‘Aku akan menantikan Yehuwa.’—MI. 7:7.

1. Mengapakah kita boleh hilang sabar?

APABILA Kerajaan Mesias ditubuhkan pada tahun 1914, sistem Syaitan sudah berada pada detik-detik terakhirnya. Perang tercetus di syurga, lalu Yesus melemparkan Si Iblis dan konco-konconya ke bumi. (Baca Wahyu 12:7-9.) Syaitan tahu “masanya tinggal sedikit.” (Why. 12:12) Tetapi, tidak seperti yang dijangkakan oleh sesetengah orang, masa yang “sedikit” ini telah pun berlanjutan selama puluhan tahun. Jadi, semasa anda menantikan Yehuwa, adakah anda juga hilang sabar?

2. Rencana ini akan membincangkan apa?

2 Amat berbahaya untuk hilang sabar kerana kita mungkin akan bertindak terburu-buru. Maka, bagaimanakah kita dapat terus menunggu dengan sabar? Rencana ini akan membantu kita berbuat demikian dengan menjawab soalan-soalan berikut. (1) Apakah iktibar yang kita raih daripada teladan baik nabi Mikha? (2) Apakah peristiwa yang menandakan bahawa akhir sistem ini sudah dekat? (3) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan penghargaan terhadap kesabaran Yehuwa?

IKTIBAR YANG DIRAIH DARIPADA NABI MIKHA

3. Apakah yang terjadi kepada orang Israel pada zaman Mikha?

3 Baca Mikha 7:2-6. Nabi Mikha melihat keadaan rohani orang Israel semakin merosot di bawah pemerintahan Raja Ahas yang jahat. Menurut Mikha, orang Israel yang tidak setia seperti “rumput yang tidak berguna,” atau semak berduri. Sebagaimana semak berduri mencederakan sesiapa sahaja yang melaluinya, orang Israel juga mencelakakan orang yang bergaul dengan mereka. Kejahatan mereka begitu teruk sehingga ikatan keluarga turut terlerai. Mikha sedar bahawa dia tidak mampu berbuat apa-apa, jadi dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Kemudian dia menunggu Yehuwa dengan  sabar. Mikha yakin bahawa Yehuwa akan bertindak pada masa yang ditetapkan-Nya.

4. Apakah cabaran yang kita hadapi?

4 Seperti Mikha, kita juga dikelilingi orang yang mementingkan diri. Ramai orang ‘tidak tahu berterima kasih, tidak mahu mengenal Tuhan, dan tidak mengasihi sesama manusia.’ (2 Tim. 3:2, 3) Kita berasa tertekan apabila rakan kerja, rakan sekolah, dan jiran tetangga menunjukkan sikap mementingkan diri. Tetapi sesetengah hamba Tuhan perlu menangani cabaran yang lebih besar. Yesus berkata bahawa pengikutnya akan menghadapi tentangan daripada ahli keluarga. Kata-katanya hampir sama dengan Mikha 7:6. Yesus berkata, “Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka. Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri.” (Mat. 10:35, 36, ABB) Tidak mudah untuk menghadapi tentangan dan ejekan ahli keluarga yang tidak seiman! Jika kita menghadapi cabaran ini, janganlah mengalah kepada tekanan keluarga. Sebaliknya, kita patut tetap setia kepada Yehuwa dan menunggu-Nya untuk membetulkan keadaan. Jika kita selalu bergantung pada-Nya, Dia akan memberi kita kekuatan dan kebijaksanaan yang diperlukan agar kita tetap bertahan.

5, 6. Bagaimanakah Yehuwa memberkati Mikha? Mikha tidak dapat menyaksikan apa?

5 Kesabaran Mikha diberkati Yehuwa. Mikha menyaksikan Raja Ahas yang jahat digulingkan. Dia melihat Raja Hizkia yang baik mewarisi takhta bapanya dan memulihkan ibadat sejati. Berita penghakiman Yehuwa terhadap Samaria yang disampaikan oleh Mikha juga digenapi apabila tentera Asyur menyerang bahagian utara kerajaan Israel.—Mi. 1:6.

6 Mikha tidak dapat menyaksikan penggenapan semua nubuat yang disampaikannya. Misalnya, Mikha menulis, ‘Pada masa depan gunung tempat Rumah Yehuwa akan menjadi gunung yang tertinggi, mencuar tinggi melampaui semua gunung. Banyak bangsa akan berduyun-duyun ke sana, lalu mereka akan berkata, “Marilah kita naik ke bukit Yehuwa.”’ (Mi. 4:1, 2, ABB) Mikha sudah lama meninggal dan tidak dapat menyaksikan penggenapan nubuat ini. Namun, dia bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa hingga akhir hayatnya, tidak kira apa yang dilakukan oleh orang di sekelilingnya. Dia menulis, ‘Setiap bangsa menyembah dan mentaati dewa masing-masing, tetapi kita akan menyembah dan mentaati Yehuwa, Tuhan kita selama-lamanya.’ (Mi. 4:5, ABB) Mikha bersabar dan menantikan Yehuwa pada saat-saat susah kerana dia yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan mengotakan semua janji-Nya. Nabi yang setia ini menaruh keyakinan pada Yehuwa.

7, 8. (a) Mengapakah kita dapat yakin pada Yehuwa? (b) Bagaimanakah kita dapat mempercepatkan masa?

7 Adakah kita yakin pada Yehuwa seperti Mikha? Ada banyak sebab untuk berbuat demikian. Kita telah menyaksikan nubuat Mikha digenapi. Pada penghujung hari-hari terakhir, jutaan orang dari pelbagai bangsa, negara, dan bahasa akan pergi ke ‘Rumah Yehuwa.’ Meskipun negara mereka bermusuhan, penyembah Tuhan telah “menempa pedang mereka menjadi bajak,” dan “tidak akan berperang lagi.” (Mi. 4:3) Kita berbesar hati untuk menjadi umat Yehuwa yang aman damai!

8 Kita ingin Yehuwa mengakhiri sistem jahat ini seawal yang mungkin. Tetapi, kita perlu bersabar. Kita dapat berbuat demikian dengan memupuk pandangan Yehuwa. Dia sudah menetapkan masa untuk  mengadili umat manusia. Tugas ini “akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya,” iaitu Yesus Kristus. (Kis. 17:31) Namun sebelum hari itu tiba, Tuhan memberikan peluang kepada semua orang untuk “mengetahui ajaran benar,” bertindak selaras dengannya, dan memperoleh penyelamatan. Hal ini melibatkan hidup mati ramai orang. (Baca 1 Timotius 2:3, 4.) Jika kita sibuk membantu orang menimba pengetahuan tentang Tuhan, masa yang tertinggal akan berlalu dalam sekelip mata. Apabila Yehuwa melaksanakan penghakiman-Nya, kita pasti senang hati kerana telah bertungkus-lumus menyebarkan berita Kerajaan Tuhan!

PERISTIWA YANG MENANDAKAN BAHAWA AKHIR SUDAH DEKAT

9-11. Adakah 1 Tesalonika 5:3 telah digenapi? Jelaskan.

9 Baca 1 Tesalonika 5:1-3. Tidak lama lagi, kita akan mendengar pengumuman, “Semuanya aman dan tenteram.” Kita haruslah “berjaga-jaga dan berwaspada” agar tidak terpedaya. (1 Tes. 5:6) Marilah kita mengupas beberapa peristiwa yang harus berlaku sebelum pengumuman yang penting ini dilaungkan.

10 Selepas berlakunya Perang Dunia Pertama dan Kedua, manusia sejagat menuntut kedamaian. Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918), Liga Bangsa-Bangsa ditubuhkan untuk membawa kedamaian. Kemudian, selepas Perang Dunia Kedua (1939-1945), ramai mengharapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membawa keamanan dunia. Para pemerintah dan ketua agama berharap pada kedua-dua organisasi ini. Contohnya, PBB telah menetapkan tahun 1986 sebagai Tahun Keamanan Antarabangsa. Pada tahun itu, pemimpin dan ketua agama dari pelbagai negara berkumpul bersama ketua Gereja Katolik di Assisi, Itali, untuk mendoakan keamanan dunia.

11 Tetapi, baik pengumuman ini mahupun pengumuman yang lain tidak menggenapi nubuat di 1 Tesalonika 5:3. Mengapa? Kerana kita belum “ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba.”

12. Apakah yang kita tahu tentang pengumuman “Semuanya aman dan tenteram”?

 12 Siapakah yang akan melaungkan “Semuanya aman dan tenteram”? Apakah peranan yang dimainkan oleh ketua gereja-gereja Kristian dan ketua agama yang lain? Bagaimanakah para pemimpin negara terlibat dalam pengumuman ini? Bible tidak memberitahu kita. Tetapi, tidak kira bagaimana laungan ini diisytiharkan atau betapa ramai yang percaya akan laungan ini, kita tahu semuanya hanyalah suatu sandiwara. Syaitan akan terus menguasai sistem dunia. Dunia ini rosak dan tidak akan berubah. Berwaspadalah supaya anda tidak menjadi mangsa kepada tipu muslihat Syaitan dan mula melibatkan diri dalam hal politik!

13. Mengapakah para malaikat menahan angin pembinasaan?

13 Baca Wahyu 7:1-4. Sementara kita menantikan penggenapan 1 Tesalonika 5:3, para malaikat yang berkuasa sedang menahan angin pembinasaan kesengsaraan besar. Apakah yang dinanti-nantikan mereka? Rasul Yohanes menulis bahawa ‘hamba-hamba Tuhan’ harus dimeteraikan terlebih dahulu. * Sebaik sahaja peristiwa penting ini diselesaikan, para malaikat akan melepaskan angin pembinasaan. Pada waktu itu, apakah yang akan berlaku?

14. Apakah yang menunjukkan bahawa Babilon Besar bakal dimusnahkan?

14 Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia akan dimusnahkan. Kita dapat melihat tanda-tandanya. “Pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa” tidak mampu menyokongnya. (Why. 16:12; 17:15-18; 18:7, 8, 21) Bahkan sekarang agama palsu kehilangan sokongan daripada media massa. Sering kali ada laporan berita yang mengkritik agama dan ketua agama. Meskipun begitu, pemimpin Babilon Besar tidak berasa terancam. Betapa bodohnya mereka! Sebaik sahaja pengumuman “Semuanya aman dan tenteram” dikeluarkan, unsur politik sistem Syaitan akan menyerang agama palsu secara tiba-tiba dan memusnahkannya. Babilon Besar akan lenyap buat selama-lamanya! Sememangnya, peristiwa-peristiwa yang bersejarah ini berbaloi untuk dinantikan.—Why. 18:8, 10.

CARA KITA MENUNJUKKAN PENGHARGAAN TERHADAP KESABARAN YEHUWA

15. Mengapakah Yehuwa menunggu dengan penuh sabar?

15 Meskipun orang mencela nama Yehuwa, Dia masih menunggu dengan penuh sabar untuk bertindak pada masa yang sesuai. Yehuwa tidak ingin orang yang berhati jujur dimusnahkan. (2 Ptr. 3:9, 10) Adakah kita juga berasa sedemikian? Sebelum hari Yehuwa tiba, kita boleh menunjukkan penghargaan terhadap kesabaran-Nya melalui beberapa cara.

16, 17. (a) Mengapakah kita patut membantu mereka yang tidak aktif? (b) Mengapakah mereka perlu kembali ke pangkuan Yehuwa dengan secepat mungkin?

16 Membantu mereka yang tidak aktif. Yesus berkata bahawa di syurga ada kegembiraan apabila seorang yang berdosa bertaubat. (Mat. 18:14; Luk. 15:3-7) Biarpun orang yang mengasihi Tuhan telah menjadi tidak aktif, Yehuwa masih mengambil berat terhadap mereka. Yehuwa dan para malaikat amat gembira apabila kita membantu mereka untuk kembali ke sidang.

17 Adakah anda seorang penyembah Yehuwa yang tidak aktif? Barangkali anda tidak menghadiri perjumpaan kerana seorang ahli sidang menyakiti hati anda. Sekiranya hal ini sudah lama terjadi, tanyalah diri, “Adakah hidup saya sekarang lebih bermakna? Adakah saya lebih gembira? Siapakah yang menyinggung perasaan saya: Yehuwa, atau manusia yang tidak  sempurna? Pernahkah Yehuwa menyakiti saya?” Hakikatnya, Yehuwa selalu berbuat baik terhadap kita. Meskipun pada masa ini kita tidak menunaikan janji pembaktian, Dia masih membenarkan kita menikmati pemberian-Nya. (Yak. 1:16, 17) Hari Yehuwa akan tiba tidak lama lagi. Sekaranglah masanya untuk kembali ke sidang dan ke pangkuan Bapa kita, Yehuwa. Inilah satu-satunya naungan yang selamat pada hari-hari terakhir.—Ul. 33:27; Ibr. 10:24, 25.

Umat Yehuwa berusaha membantu mereka yang tidak aktif untuk kembali kepada Yehuwa (Lihat perenggan 16, 17)

18. Mengapakah kita menyokong saudara yang mengambil pimpinan?

18 Setia menyokong saudara yang mengambil pimpinan. Selaku Gembala yang pengasih, Yehuwa membimbing dan melindungi kita. Dia melantik Anak-Nya sebagai Gembala Agung untuk menjaga kawanan-Nya. (1 Ptr. 5:4) Para penatua menggembala setiap biri-biri Tuhan di lebih daripada 100,000 buah sidang. (Kis. 20:28) Apabila kita setia menyokong saudara yang dilantik untuk mengambil pimpinan, kita menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan Yesus.

19. Bagaimanakah kita dapat membentuk benteng pertahanan yang sukar ditembusi?

19 Mengeratkan persahabatan dengan rakan seiman. Apakah maksudnya? Apabila pasukan askar yang terlatih diserang musuh, setiap askar akan mendekati satu sama lain. Dengan ini, mereka membentuk benteng pertahanan yang sukar ditembusi. Syaitan sedang menggiatkan usahanya menyerang umat Tuhan. Maka, janganlah melawan saudara saudari kita. Sekaranglah masanya kita mengeratkan persahabatan dan mengetepikan ketidaksempurnaan rakan seiman, serta yakin akan pimpinan Yehuwa.

Sekaranglah masanya kita membentuk benteng yang kukuh untuk melawan Syaitan dan roh-roh jahat (Lihat perenggan 19)

20. Apakah yang patut kita lakukan sekarang?

20 Semoga kita semua tetap berjaga-jaga secara rohani dan menantikan Yehuwa dengan sabar. Pengumuman “semuanya aman dan tenteram” akan dilaungkan, dan golongan terurap akan dimeteraikan. Selepas itu, empat malaikat akan melepaskan angin pembinasaan, dan Babilon Besar akan dimusnahkan. Sambil kita menantikan peristiwa-peristiwa penting ini, kita harus mematuhi saudara yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa. Bentuklah benteng yang kukuh untuk melawan Syaitan dan roh-roh jahat! Sekaranglah masanya untuk menuruti nasihat pemazmur, ‘Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kamu, kamu semua yang berharap kepada Yehuwa.’—Mzm. 31:25, ABB.

^ per. 13 Untuk maklumat lanjut tentang meterai yang diterima oleh golongan terurap, sila lihat The Watchtower, 1 Januari 2007, muka 30-31.