PADA awal pagi, seorang wanita menemui suatu bungkusan di depan pintu rumahnya. Dia mengambil bungkusan itu sambil melihat di sekeliling. Tetapi tiada orang di sana. Kemungkinan seorang pelawat telah meninggalkan bungkusan itu. Wanita itu membuka sebahagian daripada bungkusan lalu segera masuk ke dalam rumah. Rupa-rupanya bungkusan tersebut mengandungi bahan bacaan Bible yang dilarang! Wanita itu mendakap bungkusan itu lalu berdoa mengucap syukur kepada Yehuwa.

Peristiwa ini berlaku di Jerman pada tahun 1930-an. Kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa dilarang selepas pemerintahan Nazi bermula pada tahun 1933. Richard Rudolph, * kini berumur lebih daripada 100 tahun berkata, “Kami yakin bahawa pengumuman tentang Yehuwa dan nama-Nya tidak dapat dihentikan oleh undang-undang manusia. Kami amat memerlukan bahan bacaan Bible untuk pembelajaran dan aktiviti penyebaran. Namun, semuanya sukar didapati selepas larangan dikenakan. Kami tertanya-tanya bagaimana kerja ini dapat diteruskan.” Tidak lama kemudian, Richard mendapati cara untuk mengatasi masalah ini. Semuanya dilakukan di sebalik bayang-bayang gunung.—Hak. 9:36.

MELALUI LALUAN PENYELUDUP

Menuju ke arah hulu sungai Elbe (atau Labe), terdapat Banjaran Gunung Besar (Krkonoše) di sempadan Republik Czech dan Poland. Walaupun ketinggiannya hanya 1,600 m, gunung ini selalu diliputi salji dan selama setengah tahun saljinya setebal 3 meter. Mereka yang mengabaikan keadaan cuaca boleh terperangkap dalam kabus tebal yang tiba-tiba menyelubungi puncak gunung.

Selama berabad-abad, gunung ini membentuk sempadan semula jadi antara daerah, negeri, dan negara. Kawasan pergunungan yang berbahaya menyebabkan kerja rondaan sukar dijalankan. Maka banyak orang menyeludup barang-barang melalui gunung-gunung ini. Pada tahun 1930-an,  selepas Banjaran Gunung Besar ini dijadikan sempadan antara Czechoslovakia dan Jerman, Saksi-Saksi menggunakan laluan yang ditinggalkan penyeludup. Mengapa? Supaya mereka dapat menghantar bahan bacaan Bible. Richard ialah salah seorang daripada Saksi-Saksi yang terlibat.

Saudara saudari yang berpakaian seperti pengembara merentasi Banjaran Gunung Besar untuk menghantar bahan bacaan ke Jerman

PERJALANAN YANG BERBAHAYA

“Pada hujung minggu, lebih kurang tujuh saudara pergi ke pergunungan. Kami berpakaian seperti pengembara,” kata Richard. Mereka mengambil masa kira-kira tiga jam merentasi gunung dari Jerman ke Špindlerův Mlýn di Czech, dan jaraknya kira-kira 16.5 km. Pada masa itu, ramai orang Jerman tinggal di sana, termasuk seorang peladang yang setuju membantu saudara kita. Dia menggunakan kereta kudanya untuk mengangkut kotak-kotak bahan bacaan dari pekan berdekatan. Kotak-kotak itu dihantar dari Prague melalui kereta api. Dia menyembunyikan kotak-kotak itu dalam gudang di ladangnya sementara menunggu saudara-saudara untuk membawa kotak-kotak itu ke negara Jerman.

Richard menambah, “Selepas sampai ke ladang itu, kami masukkan kotak-kotak ke dalam beg galas yang direka khas untuk muatan berat. Kami masing-masing membawa muatan lebih kurang 50 kg.” Mereka berjalan dalam kegelapan agar tidak dikesan. Mereka memulakan perjalanan semasa matahari terbenam dan pulang sebelum matahari terbit. Ernst Wiesner yang berkhidmat sebagai penyelia litar pada masa itu menerangkan langkah berjaga-jaga, “Dua saudara akan mendahului saudara-saudara yang lain. Jika dua saudara ini bertemu dengan orang, mereka akan segera memberikan isyarat dengan lampu suluh kepada saudara-saudara yang menggalas beg kira-kira 100 meter di belakang. Mereka akan bersembunyi sehingga dua saudara tadi kembali dan menyebut kata isyarat yang ditukar setiap minggu.” Namun, polis Jerman yang berpakaian seragam biru bukanlah satu-satunya bahaya yang harus dihadapi.

Richard berkata, “Pada suatu malam saya perlu bekerja lebih masa. Maka saya bertolak lebih lambat daripada saudara-saudara yang lain. Dalam  keadaan gelap dan berkabus, hujan yang turun membuat saya menggigil kesejukan. Saya tersesat untuk beberapa jam di antara pokok pain. Ramai pengembara mati kerana sesat. Apabila saudara-saudara lain pulang pada waktu pagi, barulah saya jumpa mereka.”

Selama kira-kira tiga tahun, sekumpulan saudara yang berani ini membuat perjalanan merentasi gunung setiap minggu. Semasa musim sejuk, mereka mengangkut bahan bacaan menggunakan papan luncur. Kadangkala, 20 orang saudara merentas sempadan pada waktu siang melalui laluan tersebut. Untuk menunjukkan bahawa mereka hanya sekumpulan pengembara biasa, beberapa saudari juga ikut serta. Ada di antara saudari berjalan di depan dan melambung topi jika mengesyaki bahaya.

Salji yang menutupi Banjaran Gunung Besar menyukarkan perjalanan

Selepas saudara-saudara kembali dari perjalanan semalaman, apakah yang terjadi? Aturan dibuat supaya bahan bacaan segera diedarkan. Bahan bacaan dibungkus seperti sabun lalu dibawa ke stesen kereta api di Hirschberg. Bungkusan akan dihantar ke pelbagai tempat di Jerman. Seperti di perenggan pertama, saudara saudari menghantar bungkusan dengan berhati-hati kepada rakan seiman. Jika rangkaian kerja yang tersembunyi ini dikesan, hal ini boleh membawa padah.

Akhirnya kerja mereka terbongkar. Pada tahun 1936, tempat menyimpan bahan bacaan berdekatan Berlin telah dijumpai. Antara barang-barang yang ditemui ialah tiga bungkusan daripada pengirim dari Hirschberg yang tidak dikenali. Melalui penelitian tulisan tangan, polis berjaya mengenal pasti seorang saudara yang menyeludup bahan bacaan dan menahannya. Tidak lama kemudian, dua lagi saudara ditahan termasuk Richard Rudolph. Saudara-saudara yang ditangkap menanggung segala tuduhan. Oleh itu saudara lain masih dapat mengedarkan bahan bacaan buat suatu jangka masa. Namun keadaan semakin berbahaya.

PENGAJARANNYA UNTUK KITA

Untuk suatu jangka masa, Saksi-Saksi di Jerman amat bergantung pada bekalan bahan bacaan yang dibawa melalui Banjaran Gunung Besar. Tetapi, ini bukanlah satu-satunya jalan yang digunakan. Semasa Jerman mula menjajah Czechoslovakia pada tahun 1939, terdapat juga jalan yang serupa di sepanjang sempadan negara itu. Saudara saudari dari negara-negara yang bersempadan dengan Jerman, seperti Perancis, Belanda, dan Switzerland, termasuk Saksi di Jerman, mengambil risiko untuk menghantar makanan rohani kepada rakan seiman mereka yang dianiaya.

Hari ini, makanan rohani disediakan dengan secukupnya dalam pelbagai format. Semasa menerima bahan bacaan dari Dewan Perjumpaan atau memuat turun dari laman web jw.org, fikirkan apa yang dilakukan untuk menyediakan bahan bacaan ini. Walaupun saudara saudari tidak perlu merentasi gunung bersalji di bawah selimut kegelapan, mereka memang mencurahkan banyak usaha untuk menyediakan makanan rohani untuk anda.

^ per. 3 Dia berkhidmat di sidang Hirschberg, Silesia. Bandaraya Hirschberg kini dikenali sebagai Jelenia Góra yang terletak di barat daya Poland.