa yang tidak seiman pun patut dijaga. Namun, cara anak-anak menjaga ibu bapa mereka berbeza kerana bukan semua situasi adalah sama. Keperluan, perwatakan, dan kesihatan setiap orang juga berbeza. Ada yang mempunyai banyak anak, ada pula yang hanya mempunyai seorang  anak. Ada yang mendapat sokongan daripada kerajaan, dan ada yang tidak. Selain itu, cita rasa mereka yang memerlukan bantuan juga berbeza. Jadi, adalah baik untuk tidak mengkritik cara seseorang menjaga ahli keluarga yang lanjut usia. Yehuwa dapat memberkati keputusan yang dibuat berdasarkan Bible. Hal ini terbukti benar sejak zaman Musa.Bil. 11:23.

9-11. (a) Apakah keputusan sukar yang mungkin dihadapi sesetengah orang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah anak yang sudah dewasa tidak seharusnya tergesa-gesa meninggalkan tugasan mereka?

9 Apabila anak-anak tinggal jauh daripada ibu bapa, adalah mencabar bagi mereka untuk membantu ibu bapa. Jika ibu bapa tiba-tiba mengalami kemalangan seperti, terjatuh, patah tulang, dan sebagainya, anak-anak mungkin perlu segera pulang untuk memberikan bantuan buat sementara waktu ataupun untuk jangka masa yang panjang. *

10 Orang Kristian yang berkhidmat jauh dari tempat asal mungkin perlu membuat keputusan yang sukar. Ahli Bethel, para mubaligh, dan penyelia lawatan menghargai tugasan mereka dan memandangnya sebagai berkat daripada Yehuwa. Namun, apabila ibu bapa mereka sakit, perkara pertama yang mungkin terlintas dalam fikiran ialah, “Kami harus meninggalkan tugasan kami dan balik ke rumah untuk membantu ibu bapa.” Namun, adalah bijak untuk berdoa dan berfikir dahulu tentang apa yang ibu bapa benar-benar perlukan. Tidak seorang pun patut menghentikan khidmat mereka dengan tergesa-gesa kerana hal ini tidak selalunya perlu dilakukan. Mungkinkah masalah kesihatan yang dihadapi hanya sementara, dan mungkinkah ahli sidang di sana dapat membantu?Ams. 21:5.

11 Fikirkan contoh dua adik-beradik yang tinggal jauh daripada ibu bapa mereka. Seorang berkhidmat sebagai mubaligh di Amerika Selatan manakala abangnya bekerja di ibu pejabat di Brooklyn, New York. Apabila ibu bapa mereka memerlukan bantuan, adik-beradik ini serta isteri mereka melawat ibu bapa mereka di Jepun untuk mengenal pasti bantuan yang diperlukan. Selepas membuat pertimbangan, pasangan yang berkhidmat di Amerika Selatan memutuskan untuk meninggalkan tugasan mereka dan kembali ke Jepun. Kemudian, mereka menerima panggilan telefon daripada koordinator badan penatua dari sidang ibu bapa mereka. Para penatua telah berbincang dan ingin agar mereka terus berkhidmat sebagai mubaligh. Para penatua menghargai khidmat pasangan ini dan mereka menawarkan bantuan untuk menjaga ibu bapa pasangan ini. Semua ahli keluarga amat menghargai kasih yang ditunjukkan oleh para penatua.

12. Sebagai orang Kristian, apakah perkara yang harus dipastikan sewaktu membuat keputusan mengenai cara menjaga ibu bapa?

12 Tidak kira apa cara yang digunakan untuk menjaga ibu bapa, kita semua ingin memastikan bahawa keputusan kita membawa pujian kepada Yehuwa. Kita tidak mahu menjadi seperti pemimpin agama pada zaman Yesus. (Mat. 15:3-6) Kita ingin agar keputusan yang dibuat memuliakan Tuhan dan sidang.2 Kor. 6:3.

TANGGUNGJAWAB SIDANG

13, 14. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa sidang harus membantu menjaga orang Kristian yang lanjut usia?

13 Bukan semua orang dapat membantu saudara saudari yang berkhidmat sepenuh masa apabila timbul masalah keluarga. Namun, terdapat satu situasi  pada abad pertama yang menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh sidang untuk menjaga keperluan saudara saudari tua yang setia. Mengenai sidang di Yerusalem, Bible menyatakan bahawa “tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa.” Hal ini bukan kerana mereka kaya. Ada di antara mereka yang miskin, tetapi makanan “dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya.” (Kis. 4:34, 35) Tidak lama kemudian, selepas Pentakosta 33 M, berlakulah suatu pertengkaran. Terdapat laporan bahawa sesetengah balu “di kalangan mereka tidak menerima bantuan” makanan harian. Jadi, para rasul melantik saudara-saudara yang layak untuk mengurus dan memastikan keperluan semua balu diberikan dengan cukup dan adil. (Kis. 6:1-5) Pada masa itu, ramai orang asing menjadi Kristian dan tinggal di Yerusalem. Walaupun pengedaran makanan hanyalah aturan yang sementara, pengaturan para rasul ini menunjukkan bahawa sidang dapat membantu menjaga keperluan saudara saudari tua yang setia.

14 Dalam suratnya, Paulus memberitahu Timotius tentang situasi yang sesuai bagi sidang untuk menjaga keperluan jasmani balu Kristian. (1 Tim. 5:3-16) Yakobus, seorang penulis Bible juga setuju bahawa orang Kristian bertanggungjawab untuk menjaga anak yatim, balu, dan orang lain semasa mereka menderita atau menghadapi kesulitan. (Yak. 1:27; 2:15-17) Rasul Yohanes juga berkata, ‘Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Tuhan?’ (1 Yoh. 3:17, ABB) Jika seorang Kristian mempunyai tanggungjawab terhadap orang yang memerlukan bantuan, bukankah sidang juga bertanggungjawab?

Jika kemalangan berlaku, bagaimanakah sidang dapat membantu? (Lihat perenggan 15, 16)

15. Apakah perkara yang terlibat semasa membantu saudara saudari yang lanjut usia?

15 Di sesetengah negara, kerajaan menyediakan pencen, program kebajikan, dan menghantar pekerja ke rumah warga emas. (Rm. 13:6) Tetapi, bukan semua negara menyediakan kemudahan sebegini. Maka, jumlah bantuan yang diberikan oleh ahli keluarga dan sidang bergantung pada keadaan. Bantuan yang dapat diberikan oleh anak yang tinggal jauh daripada ibu bapanya mungkin terbatas. Anak tersebut digalakkan untuk berbincang dengan para penatua di sidang ibu bapanya agar semua  dapat memahami situasi keluarga mereka. Para penatua yang prihatin pula boleh menerangkan cara memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi warga emas. Jika terdapat surat mustahak yang belum dibaca atau ubat yang tidak dimakan, para penatua dapat memberitahu anak tentang perkara ini. Jika anak bekerjasama dengan para penatua, masalah mungkin dapat diselesaikan. Situasi buruk dapat dielakkan jika orang yang tinggal berdekatan dapat membantu atau memberikan nasihat kepada ahli keluarga yang tinggal jauh. Hal ini turut mengurangkan kekhuatiran keluarga mereka.

16. Bagaimanakah sesetengah orang Kristian membantu rakan seiman yang sudah tua?

16 Didorong oleh kasih, sesetengah orang Kristian rela meluangkan masa dan tenaga untuk membantu saudara saudari yang lanjut usia. Secara bergilir-gilir mereka bekerjasama dengan ahli sidang yang lain untuk menghulurkan bantuan dan memastikan keperluan saudara saudari yang tua dijaga. Sesetengah ahli sidang mungkin tidak dapat menceburi khidmat sepenuh masa. Namun mereka gembira membantu saudara saudari yang lanjut usia agar anak-anak saudara saudari ini dapat terus berkhidmat sepenuh masa. Sememangnya, semangat yang ditunjukkan oleh mereka amatlah baik! Namun, kemurahan hati mereka tidak membebaskan anak-anak daripada tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa.

KATA-KATA YANG MEMBINA

17, 18. Apakah sikap yang patut ditunjukkan semasa menjaga orang tua?

17 Orang tua dan penjaga boleh menjadikan keadaan lebih senang jika mereka tetap berpandangan positif. Jika anda sedang menjaga orang tua, berusahalah untuk menunjukkan semangat yang positif. Ada kalanya, orang yang lanjut usia menghadapi perasaan hampa, bahkan kemurungan. Anda mungkin perlu mencurahkan usaha yang lebih untuk menghormati dan menggunakan kata-kata yang menggalakkan saudara saudari sebegini. Orang tua yang setia berkhidmat kepada Tuhan patut dipuji. Yehuwa tidak melupakan apa yang sudah mereka lakukan bagi-Nya. Kita juga harus tidak melupakan usaha mereka.Baca Maleakhi 3:16; Ibrani 6:10.

18 Selain itu, aturan untuk menjaga orang tua menjadi lebih senang jika orang yang membantu mereka pandai bergurau senda pada masa yang sesuai. (Pkh. 3:1, 4) Ramai orang tua berusaha untuk tidak membuat banyak permintaan. Mereka sedar bahawa sikap mereka mempengaruhi orang yang menjaga dan melawat mereka. Ramai yang melawat orang tua berkata, “Saya pergi untuk menggalakkan sahabat saya yang sudah tua, tetapi dia pula yang menggalakkan saya.”Ams. 15:13; 17:22.

19. Apakah yang dapat membantu orang muda dan tua untuk tetap teguh mengharungi masa kesusahan?

19 Kita semua menanti-nantikan masanya penderitaan dan kesan buruk dosa dimansuhkan. Sementara itu, kita mesti bertumpu pada harapan masa depan yang kekal. Kita juga tahu bahawa iman dalam janji-janji Tuhan adalah seperti sauh apabila ribut melanda. Iman membantu kita supaya ‘tidak tawar hati. Meskipun tubuh kita ini menjadi reput, tetapi batin kita dibaharui setiap hari.’ (2 Kor. 4:16-18; Ibr. 6:18, 19) Selain itu, apakah yang dapat membantu kita memenuhi tanggungjawab untuk menjaga orang tua? Beberapa cadangan praktikal akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.

^ per. 9 Rencana seterusnya akan membincangkan beberapa cadangan penjagaan yang boleh digunakan oleh orang yang lanjut usia serta anak-anak mereka.