“Perintah-Mu [atau, peringatan-Mu] adalah pusakaku selama-lamanya.”—MZM. 119:111.

1. (a) Apakah reaksi manusia terhadap perintah? Mengapa? (b) Bagaimanakah kesombongan mempengaruhi pandangan seseorang terhadap nasihat?

MANUSIA menunjukkan pelbagai reaksi terhadap peringatan atau nasihat. Peringatan daripada pihak atasan mungkin akan diterima dengan penuh syukur. Tetapi nasihat daripada rakan sekerja atau pihak bawahan mungkin ditolak serta-merta. Apabila mendapat disiplin atau nasihat, sesetengah orang mungkin berasa sedih dan malu. Yang lain pula mungkin didorong untuk membuat kemajuan. Mengapakah reaksi orang begitu berbeza? Salah satu sebabnya ialah sifat sombong. Sifat sombong dapat mengelabui daya pertimbangan seseorang, dan menyebabkannya menolak nasihat dan bimbingan yang bermanfaat.—Ams. 16:18.

2. Mengapakah orang Kristian sejati menghargai nasihat daripada Firman Tuhan?

2 Orang Kristian sejati pula menghargai nasihat yang berguna, khususnya jika nasihat itu berdasarkan Firman Tuhan. Perintah Yehuwa menyedarkan kita tentang akibat buruk kelakuan yang salah, membantu kita menjauhi perangkap materialisme, perbuatan seks yang tidak bermoral, penyalahgunaan dadah atau alkohol, dan sebagainya. (Ams. 20:1; 2 Kor. 7:1; 1 Tes. 4:3-5; 1 Tim. 6:6-11) Kita juga akan berasa gembira kerana mematuhi perintah Tuhan.—Yes. 65:14.

3. Apakah sikap pemazmur yang patut kita contohi?

3 Untuk memelihara persahabatan kita dengan Bapa yang di syurga, kita mesti terus hidup selaras dengan nasihat-Nya yang bijaksana. Kita patut mencontohi pemazmur yang menulis, “Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku”! (Mzm. 119:111) Adakah kita menyukai perintah  Yehuwa? Atau adakah kita kadangkala memandangnya sebagai beban? Biarpun kita sukar menerima sesetengah nasihat, janganlah putus asa. Kita masih boleh memupuk kepercayaan yang teguh terhadap kebijaksanaan Tuhan! Marilah kita bincangkan tiga cara.

PUPUK KEPERCAYAAN MENERUSI DOA

4. Apakah yang dilakukan oleh Daud secara tetap?

4 Raja Daud mengharungi saat pahit manis sepanjang hidupnya, namun dia tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Penciptanya. Dia berkata, ‘Kepada-Mu, ya Yehuwa, aku naikkan doaku; ya Tuhanku, aku percaya kepada-Mu.’ (Mzm. 25:1, 2, ABB) Apakah yang membantu Daud memupuk kepercayaan terhadap Bapanya yang di syurga?

5, 6. Apakah yang disingkapkan oleh Firman Tuhan mengenai persahabatan Daud dengan Yehuwa?

5 Ramai orang berdoa kepada Tuhan hanya semasa mereka dirundung masalah. Katakan seorang kawan hanya menghubungi anda apabila dia memerlukan wang atau bantuan. Lama-kelamaan, anda mungkin meragui niatnya berkawan dengan anda. Tetapi Daud amat berbeza. Sepanjang hayatnya, tidak kira pada masa susah atau senang, Daud memperlihatkan kasih dan beriman kepada Yehuwa.—Mzm. 40:9.

6 Perhatikan kata-kata pujian dan syukur Daud, ‘Ya Yehuwa, Tuhan kami, keagungan-Mu terlihat di seluruh bumi! Sampai ke atas langit keagungan-Mu dipuji’! (Mzm. 8:2, ABB) Dapatkah anda menyelami betapa rapatnya hubungan Daud dengan Bapanya yang di syurga? Daud amat menghargai keagungan Tuhan sehingga dia ingin memuji Yehuwa “sepanjang hari.”—Mzm. 35:28.

7. Apakah manfaatnya jika kita selalu berdoa kepada Yehuwa?

7 Seperti Daud, kita perlu selalu berkomunikasi dengan Yehuwa agar kita dapat memupuk kepercayaan terhadap-Nya. Bible menyatakan, ‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’ (Yak. 4:8) Berdoa kepada Yehuwa bukan sahaja membantu kita menghampiri-Nya, malah kita juga memperoleh daya aktif-Nya.—Baca 1 Yohanes 3:22.

8. Mengapakah kita tidak patut mengulangi kata-kata yang sama semasa berdoa?

8 Semasa berdoa, adakah anda asyik mengulangi kata-kata yang sama? Jika ya, sebelum berdoa, luangkanlah masa untuk memikirkan apa yang ingin didoakan. Jika anda selalu mengulangi kata-kata yang sama semasa bercakap dengan seorang kawan atau saudara, apakah perasaannya? Dia mungkin tidak akan mendengar. Sememangnya, Yehuwa tidak sekali-kali akan menolak doa yang tulus daripada hamba-Nya yang setia. Tetapi kita tidak patut mengulangi perkara yang sama setiap kali kita berdoa.

9, 10. (a) Apakah yang boleh kita doakan? (b) Apakah yang dapat membantu kita mengucapkan doa yang bermakna?

9 Jelaslah bahawa jika kita ingin menghampiri Tuhan, kita tidak patut berdoa tentang hal-hal yang remeh sahaja. Dengan meluahkan isi hati kepada Yehuwa, kita akan lebih rapat dengan-Nya dan lebih percaya kepada-Nya. Oleh itu, apakah yang boleh kita doakan? Firman Tuhan menjawab, ‘Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.’ (Flp. 4:6) Sebenarnya, kita boleh berdoa tentang apa sahaja yang mempengaruhi hidup kita, atau hubungan kita dengan Tuhan.

10 Kita mendapat banyak iktibar daripada doa hamba Tuhan yang setia pada zaman lampau. (1 Sam. 1:9-11; Kis. 4:24-31) Mazmur mengandungi banyak nyanyian dan  doa yang tulus kepada Yehuwa. Doa dan nyanyian ini menyingkapkan segala emosi manusia, termasuk perasaan sedih dan gembira. Dengan mengkaji kata-kata hamba yang setia ini, kita dapat mengucapkan doa yang bermakna.

RENUNGI PERINTAH DARIPADA TUHAN

11. Mengapakah kita patut merenungkan nasihat daripada Tuhan?

11 Daud mengumumkan, ‘Perintah Yehuwa dapat dipercayai, memberikan kebijaksanaan kepada orang yang memerlukannya.’ (Mzm. 19:8) Meskipun kita tidak berpengalaman, kita boleh menjadi bijaksana dengan mematuhi perintah Tuhan. Tetapi untuk mendapatkan manfaat penuh daripada sesetengah nasihat Bible, kita perlu merenungkannya. Contohnya, nasihat Bible tentang memelihara integriti di tempat kerja dan sekolah, isu darah, keneutralan orang Kristian, serta pakaian dan dandanan. Dengan merenungkan pandangan Tuhan terhadap semua hal ini, kita dapat menjangkakan masalah yang bakal berlaku lalu bertekad untuk mengambil tindakan yang betul. Persediaan sedemikian membantu kita agar tidak melakukan kesilapan yang membawa padah.—Ams. 15:28.

12. Apakah soalan-soalan yang patut direnungkan jika kita ingin terus mematuhi perintah Tuhan?

12 Seraya kita menantikan Tuhan untuk menunaikan janji-Nya, adakah hidup kita mencerminkan bahawa kita sedang berjaga-jaga secara rohani? Contohnya, adakah kita benar-benar percaya bahawa Babilon Besar akan dimusnahkan tidak lama lagi? Adakah berkat pada masa hadapan, seperti pembangkitan dan hidup abadi di bumi firdaus, tetap nyata dalam minda kita seperti kali pertama kita mempelajarinya? Adakah kita masih bergiat dalam aktiviti penyebaran, dan bukannya mengutamakan kepentingan peribadi? Adakah kita masih mementingkan isu penyucian nama Yehuwa dan kedaulatan-Nya? Dengan merenungkan soalan sedemikian, kita dapat mencontohi pemazmur yang berkata, “Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya.”—Mzm. 119:111.

13. Mengapakah orang Kristian abad pertama tidak dapat memahami sesetengah perkara? Berikan contoh.

13 Kita mungkin tidak dapat memahami sesetengah ayat Bible kerana belum tiba masanya bagi Yehuwa untuk menjelaskannya. Yesus berkali-kali memberitahu pengikutnya bahawa dia perlu diseksa lalu dibunuh. (Baca Matius 12:40; 16:21.) Tetapi pengikutnya tidak memahami hal ini. Mereka hanya dapat memahaminya setelah Yesus dibangkitkan, dan menampakkan diri kepada mereka lalu “membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab.” (Luk. 24:44-46; Kis. 1:3) Pengikut Kristus juga hanya dapat memahami bahawa Kerajaan Tuhan akan ditubuhkan di syurga setelah daya aktif Tuhan dicurahkan ke atas mereka pada Pentakosta 33 M.—Kis. 1:6-8.

14. Apakah teladan baik yang diberikan saudara saudari kita pada awal abad ke-20 meskipun mereka mendukung fahaman yang salah tentang hari-hari terakhir?

14 Begitu juga dengan orang Kristian sejati pada awal abad ke-20. Mereka mendukung beberapa fahaman yang salah tentang “hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1) Misalnya, pada tahun 1914, ada yang percaya bahawa mereka akan dinaikkan ke syurga. Apabila hal ini tidak terjadi, mereka meneruskan usaha mengkaji Bible dan mendapati bahawa aktiviti penyebaran perlu dijalankan secara meluas terlebih dahulu. (Mrk. 13:10) Maka pada tahun 1922, J. F. Rutherford yang mengetuai kerja menginjil pada masa itu, memberitahu hadirin di konvensyen antarabangsa di Cedar Point, Ohio, A.S.: “Lihatlah, Raja kita sudah memerintah! Kamulah wakil-wakilnya. Maka, umumkan,  umumkan, umumkan Raja kita dan kerajaannya.” Sejak itu, kerja menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan menjadi tanda pengenal hamba Yehuwa pada hari ini.—Mat. 4:23; 24:14.

15. Apakah manfaatnya jika kita merenungkan cara Yehuwa memperlakukan umat-Nya?

15 Yehuwa telah memperlakukan umat-Nya dengan cara yang menakjubkan pada zaman kuno dan pada masa sekarang. Dengan merenungi hal ini, kita yakin bahawa Dia mampu melaksanakan kehendak-Nya dan tujuan-Nya pada masa hadapan. Selain itu, perintah daripada Tuhan dapat mengingatkan kita tentang nubuat-Nya yang bakal digenapi. Hasilnya, kepercayaan kita terhadap janji-janji-Nya akan dikuatkan.

PUPUK KEPERCAYAAN MENERUSI IBADAT

16. Apakah berkatnya jika kita sibuk menjalankan aktiviti teokratik?

16 Tuhan Yehuwa mengambil tindakan untuk melaksanakan tujuan-Nya. ‘Ya Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa, tiada yang berkuasa seperti Engkau,’ tulis pemazmur. Dia menambah, “Betapa besarnya kuasa-Mu, dan betapa hebatnya kekuatan-Mu!” (Mzm. 89:9, 14) Selaras dengan hal ini, Yehuwa menghargai dan memberkati usaha yang kita curahkan untuk menyembah-Nya. Dia dapat melihat bahawa hamba-Nya—tidak kira tua atau muda, lelaki atau wanita—“rajin bekerja.” (Ams. 31:27) Kita mencontohi Pencipta dengan sentiasa sibuk menjalankan aktiviti teokratik. Menyembah Tuhan dengan sepenuh hati bukan sahaja menggembirakan kita, malah menyenangkan hati Yehuwa.—Baca Mazmur 62:13.

17, 18. Mengapakah kita akan lebih mempercayai Yehuwa jika kita menaruh iman dan mematuhi-Nya? Berikan contoh.

17 Jika kita menaruh iman dan selalu mematuhi Yehuwa, kepercayaan kita  terhadap-Nya akan bertambah kuat. Bagaimana? Pertimbangkan apa yang berlaku semasa orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan. Yehuwa telah mengarahkan para imam yang mengangkat Tabut Perjanjian untuk melintas Sungai Yordan. Tetapi, apabila mereka menghampiri sungai itu, mereka melihat bahawa sungai itu melimpah kerana hujan lebat. Adakah mereka berkhemah di tebing sungai dan menunggu beberapa minggu supaya air banjir surut? Tidak, mereka percaya sepenuhnya kepada Yehuwa dan mematuhi perintah-Nya. Apakah hasilnya? Bible mencatatkan, “Sebaik sahaja imam-imam itu menginjakkan kaki ke dalam air, sungai itu berhenti mengalir . . . imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu, sehingga semua umat tiba di seberang.” (Yos. 3:12-17) Bayangkan betapa gembiranya orang Israel apabila air sungai yang deras berhenti mengalir! Sememangnya, iman mereka terhadap Yehuwa bertambah kuat kerana mereka mematuhi perintah-Nya.

Adakah anda akan mencontohi kepercayaan umat Yehuwa pada zaman Yosua? (Lihat perenggan 17, 18)

18 Meskipun Yehuwa tidak melakukan mukjizat untuk menyelamatkan umat-Nya hari ini, Dia tetap memberkati mereka yang beriman dan mematuhi perintah-Nya. Daya aktif Tuhan menguatkan mereka untuk menyebarkan berita Kerajaan Tuhan ke setiap penjuru dunia. Selaku Saksi Yehuwa yang utama, Kristus Yesus menjamin bahawa dia akan menyokong pengikutnya dalam kerja ini dengan berkata, ‘Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.’ (Mat. 28:19, 20) Ramai Saksi yang gementar atau pemalu berkata bahawa daya aktif Tuhan memberi mereka keberanian untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali semasa menginjil.—Baca Mazmur 119:46; 2 Korintus 4:7.

19. Meskipun kita perlu mengehadkan khidmat kepada Yehuwa, kita boleh yakin tentang apa?

19 Sesetengah saudara dan saudari terpaksa mengehadkan khidmat mereka kepada Tuhan kerana penyakit atau usia tua. Tetapi, mereka boleh yakin bahawa ‘Bapa yang berbelas kasihan’ memahami keadaan mereka. (2 Kor. 1:3) Dia menghargai segala usaha kita untuk memajukan kerja Kerajaan Tuhan. Ingatlah bahawa iman terhadap korban tebusan Kristus ialah cara utama untuk mendapat penyelamatan. Tetapi pada masa yang sama, kita harus berusaha sebaik-baiknya dalam khidmat kepada Yehuwa jika keadaan mengizinkan.—Ibr. 10:39.

20, 21. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kepercayaan kita terhadap Yehuwa?

20 Ibadat kita merangkumi menggunakan masa, tenaga, dan sumber kewangan dengan sebaik-baiknya dalam khidmat Tuhan. Kita ingin “melaksanakan tugas mengisytiharkan berita baik” dengan sepenuh hati. (2 Tim. 4:5) Kita memang bergembira kerana dapat membantu orang lain untuk “mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:4) Sememangnya, memuliakan dan memuji Yehuwa dapat memperkaya kita dari segi rohani. (Ams. 10:22) Kita juga dapat membina kepercayaan yang kukuh terhadap Pencipta kita.—Rm. 8:35-39.

21 Seperti yang telah dibincangkan, kita perlu berusaha keras untuk memupuk kepercayaan terhadap perintah Yehuwa yang bijaksana. Jadi pupuklah kepercayaan anda menerusi doa. Renungkan bagaimana Yehuwa melaksanakan kehendak-Nya pada masa lampau dan bagaimana Dia akan melakukannya pada masa hadapan. Terus membina kepercayaan anda kepada Yehuwa seraya anda beribadat kepada-Nya. Ingatlah, perintah Yehuwa kekal selama-lamanya. Dan dengan mematuhinya, anda dapat hidup selama-lamanya!