Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Orang yang Mengasihi Yehuwa “Tidak akan Tersandung”

Orang yang Mengasihi Yehuwa “Tidak akan Tersandung”

“Jika kamu hidup demikian, kamu tidak akan terhalang ketika berjalan, dan kamu tidak akan tersandung ketika berlari.”AMS. 4:12.

1. Bagaimanakah seorang pelari menunjukkan tekadnya untuk tidak putus asa?

SEWAKTU remaja, Mary Decker menjadi pelari yang dikenali ramai. Dia disangka akan memenangi pingat emas dalam acara larian 3,000-meter dalam sukan Olimpik pada tahun 1984. Tetapi, dia gagal melepasi garisan penamat. Kakinya tersandung pada kaki pelari lain lalu dia terjatuh telentang. Dalam keadaan cedera dan kesakitan, dia diusung keluar dari litar lumba lari. Mary tidak putus asa. Dalam masa kurang daripada setahun, dia mula berlari lagi dan mencapai rekod dunia pada tahun 1985 sebagai pelari wanita yang terpantas bagi acara larian satu batu.

2. Sebagai orang Kristian, kita ibarat menyertai apa? Apakah sepatutnya tumpuan kita?

2 Sebagai orang Kristian, kita ibarat pelari dalam sebuah perlumbaan. Tumpuan kita haruslah untuk menang. Kita bukan menyertai lumba pecut dengan kepantasan sebagai kunci kemenangan. Kita juga bukan berlari untuk bersenam sambil makan angin. Perlumbaan ini boleh disamakan dengan larian jarak jauh atau maraton. Ketahanan diperlukan untuk menang. Paulus menggunakan contoh ini dalam suratnya kepada sidang di Korintus, kota yang terkenal dengan pertandingan olahraga. Dia menulis, “Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu.”—1 Kor. 9:24, ABB.

3. Bagaimanakah semua pelari dapat memenangi kehidupan kekal dalam perlumbaan ini?

3 Bible menggalakkan kita untuk berlari dalam perlumbaan kiasan ini. (Baca 1 Korintus 9:25-27.) Orang Kristian terurap akan menikmati kehidupan kekal di  syurga, manakala domba-domba lain akan hidup kekal di bumi. Berlainan daripada sukan olahraga, perlumbaan ini menawarkan hadiah kepada semua peserta yang bertahan hingga ke akhir. (Mat. 24:13) Hanya pelari yang gagal mengikut peraturan atau yang tidak merentasi garisan penamat akan kalah. Perlumbaan ini sahaja yang menawarkan kehidupan kekal sebagai hadiah.

4. Mengapakah larian kita untuk meraih kehidupan kekal mencabar?

4 Bukanlah mudah untuk merentasi garisan penamat. Hanya Yesus Kristus yang pernah merentasi garisan penamat tanpa tersandung. Yakobus menulis bahawa semua pengikut Kristus “sering membuat kesalahan,” atau tersandung. (Yak. 3:2) Hal itu memang benar! Kita dipengaruhi oleh ketidaksempurnaan sendiri dan orang lain. Ada kalanya kita akan tersandung dan kehilangan momentum. Kita mungkin terjatuh; tetapi kita boleh bangun dan meneruskan perlumbaan itu. Ada yang terjatuh dengan parah sehingga memerlukan bantuan untuk meneruskan perlumbaan. Oleh itu, janganlah hairan jika kita tersandung atau terjatuh sekali-sekala.—1 Raj. 8:46.

Jika anda tersandung, terimalah bantuan dan bangun semula!

TETAPLAH DALAM PERLUMBAAN WALAUPUN TERSANDUNG

5, 6. (a) Mengapakah orang Kristian “tidak akan tersandung,” dan apakah yang akan membantu mereka “bangun semula”? (b) Mengapakah sesetengah orang tidak pulih selepas tersandung?

5 Mungkin anda pernah menggunakan perkataan “tersandung” untuk menggambarkan keadaan rohani seseorang. Ada yang tersandung atau terjatuh lalu bertaubat dan kembali menyembah Yehuwa. Yang lain pula enggan bertaubat. Amsal 24:16 (ABB) menyatakan, “Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula. Tetapi orang jahat akan dihancurkan oleh malapetaka.”

6 Yehuwa tidak akan membenarkan orang yang percaya kepada-Nya untuk tersandung atau terjatuh, iaitu mengalami kesusahan atau halangan, sehingga tidak dapat pulih dalam penyembahan mereka. Kita yakin Yehuwa akan membantu kita untuk “bangun semula” dan terus menyembah-Nya  dengan bersungguh-sungguh. Hal ini memang melegakan hati orang yang mengasihi Yehuwa! Orang jahat pula tidak ingin bangun semula. Mereka menolak bantuan daya aktif Tuhan dan umat-Nya. Manakala, orang yang mencintai Taurat Yehuwa, “tidak akan tersandung” dan tersingkir daripada perlumbaan yang menuju ke kehidupan kekal.—Ams. 4:12; Mzm. 119:165.

7, 8. Bagaimanakah seseorang yang “jatuh” masih mendapat perkenan Tuhan?

7 Kelemahan diri menyebabkan sesetengah orang mengulangi dosa tertentu. Tetapi, mereka masih boleh mendapat perkenan Yehuwa jika mereka “bangun semula,” iaitu bertaubat dengan tulus dan berusaha untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia. Hal ini dicerminkan melalui cara Yehuwa berurusan dengan bangsa Israel kuno. (Yes. 41:9, 10) Amsal 24:16 menggalakkan kita untuk “bangun semula” dengan menerima bantuan daripada Tuhan Yehuwa yang berbelas kasihan. (Baca Yesaya 55:7.) Jika anda tersandung, yakinlah bahawa Yehuwa dan Yesus ingin anda berusaha untuk “bangun semula.”—Mzm. 86:5; Yoh. 5:19.

8 Walaupun seorang pelari maraton tersandung atau terjatuh, dia masih sempat untuk bangun semula dan menghabiskan perlumbaan itu jika dia bertindak dengan segera. Kita tidak tahu “hari atau waktunya” perlumbaan untuk kehidupan kekal akan berakhir. (Mat. 24:36) Jika kita berusaha untuk tidak tersandung, lebih senang bagi kita untuk terus berlari sehingga merentasi garisan penamat. Jadi, bagaimanakah kita boleh mengelak daripada tersandung?

HAL-HAL YANG MENYANDUNG KITA

9. Apakah lima faktor yang boleh menyebabkan kita tersandung?

9 Terdapat lima faktor yang boleh menyebabkan kita tersandung—kelemahan diri, keinginan berdosa, ketidakadilan dalam sidang, penderitaan atau penganiayaan, dan ketidaksempurnaan orang lain. Ingatlah, walaupun kita pernah tersandung, Yehuwa masih bersabar dan tidak cepat putus harapan terhadap kita.

10, 11. Apakah kelemahan Daud?

10 Kelemahan diri bagaikan serpihan batu di litar lumba lari. Kehidupan Raja Daud dan rasul Petrus menyerlahkan kelemahan mereka, iaitu perasaan takut akan manusia dan kurang kawalan diri.

11 Raja Daud gagal mengawal diri lalu melakukan dosa dengan Batsyeba. Sewaktu dia dihina oleh Nabal, Daud hampir bertindak dengan terburu-buru. Namun, dia tidak berputus asa untuk menyenangkan hati Yehuwa. Dia telah menawan kelemahannya dengan bantuan orang lain.—1 Sam. 25:5-13, 32, 33; 2 Sam. 12:1-13.

12. Bagaimanakah Petrus meneruskan perlumbaannya walaupun tersandung?

12 Petrus setia kepada Yesus dan Yehuwa. Namun, ada kalanya perasaan takut akan manusia mendorongnya untuk melakukan kesilapan. Misalnya, dia menyangkal gurunya sebanyak tiga kali di khalayak ramai. (Luk. 22:54-62) Kemudian, Petrus memperlakukan orang Kristian bukan Yahudi sebagai golongan yang lebih rendah daripada orang Kristian Yahudi. Paulus menyedari hal itu lalu menasihati Petrus dengan tegas supaya kelakuan Petrus tidak membawa kesan buruk dalam sidang. (Gal. 2:11-14) Adakah nasihat Paulus menyinggung hati Petrus dan menyebabkannya berhenti berlari dalam perlumbaan menuju ke kehidupan kekal? Tidak. Dia merenungkan nasihat Paulus, berubah, dan meneruskan perlumbaannya.

13. Bagaimanakah masalah kesihatan boleh menyandung kita?

13 Kelemahan diri merangkumi masalah kesihatan. Masalah ini boleh melambatkan kita dan menyebabkan keletihan. Contohnya selepas 17 tahun dia dibaptis, seorang  saudari dari Jepun menghidap penyakit yang teruk. Dia asyik memikirkan masalah kesihatannya sehingga menjadi lemah secara rohani. Lama-kelamaan, dia menjadi penyiar tidak aktif. Dua orang penatua telah melawatnya dan mengalakkannya. Kemudian, dia mula menghadiri perjumpaan lagi. Dia mengenang, “Saya sangat tersentuh dengan keramahan para saudara sehingga saya mengalirkan air mata.” Sekarang, saudari ini meneruskan perlumbaannya.

14, 15. Apakah tindakan tegas yang harus kita ambil sewaktu keinginan berdosa timbul? Berikan contoh.

14 Banyak orang tersandung disebabkan oleh keinginan berdosa. Sewaktu digoda, kita perlu mengambil tindakan yang tegas agar minda, kelakuan, dan kerohanian kita tidak dicemar. Yesus menasihati kita untuk ‘membuang’ segala hal yang boleh menyandung kita, termasuklah mata dan tangan kiasan kita. Hal ini merangkumi pemikiran dan kelakuan yang tidak bermoral yang dapat menyingkirkan kita daripada perlumbaan itu.—Baca Kolose 3:5.

15 Seorang saudara yang dibesarkan dalam kebenaran sudah lama bergelut dengan kecenderungan homoseksual. Dia mengatakan bahawa dia sering berasa kekok apabila dikelilingi orang ramai. Pada usia 20 tahun, dia mula berkhidmat sebagai perintis biasa dan pembantu sidang. Kemudian, dia tersandung dengan parah lalu diberi disiplin dan bantuan oleh para penatua. Dia berdoa, mempelajari Bible, dan berusaha untuk membantu orang lain. Oleh itu, dia dapat meneruskan perlumbaannya. Bertahun-tahun kemudian, dia mengaku, “Sekali-sekala saya masih ada kecenderungan itu, tetapi saya tidak membiarkan perasaan itu menawan saya. Saya belajar bahawa Yehuwa tidak akan membiarkan saya dicubai lebih daripada yang dapat saya tanggung. Jadi, saya percaya Tuhan yakin bahawa saya akan berjaya.” Saudara ini mengakhiri dengan berkata, “Usaha dan ketabahan saya akan diberkati di dunia baru. Itulah yang saya dambakan! Jadi, saya meneruskan pergelutan saya.” Saudara ini bertekad untuk meneruskan perlumbaannya.

16, 17. (a) Bagaimanakah seorang saudara yang berfikir dia diperlakukan dengan tidak adil telah dibantu? (b) Apakah yang harus kita ingat mengenai sidang agar kita tidak tersandung?

16 Kita juga boleh tersandung kerana ketidakadilan dalam sidang. Di Perancis, seorang bekas penatua berfikir dia diperlakukan dengan tidak adil. Dia menjadi kecewa lalu berhenti bergaul bersama sidang dan berhenti menginjil. Dua orang penatua melawatnya dan mendengar dengan teliti semasa dia menceritakan sudut pandangannya. Para penatua menggalakkan dia untuk menyerahkan segala bebannya kepada Yehuwa serta meyakinkan dia bahawa hal yang terpenting adalah menyenangkan hati Yehuwa. Dia menyambut nasihat itu dengan baik. Tidak lama kemudian, saudara ini meneruskan perlumbaannya dan menjadi aktif dalam sidang.

17 Kita tidak perlu terlalu bimbang tentang ketidaksempurnaan orang dalam sidang. Yesus ialah Kepala sidang dan matanya yang “bernyala-nyala seperti api” dapat melihat segala hal yang berlaku di dalam sidang dengan lebih terperinci. (Why. 1:13-16) Contohnya, kita mungkin berfikir bahawa ketidakadilan berlaku dalam sidang. Tetapi kita mungkin salah faham. Yesus akan membetulkan masalah dalam sidang dengan cara yang betul pada masa yang tepat. Oleh itu, kita tidak patut membenarkan tingkah laku orang Kristian lain untuk menyandung kita.

18. Bagaimanakah kita dapat bertahan semasa menghadapi penderitaan atau penganiayaan?

18 Dua lagi faktor yang boleh menyebabkan kita tersandung adalah penderitaan atau penganiayaan dan ketidaksempurnaan orang lain. Dalam perumpamaannya mengenai seorang  penabur, Yesus mengatakan bahawa umat Tuhan akan mengalami “kesusahan atau penganiayaan” yang boleh menyebabkan beberapa orang tersandung. Penderitaan atau penganiayaan mungkin datang daripada keluarga, jiran, atau para pemerintah. Maka seseorang yang lemah secara rohani mungkin mudah tersandung. (Mat. 13:21) Namun, jika kita memupuk hati yang jujur, benih kebenaran akan menguatkan kepercayaan kita. Semasa kita dilanda kesusahan, bertekadlah untuk merenungkan perkara-perkara yang patut dipuji. (Baca Filipi 4:6-9.) Dengan bantuan Yehuwa, kita dapat bertahan tanpa membenarkan kesusahan menyandung kita.

Jangan biarkan apa-apa menghalang anda menghabiskan perlumbaan!

19. Bagaimanakah kita boleh mengelak daripada disandung oleh ketidaksempurnaan orang lain?

19 Beberapa orang Kristian telah berhenti menyembah Yehuwa kerana ketidaksempurnaan orang lain. Perbezaan pendapat mengenai hal yang berkaitan dengan hati nurani telah menyandung mereka. (1 Kor. 8:12, 13) Jika kita tersinggung, adakah kita akan berasa kecewa dan meninggalkan kebenaran? Walaupun kita memiliki alasan untuk berasa tersinggung, Bible memperingatkan orang Kristian untuk tidak menghakimi, tetapi mengampuni orang lain. (Luk. 6:37) Jika anda tersandung, tanyalah diri, “Adakah saya menghakimi orang lain mengikut pandangan saya sendiri? Adakah saya akan meninggalkan kebenaran hanya kerana ketidaksempurnaan rakan seiman?” Kasih kita kepada Yehuwa dapat membantu kita untuk tidak tersandung oleh ketidaksempurnaan orang lain.

LARILAH DENGAN TABAH—JANGAN TERSANDUNG

20, 21. Apakah tekad anda dalam perlumbaan menuju ke kehidupan kekal?

20 Adakah anda bertekad untuk sampai ke garisan penamat perlumbaan Kristian? (2 Tim. 4:7, 8) Jika ya, pembelajaran peribadi diperlukan. Buatlah penyelidikan dan perenungan dengan menggunakan Bible dan bahan bacaan kita untuk mengenal pasti hal-hal yang boleh menyebabkan kita tersandung. Mintalah daya aktif Tuhan untuk membekalkan stamina rohani. Ingatlah, pelari yang tersandung tidak gagal dalam perlumbaan. Dia masih boleh bangun semula dan meneruskan perlumbaannya. Malah, dia mungkin dapat belajar daripada kesilapannya agar berlari dengan lebih baik.

21 Firman Tuhan menunjukkan bahawa kita perlu berlari sampai ke garisan penamat jika kita ingin meraih kehidupan kekal. Seraya kita berbuat demikian, “kesejahteraan” Yehuwa akan menyokong kita. (Mzm. 119:165) Kita boleh berasa yakin Yehuwa akan terus mencurahkan berkat-Nya sekarang dan juga pada masa depan.—Yak. 1:12.