Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 KISAH HIDUP

Berkhidmat Sepenuh Masa Berdekatan Garisan Artik Selama Lima Dekad

Berkhidmat Sepenuh Masa Berdekatan Garisan Artik Selama Lima Dekad

“Memanglah senang untuk kamu merintis. Ibu bapa kamu di dalam kebenaran, jadi mereka bolehlah menyokong kamu.” Itulah yang kami katakan kepada kawan kami yang berkhidmat sepenuh masa. Dia membalas, “Kita semua mempunyai Bapa yang sama.” Jawapannya mengandungi pengajaran yang penting: Bapa yang di syurga menjaga dan menguatkan semua umat-Nya. Kisah hidup kami membuktikan kebenaran ini.

 KAMI sepuluh orang adik-beradik dibesarkan di sebuah ladang di Utara Ostrobothnia, Finland. Walaupun kami tinggal jauh dari medan peperangan, zaman kanak-kanak kami dihantui oleh Perang Dunia Kedua. Cahaya merah menerangi langit malam apabila bandar Oulu dan Kalajoki dibom. Ibu bapa menyuruh kami bersembunyi sebaik sahaja melihat pesawat pejuang merentasi langit. Jadi hati kami tersentuh sewaktu abang sulung kami, Tauno, menceritakan sebuah firdaus di bumi yang bebas dari ketidakadilan.

Semasa berumur 14 tahun, Tauno mempelajari kebenaran Bible daripada bahan bacaan yang diterbitkan oleh Pelajar Bible. Apabila Perang Dunia Kedua tercetus, dia telah menolak khidmat tentera kerana hati nuraninya. Akibatnya, dia dipenjarakan dan dilayan dengan kejam. Tetapi hal itu memperkuatkan azamnya untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Selepas dibebaskan, Tauno lebih giat melakukan aktiviti penyebaran. Teladan Tauno telah menggalakkan kami untuk menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Kami berusaha menyimpan wang supaya dapat menghadiri konvensyen. Kami menjahit pakaian untuk jiran-jiran, menanam bawang, dan memetik beri. Memandangkan ada banyak tugas di ladang, kami tidak dapat menghadiri konvensyen bersama-sama. Kami harus menghadirinya secara bergilir.

Dari kiri: Matti (bapa), Tauno, Saimi, Maria Emilia (ibu), Väinö (bayi), Aili, dan Annikki pada tahun 1935

Kasih terhadap Yehuwa bertambah apabila kami belajar tentang keperibadian dan tujuan-Nya. Kami membaktikan diri kepada-Nya dan dibaptis pada tahun 1947—Annikki berumur 15 tahun dan Aili berumur 17 tahun. Kakak kami, Saimi, dibaptis pada tahun yang sama. Kami juga mula belajar Bible dengan kakak kami, Linnea, yang sudah berkahwin. Dia dan keluarganya menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Selepas dibaptis, kami mula menetapkan matlamat untuk berkhidmat sebagai perintis sokongan dari masa ke masa.

MENCEBURI KHIDMAT SEPENUH MASA

Dari kiri: Eeva Kallio, Saimi Mattila-Syrjälä, Aili, Annikki, dan Saara Noponen pada tahun 1949

Pada tahun 1955, kami berpindah ke Kemi, sebuah bandar yang terletak di utara. Walaupun bekerja secara sekular sepenuh masa, kami ingin merintis. Namun kami khuatir tentang wang perbelanjaan. Oleh itu, kami berfikir lebih baik untuk mengumpulkan wang dahulu. Inilah masanya kami berbincang dengan kawan kami seperti yang disebut di perenggan pertama. Dia membantu kami menyedari bahawa kami tidak semata-mata bergantung pada diri sendiri dan keluarga semasa merintis. Tetapi, kami harus bergantung sepenuhnya kepada Bapa di syurga.

Semasa konvensyen di Kuopio pada tahun 1952. Dari kiri: Annikki, Aili, Eeva Kallio

Pada masa itu, wang simpanan kami hanya cukup untuk dua bulan. Jadi, pada Mei 1957, dengan teragak-agak kami memohon untuk berkhidmat sebagai perintis selama dua bulan di Pello, sebuah kawasan perbandaran di Lappland, yang terletak di atas Garisan Artik. Selepas dua bulan, kami masih memiliki wang simpanan. Jadi, kami merintis selama dua bulan lagi. Akhirnya,  wang simpanan kami masih mencukupi. Sekarang kami yakin bahawa Yehuwa memang akan menjaga kami. Kami sudah merintis selama 50 tahun dan masih memiliki wang simpanan itu! Dengan mengimbas masa lalu, kami berasa seperti Yehuwa memegang tangan kami sambil berkata, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”—Yes. 41:13.

Selepas meluangkan 50 tahun dalam khidmat sepenuh masa, kami masih ada wang simpanan itu!

Kaisu Reikko dan Aili semasa aktiviti penyebaran

Pada 1958, penyelia litar menggalakkan kami untuk menjadi perintis khas di Sodankylä, Lappland. Pada masa itu, hanya ada seorang saudari yang tinggal di sana. Cara dia mendapat kebenaran amatlah menarik. Sewaktu anak lelakinya menyertai lawatan sekolah ke Helsinki, ibu kota Finland, seorang saudari yang lanjut usia memberinya majalah Watchtower. Saudari itu memberitahu dia untuk memberikan majalah itu kepada ibunya. Apabila ibunya membaca majalah itu, dia terus sedar bahawa inilah kebenaran.

Kami menyewa bilik di atas sebuah kilang papan serta mengadakan perjumpaan di sana. Pada mulanya, kami berdua serta saudari tempatan dan anak perempuannya sahaja yang hadir. Kami membaca bahan pelajaran bersama-sama. Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang pernah belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa datang bekerja di kilang tersebut. Dia dan keluarganya mula menghadiri perjumpaan kami. Kemudian, dia dan isterinya dibaptis. Saudara ini mula mengambil pimpinan dalam perjumpaan. Beberapa lelaki yang kerja di kilang juga menghadiri perjumpaan lalu menerima kebenaran. Beberapa tahun kemudian, kumpulan kami cukup besar untuk membentuk sebuah sidang.

MENGHADAPI CABARAN

Semasa menginjil, kami terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh. Pada musim panas, kami berjalan, berbasikal, dan berdayung untuk mencari orang di kawasan penyebaran. Basikal kami sangat berguna. Kami mengayuh sejauh ratusan batu untuk melawat ibu bapa kami serta menghadiri konvensyen. Pada musim sejuk, kami menaiki bas pada awal pagi yang menuju ke sebuah pekan lalu menyebar dari rumah ke rumah. Selepas menyebar di pekan tersebut, kami berjalan ke pekan yang seterusnya. Laluan jalan selalu diliputi dengan salji yang tebal. Oleh itu, kami sering berjalan mengikut bekas yang  ditinggalkan oleh kereta luncur salji yang ditarik kuda. Namun, ada kalanya bekas tersebut juga ditutupi salji. Pada awal musim bunga, timbunan salji yang sangat lembut dan basah menyusahkan perjalanan kami.

Menyebar bersama pada musim sejuk

Kami terpaksa memakai baju tebal kerana cuaca yang sejuk dan bersalji. Kami memakai stoking panjang bebulu tebal dan dua atau tiga pasang stoking biasa dengan kasut but yang tinggi. Namun, salji masih memasuki but kami. Setelah sampai di depan sebuah rumah, kami membuka but lalu mengeluarkan salji dari dalamnya. Seraya mengharungi jalan yang penuh dengan timbunan salji, bahagian bawah kot kami menjadi basah dan membeku. Selepas kami berjalan sejauh 11 km untuk sampai ke sebuah rumah, seorang suri rumah berkata, “Kamu memang beriman kerana rela mengharungi cuaca buruk ini.”

Kami sering bermalam di rumah orang tempatan. Apabila hari sudah lewat, kami meminta izin untuk tinggal di rumah mereka. Rumah mereka sederhana, tetapi orangnya mesra dan suka menerima tamu. Mereka tidak hanya menyediakan tempat tidur, tetapi juga menyediakan makanan. Biasanya, kami tidur di atas kulit binatang. Sekali-sekala, kami berpeluang menikmati sedikit kemewahan. Contohnya, seorang wanita dengan rumah yang besar menjemput kami bermalam dalam bilik yang mempunyai katil cantik bercadar putih. Sering kali kami membincangkan Bible bersama tuan rumah hingga larut malam. Pernah sekali, kami bermalam di rumah sepasang suami isteri. Mereka bergilir-gilir menanya soalan dan kami membincangkan ayat-ayat Bible sehingga awal pagi keesokan hari. Dalam bilik yang sama, kami tidur di satu sudut dan mereka tidur di sudut yang lain.

KHIDMAT YANG MENDATANGKAN KEPUASAN

Walaupun tandus, Lappland merupakan tempat bermusim yang indah. Tetapi kami berasa bahawa orang yang menghargai Yehuwa lagi indah. Antara yang mendengar kebenaran adalah lelaki yang datang bekerja di kem-kem pembalakan di Lappland. Kadangkala kami menemui banyak pembalak yang berbadan tegap di sebuah rumah. Mereka gembira mendengar mesej Bible dan menerima bahan bacaan.

Kami mempunyai banyak pengalaman menarik. Pada suatu hari, kami ketinggalan bas kerana jam di stesen bas awal lima minit. Kami membuat keputusan untuk menaiki bas ke pekan lain. Kami tidak pernah menginjil di sana. Tetapi di rumah yang pertama, seorang wanita muda berkata, “Oh kamu sudah sampai, seperti yang saya jangkakan.” Rupanya kakak wanita ini pelajar Bible kami. Oleh itu, wanita ini juga mahu kami melawatnya. Namun, kami tidak pernah menerima pesanan itu. Satu pembelajaran Bible telah dimulakan dengannya dan ahli keluarganya yang tinggal berdekatan. Tidak lama kemudian, kami  membentuk satu kumpulan pembelajaran bersama lebih kurang dua belas orang. Sejak itu, ramai dari keluarga ini menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Pada tahun 1965, kami ditugaskan ke Kuusamo yang terletak di bawah Garisan Artik. Pada masa itu, hanya beberapa penyiar dalam sidang. Pada mulanya, susah untuk menginjil di tempat ini. Orang di sini kuat beragama dan bersikap prejudis. Namun, mereka menghormati Bible. Hal ini menjadi titik persamaan untuk memulakan perbualan. Secara beransur-ansur kami berusaha mengenali orang di sini. Selepas dua tahun, semakin mudah bagi kami untuk mendapat pelajar Bible.

MASIH CERGAS MENGINJIL

Bersama orang yang pernah belajar dengan kami

Sekarang, kami tidak larat untuk menyebar sepanjang hari. Namun kami masih menginjil hampir setiap hari. Seorang anak buah telah menggalakkan Aili untuk belajar memandu. Aili mendapat lesen memandu pada tahun 1987 semasa dia berumur 56 tahun. Maka, kerja menginjil dalam kawasan penyebaran yang luas menjadi lebih senang. Selain itu, kami juga telah berpindah ke pangsapuri yang bersebelahan dengan Dewan Perjumpaan.

Kami sangat gembira kerana ramai yang memeluk kebenaran di utara Finland. Semasa kami mula merintis, hanya terdapat beberapa penyiar. Sekarang, ada beberapa sidang yang membentuk satu litar di sana. Kerap kali semasa konvensyen dan perhimpunan, seseorang akan memperkenalkan dirinya dan memberitahu bahawa kami telah mengadakan pembelajaran Bible di rumahnya semasa dia kecil lagi. Benih kebenaran yang telah ditabur bertahun-tahun dahulu akhirnya bercambah juga!—1 Kor. 3:6.

Kami menikmati kerja penyebaran walaupun hujan

Pada tahun 2008, kami telah mencapai 50 tahun dalam khidmat sepenuh masa. Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana membantu kami saling menggalakkan dan bertahan dalam kerja ini. Kehidupan kami memang sederhana, tetapi kami tidak pernah kekurangan apa-apa. (Mzm. 23:1) Kami tidak seharusnya teragak-agak untuk menjadi perintis. Yehuwa telah menguatkan kami seperti yang dijanjikan-Nya di Yesaya 41:10, “Aku akan menguatkan dan menolong kamu; Aku akan melindungi dan menyelamatkan kamu.”