Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Mematuhi Yehuwa Membawa Banyak Berkat kepada Saya

Mematuhi Yehuwa Membawa Banyak Berkat kepada Saya

“Pengajaran daripada kisah Nuh sangat menarik!” kata bapa saya. “Nuh mematuhi Yehuwa dan menyayangi keluarganya. Mereka semua selamat kerana memasuki bahtera.”

ITULAH kata-kata bapa saya semasa saya kecil. Dia seorang yang rendah hati dan rajin. Dia juga suka akan keadilan. Oleh itu pada tahun 1953, dia terus tertarik kepada mesej Bible. Sejak itu, dia cuba mengajar kami adik-beradik dengan sebaik mungkin. Ibu pada mulanya keberatan untuk meninggalkan tradisi-tradisi Katolik. Namun, selang masa berlalu, dia mula memeluk kebenaran.

Susah bagi ibu bapa untuk mengajar kami kerana ibu buta huruf dan bapa pula selalu bekerja keras di ladang. Ada kalanya dia begitu penat sehingga tertidur semasa mengajar kami. Namun, segala usahanya berbaloi. Sebagai anak sulung, saya membantu mengajar adik perempuan dan dua adik lelaki. Kami juga sering berbincang tentang Nuh yang mengasihi keluarganya dan mematuhi Yehuwa. Betapa bagusnya kisah Nuh itu! Tidak lama kemudian, kami mula menghadiri perjumpaan di Roseto degli Abruzzi, sebuah kota di persisiran pantai Adriatik, Itali.

Pada tahun 1955, apabila saya berumur 11 tahun, saya dan ibu telah menghadiri konvensyen di Roma untuk kali pertama. Untuk ke sana, kami perlu membuat perjalanan ke arah barat serta melintasi gunung. Sejak itu, saya suka menghadiri konvensyen.

Pada tahun berikutnya, saya dibaptis dan tidak lama kemudian menyertai khidmat sepenuh masa. Semasa berumur 17 tahun, saya menjadi perintis khas di Latina yang terletak di selatan Roma dan sejauh 300 km dari rumah. Latina merupakan bandar baru dan ramai orang tidak kisah jika seseorang belajar Bible. Saya dan rakan perintis sangat teruja kerana mengedarkan banyak bahan bacaan Bible. Sebab saya masih muda, saya merindui kampung halaman. Namun, saya ingin terus mematuhi arahan.

Hari perkahwinan kami

Saya kemudiannya ditugaskan ke Milan untuk menolong dalam persediaan Perhimpunan Antarabangsa 1963 yang bertajuk “Berita Baik yang Kekal.” Pada masa itu saya bekerja bersama ramai sukarelawan termasuk Paolo Piccioli, seorang saudara muda dari Florence. Pada hari  kedua konvensyen itu, dia memberikan ceramah yang menggalakkan hidup bujang. Saya pernah terfikir, “Pasti saudara itu tidak akan berkahwin.” Namun, kami saling berkenalan menerusi surat dan sedar bahawa kami ada banyak persamaan seperti matlamat, kasih terhadap Yehuwa, dan keinginan untuk mematuhi-Nya. Saya dan Paolo berkahwin pada tahun 1965.

BERTEMU DENGAN PEMIMPIN GEREJA

Saya berkhidmat sebagai perintis biasa di Florence selama sepuluh tahun. Saya gembira melihat perkembangan sidang-sidang di sana, terutamanya cara pemuda pemudi membuat kemajuan. Saya dan Paolo suka meluangkan masa bersama mereka. Kami membincangkan hal rohani dan Paolo selalu bermain bola sepak dengan mereka. Walaupun saya memang suka meluangkan masa dengan suami, saya sedar bahawa keluarga dan orang muda di sidang juga mendapat manfaat daripada masa yang diluangkan bersama Paolo.

Saya gembira apabila mengenang tentang pembelajaran Bible yang pernah diadakan. Salah satu adalah dengan Adriana. Dia mengongsi kebenaran dengan dua keluarga lain. Mereka mengaturkan perjumpaan dengan tiga pemimpin agama supaya dapat berbincang tentang ajaran seperti Tritunggal dan roh manusia yang tidak boleh mati. Namun penerangan mereka berputar belit dan bercanggah. Oleh itu, pelajar Bible kami sedar bahawa ajaran mereka tidak berdasarkan Bible. Hasilnya, 15 orang daripada keluarga itu menjadi Saksi.

Cara menginjil hari ini memang berbeza. Namun pada masa itu, Paolo menjadi “pakar” menginjil kepada paderi. Dia pernah mengalami beberapa pertembungan. Pada suatu ketika dia berhadapan dengan ramai orang bukan Saksi. Nampaknya, penentang sudah pun mengatur supaya hadirin menanya soalan yang susah untuk memalukan Paolo. Tetapi, rancangan penentang tidak berjaya kerana salah seorang daripada hadirin bertanya jika wajar pihak gereja mencampuri hal-hal politik. Para paderi tidak tahu menjawabnya. Tiba-tiba, lampu terpadam dan perjumpaan itu dihentikan. Bertahun-tahun kemudian, kami mendapati bahawa bekalan elektrik sengaja dipotong kerana perbincangan itu tidak berpihak kepada para paderi.

TUGASAN BARU

Selepas berkahwin selama sepuluh tahun, kami dijemput untuk berkhidmat dalam kerja litar. Paolo mempunyai pekerjaan yang baik, jadi  kami teragak-agak untuk menerima tugasan itu. Namun selepas berdoa, kami menerima peluang itu. Kami gembira meluangkan masa bersama keluarga yang menyediakan tempat tinggal bagi kami. Pada waktu petang, kami biasanya akan belajar Bible bersama-sama, dan Paolo akan membantu anak-anak menyiapkan kerja rumah mereka, terutamanya matematik. Paolo juga sangat suka membaca dan gembira mengongsi isi-isi dari pembacaannya. Pada hari Isnin pula, kami biasanya menginjil di pekan yang tidak mempunyai Saksi dan menjemput orang untuk menghadiri ceramah pada malam itu.

Kami suka meluangkan masa bersama orang muda dan Paolo selalu bermain bola sepak bersama mereka

Selepas dua tahun dalam kerja litar, kami dijemput ke Bethel Roma. Paolo membantu di bahagian perundangan, manakala saya di Bahagian Majalah. Perubahan ini tidak senang, namun kami bertekad untuk mematuhi organisasi Yehuwa. Amat mengagumkan untuk melihat perkembangan di cawangan tersebut serta peningkatan pesat Saksi-Saksi di Itali. Pada masa itu, Saksi-Saksi Yehuwa di Itali telah mendapat pengiktirafan yang sah. Kami sememangnya gembira untuk berkhidmat di Bethel.

Paolo menyukai kerjanya di Bethel

Semasa berkhidmat di Bethel, isu darah telah dibangkitkan di Itali. Pada awal tahun 1980-an, satu kes mahkamah yang menggemparkan telah berlaku. Pasangan Saksi dituduh menyebabkan kematian anak perempuan mereka. Tuduhan itu palsu. Sebenarnya anak mereka mati kerana mewarisi penyakit darah yang sering dialami oleh orang di kawasan Mediterranean. Ahli Bethel telah membantu para peguam yang terlibat dalam kes itu. Risalah dan edisi khas majalah Awake! diedarkan untuk membantu orang ramai memahami ajaran Bible mengenai penggunaan darah. Selama itu, Paolo bekerja sekitar 16 jam sehari tanpa berhenti. Saya pula cuba menyokongnya sebaik yang mungkin.

KEHIDUPAN KAMI BERUBAH LAGI

Setelah berkahwin selama 20 tahun, sesuatu yang tidak diduga telah berlaku, saya menjadi hamil. Pada masa itu, saya berumur 41 tahun dan Paolo berumur 49 tahun. Dalam diari Paolo, saya mendapati kata-kata ini, “Doa: Jika benar, bantulah kami agar tetap berkhidmat sepenuh masa dan bukannya sambil lewa. Bantulah kami supaya menjadi ibu bapa yang baik. Tolonglah saya menerapkan sekurang-kurangnya 1 peratus daripada apa yang saya katakan di atas pentas selama 30 tahun yang lalu.” Saya percaya Yehuwa telah mengabulkan doa kami.

 Selepas kelahiran Ilaria, hidup kami banyak berubah. Memang kami pernah mengalami saat-saat yang menghampakan, seperti Amsal 24:10 (NW) menyatakan, “Adakah kamu tawar hati pada hari kesusahan? Kekuatanmu akan kurang.” Namun kami saling menggalakkan.

Ilaria sangat gembira kerana ibu bapanya sibuk dalam khidmat sepenuh masa. Dia tidak pernah berasa tersisih dan dibesarkan dalam keluarga yang normal. Pada siang hari, saya menjaganya. Pada waktu petang pula, Paolo akan kembali dan bermain dengan Ilaria atau membantunya membuat kerja rumah. Kemudian Paolo akan menyambung kerjanya sehingga dua atau tiga pagi. Ilaria sering berkata, “Bapa ialah sahabat terbaik saya.”

Untuk membantu Ilaria terus kekal dalam kebenaran, kami perlu tekal dan kadangkala tegas dengannya. Saya teringat apabila dia berkelakuan buruk semasa bermain dengan kawan. Kami telah menjelaskan daripada Bible bahawa dia tidak patut berkelakuan begitu. Kami juga memastikan bahawa dia meminta maaf daripada kawannya.

Ilaria berkata bahawa dia menghargai kasih kami terhadap aktiviti penyebaran. Sekarang dia sudah berkahwin dan memahami betapa pentingnya untuk mematuhi Yehuwa dan mengikut bimbingan-Nya.

PATUH WALAUPUN SEDIH

Pada tahun 2008, Paolo diberitahu bahawa dia menghidapi penyakit barah. Pada mulanya, Paolo nampaknya akan pulih. Dia pun cuba memberi semangat kepada saya. Kami cuba mencari nasihat perubatan yang terbaik. Saya dan Ilaria berdoa bersungguh-sungguh memohon bantuan Yehuwa untuk menghadapi masa depan. Tetapi Paolo yang dahulunya kuat dan bertenaga beransur-ansur menjadi lemah. Saya remuk hati apabila dia meninggal pada tahun 2010. Tetapi saya lega apabila mengenang kembali segala pencapaian kami selama 45 tahun bersama. Kami telah memberikan Yehuwa yang terbaik, dan saya tahu bahawa usaha kami memang membawa manfaat yang berkekalan. Saya menanti-nantikan saatnya apabila saya boleh melihat Paolo sekali lagi di pembangkitan seperti yang dinubuatkan dalam Yohanes 5:28, 29.

“Di lubuk hati, saya masih seorang budak kecil yang mengasihi kisah Nuh. Tekad saya tidak pernah berubah”

Di lubuk hati, saya masih budak kecil yang sangat menyukai kisah Nuh. Tekad saya tidak pernah berubah. Saya mahu mematuhi Yehuwa tidak kira apa yang saya harus lakukan. Saya pasti bahawa segala halangan, pengorbanan, dan kerugian yang dialami tidak setanding berkat-berkat yang dicurahkan oleh Yehuwa. Kehidupan saya membuktikan hal ini, dan hasilnya memang berbaloi.