‘Ya Yehuwa, Tuhan kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu.’WHY. 4:11.

1. Apakah yang perlu kita lakukan untuk memastikan bahawa iman kita sentiasa kuat?

RAMAI orang hanya percaya pada apa yang dapat dilihat. Tetapi, Bible berkata, ‘Tidak seorang pun pernah melihat Tuhan.’ (Yoh. 1:18) Jadi bagaimanakah kita dapat membantu mereka membina iman terhadap Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa iman kita terhadap “Tuhan yang tidak kelihatan” sentiasa kuat? (Kol. 1:15a, NW) Langkah pertama adalah untuk mengenal pasti ajaran yang mengaburi kebenaran tentang Yehuwa. Kemudian, kita perlu mahir menggunakan Bible untuk menolak ajaran yang ‘menentang pengetahuan tentang Tuhan.’—2 Kor. 10:4, 5.

2, 3. Apakah dua ajaran yang mengaburi pengetahuan tentang Tuhan?

2 Satu ajaran palsu yang mengaburi pengetahuan tentang Tuhan ialah teori evolusi. Ajaran manusia ini bercanggah dengan Bible dan memusnahkan harapan orang. Menurut ajaran ini, semua hidupan wujud secara spontan. Hal ini menyiratkan bahawa kehidupan manusia tidak bertujuan.

3 Selain itu, ada juga gereja Kristian mengajarkan teori kreasionisme. Mereka percaya bahawa alam semesta, termasuk bumi dan semua hidupan wujud sejak beberapa ribu tahun dahulu. Biarpun mereka menyanjung Bible, mereka berkeras bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu dalam masa enam hari yang masing-masing panjangnya 24 jam. Mereka menolak bukti sains yang bercanggah dengan pandangan mereka. Hasilnya, kreasionisme menjadikan Bible kelihatan tidak munasabah dan tidak tepat. Penyokong ajaran ini mengingatkan kita tentang orang pada abad pertama yang bersemangat menyembah Tuhan tetapi ‘tidak berdasarkan pengetahuan daripada Tuhan.’ (Rm. 10:2) Bagaimanakah kita menggunakan Bible untuk “menghapuskan perdebatan” tentang evolusi dan  kreasionisme? * Kita berbuat demikian dengan berusaha untuk menimba pengetahuan yang tepat daripada Bible.

KEPERCAYAAN TERHADAP TUHAN BERASASKAN FAKTA DAN PENAAKULAN

4. Iman kita seharusnya berasaskan apa?

4 Bible mengajar kita untuk menimba ilmu. (Ams. 10:14) Yehuwa mahu kepercayaan kita terhadap-Nya berasaskan bukti kukuh, bukannya menurut falsafah manusia atau tradisi keagamaan. (Baca Ibrani 11:1.) Untuk membina iman yang kuat, kita harus percaya bahawa Yehuwa wujud. (Baca Ibrani 11:6.) Kita bukannya percaya tanpa usul periksa. Sebaliknya, kita percaya setelah mengkaji fakta dan menggunakan “daya pemikiran.”—Rm. 12:1, NW.

5. Nyatakan satu sebab mengapa kita boleh yakin bahawa Tuhan wujud.

5 Rasul Paulus memberikan satu sebab mengapa kita boleh yakin bahawa Tuhan wujud, walaupun kita tidak dapat melihat-Nya. Paulus menulis, ‘Sejak Tuhan menciptakan dunia, sifat-sifat Tuhan yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Tuhan, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya.’ (Rm. 1:20) Bagaimanakah anda dapat membantu seseorang yang meragui kewujudan Tuhan untuk mempercayai kata-kata Paulus? Anda boleh membincangkan beberapa ciptaan yang membuktikan kuasa dan kebijaksanaan Pencipta kita.

CIPTAAN MENYINGKAPKAN KUASA TUHAN

6, 7. Bagaimanakah kuasa Yehuwa disingkapkan dalam dua perisai yang melindungi kita?

6 Kuasa Yehuwa disingkapkan melalui dua perisai yang melindungi kita—atmosfera dan medan magnet bumi. Contohnya, atmosfera bumi bukan sekadar membekalkan udara bagi pernafasan kita. Atmosfera juga melindungi kita daripada serpihan batu yang merentasi angkasa lepas. Ketulan batu yang berbahaya ini biasanya akan terbakar di atmosfera lalu menghasilkan coretan cahaya yang indah pada langit malam.

7 Sebahagian daripada pusat bumi merupakan besi lebur yang menghasilkan medan magnet yang kuat. Medan magnet ini yang merentang jauh ke ruang angkasa melindungi kita daripada bahaya sinaran matahari dan letusan yang berlaku di permukaannya. Dengan adanya medan magnet yang menyerap dan memantulkan sinaran ini, segala hidupan di permukaan bumi tidak terbakar. Medan magnet tidak kelihatan. Tetapi, kita dapat melihat bukti kewujudannya melalui cahaya aurora yang menari-nari di langit sekitar Kutub Utara dan Kutub Selatan. Yehuwa sememangnya memiliki ‘kuasa yang amat besar.’—Baca Yesaya 40:26.

KEBIJAKSANAAN TUHAN TERSINGKAP MENERUSI ALAM SEMULA JADI

8, 9. Bagaimanakah kebijaksanaan Yehuwa tersingkap dalam kitaran yang menampung hidupan?

8 Kebijaksanaan Yehuwa tersingkap menerusi pelbagai kitaran yang menampung hidupan di bumi. Bayangkan sebuah kota bertembok yang mempunyai penduduk yang padat. Kota ini tidak dapat membawa masuk bekalan air yang segar, dan tidak dapat mengeluarkan bahan buangannya. Lama-kelamaan, kota ini menjadi kotor dan tidak sesuai untuk dihuni. Begitu juga dengan bumi kita. Bumi mengandungi bekalan air yang terhad, dan kita tidak dapat mengangkut bahan buangan ke angkasa lepas. Namun, “kota bertembok” ini dapat menampung berbilion-bilion hidupan  dari generasi ke generasi. Mengapa? Kerana bumi mampu membaharui keperluan asas kehidupan.

9 Pertimbangkan kitar oksigen. Berbilion-bilion hidupan menyedut oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Tetapi, kita tidak pernah kehabisan bekalan oksigen, dan atmosfera pula tidak pernah menjadi tepu dengan karbon dioksida. Mengapa? Hal ini disebabkan oleh proses menakjubkan yang dikenali sebagai fotosintesis. Melalui proses ini, tumbuhan hijau menyerap karbon dioksida, cahaya matahari, air, dan nutrien untuk menghasilkan karbohidrat dan oksigen. Apabila kita menyedut oksigen, kita melengkapkan kitar itu. Yehuwa menggunakan tumbuh-tumbuhan yang diciptakan-Nya untuk ‘memberikan hidup dan nafas kepada manusia.’ (Kis. 17:25) Betapa bijaknya Yehuwa!

10, 11. Bagaimanakah kupu-kupu monarch dan pepatung menyingkapkan kebijaksanaan Yehuwa?

10 Kebijaksanaan Yehuwa juga tersingkap menerusi pelbagai ciptaan. Terdapat kira-kira 2 juta hingga 100 juta spesies hidupan di bumi. (Baca Mazmur 104:24.) Perhatikan kebijaksanaan-Nya di sebalik reka bentuk beberapa ciptaan.

Kebijaksanaan Tuhan disingkapkan dalam reka cipta mata seekor pepatung; gambar kecil menunjukkan bahagian yang dibesarkan (Lihat perenggan 11)

11 Misalnya, kupu-kupu monarch dapat berhijrah sejauh 3,000 km dari Kanada ke sebuah hutan di Mexico, meskipun otaknya sekecil hujung mata pen. Kupu-kupu ini menentukan arahnya dengan bantuan matahari. Tetapi, bagaimanakah kupu-kupu ini dapat mencari arah apabila matahari bergerak merentasi langit? Yehuwa menciptakan otaknya supaya dapat membuat penyesuaian mengikut pergerakan matahari. Perhatikan juga mata seekor pepatung. Pepatung mempunyai mata majmuk. Setiap matanya mengandungi kira-kira 30,000 biji kanta. Biarpun begitu, otaknya yang kecil dapat mentafsir maklumat daripada semua kanta dan dapat mengesan pergerakan yang amat kecil.

12, 13. Apakah yang mengagumkan anda tentang cara Yehuwa mencipta sel yang membentuk tubuh kita?

12 Lebih mengagumkan lagi ialah cara Yehuwa menciptakan sel yang membentuk hidupan. Contohnya, tubuh anda terdiri daripada kira-kira 100 trilion sel. Setiap sel mengandungi DNA (asid deoksiribonukleik). DNA menyimpan sebahagian besar maklumat yang diperlukan untuk membina seluruh struktur badan anda.

13 Berapa banyakkah maklumat yang terkandung di dalam DNA? Bayangkan, sekeping cakera padat (CD) yang nipis mampu memuatkan semua maklumat yang terkandung dalam sebuah kamus. Tetapi, hanya satu gram DNA dapat  menyimpan maklumat yang sama banyaknya dengan satu trilion CD! Dalam kata lain, satu sudu teh DNA mengandungi maklumat yang cukup untuk menciptakan 350 kali jumlah manusia hari ini!

14. Apakah perasaan anda tentang Yehuwa selepas melihat hasil kajian ahli sains?

14 Raja Daud menggambarkan bahawa maklumat yang diperlukan untuk membina tubuh manusia ditulis di dalam sebuah buku. Berkenaan Yehuwa, Daud berkata, “Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku. Jangka masa hidupku sudah ditetapkan dan dicatat di dalam kitab-Mu, bahkan sebelum satu hari pun bermula.” (Mazmur 139:16, ABB) Daud tergerak untuk memuji Yehuwa apabila dia memikirkan cara tubuhnya diciptakan. Hasil kajian ahli sains yang terkini membuat kita lebih kagum dengan cara Yehuwa menciptakan kita. Hal ini menggerakkan kita untuk bersetuju dengan kata-kata pemazmur, “Aku memuji Engkau [Yehuwa] kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya.” (Mazmur 139:14, ABB) Ciptaan sememangnya membuktikan bahawa Tuhan benar-benar wujud!

BANTULAH ORANG LAIN MEMUJI TUHAN

15, 16. (a) Bagaimanakah bahan bacaan kita memupuk penghargaan kita terhadap Yehuwa dan ciptaan-Nya? (b) Nyatakan maklumat daripada brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? yang mengagumkan anda.

15 Selama berdekad-dekad, majalah berita telah membantu jutaan orang mengenal Tuhan melalui ciptaan-Nya. Contohnya, terbitan September 2006 telah dikhaskan untuk membuka mata orang yang percaya akan evolusi dan kreasionisme. Berkenaan terbitan khas itu, seorang saudari menulis kepada pejabat cawangan Amerika Syarikat, “Kempen untuk menawarkan terbitan khas ini telah berjalan dengan lancar sekali. Seorang wanita telah meminta 20 naskhah. Dia seorang guru biologi dan mahu memberikan senaskhah brosur kepada setiap pelajarnya.” Seorang saudara menulis, “Saya giat menjalankan kerja penyebaran semenjak lewat tahun 1940-an dan kini saya hampir berusia 75 tahun. Tetapi kerja menawarkan majalah terbitan khas pada bulan ini merupakan pengalaman terbaik yang pernah saya alami dalam kerja penyebaran!”

16 Kebelakangan ini, banyak majalah berita mengandungi rencana yang menonjolkan betapa menariknya ciptaan dan bagaimana manusia mencuba meniru Pencipta Agung. Kita juga menerima bahan bacaan tambahan yang membantu kita memuliakan Tuhan, iaitu brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? yang diterbitkan pada tahun 2010. Foto dan gambar rajah yang indah dalam brosur ini direka khas untuk memupuk penghargaan kita terhadap Yehuwa dan ciptaan-Nya. Soalan pada penghujung setiap bahagian membantu pembaca untuk merenungkan maklumat yang telah dibaca. Adakah anda suka menggunakan brosur ini semasa menginjil?

17, 18. (a) Ibu bapa, bagaimanakah anda dapat meningkatkan keyakinan anak anda untuk mempertahankan iman mereka? (b) Bagaimanakah anda menggunakan maklumat tentang ciptaan semasa penyembahan keluarga?

17 Ibu bapa, sudahkah anda membincangkan brosur yang berwarna-warni ini dengan anak-anak semasa penyembahan keluarga? Jika anda berbuat demikian, anda sedang membantu mereka memupuk penghargaan untuk Yehuwa. Mungkin anak anda masih di bangku sekolah. Mereka merupakan sasaran utama kepada ajaran evolusi yang palsu. Ahli sains, guru sekolah, dokumentari alam semula jadi, bahkan rancangan TV dan filem dalam dunia  hiburan, memaparkan evolusi sebagai fakta sains. Anda boleh membantu anak-anak untuk melawan propaganda ini dengan menggunakan maklumat yang terdapat dalam bahan bacaan kita. Dengan ini, anak-anak dibantu untuk membina daya berfikir. (Ams. 2:10, 11) Mereka juga diajar untuk menentukan sama ada apa yang diajar di sekolah masuk akal atau tidak.

Ibu bapa, persiapkan anak anda untuk mempertahankan iman mereka (Lihat perenggan 17)

18 Ada masanya, orang muda mendengar berita sensasi tentang ahli sains yang telah menjumpai fosil yang membuktikan kesahihan teori evolusi. Jadi, bantulah anak-anak untuk menaakul sama ada laporan tersebut benar-benar membuktikan bahawa manusia berasal daripada binatang. Selain itu, ajarlah mereka cara untuk menjawab dakwaan bahawa ahli sains dapat menciptakan semula hidupan menerusi eksperimen makmal. Ibu bapa, gunakanlah maklumat ini semasa anda mengajar anak untuk menjelaskan mengapa mereka percaya kepada Pencipta. Dengan ini, mereka dapat menjawab dengan yakin apabila ditanya.—Baca 1 Petrus 3:15.

19. Apakah penghormatan yang kita semua miliki?

19 Bahan bacaan yang diterima daripada organisasi Yehuwa membantu kita melihat bagaimana ciptaan menyingkapkan sifat-sifat Yehuwa yang indah. Bukti-bukti yang kukuh ini menggerakkan kita untuk memuji-Nya. (Mzm. 19:2, 3) Selaku Pencipta segala-galanya, Yehuwa memang layak menerima kemuliaan dan pujian. Betapa bersyukurnya kita kerana diberikan penghormatan untuk berbuat demikian!—1 Tim. 1:17.

^ per. 3 Untuk maklumat tentang cara berbincang dengan mereka yang menyokong kreasionisme, sila lihat brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? muka 24 hingga 28.