‘Bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Tuhan!’—2 PTR. 3:11.

1, 2. Bagaimanakah seharusnya kita hidup agar mendapat perkenan Tuhan?

BIASANYA, kita mementingkan pandangan orang lain terhadap kita. Tetapi sebagai orang Kristian, kita seharusnya lebih mementingkan pandangan Tuhan terhadap kita. Mengapa? Kerana Tuhan ialah Individu yang tertinggi di alam semesta dan “sumber segala kehidupan.”—Mzm. 36:10.

2 Semasa menegaskan ‘bagaimana seharusnya kita hidup,’ rasul Petrus menggesa kita agar ‘sentiasa hidup suci dan khas untuk Tuhan.’ (Baca 2 Petrus 3:11.) Untuk memperoleh perkenan Tuhan, kita perlu “hidup suci” dari segi moral, mental, dan rohani. Kita juga perlu hidup “khas untuk Tuhan,” iaitu menghormati dan mengasihi-Nya. Hal ini bererti kita bukan sahaja perlu menjaga kelakuan, tetapi juga hati kita. Memandangkan Yehuwa “menguji hati setiap orang,” Dia tahu sama ada kita hidup suci dan khas untuk-Nya atau tidak.—1 Taw. 29:17.

3. Mengenai hubungan kita dengan Tuhan, apakah soalan yang harus kita tanya?

3 Syaitan Si Iblis tidak mahu kita mendapat perkenan Tuhan. Malah dia mengerahkan seluruh tenaga untuk memutuskan hubungan kita dengan Yehuwa. Syaitan tidak teragak-agak menggunakan tipu daya untuk menghalang kita daripada menyembah Yehuwa. (Yoh. 8:44; 2 Kor. 11:13-15) Maka, kita perlu menanya diri, “Bagaimanakah Syaitan menipu orang? Bagaimanakah saya dapat menjaga hubungan saya dengan Tuhan?”

BAGAIMANAKAH SYAITAN MENIPU ORANG?

4. Bagaimanakah Syaitan memutuskan persahabatan kita dengan Tuhan? Mengapa?

4 Yakobus menulis, “Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri  yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian.” (Yak. 1:14, 15, ABB) Untuk memutuskan persahabatan kita dengan Tuhan, Syaitan berusaha sedaya upaya menyerang hati kita kerana itulah punca keinginan kita.

5, 6. (a) Bagaimanakah Syaitan menyerang kita? (b) Apakah perangkap yang digunakan oleh Syaitan untuk merosakkan keinginan hati kita? Seberapa mahirkah Syaitan?

5 Bagaimanakah Syaitan menyerang hati kita? “Seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis,” kata Bible. (1 Yoh. 5:19) Maka Syaitan menggunakan “segala sesuatu di dunia ini” sebagai senjatanya. (Baca 1 Yohanes 2:15, 16.) Selama ribuan tahun, Syaitan telah memasang jeratnya dengan licik di setiap penjuru dunia. Memandangkan kita hidup di dunia ini, kita perlu melindungi diri daripada muslihat Syaitan.—Yoh. 17:15.

6 Tujuan Syaitan adalah untuk merosakkan keinginan hati manusia. Menurut rasul Yohanes, dia menggunakan tiga jenis perangkap: (1) “keinginan hati,” (2) perkara yang “dilihat lalu dikehendaki,” dan (3) perkara yang “dibangga-banggakan.” Syaitan telah menggunakan cara-cara ini untuk menggoda Yesus di padang gurun. Dia mempunyai pengalaman selama ribuan tahun. Maka, hari ini dia mahir memasang perangkap berdasarkan keinginan setiap orang. Sebelum membincangkan cara melindungi diri, marilah kita lihat bagaimana Syaitan dapat memperdaya Hawa, tetapi gagal memperdaya Anak Tuhan.

“KEINGINAN HATI”

Syaitan menggunakan “keinginan hati” untuk menipu Hawa (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah Syaitan menggunakan “keinginan hati” untuk menggoda Hawa?

7 Makanan merupakan keperluan asas manusia. Tuhan menciptakan bumi untuk menghasilkan makanan yang berlimpah. Syaitan boleh memperalatkan keinginan semula jadi ini untuk membuat kita mengingkari Yehuwa. Pertimbangkan cara Syaitan memperdaya Hawa. (Baca Kejadian 3:1-6.) Menurut Syaitan, Hawa tidak akan mati selepas memakan buah daripada “pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.” Malah, Hawa boleh menjadi seperti Tuhan. (Kej. 2:9) Syaitan menyiratkan bahawa Hawa tidak perlu mematuhi Tuhan untuk terus hidup. Syaitan sememangnya pendusta! Dia berjaya meracuni fikiran Hawa. Kini Hawa perlu membuat dua pilihan. Dia boleh menolak cadangan Syaitan ataupun dia boleh terus memikirkan hal ini dan membiarkan keinginannya untuk memakan buah itu bertambah kuat. Walaupun ada banyak pokok yang lain di taman itu, Hawa memilih untuk terus memikirkan kata-kata Syaitan. “Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya.” Demikianlah caranya  Syaitan berjaya memupuk keinginan yang salah dalam hati Hawa untuk mengingkari Tuhan.

Yesus tidak membenarkan apa-apa untuk menyimpangkan perhatiannya (Lihat perenggan 8)

8. Bagaimanakah Syaitan mencuba memperdaya Yesus melalui “keinginan hati”? Mengapakah Syaitan gagal?

8 Selepas Yesus berpuasa selama 40 hari dan 40 malam di padang gurun, Syaitan mencuba memperdayanya dengan muslihat yang sama. Sasaran Syaitan ialah keinginan Yesus untuk makan. ‘Jika Engkau Anak Tuhan,’ kata Syaitan, “perintahlah batu-batu ini menjadi roti.” (Mat. 4:1-3) Yesus mempunyai dua pilihan: Dia boleh menggunakan kuasanya untuk memuaskan nafsu makan, atau tidak berbuat demikian. Yesus tahu dia tidak seharusnya menggunakan kuasanya demi kepentingan sendiri. Walaupun Yesus lapar, dia lebih mementingkan hubungannya dengan Yehuwa. Dia menjawab, ‘Di dalam Alkitab tertulis, “Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Tuhan.”’—Mat. 4:4.

PERKARA YANG “DILIHAT LALU DIKEHENDAKI”

9. Apakah maksud perkara yang “dilihat lalu dikehendaki”? Bagaimanakah Syaitan menggunakan muslihat ini untuk memerangkap Hawa?

9 Menurut Yohanes, perkara yang “dilihat lalu dikehendaki” ialah salah satu muslihat Syaitan. Maksudnya seseorang mungkin mula menginginkan sesuatu setelah dia melihatnya. Syaitan menggunakan muslihat ini untuk memerangkap Hawa. Dia berkata bahawa fikiran, atau mata Hawa akan terbuka. Semakin lama Hawa melihat, semakin kuat keinginannya untuk memakan buah larangan itu. Hawa “nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan.”

10. Bagaimanakah Syaitan menggunakan perkara yang “dilihat lalu dikehendaki” untuk menggoda Yesus? Apakah jawapan Yesus?

10 Bagaimana pula dengan Yesus? Syaitan ‘membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepadanya.’ Iblis berkata kepada Yesus, “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepadamu.” (Luk. 4:5, 6) Apa yang Yesus nampak bukanlah semua kerajaan dunia, tetapi hanyalah suatu penglihatan. Syaitan berfikir bahawa kemegahan semua kerajaan dunia dapat menggoda Yesus. Tanpa rasa malu, dia berkata, ‘Semua ini akan menjadi milikmu, jika engkau sujud menyembah aku.’ (Luk. 4:7) Yesus menolak muslihat Syaitan. Dia segera menjawab, ‘Di dalam Alkitab tertulis, “Sembahlah Yehuwa Tuhanmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!”’—Luk. 4:8.

PERKARA YANG “DIBANGGA-BANGGAKAN”

11. Bagaimanakah Hawa diperdaya oleh Syaitan?

11 Akhir sekali Yohanes menyebut tentang perkara yang “dibangga-banggakan.”  Semasa Adam dan Hawa di bumi, mereka sememangnya tidak boleh bermegah kepada orang lain. Tetapi mereka bersikap sombong. Semasa menggoda Hawa, Syaitan menyiratkan bahawa Yehuwa menahan sesuatu yang baik daripada Hawa. Jika Hawa makan buah daripada “pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat,” dia ‘akan menjadi seperti Tuhan.’ (Kej. 2:17; 3:5) Maka, Syaitan mencadangkan bahawa Hawa boleh hidup bebas daripada Yehuwa. Disebabkan sikap sombongnya, Hawa mendengar dusta Syaitan. Hawa makan buah larangan dan percaya bahawa dia tidak akan mati. Hal ini sama sekali salah!

12. Apakah cara lain yang digunakan oleh Syaitan untuk memperdaya Yesus? Apakah reaksi Yesus?

12 Berbeza dengan Hawa, Yesus amat rendah hati. Syaitan mencuba memperdaya Yesus melalui cara lain. Dia menyuruh Yesus melakukan sesuatu yang menarik perhatian untuk mencubai Tuhan. Yesus bukan sahaja enggan melakukan hal ini, malah dia langsung tidak mahu memikirkannya. Yesus tidak mahu berlagak! Dia menjawab dengan jelas, ‘Di dalam Alkitab tertulis, “Janganlah cubai Yehuwa Tuhanmu.”’—Baca Lukas 4:9-12.

CARA MELINDUNGI HUBUNGAN KITA DENGAN YEHUWA

13, 14. Jelaskan bagaimana Syaitan menggunakan muslihatnya hari ini.

13 Hari ini, Syaitan menggunakan muslihat yang sama seperti yang digunakannya terhadap Hawa dan Yesus. Melalui dunianya, Syaitan cuba memikat “keinginan hati” kita dengan perbuatan yang tidak bermoral serta makan dan minum yang berlebihan. Dia menggunakan perkara yang “dilihat lalu dikehendaki” untuk memerangkap orang yang tidak berhati-hati dengan memaparkan bahan lucah di Internet. Syaitan juga menggunakan keinginan untuk perkara yang “dibangga-banggakan” supaya orang menjadi sombong serta mendambakan kuasa, kemasyhuran, dan harta benda.

Apakah prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu anda dalam situasi ini? (Lihat perenggan 13, 14)

14 “Segala sesuatu di dunia ini” seperti umpan yang digunakan oleh nelayan. Umpan sememangnya menarik, tetapi di sebaliknya terdapat mata kail. Syaitan menggunakan keperluan seharian untuk mengumpan kita supaya melanggar perintah Tuhan. Umpan Syaitan ini dapat mempengaruhi keinginan dan hati kita. Hal ini boleh membuat kita percaya bahawa keperluan  asas dan keselesaan lebih penting daripada melakukan kehendak Tuhan. Adakah anda akan diperdaya oleh muslihat ini?

15. Bagaimanakah kita dapat menolak godaan Syaitan seperti Yesus?

15 Meskipun Hawa diperdaya oleh Syaitan, Yesus tidak. Setiap kali, Yesus menjawab dengan berkata, “Di dalam Alkitab tertulis.” Jika kita rajin menyelidiki Bible, kita akan mengenal Bible dengan baik dan mengingati ayat-ayat yang dapat melindungi fikiran kita semasa menghadapi godaan. (Mzm. 1:1, 2) Dengan merenungkan kisah Bible tentang hamba-hamba Tuhan yang setia, kita dapat mencontohi mereka. (Rm. 15:4) Jika kita menghormati Yehuwa, iaitu mengasihi perkara yang dikasihi-Nya dan membenci perkara yang dibenci-Nya, kita akan dilindungi.—Mzm. 97:10.

16, 17. Bagaimanakah ‘cara kita berfikir’ mempengaruhi keperibadian kita?

16 Rasul Paulus menggalakkan kita: ‘Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Tuhan membaharui cara kamu berfikir.’ (Rm. 12:1, 2) Paulus mengingatkan kita agar mengawasi dengan teliti apa yang kita fikirkan. Dia berkata, ‘Kami mengatasi setiap alasan yang diajukan oleh orang sombong untuk menentang pengetahuan tentang Tuhan. Kami menawan fikiran orang supaya taat kepada Kristus.’ (2 Kor. 10:5) Fikiran kita mempunyai pengaruh yang mendalam ke atas keperibadian kita. Maka kita perlu terus “menumpukan fikiran” kepada hal-hal yang baik.—Flp. 4:8.

17 Jika kita ingin tetap suci di mata Tuhan, kita perlu menyingkirkan fikiran dan keinginan yang salah. Kita harus mengasihi Yehuwa dengan “hati yang murni.” (1 Tim. 1:5) Namun hati manusia licik, dan kita mungkin tidak sedar sejauh mana “segala sesuatu di dunia” sedang mempengaruhi kita. (Yer. 17:9) Kita perlu ‘menguji diri sendiri sama ada kita betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan.’ (2 Kor. 13:5) Jadi semasa mengkaji Bible, tanyalah diri, “Adakah fikiran dan keinginan saya menyenangkan hati Tuhan?”

18, 19. Mengapakah kita harus bertekad untuk menjalani kehidupan yang diperkenankan Tuhan?

18 Kita juga dapat menghindari pengaruh “segala sesuatu di dunia” dengan mengingati kata-kata Yohanes: ‘Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Tuhan, akan hidup selama-lamanya.’ (1 Yoh. 2:17) Sistem Syaitan nampaknya nyata dan berkekalan, tetapi semuanya akan berakhir suatu hari nanti. Segala hal yang ditawarkan oleh dunia Syaitan tidak kekal. Jika kita mengingati hakikat ini, kita tidak akan menjadi mangsa kepada muslihat Si Iblis.

19 Rasul Petrus menggesa kita agar menjalani kehidupan yang mendapat perkenan Tuhan seraya kita menantikan hari Yehuwa. Dia berkata ‘Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan hari itu. Pada hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya.’ (2 Ptr. 3:12) Tidak lama lagi, hari itu akan tiba, dan Tuhan akan memusnahkan seluruh sistem Syaitan. Sementara itu, Syaitan akan terus menggunakan “segala sesuatu di dunia” untuk menggoda kita, seperti apa yang telah dilakukannya terhadap Hawa dan Yesus. Jangan mencontohi Hawa yang berusaha untuk memuaskan keinginan sendiri. Perbuatan ini menunjukkan bahawa kita mengakui Syaitan sebagai tuhan. Sebaliknya, kita ingin mencontohi Yesus dan menolak muslihat Syaitan, tidak kira betapa menariknya muslihat-muslihat ini. Semoga kita bertekad untuk hidup dalam cara yang diperkenankan Tuhan.