“Ya Bapa, . . . Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa.”—YOH. 17:1.

1, 2. Selepas merayakan Paska bersama rasulnya pada 33 M, apakah yang dilakukan oleh Yesus?

PADA lewat petang 14 Nisan 33 M, Yesus telah merayakan Paska bersama sahabat rapatnya. Perayaan ini mengingatkan mereka tentang bagaimana Tuhan membebaskan nenek moyang mereka daripada perhambaan di Mesir. Tetapi, murid-murid Yesus yang setia bakal ‘dibebaskan buat selama-lamanya.’ Pada keesokan hari, Pemimpin mereka yang tidak berdosa akan dibunuh oleh musuh. Kematian Yesus akan membawa berkat kepada umat manusia. Darahnya dapat membebaskan kita daripada dosa dan kematian.—Ibr. 9:12-14.

2 Untuk memastikan agar kita tidak melupakan kurniaan Tuhan yang pengasih, Yesus telah memperkenalkan sambutan baru yang menggantikan Paska. Dia berbuat demikian dengan memecahkan roti dan memberikannya kepada 11 orang rasul yang setia lalu berkata, ‘Inilah tubuhku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang aku.’ Dia juga memberikan segelas wain kepada mereka lalu berkata, ‘Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku, darah yang dicurahkan untuk kamu.’—Luk. 22:19, 20.

3. (a) Apakah perubahan besar yang berlaku selepas kematian Yesus? (b) Mengenai doa Yesus yang tercatat di Yohanes bab 17, apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

3 Perjanjian lama antara Tuhan dengan bangsa Israel bakal berakhir. Perjanjian ini akan digantikan dengan perjanjian baru antara Yehuwa dengan pengikut Yesus yang terurap. Yesus sangat risau dan tidak ingin pengikutnya menjadi seperti bangsa Israel yang tidak bersatu padu menyembah Tuhan. Hal ini telah mencela nama suci Tuhan. (Yoh. 7:45-49; Kis. 23:6-9)  Sebaliknya, Yesus ingin semua pengikutnya tetap bersatu dan bekerjasama untuk memuliakan nama Tuhan. Jadi, apakah yang dilakukan oleh Yesus? Dia mengucapkan doa yang paling indah. Kita amat berbesar hati kerana dapat membaca doanya. (Yoh. 17:1-26; lihat gambar pada permulaan rencana) Seraya kita membincangkan doa ini, fikirkan, “Sudahkah Tuhan menjawab doa Yesus?” Kita juga patut menanya diri, “Adakah saya bertindak selaras dengan doa ini?”

KEUTAMAAN YESUS

4, 5. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yesus memulakan doanya? (b) Bagaimanakah Yehuwa menjawab permintaan Yesus tentang masa depannya?

4 Yesus mengajarkan pengetahuan tentang Tuhan kepada pengikutnya hingga larut malam. Kemudian, dia menengadah ke langit lalu berdoa, ‘Ya Bapa, sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah anak-Mu, supaya anak pun boleh memuliakan Bapa. Engkau sudah memberikan kuasa atas umat manusia kepada anak-Mu, supaya anak-Mu memberikan hidup sejati dan kekal kepada semua orang yang Engkau serahkan kepadanya. Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepadaku. Ya Bapa, muliakanlah aku sekarang dengan kemuliaan yang aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan.’—Yoh. 17:1-5, ABB.

5 Perhatikan keutamaan Yesus pada permulaan doanya. Dia mendoakan agar Bapanya yang di syurga dimuliakan; sama seperti permintaan pertamanya dalam doa contoh, “Bapa, semoga nama-Mu disucikan.” (Luk. 11:2, NW) Seterusnya, Yesus berdoa tentang keperluan pengikutnya. Dia memohon agar dapat “memberikan hidup sejati dan kekal” kepada mereka. Kemudian, Yesus membuat permohonan peribadi kepada Yehuwa. Dia berdoa, ‘Ya Bapa, muliakanlah aku sekarang dengan kemuliaan yang aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan.’ Yehuwa memberkati Yesus lebih daripada apa yang dimintanya. Dia memberi anak-Nya ‘nama yang jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat.’—Ibr. 1:4.

‘MENGENAL SATU-SATUNYA TUHAN YANG BENAR’

6. Untuk menerima hidup kekal, apakah yang perlu dilakukan oleh para rasul? Bagaimanakah kita tahu bahawa mereka berjaya berbuat demikian?

6 Dalam doanya, Yesus juga menyatakan bagaimana kita sebagai pendosa dapat menerima hidup kekal. (Baca Yohanes 17:3.) Yesus berkata bahawa kita perlu terus “mengenal” Tuhan dan Kristus. Apakah caranya? Pertama, kita perlu berusaha untuk belajar tentang Yehuwa dan anak-Nya. Kedua, kita perlu menerapkan apa yang telah dipelajari. Para rasul pasti telah berbuat demikian kerana Yesus meneruskan doanya dengan berkata, ‘Perkhabaran yang Engkau berikan kepadaku sudah aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya.’ (Yoh. 17:8) Tetapi untuk menerima hidup kekal, mereka perlu terus merenungkan kata-kata Tuhan dan menerapkannya dalam kehidupan mereka. Adakah mereka terus berbuat demikian hingga ke akhir hayat? Sudah tentu. Kita pasti akan hal ini kerana nama-nama mereka terpahat buat selama-lamanya pada 12 buah batu asas Yerusalem Baru.—Why. 21:14.

7. Apakah maksud “mengenal” Tuhan? Mengapakah penting untuk berbuat demikian?

7 Jika kita ingin hidup selama-lamanya, kita mesti terus “mengenal” Tuhan. Apakah maksudnya? Dalam bahasa Yunani, perkataan “mengenal” juga  boleh diterjemahkan sebagai “terus menambah pengetahuan.” Maka, “mengenal” merujuk kepada proses yang berterusan sehingga kita benar-benar mengenali Tuhan. Kita bukan hanya memahami sifat dan kehendak Tuhan, tetapi kita juga perlu memupuk kasih yang mendalam terhadap Tuhan dan rakan seiman. Bible menjelaskan, ‘Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Tuhan.’ (1 Yoh. 4:8) Mengenal Tuhan juga termasuk mematuhi-Nya. (Baca 1 Yohanes 2:3-5.) Kita sememangnya berbesar hati kerana dapat mengenal Yehuwa! Kita tidak ingin kehilangan persahabatan dengan Tuhan seperti Yudas Iskariot. Semoga kita berusaha mengekalkan hubungan yang bernilai ini. Dengan ini, kita akan mendapat kurniaan yang tidak selayaknya diterima, iaitu hidup abadi.—Mat. 24:13.

“DENGAN KEKUASAAN NAMAMU”

8, 9. Apakah yang menjadi keutamaan Yesus semasa dia berada di bumi? Apakah tradisi yang pasti ditolak oleh Yesus?

8 Selepas membaca Yohanes bab 17 yang mencatatkan doa Yesus, kita yakin bahawa Yesus bukan sekadar mengasihi rasulnya tetapi juga amat mengasihi kita. (Yoh. 17:20) Namun, keutamaan Yesus bukanlah keselamatan kita. Tujuan utamanya ialah menyucikan dan memuliakan nama Yehuwa. Misalnya, semasa di rumah ibadat di Nasaret, Yesus menjelaskan tujuannya turun ke bumi dengan membaca daripada kitab Yesaya, ‘Daya aktif Yehuwa ada padaku. Dia telah melantik aku supaya mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin.’ Yesus semestinya menyebutkan nama Tuhan dengan jelas sekali apabila dia membaca ayat ini.—Luk. 4:16-21.

9 Menurut tradisi orang Yahudi, lama sebelum Yesus turun ke bumi, para pemimpin agama Yahudi tidak membenarkan orang menyebut nama Tuhan. Yesus pasti menolak tradisi ini yang tidak berasaskan Bible. Dia berkata kepada penentangnya, ‘Aku datang dengan kuasa [“nama,” NW] Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut aku. Tetapi manakala seorang lain datang dengan kuasanya sendiri, kamu menyambut dia.’ (Yoh. 5:43, ABB) Beberapa  hari sebelum kematiannya, Yesus menyatakan perkara yang paling penting baginya dengan berdoa, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” (Yoh. 12:28, NW) Jadi tidaklah menghairankan bahawa Yesus sering berdoa supaya nama Bapanya dimuliakan.

10, 11. (a) Bagaimanakah Yesus memperkenalkan nama Bapanya? (b) Apakah tujuan utama pengikut Yesus?

10 Yesus berdoa, “Aku sudah menunjukkan Engkau [“nama-Mu,” NW] kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu. Sekarang aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepadaku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan aku juga satu.’—Yoh. 17:6, 11, ABB.

11 Untuk memperkenalkan nama Bapanya, Yesus bukan sekadar menyebutkan nama Tuhan. Dia juga membantu pengikutnya memahami bahawa nama ini melambangkan keperibadian Tuhan dan cara Dia memperlakukan manusia. (Kel. 34:5-7) Setelah Yesus menjadi raja di syurga, dia terus membantu pengikutnya untuk mengumumkan nama Yehuwa ke seluruh dunia. Mengapakah kerja ini dijalankan? Dia ingin agar lebih banyak orang mengenal Yehuwa sebelum sistem jahat ini dimusnahkan. Pada masa itu, Yehuwa akan menyelamatkan saksi-saksi-Nya yang setia, dan mengharumkan nama-Nya!—Yeh. 36:23.

“SUPAYA DUNIA PERCAYA”

12. Apakah tiga perkara penting yang perlu kita lakukan untuk menjayakan kerja penyelamatan?

12 Semasa di bumi, Yesus berusaha membantu pengikutnya mengatasi kelemahan mereka. Hal ini amat penting untuk menyelesaikan kerja yang dimulakan oleh Yesus. Yesus berdoa, ‘Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus aku ke dunia.’ (Yoh. 17:18, ABB) Untuk menjayakan kerja penyelamatan ini, Yesus menyebutkan tiga perkara penting. Pertama, dia berdoa agar pengikutnya tidak menjadi milik dunia Syaitan yang jahat. Kedua, dia berdoa agar mereka mematuhi Firman Tuhan dan tetap hidup suci. Ketiga, Yesus berkali-kali memohon agar pengikutnya dapat bersatu sebagaimana dia dan Bapanya bersatu kerana kasih. Setiap orang patut memeriksa diri dengan bertanya, “Adakah saya melakukan tiga perkara yang Yesus doakan?” Yesus yakin jika pengikutnya melakukan semua ini, ‘dunia akan percaya bahawa Tuhan mengutusnya.’—Baca Yohanes 17:15-21.

Orang Kristian abad pertama bekerjasama dengan daya aktif untuk mengekalkan perpaduan (Lihat perenggan 13)

13. Bagaimanakah doa Yesus dikabulkan pada abad pertama?

13 Dengan mengkaji buku Kisah Para Rasul, kita dapat melihat bahawa doa Yesus dikabulkan. Fikirkan perpecahan yang mungkin berlaku di antara orang Kristian abad pertama yang terdiri daripada orang Yahudi dan orang bukan Yahudi, yang kaya dan yang miskin, tuan dan hamba. Tetapi mereka semua bersatu padu seperti anggota tubuh yang bekerjasama di bawah kepala sidang, iaitu Yesus. (Ef. 4:15, 16) Sememangnya perpaduan mereka amat mengagumkan! Di dunia Syaitan yang berpecah belah, perpaduan ini hanya dapat wujud kerana daya aktif Yehuwa.—1 Kor. 3:5-7.

Umat Yehuwa di seluruh dunia bersatu padu (Lihat perenggan 14)

14. Bagaimanakah doa Yesus dijawab hari ini?

14 Sedihnya, perpaduan ini tidak bertahan selepas kematian para rasul. Seperti yang dinubuatkan, orang murtad akan muncul dan menubuhkan pelbagai aliran Kristian. (Kis. 20:29, 30) Tetapi pada 1919,  Yesus membebaskan pengikutnya yang terurap daripada genggaman agama palsu dan menyatupadukan mereka di bawah ikatan kasih. (Kol. 3:14) Apakah hasil daripada kerja penyebaran mereka? Lebih daripada tujuh juta “domba-domba lain” daripada “setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa” kini bersatu dengan kaum terurap. (Yoh. 10:16; Why. 7:9) Bukankah ini satu jawapan yang menakjubkan kepada doa Yesus yang berbunyi, ‘Dunia akan tahu bahawa Engkau mengutus aku dan bahawa Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi aku’!—Yoh. 17:23.

DOA YANG DIAKHIRI DENGAN KASIH

15. Apakah permintaan istimewa yang Yesus buat bagi pihak rasul-rasulnya yang terurap?

15 Pada malam 14 Nisan, Yesus memuliakan rasul-rasulnya dengan berjanji bahawa mereka akan memerintah bersamanya dalam Kerajaan Tuhan. (Luk. 22:28-30; Yoh. 17:22) Mengenai mereka yang akan menjadi pengikutnya yang terurap, Yesus berdoa, ‘Ya Bapa, aku ingin supaya mereka yang sudah Engkau serahkan kepadaku bersama-sama aku di tempat aku ada, supaya mereka boleh melihat kemuliaan yang Engkau berikan kepadaku, kerana Engkau mengasihi aku sebelum dunia ini dijadikan.’ (Yoh. 17:24, ABB) Daripada berasa iri hati, domba-domba lain Yesus bersukacita. Hal ini membuktikan perpaduan yang dimiliki oleh semua orang Kristian sejati hari ini.

16, 17. (a) Apakah tekad Yesus semasa mengakhiri doanya? (b) Apakah sepatutnya tekad kita?

16 Di bawah pengaruh pemimpin agama, ramai orang memilih untuk mengabaikan bukti yang jelas bahawa Yehuwa memiliki umat yang bersatu padu dan yang benar-benar mengenali-Nya. Hal yang sama berlaku semasa Yesus di bumi. Yesus mengakhiri doanya, ‘Ya Bapa yang adil! Dunia tidak mengenal Engkau, tetapi aku mengenal Engkau, dan semua orang ini tahu bahawa Engkau mengutus aku. Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka; Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepadaku tetap di dalam hati mereka dan supaya aku bersatu dengan mereka’—Yoh. 17:25, 26, ABB.

17 Tidak dapat dinafikan bahawa Yesus bertindak selaras dengan doanya. Sebagai Kepala sidang, Yesus terus membantu kita mengumumkan nama Yehuwa dan tujuan-Nya. Semoga kita tunduk kepada Yesus dengan mematuhi perintahnya untuk menginjil dan menjadikan orang muridnya. (Mat. 28:19, 20; Kis. 10:42) Semoga kita juga berusaha untuk mengekalkan perpaduan kita sebagai umat Tuhan. Dengan berbuat demikian, kita bertindak selaras dengan doa Yesus. Hal ini akan memuliakan nama Yehuwa dan kita akan menikmati sukacita yang berkekalan.