Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

“Datanglah Kerajaan-Mu”—Bila?

“Datanglah Kerajaan-Mu”—Bila?

“Apabila kamu melihat semua perkara ini, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat.”—MAT. 24:33.

1, 2. (a) Apakah yang boleh menyebabkan kita berada dalam keadaan buta? (b) Apakah yang kita tahu mengenai Kerajaan Tuhan?

ANDA mungkin mendapati bahawa ramai orang tidak mampu mengingati sesuatu kejadian dengan tepat. Begitu juga, seseorang mungkin berasa susah untuk mengingati penerangan doktor mengenai kesihatannya. Atau seseorang mungkin tidak dapat mencari kunci atau cermin matanya walaupun benda itu berdekatan dengannya. Mengapakah perkara ini berlaku? Para penyelidik menjelaskan bahawa semua ini adalah sejenis kebutaan kerana cuba melakukan lebih daripada satu perkara pada masa yang sama. Nampaknya, otak kita hanya boleh memberikan tumpuan kepada satu perkara sahaja pada suatu masa.

2 Kebanyakan orang hari ini mengalami “kebutaan” seperti ini terhadap peristiwa yang berlaku di dunia. Mereka mungkin mengaku bahawa dunia sudah berubah dengan mendadak sejak tahun 1914, tetapi mereka tidak memahami makna di sebaliknya. Selaku pelajar Bible, kita tahu bahawa Kerajaan Tuhan telah ditubuhkan pada tahun 1914 semasa Yesus ditabalkan sebagai Raja di syurga. Namun, kita sedar bahawa doa “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi  seperti di syurga” belum lagi dijawab sepenuhnya. (Mat. 6:10, NW) Doa ini akan dijawab sepenuhnya sewaktu dunia jahat ini dibinasakan. Setelah hal ini berlaku, barulah kehendak Tuhan akan terlaksana di bumi seperti di syurga.

3. Apakah manfaat yang kita terima daripada mempelajari Bible?

3 Mempelajari Firman Tuhan secara tetap membantu kita menyedari bahawa nubuat Bible sedang digenapi. Namun, orang secara umum sibuk dengan urusan seharian dan kerjaya sehingga tidak sedar bahawa Kristus telah memerintah sejak tahun 1914 dan akan memusnahkan dunia jahat ini tidak lama lagi. Maka, tanyalah diri, “Adakah saya masih percaya bahawa akhir sistem dunia ini sudah dekat dan bahawa keadaan di bumi membuktikan hal ini?” Walaupun anda baru menjadi seorang Saksi, apakah tumpuan anda? Marilah kita bincangkan tiga sebab penting mengapa kita boleh yakin bahawa kehendak Tuhan bakal dilaksanakan di bumi.

KEMUNCULAN PENUNGGANG KUDA

4, 5. (a) Apakah yang dilakukan oleh Yesus sejak tahun 1914? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang dimaksudkan oleh tiga penunggang kuda? Bagaimanakah nubuat ini digenapi?

4 Pada tahun 1914, Yesus Kristus digambarkan sebagai penunggang kuda putih yang memakai sebuah mahkota. Dia segera menakluki sistem jahat Syaitan. (Baca Wahyu 6:1, 2.) Nubuat Bible di Wahyu bab 6 membantu kita memahami bahawa selepas Kerajaan Tuhan ditubuhkan di syurga, keadaan di dunia merosot secara mendadak. Perang, kebuluran, wabak penyakit, dan penyebab kematian yang lain juga berlaku. Hal-hal ini digambarkan oleh tiga penunggang kuda yang mengikuti Yesus Kristus.—Why. 6:3-8.

5 Seperti yang dinubuatkan, walaupun terdapat perjanjian untuk berdamai antara negara, keamanan lenyap dari bumi. Perang Dunia Pertama hanyalah permulaan kepada perang-perang lain. Walaupun terdapat kemajuan dari segi ekonomi dan sains sejak tahun 1914, kebuluran masih berlaku dan menggugat keamanan dunia. Penyakit, bencana alam, dan tragedi lain juga meragut nyawa jutaan orang setiap tahun. Kejadian buruk seperti ini menjadi semakin teruk, berlaku dengan semakin kerap, dan membunuh lebih banyak orang. Bolehkah anda faham maksud tersirat di sebalik peristiwa-peristiwa ini?

Penunggang kuda menandakan keadaan dunia yang semakin merosot (Lihat perenggan 4, 5)

6. Siapakah yang sedar akan penggenapan nubuat Bible, dan hal ini mendorong mereka untuk melakukan apa?

6 Ramai orang bertumpu pada Perang Dunia Pertama dan selesema Sepanyol (Spanish influenza). Tetapi orang Kristian terurap tahu bahawa ‘masa yang ditetapkan untuk bangsa yang tidak mengenal Tuhan’ akan berakhir pada tahun 1914. (Luk. 21:24) Mereka tidak tahu secara terperinci apa yang akan berlaku. Namun mereka tahu bahawa tahun 1914 penting bagi Kerajaan Tuhan. Apabila mereka sedar bahawa nubuat Bible digenapi, dengan berani mereka mengkhabarkan bahawa Kerajaan Tuhan sudah mula memerintah. Hal ini mengakibatkan mereka dianiaya. Selama bertahun-tahun, musuh Kerajaan Tuhan menggunakan undang-undang, keganasan, dan hukuman penjara untuk menentang umat Tuhan. Ada juga umat Tuhan yang dibunuh. Penganiayaan ini telah dinubuatkan dalam Bible.—Mzm. 94:20; Why. 12:15.

7. Mengapakah kebanyakan orang tidak memahami maksud sebenar di sebalik keadaan dunia sekarang?

7 Terdapat banyak bukti bahawa Kerajaan Tuhan sedang memerintah di syurga.  Namun mengapakah ramai orang masih tidak percaya akan hal ini? Mengapakah mereka tidak nampak bahawa keadaan dunia sekarang menggenapi nubuat Bible yang sudah lama dikhabarkan oleh umat Tuhan? Adakah mereka terlalu bertumpu pada apa yang mereka ingin lihat sahaja? (2 Kor. 5:7) Mungkinkah mereka begitu asyik dengan hal-hal seharian sehingga buta terhadap apa yang sedang dilakukan Tuhan? (Mat. 24:37-39) Adakah perhatian mereka terpesong ke pemikiran dan keinginan dunia Syaitan? (2 Kor. 4:4) Seseorang memerlukan iman dan mata rohani untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam Kerajaan Tuhan. Betapa bersyukurnya kita kerana tidak buta terhadap apa yang sedang berlaku!

KEJAHATAN SEMAKIN MENULAR

8-10. (a) Bagaimanakah 2 Timotius 3:1-5 sedang digenapi? (b) Mengapakah kita boleh menyimpulkan bahawa kejahatan semakin menular?

8 Sebab kedua Kerajaan Tuhan akan memerintah bumi tidak lama lagi ialah: Kejahatan semakin menular. Hampir selama satu abad, keadaan yang dinubuatkan di 2 Timotius 3:1-5 sedang digenapi. Sikap-sikap yang tercatat dalam ayat ini sedang merebak ke seluruh dunia. Adakah anda menyedari hal ini? Marilah kita bincangkan beberapa contoh.—Baca 2 Timotius 3:1, 13.

9 Fikirkan perbezaan antara perkara-perkara yang dianggap mengejutkan pada tahun 1940-an atau 1950-an dengan apa yang berlaku dewasa ini di tempat kerja serta dalam bidang hiburan, sukan, dan fesyen. Keganasan dan perbuatan tidak bermoral yang keterlaluan adalah perkara biasa. Manusia bangga dengan perbuatan mereka yang tidak bermoral, ganas, dan kejam. Rancangan televisyen yang pernah dianggap tidak bermartabat pada tahun 1950-an sudah menjadi tontonan umum bagi keluarga. Ramai orang juga sedar bahawa perbuatan homoseksual mempunyai pengaruh yang hebat dalam dunia hiburan dan fesyen. Mereka mempromosikan gaya hidup mereka secara umum.  Alangkah bersyukurnya kita kerana memahami pandangan Tuhan terhadap hal-hal ini!—Baca Yudas 14, 15.

10 Selain itu, bandingkanlah sikap memberontak para pemuda pada masa dahulu dengan hari ini. Contohnya, pada tahun 1950-an, ibu bapa sering khuatir jika anak mereka merokok, minum alkohol, atau terlibat dalam tarian yang tidak senonoh. Hari ini, kita selalu mendengar berita yang mengejutkan seperti seorang pelajar berumur 15 tahun menembak rakan-rakan sekelasnya sehingga 2 terbunuh dan 13 tercedera. Sekumpulan remaja yang mabuk membunuh seorang gadis yang berumur sembilan tahun dengan kejam serta memukul bapa dan sepupu gadis itu. Di sebuah negara Asia, berita melaporkan bahawa separuh daripada jenayah yang dilakukan sepanjang 10 tahun berturut-turut adalah disebabkan oleh para pemuda. Tidakkah kita setuju bahawa keadaan dunia semakin teruk?

11. Mengapakah ramai orang tidak sedar bahawa keadaan dunia menjadi semakin teruk?

11 Rasul Petrus mengatakan, ‘Pada akhir zaman akan muncul beberapa orang yang kehidupan mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Mereka akan memperolok-olokkan kamu dengan berkata, “Bukankah Tuan berjanji akan datang? Di manakah dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!”’ (2 Ptr. 3:3, 4, ABB) Mengapakah reaksi sesetengah orang begitu? Nampaknya, semakin kerap sesuatu berlaku, semakin kurang orang memberikan perhatian. Jika sikap seorang sahabat karib anda berubah secara tiba-tiba, hal ini mungkin mengejutkan anda. Tetapi, jika sikap dan tahap moral masyarakat merosot secara beransur-ansur, kita mungkin tidak menyedarinya. Walaupun begitu, kemerosotan akhlak sebegini memang berbahaya. Oleh itu, kita tidak patut meremehkannya.

12, 13. (a) Mengapakah keadaan dunia sekarang tidak menakutkan kita? (b) Peristiwa-peristiwa di dunia sekarang meyakinkan kita terhadap apa?

12 Rasul Paulus memberi amaran kepada kita bahawa “pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan.” (2 Tim. 3:1) Tetapi kita tidak usah takut kerana kita dapat mengatasi kesusahan yang dihadapi. Dengan bantuan Yehuwa, daya aktif-Nya, dan sidang Kristian, kita akan berjaya menghadapi kekecewaan dan ketakutan. Yehuwa akan memberikan “kekuasaan tertinggi” supaya kita dapat tetap setia kepada-Nya.—2 Kor. 4:7-10.

13 Paulus memulakan nubuat tentang hari-hari terakhir dengan menyatakan, “Ingatlah hal ini.” Ungkapan tersebut memberikan kepastian bahawa nubuat ini akan digenapi. Kejahatan di dunia akan terus menular sehingga Yehuwa mengakhirinya. Ahli sejarah pernah melaporkan bahawa keruntuhan akhlak boleh menjatuhkan seluruh masyarakat atau negara. Sekarang, seluruh dunia mengalami kemerosotan moral yang teruk sekali. Ramai orang menafikannya. Tetapi apa yang berlaku sejak tahun 1914 sepatutnya meyakinkan kita bahawa Kerajaan Tuhan akan membinasakan semua kerajaan di bumi tidak lama lagi.

GENERASI INI TIDAK AKAN BERLALU

14-16. Apakah sebab ketiga untuk percaya bahawa Kerajaan Tuhan akan datang tidak lama lagi?

14 Perkembangan sejarah umat Tuhan memberikan sebab ketiga bahawa akhir sudah dekat. Sebelum Kerajaan Tuhan ditubuhkan di syurga, sekumpulan orang Kristian terurap sibuk berkhidmat kepada Yehuwa. Namun, apabila jangkaan mereka tidak tercapai pada tahun 1914, apakah  yang telah mereka lakukan? Kebanyakan mereka terus menyembah Yehuwa dan tabah menghadapi penganiayaan. Sekarang, kebanyakan atau mungkin semua daripada mereka sudah menghabiskan hayat mereka di bumi.

15 Dalam nubuatnya mengenai akhir sistem ini, Yesus berkata “Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini [“generasi ini,” NW] mati semuanya.” (Mat. 24:33-35) Kami memahami bahawa “generasi ini” terdiri daripada dua kumpulan orang Kristian terurap. Kumpulan pertama hidup pada tahun 1914 dan memahami bahawa Yesus menjadi Raja Kerajaan Tuhan pada tahun itu. Kumpulan ini diurapi daya aktif Tuhan pada tahun 1914 atau sebelum tahun itu.—Rm. 8:14-17.

16 Kumpulan kedua “generasi ini” telah hidup sezaman dengan kumpulan pertama. Mereka bukan sahaja hidup sezaman tetapi juga diurapi semasa kumpulan pertama masih hidup. Maka bukan semua orang Kristian terurap hari ini sebahagian daripada kumpulan kedua “generasi ini.” Dewasa ini, usia mereka yang terangkum dalam kumpulan kedua semakin meningkat. Kata-kata Yesus di Matius 24:34 menunjukkan bahawa kesengsaraan besar akan berlaku “sebelum orang yang hidup sekarang ini [“generasi ini,” NW] mati semuanya.” (Mat. 24:29-31) Hal ini harus lebih meyakinkan kita bahawa hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum Raja Kerajaan Tuhan membinasakan dunia jahat ini dan membawa dunia baru.—2 Ptr. 3:13.

YESUS BAKAL MENYELESAIKAN PENAKLUKANNYA

17. Apakah yang boleh kita simpulkan daripada tiga sebab yang telah dibincangkan?

17 Selepas membincangkan tiga sebab ini, apakah kesimpulannya? Yesus mengingatkan kita bahawa kita tidak tahu hari atau waktunya. (Mat. 24:36; 25:13) Tetapi kita tahu bahawa “masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang.” (Baca Roma 13:11.) Kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Jika kita memberikan perhatian penuh kepada nubuat Bible dan perkara yang sedang dilakukan oleh Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus, kita akan melihat dengan jelas tanda-tanda yang menunjukkan bahawa akhir sistem jahat ini sudah dekat.

18. Apakah yang akan berlaku kepada mereka yang menolak kekuasaan Yesus Kristus?

18 Tidak lama lagi, orang yang menolak kekuasaan Yesus Kristus, penunggang kuda putih, terpaksa mengakui kesilapan mereka. Mereka tidak akan terlepas daripada hukuman. Pada waktu itu, ramai orang akan berseru dengan takut, “Tidak seorang pun akan terselamat.” (Why. 6:15-17) Namun, bab yang seterusnya dalam buku Wahyu memberikan keterangan. Kaum terurap serta kumpulan besar manusia yang mendapat perkenan Tuhan akan “terselamat.” Kumpulan besar manusia ini akan mengharungi kesengsaraan besar dan memasuki dunia baru.—Why. 7:9, 13-15.

19. Sebagai seorang yang yakin bahawa akhir sistem dunia ini sudah dekat, apakah yang sedang anda nantikan?

19 Jika kita tetap memberikan tumpuan kepada nubuat Bible yang sedang digenapi hari ini, kita tidak akan diperdaya oleh dunia Syaitan. Kita juga tidak akan buta terhadap maksud sebenar di sebalik peristiwa-peristiwa dunia. Tidak lama lagi, Kristus akan melancarkan peperangan terakhir untuk membinasakan dunia jahat ini. (Why. 19:11, 19-21) Bayangkanlah betapa gembiranya kita pada waktu itu!—Why. 20:1-3, 6; 21:3, 4.