Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Lindungilah Warisan Anda dengan Membuat Pilihan yang Bijak

Lindungilah Warisan Anda dengan Membuat Pilihan yang Bijak

“Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik.”—RM. 12:9.

1, 2. (a) Apakah yang membantu anda membuat pilihan untuk menyembah Yehuwa? (b) Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya mengenai warisan rohani kita?

JUTAAN orang telah membuat pilihan yang bijak untuk menyembah Tuhan Yehuwa dan mengikut jejak Yesus. (Mat. 16:24; 1 Ptr. 2:21) Kita tidak memandang remeh pembaktian kita kepada Yehuwa. Pilihan ini tidak berdasarkan pengetahuan Bible yang cetek. Sebaliknya, kita beriman terhadap warisan yang ditawarkan oleh Yehuwa melalui pembelajaran Firman Tuhan yang mendalam. Warisan ini akan menjadi milik mereka yang terus belajar tentang-Nya dan Yesus Kristus.—Yoh. 17:3; Rm. 12:2.

2 Jika kita ingin menjaga hubungan baik dengan Yehuwa, kita harus membuat pilihan yang menyenangkan hati-Nya. Rencana ini akan membincangkan soalan-soalan penting seperti: Apakah warisan kita? Bagaimanakah kita harus memandangnya? Bagaimanakah kita memperoleh warisan itu? Apakah yang akan membantu kita membuat pilihan yang bijak?

APAKAH WARISAN KITA?

3. Apakah warisan yang sedang dinanti-nantikan oleh (a) orang Kristian terurap dan (b) “domba-domba lain”?

3 Sekumpulan kecil orang Kristian menanti-nantikan warisan yang “tidak dapat rosak, reput atau musnah,” iaitu memerintah bersama Yesus di syurga. (1 Ptr. 1:3, 4) Untuk menerima warisan tersebut, mereka harus “dilahirkan semula.” (Yoh. 3:1-3) Bagaimana pula dengan jutaan “domba-domba lain” yang sedang bekerjasama dengan orang Kristian terurap untuk menginjil tentang Kerajaan Tuhan? (Yoh. 10:16) Mereka akan menerima warisan untuk hidup kekal di bumi  firdaus yang bebas daripada penderitaan, kematian, dan kesedihan. (2 Ptr. 3:13; Why. 21:1-4) Sewaktu Yesus digantung pada tiang seksaan, dia berjanji kepada seorang penjahat di sebelahnya, ‘Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.’—Luk. 23:43.

4. Apakah berkat-berkat yang kita nikmati sekarang?

4 Kita sedang menikmati beberapa aspek warisan rohani sekarang juga. Dengan menaruh kepercayaan terhadap korban tebusan Yesus, kita dapat menikmati kedamaian batin dan hubungan yang rapat dengan Tuhan. (Rm. 3:23-25) Kita juga memiliki pemahaman yang mendalam tentang janji-janji Tuhan yang terkandung dalam Firman-Nya. Tambahan pula, kita bersukacita untuk menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa dan sebahagian daripada persaudaraan sedunia. Sudah tentu kita sangat menghargai warisan ini!

5. Apakah yang Syaitan ingin lakukan terhadap umat Tuhan, dan apakah yang boleh membantu kita?

5 Kita mesti berwaspada terhadap muslihat Syaitan dan berpegang teguh pada warisan kita. Mengapa? Kerana Syaitan ingin menggoda kita untuk melakukan kesilapan sehingga kita hilang warisan rohani. (Bil. 25:1-3, 9) Syaitan tahu masanya tinggal sedikit. Oleh itu, dia melipat gandakan usahanya untuk memperdaya kita. (Baca Wahyu 12:12, 17.) Jika kita ingin “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis,” kita harus selalu menghargai warisan rohani kita. (Ef. 6:11) Marilah kita mengambil iktibar daripada kisah hidup anak sulung Ishak, iaitu Esau.

JANGANLAH TELADANI ESAU

6, 7. Siapakah Esau, dan apakah warisan yang dimilikinya?

6 Hampir 4,000 tahun yang lalu, Esau dan adik kembarnya, Yakub dilahirkan. Mereka ialah anak-anak kepada Ishak dan Ribka. Apabila mereka membesar, perwatakan mereka berbeza. “Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah.” (Kej. 25:27) Yakub dikatakan “tenang” kerana dia berintegriti dan tidak mengamalkan perbuatan yang berdosa.

7 Sewaktu Esau dan Yakub berumur 15 tahun, datuk mereka, Abraham, meninggal. Tetapi janji Yehuwa kepada Abraham tidak lenyap. Kemudian, Yehuwa mengulangi janji ini kepada Ishak. Yehuwa berjanji bahawa semua bangsa di dunia akan diberkati melalui keturunan Abraham. (Baca Kisah 3:25.) Janji itu menunjukkan bahawa Mesias ialah benih yang akan datang daripada keturunan Abraham. (Kej. 3:15) Esau sebagai anak sulung Ishak berhak menerima janji itu. Bukankah warisan ini merupakan suatu penghormatan besar bagi Esau? Tetapi, adakah dia menghargainya?

Janganlah membahayakan warisan rohani anda

8, 9. (a) Apakah pilihan Esau mengenai warisannya? (b) Bertahun-tahun kemudian, apakah yang Esau sedari tentang pilihannya, dan apakah reaksinya?

8 Pada suatu hari, Esau pulang dari memburu dan nampak Yakub sedang “memasak bubur kacang merah.” Lalu, Esau berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.” Apakah pilihan Esau? Dia berkata, “Peduli apa hak itu bagiku.” Ya, Esau menjual haknya sebagai anak sulung, hanya untuk mendapat semangkuk bubur! Untuk memastikan hal itu, Yakub mendesak Esau, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu  kepadaku.” Tanpa berfikir panjang, Esau menyerahkan haknya. Selepas itu, “Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung.”—Kej. 25:29-34.

9 Bertahun-tahun kemudian, semasa Ishak sudah lanjut usia, isterinya, Ribka, mengatur agar Yakub diberkati sebagai anak sulung. Apabila Esau sedar bahawa dia telah membuat pilihan yang bodoh, dia merayu kepada Ishak, “Berkatilah saya juga, ayah! . . . Tidakkah ayah mempunyai berkat lain bagi saya?” Ishak memberitahu Esau bahawa dia tidak dapat memberkatinya kerana dia sudah memberkati Yakub. Oleh itu, Esau “meraung-raung dengan penuh kepedihan.”—Kej. 27:30-38.

10. Bagaimanakah Yehuwa memandang Esau dan Yakub, dan mengapa?

10 Apakah pengajaran daripada kisah hidup Esau? Dia lebih mementingkan keinginan sendiri daripada memperoleh berkat pada masa depan. Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung dan tidak benar-benar mengasihi Yehuwa. Lagi pun, Esau langsung tidak peduli bagaimana pilihannya akan mempengaruhi keturunannya. Yakub pula amat menghargai warisannya. Sebagai contoh, Yakub taat kepada nasihat ibu bapanya semasa memilih seorang isteri. (Kej. 27:46–28:3) Walaupun hal ini tidak mudah, Yakub tetap memilih untuk berbuat demikian. Oleh itu, dia diberkati menjadi nenek moyang Mesias. Bagaimanakah Yehuwa memandang Esau dan Yakub? Melalui nabi Maleakhi, Yehuwa berkata, ‘Aku mengasihi Yakub tetapi Aku membenci Esau.’—Mal. 1:2, 3.

11. (a) Bagaimanakah contoh Esau boleh menjadi pengajaran bagi kita? (b) Mengapakah Paulus mengaitkan perbuatan cabul dengan kelakuan Esau?

11 Hari ini, kita boleh mendapat pengajaran daripada kisah Esau. Rasul Paulus menasihati orang Kristian, “Janganlah sesiapa pun lakukan perbuatan cabul atau tidak hargai perkara rohani seperti yang dilakukan oleh Esau. Dia menjual haknya sebagai anak sulung, hanya untuk mendapat semangkuk makanan.” (Ibr. 12:16, ABB) Nasihat ini masih bermanfaat bagi orang Kristian hari ini. Kita mesti terus menghargai perkara-perkara rohani supaya kita dapat menolak godaan demi melindungi warisan rohani kita. Mengapakah Paulus mengaitkan perbuatan cabul dengan kelakuan Esau? Kerana jika kita berkelakuan seperti Esau, kita lebih mudah digoda untuk melakukan dosa seperti perbuatan cabul. Hal ini akan menyebabkan kita hilang warisan rohani.

 SIAPKAN HATI ANDA SEKARANG

12. (a) Bagaimanakah Syaitan menggoda kita? (b) Berikan contoh-contoh Bible yang membantu kita membuat pilihan bijak.

12 Sebagai hamba Yehuwa, kita berusaha untuk mengelakkan segala situasi yang boleh menyebabkan kita melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Malah, kita memohon bantuan Yehuwa untuk menolak segala godaan. (Mat. 6:13) Kita berusaha untuk menjaga integriti di dunia jahat ini. Tetapi Syaitan sentiasa mencuba untuk melemahkan kerohanian kita. (Ef. 6:12) Sebagai tuhan dunia jahat ini, Syaitan tahu cara memperalatkan kelemahan kita supaya kita tergoda untuk melakukan dosa. (1 Kor. 10:8, 13) Bayangkan anda ditawarkan untuk memenuhi hawa nafsu dengan melakukan perbuatan tidak bermoral. Apakah pilihan anda? Adakah anda akan berkata seperti Esau, “berilah aku”? Atau adakah anda akan bertindak seperti Yusuf yang melarikan diri daripada isteri Potifar?—Baca Kejadian 39:10-12.

13. (a) Hari ini, bagaimanakah orang Kristian meniru teladan Yusuf atau Yakub? (b) Apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak bertindak seperti Esau?

13 Semasa menghadapi godaan ramai saudara saudari perlu memilih sama ada untuk bertindak seperti Esau atau Yusuf. Kebanyakan mereka bertindak dengan bijak dan menyenangkan hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Namun, ada sesetengah orang Kristian bertindak seperti Esau. Mereka tidak menghargai warisan rohani. Setiap tahun, banyak orang Kristian disingkirkan dari sidang kerana terjebak dalam perbuatan seks yang tidak bermoral. Betapa penting untuk mempersiapkan hati kita sekarang, supaya dapat menolak apa-apa godaan. (Mzm. 78:8) Marilah kita bincangkan dua langkah yang dapat membantu kita menolak godaan dan membuat pilihan yang bijak.

MERENUNGKAN DAN MEMANTAPKAN

Kita memantapkan pertahanan rohani dengan mencari kebijaksanaan Yehuwa

14. Apakah soalan-soalan yang boleh membantu kita untuk “membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik”?

14 Langkah pertama adalah merenungkan akibat buruk daripada tindakan yang salah. Semakin dalam kasih kita kepada Yehuwa, semakin tinggi penghargaan kita terhadap warisan rohani. Jika kita mengasihi seseorang, kita tidak ingin menyakiti hatinya. Malah, kita akan berusaha untuk mendapat perkenannya. Oleh itu, adalah baik untuk mengambil masa supaya dapat berfikir tentang akibat buruk daripada perbuatan yang berdosa. Kita patut menanya diri: “Bagaimanakah sikap mementingkan diri menjejaskan hubungan saya dengan Yehuwa? Apakah kesan salah laku saya terhadap keluarga? Bagaimanakah hal ini akan mempengaruhi saudara saudari di sidang? Adakah orang lain akan tersandung?” (Flp. 1:10) Kita juga boleh menanya: “Adakah keseronokan sementara yang tidak bermoral berbaloi? Adakah saya ingin menjadi seperti Esau, yang menangis teresak-esak selepas menyedari salah lakunya?” (Ibr. 12:17) Dengan merenungkan soalan-soalan ini, kita akan dibantu untuk “membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik.” (Rm. 12:9) Jika kita benar-benar mengasihi Yehuwa, kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga warisan rohani kita.—Mzm. 73:28.

15. Apakah yang akan membantu memantapkan pertahanan rohani kita daripada bahaya sistem dunia ini?

15 Langkah kedua ialah untuk memantapkan pertahanan kita. Yehuwa telah menyediakan banyak bantuan bagi  mempertahankan kerohanian kita daripada bahaya sistem dunia ini. Antaranya ialah pembelajaran Bible peribadi, perjumpaan Kristian, aktiviti penyebaran, dan doa. (1 Kor. 15:58) Setiap kali kita meluahkan isi hati kepada Yehuwa dan setiap kali kita mencurahkan usaha dalam kerja penyebaran, kita sedang memantapkan pertahanan kita terhadap godaan. (Baca 1 Timotius 6:12, 19.) Sebahagian besar pertahanan rohani kita bergantung pada usaha sendiri. (Gal. 6:7) Perkara ini dijelaskan dalam buku Amsal bab 2.

“CARILAH PERKARA ITU”

16, 17. Apakah yang perlu kita lakukan untuk membuat pilihan yang bijak?

16 Amsal bab 2 menggalakkan kita untuk mencari pengetahuan dan pengertian. Hal ini dapat membantu kita membezakan perkara yang betul daripada yang salah, serta mengetahui cara mengawal keinginan supaya kita tidak berdosa. Tetapi nasihat ini hanya akan berkesan jika kita berusaha untuk menerapkannya. Bible menjelaskan, ‘Hai anakku, terimalah apa yang aku ajarkan dan jangan lupa akan perintahku. Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya. Ya, mohonlah dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat pengetahuan dan mintalah pengertian. Carilah perkara itu seperti mencari perak dan harta terpendam. Barulah kamu akan tahu maknanya takut kepada Yehuwa, dan kamu akan mendapat pengetahuan tentang Tuhan. Yehuwalah yang memberikan hikmat. Pengetahuan dan pengertian berasal daripada-Nya.’—Ams. 2:1-6, ABB.

17 Jelaslah, jika kita ingin membuat pilihan yang bijak, kita harus menerapkan nasihat Bible di atas. Kita dapat menolak godaan jika kita mendengar Firman Tuhan dan membenarkannya membentuk keperibadian kita. Kita juga perlu memohon bimbingan Tuhan, dan mencari pengetahuan tentang Tuhan seperti mencari permata.

18. Apakah yang akan anda terus lakukan, dan mengapa?

18 Yehuwa mengurniakan pengetahuan, pemahaman, pengertian, dan kebijaksanaan hanya kepada orang yang berusaha untuk mencarinya. Semakin kita mencari-cari kurniaan ini, semakin kita mendekat kepada Yehuwa. Hubungan erat dengan Tuhan pula dapat melindungi kita semasa digoda. Jika kita takut kepada Yehuwa, kita akan menjauhi perbuatan berdosa. (Mzm. 25:14; Yak. 4:8) Semoga hubungan baik dengan Yehuwa serta kebijaksanaan yang diterima membantu kita membuat pilihan yang bijak dan melindungi warisan rohani kita.