Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KHAZANAH ROHANI KITA

Mereka Berteguh pada “Masa Kesusahan”

Mereka Berteguh pada “Masa Kesusahan”

SEWAKTU Perang Dunia Pertama, Pelajar Bible mendapat perhatian di pentas dunia akibat pendirian neutral mereka. (Yes. 2:2-4; Yoh. 18:36; Ef. 6:12) Bagaimanakah keadaan hamba Tuhan di Britain?

Henry Hudson

Akta Angkatan Tentera 1916 di Britain menuntut semua lelaki bujang yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun menyertai khidmat tentera. Namun, mereka boleh dikecualikan atas sebab “agama dan pendirian moral.” Jadi, kerajaan Britain mewujudkan mahkamah pengadilan untuk menentukan siapa yang boleh dikecualikan dan tahap pengecualian yang diberikan.

Tidak lama kemudian, sekitar 40 Pelajar Bible dimasukkan ke penjara tentera dan 8 dihantar ke medan perang di Perancis. Ketidakadilan ini menyebabkan para saudara di Britain menulis surat bantahan kepada Perdana Menteri Herbert Asquith. Surat itu ditandatangani oleh 5,500 orang.

Lapan Pelajar Bible yang dihantar ke Perancis kemudian dijatuhkan hukuman tembak mati kerana enggan berperang. Namun, semasa mereka berbaris untuk ditembak mati, hukuman mereka diringankan kepada penjara selama sepuluh tahun di penjara sivil England.

James Frederick Scott

Oleh sebab perang masih berlanjutan, lelaki yang sudah berkahwin juga dituntut menyertai khidmat tentera. Pada 3 Ogos 1916, sebuah perbicaraan diadakan di Manchester, England. Henry Hudson, seorang doktor dan Pelajar Bible yang dituduh melanggar undang-undang disaman dan diserahkan kepada pihak tentera. Pada waktu yang sama, sebuah perbicaraan diadakan di Edinburgh, Scotland. James Frederick Scott, seorang peneraju yang berumur 25 tahun, didapati tidak bersalah. Oleh itu, pendakwa kerajaan Britain, The Crown, membantah keputusan mahkamah, tetapi kemudian melepaskan kes itu kerana perbicaraan lain di London. Kali ini, saudara Herbert Kipps didapati bersalah, disaman, dan diserahkan kepada pihak tentera.

Pada September 1916, seramai 264 saudara telah memohon pengecualian daripada khidmat tentera. Lima dikecualikan, 154 ditugaskan sebagai buruh kasar, 23 diberikan tugas yang tidak merangkumi pertempuran, 82 pula diserahkan kepada pihak tentera dan ada di antara mereka dibicarakan di mahkamah tentera. Atas bantahan orang awam, kerajaan memindahkan mereka dari penjara tentera ke kem pekerja sivil.

Pryce Hughes

 Edgar Clay dan Pryce Hughes, yang kemudiannya berkhidmat sebagai penyelia cawangan di Britain, bekerja di sebuah empangan di Wales. Herbert Senior, salah satu daripada lapan yang dihantar ke Perancis, dimasukkan ke Penjara Wakefield di Yorkshire. Yang lain menjalani hukuman di Penjara Dartmoor sebagai buruh kasar dalam keadaan yang susah. Di sinilah tempatnya paling banyak lelaki yang tidak mahu menyertai perang dipenjarakan.

Frank Platt, seorang Pelajar Bible, setuju untuk melakukan tugas yang tidak melibatkan pertempuran. Tetapi apabila dihantar ke medan perang, dia ditindas dengan kejam. Atkinson Padgett, yang belajar kebenaran tidak lama selepas menyertai khidmat tentera juga dianiaya dengan teruk kerana enggan bertempur.

Herbert Senior

Walaupun saudara-saudara kita pada masa itu tidak memahami sepenuhnya apa yang terangkum dalam pendirian neutral, mereka berusaha menyenangkan hati Yehuwa. Saudara-saudara yang disebut dalam rencana ini meninggalkan teladan yang baik sewaktu menghadapi “masa kesusahan.” (Why. 3:10)—Khazanah rohani kita di Britain.