Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

Raja Sangat Gembira!

Raja Sangat Gembira!

PERISTIWA ini berlaku pada bulan Ogos 1936 di kawasan kediaman diraja Swaziland. Daripada sebuah kereta bunyi, Robert dan George Nisbet baru memainkan muzik dan rakaman ceramah Saudara J. F. Rutherford. Raja Sobhuza II sangat gembira! Dia ingin membeli pemain rekod, piring rekod, dan alat pembesar suara mereka.

Robert dengan serba salah menjawab bahawa alatan itu bukan untuk dijual. Mengapa? Kerana alatan itu kepunyaan orang lain. Raja hendak tahu siapa pemiliknya.

Robert menjawab, “Alatan itu kepunyaan seorang Raja.” Kemudian Sobhuza bertanya siapa Raja itu. “Dia ialah Yesus Kristus, Raja Kerajaan Tuhan,” kata Robert.

“Oh, dia Raja yang agung,” mengaku Sobhuza dengan penuh hormat. “Saya tidak mahu mengambil barang kepunyaannya.”

Robert menulis, “Saya amat kagum dengan Ketua Agung, Raja Sobhuza. Dia dapat menuturkan bahasa Inggeris dengan fasih tetapi dia tidak sombong, dan mudah dihampiri. Saya meluangkan sekitar 45 minit bersamanya, sementara George memainkan muzik di luar.

“Kemudian,” kata Robert, “kami mengunjungi Sekolah Kebangsaan Swazi. Pengalaman itu cukup menarik. Kami menginjil kepada pengetua yang mendengar dengan teliti. Apabila kami mahu mainkan rakaman kepada semua orang, dia gembira dan memanggil kira-kira 100 orang pelajar untuk duduk di atas rumput sambil mendengarnya. Sekolah menengah itu mengajar budak lelaki cara berkebun, kerja kayu, bahasa Inggeris, dan matematik. Budak perempuan pula diajar cara merawat pesakit, membuat kerja rumah, dan hal-hal lain yang berfaedah.” Nenek Ketua Agung itu telah mengasaskan sekolah tersebut.

Pelajar sekolah menengah yang mendengar ceramah umum di Swaziland, pada tahun 1936

Sejak tahun 1933, Raja Sobhuza mengalu-alukan perintis yang mengunjungi perkampungannya. Pernah sekali, dia mengumpulkan 100 orang pengawal peribadinya untuk mendengar rakaman berita Kerajaan Tuhan. Semua orang mahu melanggan majalah kita dan menerima bahan bacaan yang ditawarkan. Dalam tempoh yang singkat, Raja Sobhuza berjaya  mengumpul hampir semua bahan bacaan kita dalam perpustakaan teokratiknya. Walaupun penjajah Inggeris mengharamkan bahan bacaan kita semasa Perang Dunia II, dia tetap menyimpannya!

Selama bertahun-tahun, Raja Sobhuza II gemar menyambut Saksi-Saksi ke tempat kediamannya di Lobamba. Dia juga memanggil pemimpin gereja untuk mendengar ceramah Bible. Pernah sekali, seorang Saksi tempatan yang bernama Helvie Mashazi membincangkan Matius bab 23. Sekumpulan pemimpin gereja berasa marah lalu menyuruhnya untuk duduk diam-diam. Tetapi Raja menghalang mereka dan menyuruh Saudara Mashazi untuk meneruskan ceramahnya. Raja bahkan menyuruh hadirin untuk mencatatkan semua ayat Bible yang digunakan!

Pada peristiwa lain, selepas mendengar ceramah seorang perintis, empat orang pemimpin gereja berseru, “Kami bukan lagi pemimpin gereja tetapi merupakan Saksi-Saksi Yehuwa!” Kemudian, mereka memberitahu perintis itu bahawa mereka juga mahu buku-buku yang dimiliki oleh Raja Sobhuza.

Dari tahun 1930-an sehingga kematiannya pada tahun 1982, Raja Sobhuza menghormati pendirian Saksi-Saksi Yehuwa yang tidak ikut serta dalam upacara-upacara Swazi. Malah dia tidak mengizinkan mereka dianiaya. Oleh itu, Saksi-Saksi amat bersyukur kepadanya dan meratapi kematiannya.

Pada awal tahun 2013, terdapat sekitar 3,000 penyiar di Swaziland. Bilangan penduduk di Swaziland ialah kira-kira sejuta orang. Dalam setiap 384 orang, terdapat seorang Saksi. Terdapat lebih daripada 260 perintis yang berkhidmat dalam 90 sidang, dan lebih daripada 7,496 orang menghadiri Peringatan pada tahun 2012. Ya, ramai orang lagi mungkin akan menerima kebenaran! Hal ini kerana kunjungan Saksi-Saksi semenjak tahun 1930-an telah menyediakan asas yang kukuh di Swaziland.—Daripada khazanah kita di Afrika Selatan.