‘Batinku suka akan hukum daripada Tuhan.’RM. 7:22, ABB.

1-3. Apakah manfaat membaca Bible dan menerapkan ajarannya?

“SETIAP pagi saya bersyukur kepada Yehuwa kerana membantu saya memahami Bible,” kata seorang saudari yang lanjut usia. Dia telah membaca Bible sebanyak 40 kali dan dia masih membacanya. Seorang saudari muda pula menulis bahawa pembacaan Bible menjadikan Yehuwa nyata baginya. Hasilnya dia menikmati hubungan yang akrab dengan Bapa di syurga. Dia berkata, “Hal ini membuat saya gembira sekali!”

2 Petrus menggalakkan kita semua untuk “sentiasa haus akan susu rohani yang murni.” (1 Ptr. 2:2) Orang yang haus secara rohani akan mengkaji Bible dan menerapkan ajarannya. Oleh itu mereka menikmati hati nurani yang bersih dan kehidupan yang bermakna. Mereka juga mempunyai hubungan yang erat dengan sahabat-sahabat yang mengasihi dan menyembah Tuhan yang benar. Semua ini adalah alasan baik untuk menyukai ‘hukum daripada Tuhan.’ (Rm. 7:22) Tetapi ada alasan lain juga.

3 Semakin banyak anda belajar tentang Yehuwa dan Anak-Nya, semakin mendalam kasih anda bagi mereka dan orang lain. Pengetahuan Bible yang tepat membantu kita memahami cara Tuhan menyelamatkan orang yang baik daripada pemusnahan sistem dunia yang jahat ini. Yehuwa akan memberkati anda seraya anda mengajar orang lain tentang berita baik daripada Firman Tuhan.

BACALAH DAN RENUNGKAN

4. Apakah maksudnya untuk membaca Bible dengan “suara perlahan”?

4 Yehuwa tidak mahu hamba-hamba-Nya membaca Firman-Nya secara tergesa-gesa. Dia memberitahu Yosua, “Buku hukum ini tidak patut meninggalkan mulutmu, dan kamu harus membaca hukum ini dengan suara perlahan siang dan malam.” (Yos. 1:8, NW; Mzm. 1:2)  Adakah anda perlu menyebut setiap satu perkataan dalam buku Kejadian hingga Wahyu dengan suara yang rendah? Tidak. Maksudnya adalah untuk membaca perlahan-lahan supaya ada masa yang secukupnya untuk merenungkan apa yang dibaca. Dengan demikian, anda dapat menumpukan perhatian kepada ayat-ayat yang berguna dan menggalakkan. Jika anda mendapati ayat atau cerita yang menggalakkan dalam Bible, bacalah dengan “suara perlahan” supaya kata-kata itu mencapai hati anda. Mengapakah hal ini penting? Kerana apabila anda benar-benar memahami nasihat Bible, anda didorong untuk hidup selaras dengannya.

5-7. Jelaskan bagaimana membaca Firman Tuhan dengan suara perlahan dapat membantu anda (a) tetap bersih secara moral; (b) memperlakukan orang lain dengan sabar dan kasih; (c) percaya pada Yehuwa semasa menghadapi kesusahan.

5 Membaca bahagian Bible yang susah difahami dengan suara perlahan membawa manfaat. Kita akan melihat tiga contoh. Pertama, seorang pemuda Kristian sedang membaca buku Hosea bab 4, ayat 11 hingga 13, dan dia berhenti sejenak untuk memikirkannya. (Baca Hosea 4:11-13.) Mengapakah dia berbuat demikian? Ayat-ayat itu menarik perhatiannya kerana dia menghadapi tekanan daripada rakan sekolah untuk melakukan perkara yang tidak bermoral. Dia merenungkan ayat itu dan berkata, “Yehuwa nampak perkara buruk yang dilakukan seseorang walaupun dia bersendirian. Saya tidak mahu menyinggung perasaan-Nya.” Hasilnya, saudara itu bertekad untuk tetap bersih secara moral.

6 Dalam situasi yang kedua, seorang saudari sedang membaca buku Yoel di bab 2, ayat 13. (Baca Yoel 2:13.) Semasa membaca ayat itu dengan suara perlahan, dia merenungkan bagaimana dia dapat meniru teladan Yehuwa yang ‘penyayang dan penuh rahmat; sabar dan sentiasa sedia mengampuni.’ Saudari ini memutuskan untuk membuang segala kata-kata kasar dan sindiran yang kadangkala digunakan terhadap suaminya dan orang lain.

7 Ketiga, bayangkan seorang suami Kristian yang baru hilang kerja dan sedang khuatir tentang keperluan keluarganya. Dengan suara perlahan dia membaca Nahum 1:7 yang menyatakan bahawa Yehuwa “melindungi umat-Nya pada masa mereka susah, Dia menjaga orang yang berlindung kepada-Nya.” Saudara ini dapat merasai bahawa Yehuwa mengambil berat tentangnya, dan dia tidak terlalu khuatir lagi. Kemudian dia membaca ayat 15. (Baca Nahum 1:15.) Saudara ini sedar bahawa mengkhabarkan berita baik, walaupun dalam keadaan susah, membuktikan bahawa dia sedang berlindung kepada Yehuwa. Sementara dia mencari pekerjaan yang baru, saudara ini juga didorong untuk melibatkan diri dalam aktiviti penyebaran pertengahan minggu.

8. Dengan singkat, kongsilah salah satu “berlian” yang anda jumpai semasa membaca Bible.

8 Isi-isi bermanfaat yang baru dibincangkan itu adalah dari buku Bible yang dianggap susah untuk difahami oleh sesetengah orang. Namun apabila anda menjumpai ayat-ayat yang menggalakkan dalam buku Hosea, Yoel, dan Nahum, keinginan anda untuk membaca buku-buku ini akan meningkat. Dengan demikian, anda akan digalakkan serta dibantu untuk membuat pilihan yang bijak. Buku Bible yang lain juga dapat membantu anda. Firman Tuhan seperti sebuah lombong berlian! Maka, bacalah seluruh Bible untuk mencari “berlian,” iaitu galakan dan bimbingan daripada Tuhan.

BERUSAHALAH UNTUK MENDAPAT PENGERTIAN

9. Bagaimanakah kita boleh menambah pengertian tentang Bible?

9 Membaca Bible setiap hari adalah penting. Tetapi kita juga ingin berusaha mendapat  pengertian dan pemahaman tentang perkara yang dibaca. Maka, gunakanlah bahan bacaan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk membuat penyelidikan tentang orang, tempat, dan peristiwa dalam Bible. Jika anda kurang pasti tentang ajaran Bible tertentu, tanyalah seorang penatua atau orang Kristian yang matang untuk membantu anda memahaminya. Marilah kita bincangkan contoh Apolos, seorang Kristian pada abad pertama.

10, 11. (a) Bagaimanakah Apolos dibantu untuk menjadi penginjil yang lebih berkesan? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah Apolos? (Lihat kotak “Adakah Anda Mengajar Kebenaran yang Terkini?”)

10 Apolos ialah seorang Kristian Yahudi yang “sangat memahami isi Alkitab” dan mempunyai semangat yang membara. Buku Kisah menyatakan bahawa “dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes.” Tanpa disedarinya, ajaran Apolos mengenai pembaptisan bukanlah ajaran terkini. Selepas mendengarnya mengajar di Efesus, pasangan Kristian Priskila dan Akwila ‘menerangkan penyelamatan Tuhan melalui Yesus dengan lebih tepat.’ (Kis. 18:24-26) Bagaimanakah hal ini membantu Apolos?

11 Selepas menginjil di Efesus, Apolos pergi ke Akhaya. ‘Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Tuhan, percaya kepada Yesus. Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Tuhan.’ (Kis. 18:27, 28, ABB) Pada masa itu, Apolos dapat menerangkan maksud pembaptisan Kristian dengan tepat. Oleh itu, dia telah membantu banyak orang untuk bertumbuh  secara rohani. Apakah pengajarannya bagi kita? Seperti Apolos, kita berusaha untuk memahami apa yang dibacakan dalam Alkitab. Dan apabila seorang yang lebih berpengalaman memberitahu kita cara mengajar yang lebih baik, kita mahu menerima bantuannya dengan rendah hati dan bersyukur. Dengan demikian, khidmat suci kita akan lebih berkesan.

GUNAKAN APA YANG DIPELAJARI UNTUK BANTU ORANG

12, 13. Bagaimanakah kita boleh menggunakan Bible untuk membantu pelajar Bible membuat kemajuan rohani?

12 Seperti Priskila, Akwila, dan Apolos, kita pun dapat membantu orang lain. Apakah perasaan anda apabila anda menggalakkan dan membantu seseorang membuat kemajuan rohani? Jika anda seorang penatua, apakah perasaan anda apabila seseorang mengucapkan terima kasih atas nasihat Bible yang anda berikan? Sudah tentu anda bersukacita kerana nasihat Bible yang diberikan membawa manfaat kepada mereka. * Jadi, bagaimanakah kita boleh melakukan hal ini?

13 Pada zaman Elia, ramai orang Israel mendua hati antara ibadat sejati dan ibadat palsu. Nasihat Elia kepada orang Israel boleh membantu pelajar Bible yang teragak-agak untuk membuat kemajuan rohani. (Baca 1 Raja-Raja 18:21.) Seorang pelajar Bible mungkin takut bahawa keluarga dan rakan akan mengkritiknya. Anda boleh menguatkan tekadnya untuk menyembah Yehuwa dengan berkongsi ayat di Yesaya 51:12, 13.Baca.

14. Apakah yang dapat membantu anda mengingati ayat Bible?

14 Terdapat banyak ayat Bible yang dapat menggalakkan, membetulkan, dan menguatkan kita. Namun, anda mungkin bertanya, “Bagaimanakah saya boleh ingat ayat mana yang sesuai digunakan?” Bacalah Bible setiap hari dan renungkannya. Dengan demikian anda akan semakin mengenali kandungan Bible, dan Yehuwa boleh menggunakan daya aktif-Nya untuk membantu anda mengingati ayat yang sesuai.—Mrk. 13:11; baca Yohanes 14:26. *

15. Apakah yang boleh membantu anda memahami Firman Tuhan dengan lebih mendalam?

15 Seperti Raja Salomo, berdoalah kepada Yehuwa untuk kebijaksanaan seraya anda menjalankan tugas teokratik. (2 Taw. 1:7-10) Dan seperti para nabi, anda boleh ‘mengkaji dan menyelidiki’ Firman Tuhan untuk memahami kebenaran mengenai Yehuwa dan kehendak-Nya. (1 Ptr. 1:10-12) Paulus juga telah menggalakkan Timotius untuk meneguhkan kerohaniannya “dengan ajaran iman Kristian dan ajaran benar.” (1 Tim. 4:6) Jika anda berbuat demikian, anda mampu membantu orang lain secara rohani. Dan pada masa yang sama, iman anda akan dikuatkan.

MEMBACA BIBLE MEMBAWA PERLINDUNGAN

16. (a) Bagaimanakah orang Berea yang ‘tiap-tiap hari mengkaji Alkitab’ memperoleh manfaat? (b) Mengapakah pembacaan Bible harian amat penting bagi kita hari ini?

16 Orang Yahudi di kota Berea ‘tiap-tiap hari mengkaji Alkitab.’ Semasa Paulus menginjil kepada mereka, mereka membandingkan kata-katanya dengan pengetahuan mereka mengenai Bible. Hasilnya, ramai yang yakin bahawa ajarannya benar dan “banyak antara mereka percaya kepada Yesus.” (Kis. 17:10-12) Hal ini menunjukkan bahawa  pembacaan Bible harian dapat menguatkan iman kita terhadap Yehuwa. Iman, yang “bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan,” adalah amat penting jika kita ingin sampai ke dunia baru Tuhan.—Ibr. 11:1.

17, 18. (a) Bagaimanakah iman dan kasih melindungi hati kiasan orang Kristian? (b) Bagaimanakah harapan melindungi kita daripada bahaya?

17 Oleh itu, Paulus menulis, “Kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi.” (1 Tes. 5:8) Seorang askar perlu melindungi jantung dan hatinya daripada musuh. Begitu juga, hati kiasan seorang Kristian perlu dilindungi daripada kuasa dosa. Apabila dia yakin terhadap janji Tuhan serta mengasihi Tuhan dan orang lain, dia dapat melindungi hatinya. Dia bagaikan memasang perisai dada rohani. Oleh itu, apa yang dilakukannya akan diperkenankan Tuhan.

18 Paulus juga menyebut tentang topi besi, iaitu harapan bahawa kita akan diselamatkan. Tanpa perlindungan kepala, seorang askar pada zaman Bible senang dibunuh. Tetapi jikalau dia memakai topi besi, dia akan dilindungi daripada kecederaan kepala. Begitu juga, jika kita mengkaji Bible, kita menjadi yakin bahawa Yehuwa mampu menyelamatkan kita. Harapan sebegini membantu kita menolak orang murtad dan ‘percakapan mereka yang sia-sia.’ (2 Tim. 2:16-19) Harapan ini juga membantu kita untuk menolak haluan jahat yang dikutuk Yehuwa.

SALAH SATU KUNCI PENYELAMATAN

19, 20. Mengapakah kita menghargai Firman Tuhan? Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargainya? (Lihat kotak ‘Yehuwa Memenuhi Segala Keperluan Saya.’)

19 Semakin kita mendekat dengan akhir sistem dunia ini, semakin kita perlu bergantung pada Firman Yehuwa. Nasihat Bible membantu kita membuang amalan buruk dan mengawal keinginan untuk berdosa. Dan galakan serta kelegaan hati yang diperoleh daripada Bible menguatkan kita untuk bertahan di bawah segala cubaan Syaitan. Jika kita terus mengikut arahan Bible, kita akan menuju ke kehidupan sejati.

20 Ingatlah bahawa kehendak Yehuwa ialah supaya “semua orang diselamatkan.” Hal ini merangkumi kita dan orang lain yang rela mendengar semasa kita menginjil. Semua yang ingin diselamatkan perlu “mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:4) Maka, kita harus membaca Bible dan menerapkan nasihatnya. Semoga kita membaca Bible setiap hari dan menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargai Firman Tuhan.—Yoh. 17:17.

^ per. 12 Kita tidak menggunakan nasihat Bible untuk mengutuk atau memaksa orang lain untuk berubah. Sebaliknya, kita meniru teladan Yehuwa dengan menunjukkan kesabaran dan kebaikan hati kepada pelajar Bible.—Mzm. 103:8.

^ per. 14 Bagaimanakah kalau anda mengingati kata-kata dalam ayat Bible tetapi tidak mengingati buku, bab, atau ayatnya? Anda boleh merujuk kepada indeks pada bahagian belakang Bible New World Translation, Watchtower Library, dan dalam konkordans New World Translation.