Semasa dua orang perintis dijemput untuk memasuki sebuah rumah di Kenya, mereka terkejut melihat seorang lelaki berbaring di atas katil. Badannya amat kecil dan lengannya pendek. Semasa mereka berkongsi janji Tuhan bahawa “orang lumpuh akan melompat seperti rusa,” lelaki itu tersenyum lebar.—Yes. 35:6.

Mereka mendapati bahawa Onesmus, yang kini berumur lewat 30-an, dilahirkan dengan penyakit tulang rapuh (atau osteogenesis imperfecta). Tulangnya sangat rapuh dan senang retak atau patah. Memandangkan tiada ubat atau rawatan bagi penyakit ini, Onesmus terpaksa menderita kesakitan dan menghabiskan seumur hidupnya di atas kerusi roda.

Onesmus menerima pembelajaran Bible. Tetapi ibu Onesmus tidak membenarkannya menghadiri perjumpaan kerana dia tidak ingin Onesmus tercedera dan lebih sengsara. Jadi, para saudara merakamkan perjumpaan agar Onesmus dapat mendengarnya di rumah. Selepas mempelajari Bible selama lima bulan, Onesmus memutuskan untuk menghadiri perjumpaan walaupun berisiko.

Adakah perjumpaan menyebabkan Onesmus lebih sengsara? Tidak. “Kesakitan saya berkurang semasa menghadiri perjumpaan,” kata Onesmus. Harapan Bible membuatnya berasa lebih ceria. Ibu Onesmus melihat sikap anaknya berubah dan berasa sangat gembira sehingga bersetuju untuk mempelajari Bible. “Menyembah Tuhan bagaikan ubat bagi anak saya,” katanya.

Tidak lama kemudian, Onesmus menjadi penyiar belum dibaptis. Selepas itu, dia dibaptis dan kini berkhidmat sebagai pembantu sidang. Walaupun kakinya dan salah satu lengannya tidak dapat berfungsi, Onesmus berhasrat untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Dia ingin menjadi perintis sokongan, tetapi ragu-ragu untuk membuat permohonan. Mengapa? Kerana dia perlu bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk menolak kerusi rodanya. Apabila dia meluahkan kerisauan ini kepada rakan Kristian, mereka berjanji untuk membantunya. Maka, Onesmus dapat menjadi perintis sokongan.

Onesmus juga ragu-ragu semasa ingin menjadi perintis biasa. Namun, ayat harian yang dipetik daripada Mazmur 34:9 telah menggalakkannya. Ayat itu berbunyi, ‘Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa!’ Selepas merenungkan ayat itu, Onesmus membuat keputusan untuk menjadi perintis biasa. Sekarang dia menginjil sebanyak empat hari seminggu dan mempunyai beberapa pelajar Bible yang membuat kemajuan rohani. Pada 2010, dia menghadiri Sekolah Latihan Perintis. Onesmus amat gembira kerana salah seorang pengajar di situ merupakan perintis yang mula-mula berkongsi kebenaran dengannya.

Kini ibu bapa Onesmus sudah meninggal, tetapi saudara saudari menjaga keperluan hariannya. Dia sangat bersyukur atas berkat yang dinikmatinya, dan menantikan saatnya apabila ‘tiada sesiapa yang akan mengeluh kerana sakit.’—Yes. 33:24.