Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Biarlah Disiplin Yehuwa Membentuk Anda

Biarlah Disiplin Yehuwa Membentuk Anda

“Engkau membimbing aku dengan nasihat, dan kelak Engkau menyambut aku dengan kehormatan.” —MZM. 73:24, ABB.

1, 2. (a) Apakah yang perlu kita lakukan untuk menikmati hubungan yang akrab dengan Yehuwa? (b) Apakah manfaat yang diperoleh daripada mengkaji catatan Bible mengenai orang yang mendengar nasihat Yehuwa?

‘TETAPI bagiku, sungguh baik berada di samping Tuhan. Aku mendapat perlindungan daripada Yehuwa.’ (Mzm. 73:28) Apakah yang menyebabkan pemazmur melafazkan keyakinannya kepada Yehuwa? Sebelum itu, dia melihat kemakmuran orang jahat, dan berasa sangat kecewa lalu mengeluh, “Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya suci, tiada gunanya aku menjauhi dosa.” (Mzm. 73:2, 3, 13, 21, ABB) Namun, apabila dia memasuki ‘Rumah Tuhan’, fikirannya berubah dan dia dapat mengekalkan hubungannya dengan Yehuwa. (Mzm. 73:16-18) Pengalaman ini telah memberikan satu pengajaran yang penting kepada pemazmur: Untuk menikmati hubungan akrab dengan Yehuwa, seseorang perlu menjadi sebahagian daripada umat-Nya serta mendengar dan menerapkan nasihat-Nya.—Mzm. 73:24.

2 Kita juga menginginkan hubungan yang akrab dengan Yehuwa. Jadi, kita perlu membiarkan nasihat dan disiplin daripada Yehuwa membentuk kita. Dengan itu kita dapat menyenangkan hati-Nya. Dahulukala, Yehuwa memberi peluang kepada individu dan seluruh bangsa untuk menerima disiplin-Nya. Kisah mereka tercatat dalam Bible “untuk mengajar kita” dan “menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.” (Rm. 15:4; 1 Kor. 10:11) Dengan mengkaji catatan Bible, kita dapat belajar cara Yehuwa berfikir dan meraih manfaat daripada nasihat-Nya. Mari kita bincangkan beberapa contoh Bible.

KUASA YEHUWA SEBAGAI TUKANG PERIUK

3. Bagaimanakah kuasa Yehuwa digambarkan di Yesaya 64:8 dan Yeremia 18:1-6? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Di dalam Bible, kuasa Yehuwa sebagai tukang periuk  digambarkan di Yesaya 64:8, ‘Engkaulah Bapa kami, ya Yehuwa. Kami ini seperti tanah liat, dan Engkau seperti tukang periuk. Engkaulah yang menciptakan kami.’ Tukang periuk berhak untuk menghasilkan pelbagai bentuk daripada tanah liat. Tanah liat pula tidak dapat memilih bentuk yang diinginkan. Begitu juga dengan hubungan antara Tuhan dan manusia. Kita sememangnya tidak berhak untuk memberitahu Yehuwa cara kita ingin dibentuk.—Baca Yeremia 18:1-6.

4. Adakah Yehuwa memaksa manusia untuk dibentuk oleh-Nya? Jelaskan.

4 Yehuwa menunjukkan kebolehan-Nya sebagai tukang periuk dengan membentuk umat Israel purba. Tetapi Yehuwa berbeza dengan tukang periuk manusia. Seorang tukang periuk boleh membuat pelbagai bentuk periuk daripada segumpal tanah liat. Adakah ini bermaksud Yehuwa membentuk manusia sesuka hati dengan menjadikan mereka baik atau jahat? Bible menyatakan tidak. Yehuwa telah mengurniai kita sesuatu yang sangat bernilai, iaitu kebebasan untuk memilih. Yehuwa tidak menggunakan kuasa-Nya untuk memaksa kita. Sebaliknya, manusia sendiri harus memilih untuk dibentuk oleh Pencipta kita, Yehuwa.Baca Yeremia 18:7-10.

5. Apakah yang akan Yehuwa lakukan jika manusia menolak untuk dibentuk oleh-Nya?

5 Bagaimana pula jika manusia berdegil dan menolak untuk dibentuk oleh Tukang Periuk yang Agung iaitu Yehuwa? Apakah yang akan Dia lakukan? Jika tukang periuk berasa susah untuk membentuk tanah liat seperti yang dia inginkan, dia boleh memilih sama ada untuk membentuk tanah liat itu menjadi bentuk lain, ataupun membuangnya. Biasanya, tanah liat menjadi tidak berguna disebabkan oleh kesilapan tukang periuk. Namun, Yehuwa berbeza. (Ul. 32:4) Apabila seseorang menolak untuk dibentuk oleh Yehuwa, orang itulah yang silap. Yehuwa menyesuaikan cara Dia membentuk orang berdasarkan reaksi mereka. Orang yang rela dibentuk oleh Yehuwa akan menjadi berguna bagi-Nya. Contohnya, orang Kristian terurap telah ‘menjadi tumpuan belas kasihan Tuhan’ lalu dibentuk menjadi periuk “untuk kegunaan khas.” Tetapi orang yang enggan dibentuk oleh Tuhan menjadi periuk “yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya.”—Rm. 9:19-23.

6, 7. Bagaimanakah reaksi Raja Daud dan Raja Saul berbeza semasa Yehuwa menasihati mereka?

 6 Salah satu cara Yehuwa membentuk orang adalah melalui nasihat atau disiplin. Kita boleh mengkaji kisah Raja Daud dan Raja Saul. Sewaktu Raja Daud berzina dengan Batsyeba, kelakuannya telah membawa kesan buruk terhadap dirinya dan orang lain. Walaupun Daud adalah raja, Yehuwa tetap memberikan disiplin kepadanya. Tuhan mengutus nabi Nathan untuk memberikan nasihat yang tegas kepada Daud. (2 Sam. 12:1-12) Bagaimanakah reaksi Daud? Dia berasa sangat menyesal lalu bertaubat dengan tulus. Oleh itu, Tuhan mengampuninya.—Baca 2 Samuel 12:13.

 7 Raja Saul pula berbeza. Dia menolak nasihat Tuhan. Melalui nabi Samuel, Yehuwa memerintah Saul untuk membunuh semua orang dan juga ternakan di kota Amalek. Saul tidak mematuhi perintah Tuhan. Dia membiarkan Raja Agag hidup, termasuk ternakannya yang terbaik. Mengapa? Antara sebabnya, dia ingin mendapat kemasyhuran. (1 Sam. 15:1-3, 7-9, 12) Yehuwa mengutus nabi Samuel untuk menasihatinya. Saul sepatutnya menerima nasihat itu dan dibentuk oleh Yehuwa.  Sebaliknya, dia menolak. Dia berasa wajar untuk tidak mengikut perintah Tuhan dengan sepenuhnya. Dia berdalih bahawa ternakan itu akan dipersembahkan kepada Yehuwa. Tuhan menolak Saul sebagai raja, dan dia tidak lagi memiliki hubungan yang baik dengan Tuhan.—Baca 1 Samuel 15:13-15, 20-23.

Saul menolak nasihat. Dia enggan dibentuk oleh Yehuwa (Lihat  perenggan 7)

Daud berasa sangat menyesal dan menerima teguran. Dia memilih untuk dibentuk oleh Tuhan. Bagaimana pula dengan anda? (Lihat  perenggan 6)

TUHAN TIDAK BERAT SEBELAH

8. Apakah pengajarannya daripada cara Israel bertindak terhadap nasihat Yehuwa?

8 Yehuwa juga memberikan peluang kepada bangsa-bangsa untuk mentaati-Nya. Pada 1513 SM, orang Israel dibebaskan dari Mesir lalu menjadi umat pilihan Yehuwa dan mereka berpeluang untuk dibentuk oleh-Nya. Walaupun demikian, mereka selalu melakukan perkara yang jahat di mata Yehuwa. Malahan, mereka mengikuti negara-negara jiran dalam menyembah tuhan-tuhan palsu. Berkali-kali Yehuwa mengutus nabi agar mereka berubah. Namun, mereka tetap berdegil. (Yer. 35:12-15) Oleh sebab mereka enggan menerima nasihat Yehuwa, mereka diberi disiplin dengan keras. Seperti periuk ‘yang menjadi sasaran kemurkaan’, sepuluh suku bangsa Israel di bahagian utara ditawan oleh Asyur, manakala dua suku yang di sebelah selatan ditawan oleh Babilon. Bukankah ini satu pengajaran yang penting bagi kita! Kita akan mendapat manfaat hanya jika kita membiarkan Yehuwa membentuk kita.

9, 10. Bagaimanakah penduduk Niniwe menyambut amaran Yehuwa?

9 Yehuwa juga memberikan peluang kepada  penduduk ibu kota Asyur, iaitu Niniwe untuk menyambut amaran-Nya. Tuhan memberitahu Yunus, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat.” Sememangnya Yehuwa telah memutuskan untuk membinasakan kota Niniwe.—Yun. 1:1, 2; 3:1-4.

10 Namun apabila Yunus memberitahu penduduk Niniwe tentang amaran Tuhan, ‘Penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Tuhan itu. Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin.’ Raja mereka juga ‘segera turun dari takhtanya serta menanggalkan jubahnya dan memakai kain guni, lalu duduk di atas abu.’ Mereka ingin dibentuk oleh Tuhan lalu bertaubat. Akhirnya, Yehuwa tidak membinasakan kota Niniwe.—Yun. 3:5-10.

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa memperlakukan orang Israel dan orang Niniwe?

11 Sebagai umat pilihan Tuhan, Israel tidak dikecualikan daripada menerima disiplin. Sebaliknya, penduduk kota Niniwe bukan umat pilihan-Nya. Namun Yehuwa tetap memberikan amaran dan menunjukkan belas kasihan terhadap mereka kerana mereka ingin dibentuk oleh-Nya. Dua contoh ini jelas menunjukkan bahawa Yehuwa tidak berat sebelah.—Ul. 10:17.

YEHUWA MUNASABAH DAN BERTOLAK ANSUR

12, 13. (a) Mengapakah Tuhan mengubah keputusan-Nya terhadap orang yang rela dibentuk oleh-Nya? (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia “menyesal” terhadap Saul? terhadap Niniwe?

12 Yehuwa bersikap munasabah dan bertolak ansur apabila membentuk orang. Hal ini terbukti apabila Yehuwa mengubah keputusan-Nya untuk menghakimi berdasarkan reaksi orang. Contohnya, Bible memberitahu kita bahawa Yehuwa ‘menyesal kerana melantik Saul sebagai raja.’ (1 Sam. 15:11) Sewaktu penduduk di Niniwe bertaubat dan mengubah haluan hidup mereka, Bible menyatakan, “Dia mengubah fikiran-Nya [“menyesal,” NW] dan tidak melaksanakan hukuman yang dirancangkan-Nya terhadap mereka.”—Yun. 3:10.

13 Dalam bahasa Ibrani, perkataan “menyesal” juga bermaksud mengubah sikap atau keputusan. Pada suatu ketika, Yehuwa melantik Saul menjadi raja. Tetapi sewaktu Saul tidak taat, Yehuwa mengubah keputusan-Nya lalu menolak Saul sebagai raja. Perubahan ini berlaku bukan disebabkan oleh kesilapan Yehuwa, tetapi disebabkan oleh Saul yang bertindak tanpa iman lalu menjadi tidak setia. Dan sewaktu penduduk Niniwe bertaubat, Yehuwa mengubah keputusan-Nya dan membebaskan mereka daripada hukuman. Bukankah kita gembira untuk mengetahui bahawa Yehuwa baik hati dan berbelas kasihan, serta rela mengubah keputusan-Nya berdasarkan reaksi orang?

JANGANLAH MENOLAK DISIPLIN YEHUWA

14. (a) Bagaimanakah Yehuwa membentuk kita hari ini? (b) Apakah yang harus kita lakukan semasa Tuhan membentuk kita?

14 Hari ini, Yehuwa menggunakan Bible dan organisasi-Nya untuk membentuk kita. (2 Tim. 3:16, 17) Kita patut menerima segala nasihat dan disiplin yang diberikan. Tidak kira berapa lama kita sudah dibaptis atau seberapa banyak tanggungjawab yang telah kita terima, kita harus tetap setia kepada nasihat Yehuwa dan membiarkan nasihat itu membentuk  kita menjadi periuk “untuk kegunaan khas.”

15, 16. (a) Apakah perasaan yang mungkin timbul apabila seseorang kehilangan tanggungjawab dalam sidang? Berikan contoh. (b) Apakah yang boleh membantu kita mengatasi perasaan kecewa apabila kita menerima disiplin?

15 Disiplin boleh diberikan dalam bentuk arahan ataupun teguran. Kadangkala, kita menerima disiplin kerana melakukan kesalahan. Kita mungkin kehilangan tanggungjawab dalam sidang. Sebagai contoh, seorang penatua yang bernama Dennis, * terlibat dalam salah laku kerana membuat pilihan yang salah dalam hal perniagaan. Akibatnya, dia menerima teguran secara peribadi. Apakah perasaan Dennis sewaktu diumumkan bahawa dia tidak lagi berkhidmat sebagai penatua? Dia berkata, “Saya berasa sangat tidak berguna.” Dia menambah, “Selama 30 tahun, saya mempunyai banyak tanggungjawab dalam sidang. Saya berkhidmat sebagai perintis biasa, berkhidmat di Bethel, dilantik sebagai pembantu sidang, dan kemudian sebagai seorang penatua. Dan saya baru sahaja menyampaikan ceramah pertama saya di konvensyen distrik. Tiba-tiba, semuanya hancur. Saya berasa sangat malu, dan berfikir bahawa saya tidak dapat kembali kepada organisasi Yehuwa.”

16 Dennis harus mengubah haluannya. Tetapi apakah yang membantunya untuk mengatasi perasaan kecewa? Dia menjelaskan, “Saya bertekad untuk menjaga rutin rohani saya. Adalah penting juga untuk mendapat sokongan daripada saudara saudari dan galakkan daripada bahan bacaan kita. Rencana dalam The Watchtower 15 Ogos 2009, muka surat 30 hingga 32, bagaikan surat peribadi yang menjawab doa saya.” Dalam rencana itu, Dennis belajar bahawa dia boleh menggunakan masanya untuk memperkuatkan hubungannya dengan Yehuwa. Bagaimanakah Dennis meraih manfaat daripada disiplin yang diterimanya? Beberapa tahun kemudian, dia berkata, “Saya diberkati Yehuwa dan dilantik sebagai pembantu sidang.”

17. Bagaimanakah penyingkiran boleh membantu seorang pendosa? Jelaskan.

17 Penyingkiran adalah satu lagi cara Yehuwa memberikan disiplin. Hal ini boleh melindungi sidang daripada pengaruh yang jahat dan membantu pendosa untuk bertaubat. (1 Kor. 5:6, 7, 11) Robert telah disingkirkan selama 16 tahun. Pada masa itu, ibu bapa dan empat adik-beradiknya tetap mentaati perintah Bible dengan tidak bergaul bersamanya. Sekarang, Robert sudah diterima kembali ke dalam sidang untuk beberapa tahun dan telah membuat kemajuan rohani. Sewaktu ditanya apa yang mendorongnya untuk kembali kepada Yehuwa dan organisasi-Nya, dia menjawab, “Jika keluarga saya bergaul dengan saya walaupun hanya seketika, seperti menanya khabar, saya sudah berasa puas dan mungkin tidak terfikir untuk kembali kepada Yehuwa.”

18. Apakah yang harus kita lakukan sewaktu dibentuk oleh Tuhan?

18 Kita mungkin tidak menerima disiplin yang sama seperti itu. Tetapi, kita patut memikirkan apa yang harus dilakukan sewaktu dibentuk dan didisiplinkan oleh Yehuwa. Bagaimanakah reaksi kita semasa menerima disiplin? Adakah kita ingin menjadi seperti Daud atau Saul? Bapa kita ialah Tukang Periuk yang Agung. Ingatlah, ‘Yehuwa menegur ajar orang yang dikasihi-Nya seperti seorang bapa menegur ajar anak yang disayanginya.’ Oleh itu, “terimalah tegur ajar itu sebagai amaran dan jangan tolak ajaran-Nya.”—Ams. 3:11, 12, ABB.

^ per. 15 Nama telah diubah.