Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apakah yang Diperlukan setelah ‘Kamu Mengenal Tuhan’?

Apakah yang Diperlukan setelah ‘Kamu Mengenal Tuhan’?

‘Kamu mengenal Tuhan.’GAL. 4:9.

1. Mengapakah juruterbang perlu menggunakan senarai semakan sebelum memulakan penerbangan?

SEBELUM memulakan penerbangan, juruterbang perlu menggunakan senarai semakan bagi memeriksa lebih daripada 30 perkara! Jika mereka tidak membuat pemeriksaan yang teliti, mereka mungkin mengundang tragedi. Siapakah yang selalu diingatkan untuk menggunakan senarai semakan ini? Ya, juruterbang yang sudah berpengalaman! Mereka yang sudah lama menjadi juruterbang mungkin gagal melakukan semakan dengan teliti.

2. Apakah senarai semakan yang perlu digunakan oleh orang Kristian?

2 Seperti juruterbang yang mementingkan keselamatan, anda boleh menggunakan “senarai semakan” untuk memastikan iman anda tetap teguh semasa menghadapi kesusahan. Sama ada anda baru dibaptis atau sudah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun, anda selalu perlu memeriksa iman dan kesetiaan anda kepada Yehuwa. Jika tidak, anda mungkin mengundang masalah rohani. Bible memberi amaran, “Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh.”—1 Kor. 10:12, ABB.

3. Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Kristian di Galatia?

3 Orang Kristian di Galatia perlu memeriksa iman sendiri. Dengan beriman kepada korban tebusan Yesus, mereka berpeluang mengenali Tuhan, bahkan menjadi anak-anak Tuhan. (Gal. 4:9) Tetapi, beberapa orang di sidang Kristian berkeras untuk mematuhi Hukum Musa. Namun Tuhan tidak lagi menggunakan Hukum itu, dan orang bukan Yahudi dalam sidang pun tidak pernah mematuhi Hukum Musa! Orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang ingin membuat kemajuan rohani perlu sedar bahawa Yehuwa tidak lagi  menghendaki mereka mematuhi Hukum itu.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGENAL TUHAN

4, 5. Apakah nasihat Paulus kepada sidang di Galatia? Mengapakah nasihatnya penting bagi kita?

4 Nasihat rasul Paulus kepada sidang di Galatia mengingatkan orang Kristian supaya tidak meninggalkan kebenaran Bible lalu kembali ke perkara-perkara lampau. Nasihat Paulus bukan untuk sidang di Galatia sahaja, tetapi bagi semua orang Kristian. Nasihat ini akan membantu kita berdiri teguh dalam kebenaran.

5 Sebagai seorang Saksi, kita harus mengingati bagaimana kita dibebaskan daripada kegelapan rohani. Fikirkanlah dua soalan ini: Adakah anda ingat langkah-langkah yang anda ambil untuk melayakkan diri sebagai calon pembaptisan? Adakah anda ingat bagaimana anda mengenal Tuhan, dan perasaan anda apabila anda dikenali Tuhan?

6. Apakah senarai semakan yang akan kita bincangkan?

6 Secara amnya, kita telah mengambil sembilan langkah. Langkah-langkah ini seperti senarai semakan, dan didapati dalam kotak  “Langkah-langkah untuk Dibaptis dan Meneruskan Kemajuan Rohani.” Dengan selalu mengingati sembilan langkah ini, kita akan dibantu untuk tidak kembali ke perkara-perkara di dunia. Juruterbang yang menggunakan senarai semakan akan memastikan penerbangan yang selamat. Maka iman kita dikukuhkan jika kita menggunakan senarai semakan rohani.

MEREKA YANG DIKENALI TUHAN TERUS BERTUMBUH SECARA ROHANI

7. Apakah ajaran yang harus kita ikuti, dan mengapa?

7 Senarai semakan juruterbang mengingatkannya bahawa terdapat langkah-langkah tertentu yang harus diambil sebelum memulakan penerbangan. Begitu juga dengan kita, kita harus memeriksa langkah-langkah yang diambil sejak pembaptisan. Paulus menulis kepada Timotius, “Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu. Hendaklah engkau tetap berpegang kepada iman dan kasih yang menjadi milik kita kerana bersatu dengan Kristus Yesus.” (2 Tim. 1:13, ABB) “Ajaran benar” terkandung dalam Bible. (1 Tim. 6:3) Sebuah lakaran boleh memberi kita gambaran tentang sesuatu. Begitu juga, “ajaran benar” memberi kita gambaran mengenai apa yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada kita. Jadi, marilah kita berbincang mengenai langkah-langkah yang diambil sebelum pembaptisan dan memeriksa sama ada kita masih mengamalkan “ajaran benar” dengan teliti.

8, 9. (a) Apakah yang harus kita lakukan mengenai pengetahuan dan iman kita? (b) Mengapakah pertumbuhan rohani sangat penting dan boleh disamakan dengan pertumbuhan sebatang pokok?

8 Langkah pertama dalam senarai semakan kita adalah untuk memperoleh pengetahuan. Pengetahuan ini membantu kita untuk membina iman. Walaupun kita sudah dibaptis, kerohanian kita patut terus maju. Oleh itu, pengetahuan dan iman kita juga harus terus bertumbuh.—2 Tes. 1:3.

Seperti pokok, orang Kristian harus terus bertumbuh

9 Kita boleh membandingkan pertumbuhan rohani kita dengan pertumbuhan sebatang pokok. Sebatang pokok boleh bertumbuh menjadi sangat besar terutamanya jika akarnya kuat dan panjang. Contohnya, ketinggian sebatang pokok sedar dari Lubnan boleh mencapai ketinggian yang sama dengan bangunan 12 tingkat. Dan jika kita melilitkan batang pokok itu dengan tali, panjang tali itu kira-kira 12 m. (Kid. 5:15) Pada mulanya, pokok itu akan bertumbuh dengan pesat. Selepas mencapai kematangan, pokok itu masih  bertumbuh. Batangnya semakin membesar, dan akarnya terus menembus ke dalam tanah sehingga menjadi mantap. Begitu juga dengan pertumbuhan rohani. Kita mungkin membuat kemajuan dengan pesat sewaktu kita mula-mula belajar Bible dan dibaptis. Dan kita pun mungkin layak berkhidmat sebagai perintis atau memikul tanggungjawab lain dalam sidang. Rakan seiman dapat memperhatikan kemajuan rohani kita. Namun, pada tahun-tahun berikutnya, pertumbuhan rohani kita mungkin tidak begitu ketara. Pengetahuan dan iman kita masih perlu bertumbuh sehingga kita “menjadi matang” seperti Kristus. (Ef. 4:13) Oleh itu, pertumbuhan rohani kita seperti tunas kecil yang bertumbuh sehingga menjadi sebatang pokok yang besar dan kuat.

10. Mengapakah orang Kristian yang matang masih perlu bertumbuh secara rohani?

10 Pertumbuhan rohani kita tidak patut berhenti. Pengetahuan Bible dan iman kita patut bertambah dan diperkuatkan. (Ams. 12:3) Banyak saudara dan saudari masih bertumbuh secara rohani. Sebagai contoh, seorang saudara yang berkhidmat sebagai penatua selama 30 tahun berkata, “Penghargaan saya terhadap Bible semakin bertambah. Saya sentiasa mencari peluang baru untuk menerapkan prinsip Bible. Penghargaan saya terhadap kerja penyebaran turut bertambah.”

MEMPERKUATKAN PERSAHABATAN DENGAN TUHAN

11. Bagaimanakah persahabatan kita dengan Yehuwa dapat diperkuatkan?

11 Untuk bertumbuh secara rohani, kita perlu mendekati Yehuwa sebagai Sahabat dan Bapa kita. Dia ingin kita berasa dikasihi dan selamat, seperti seorang anak sewaktu dipeluk oleh ibu bapanya atau seorang yang dikelilingi oleh rakannya yang sejati. Hubungan yang erat ini tidak dapat dijalin dalam masa yang singkat. Masa dan usaha diperlukan untuk mengenal dan mengasihi Yehuwa. Oleh itu, berusahalah bersungguh-sungguh untuk membaca Firman-Nya setiap hari. Bacalah juga setiap terbitan majalah pembelajaran dan majalah berita, serta bahan bacaan lain yang berdasarkan Bible supaya persahabatan anda dengan Yehuwa dapat diperkuatkan.

12. Apakah yang harus kita lakukan untuk mengekalkan persahabatan kita dengan Yehuwa?

12 Doa yang tulus dan pergaulan yang baik diperlukan untuk bertumbuh secara rohani. (Baca Maleakhi 3:16.) Yehuwa “sentiasa mendengarkan doa” kita. (1 Ptr. 3:12) Seperti seorang bapa yang pengasih,  Yehuwa mendengar sewaktu kita meminta bantuan. Oleh itu, “berdoalah senantiasa.” (Rm. 12:12) Kita tidak dapat mengekalkan kematangan rohani tanpa bantuan Tuhan. Tekanan sistem dunia ini terlalu berat bagi kita untuk menanggungnya sendiri. Jika kita berhenti berdoa, kita seperti memotong bekalan tenaga daripada Tuhan yang tidak pernah berat hati untuk menghulurkan bantuan. Adakah anda berpuas hati dengan mutu doa anda, ataupun adakah anda dapat memperbaiki mutu doa anda?—Yer. 16:19.

13. Mengapakah pergaulan Kristian penting bagi pertumbuhan rohani?

13 Yehuwa gembira dengan “orang yang berlindung kepada-Nya.” Oleh itu, kita ingin terus bergaul dengan orang yang mengenal Tuhan dalam sidang. (Nah. 1:7) Dalam dunia yang penuh dengan cabaran, adalah bijak untuk bergaul bersama saudara saudari yang menggalakkan. Apakah manfaatnya? Mereka akan “saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain.” (Ibr. 10:24, 25) Untuk meraih manfaat ini, kita harus menghadiri perjumpaan secara tetap dan memberikan komen.

14. Mengapakah bertaubat dan menukar haluan hidup adalah proses yang berterusan?

14 Semasa kita mula-mula menjadi seorang Kristian, kita telah bertaubat dan menukar haluan hidup. Namun, bertaubat adalah proses yang berterusan. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita cenderung berdosa. Dosa adalah seperti seekor ular yang bersedia menyerang kita pada bila-bila masa. (Rm. 3:9, 10; 6:12-14) Kita harus berwaspada dan tidak menafikan bahawa kita mempunyai kesilapan. Mujurlah, Yehuwa sangat bersabar terhadap kita seraya kita bergelut dengan kelemahan sendiri dan membuat perubahan yang diperlukan. (Flp. 2:12; 2 Ptr. 3:9) Gunakanlah masa dan tenaga anda dengan bijak dalam khidmat Yehuwa, dan bukannya mengejar keinginan sendiri. Seorang saudari menulis, “Saya dibesarkan dalam kebenaran, tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai Yehuwa. Bagi saya, Dia harus ditakuti, dan mustahil untuk menggembirakan hati-Nya.” Saudari itu tidak mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa dan telah melakukan kesilapan dalam hidupnya. Dia berkata, “Hal ini bukan kerana saya tidak mengasihi Yehuwa, tetapi kerana saya tidak benar-benar mengenali-Nya. Selepas beberapa kali berdoa dengan bersungguh-sungguh, saya mula membuat perubahan.” Dia menambah, “Saya boleh berasa Yehuwa menuntun saya seperti seorang anak. Dia membantu saya menghadapi cabaran demi cabaran, dan dengan lemah-lembut menunjukkan apa yang saya harus lakukan.”

15. Apakah yang diperhatikan oleh Yesus dan Bapanya?

15 “Pergilah . . . beritahu orang ramai tentang” berita baik. Inilah kata-kata yang disampaikan oleh malaikat Tuhan kepada Petrus dan rasul-rasul lain selepas mereka dibebaskan dari penjara secara mukjizat. (Kis. 5:19-21) Ya, satu lagi aspek penting dalam senarai semakan kita adalah mengambil bahagian dalam kerja penyebaran setiap minggu. Yesus dan Bapanya memperhatikan iman kita dan menghargai usaha kita dalam kerja penyebaran. (Why. 2:19) Oleh itu, kerja penyebaran harus menjadi sebahagian besar dalam hidup kita.

16. Mengapakah bermanfaat untuk merenungkan pembaktian anda kepada Yehuwa?

16 Renungkanlah pembaktian anda. Hubungan yang erat dengan Yehuwa merupakan perkara yang paling berharga bagi kita. Dia mengenali orang yang menjadi milik-Nya. (Baca Yesaya 44:5.) Oleh itu, periksalah  hubungan anda dengan Yehuwa dan berdoalah untuk terus menjalin hubungan erat dengan-Nya. Fikirkan juga tarikh pembaptisan anda, kerana tarikh ini akan mengingatkan anda tentang keputusan yang paling bermakna yang pernah anda buat.

MENDEKATI YEHUWA DENGAN BERTABAH

17. Mengapakah ketabahan diperlukan untuk mendekati Yehuwa?

17 Paulus menekankan bahawa ketabahan diperlukan di kalangan orang Kristian di Galatia. (Gal. 6:9) Sifat itu juga penting bagi orang Kristian hari ini. Semasa anda menghadapi cubaan, Yehuwa akan membantu anda. Teruslah berdoa untuk daya aktif-Nya. Anda akan berasa lega kerana Dia menggantikan kesedihan dengan sukacita, dan kekhuatiran dengan kedamaian. (Mat. 7:7-11) Fikirkanlah, jika burung sangat berharga bagi Yehuwa, sudah pasti anda lebih berharga kerana anda mengasihi-Nya dan telah membaktikan diri kepada-Nya. (Mat. 10:29-31) Tidak kira apa jua cubaan yang dialami, janganlah berputus asa. Yehuwa memberkati kita dengan berlimpah-limpah kerana Dia mengenal kita!

18. Apakah tekad orang yang sudah mengenal Yehuwa?

18 Jika anda sudah mengenal Tuhan dan baru dibaptis, apakah tekad anda? Teruslah mengenali Yehuwa dengan lebih baik dan bertumbuh secara rohani. Bagaimana pula jika anda sudah lama dibaptis? Anda juga harus menimba pengetahuan tentang Yehuwa. Janganlah berfikir bahawa hubungan kita sudah cukup erat dengan Yehuwa. Sebaliknya, periksalah senarai semakan rohani dari semasa ke semasa untuk memastikan hubungan kita terus bertumbuh dengan Bapa dan Sahabat kita, Tuhan Yehuwa.—Baca 2 Korintus 13:5, 6.