Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Hati Anda Memiliki Kemahuan untuk Mengenal Yehuwa?

Adakah Hati Anda Memiliki Kemahuan untuk Mengenal Yehuwa?

‘Aku akan memberikan kemahuan kepada mereka untuk memahami bahawa Akulah Yehuwa. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku.’YER. 24:7.

1, 2. Mengapakah ramai gemar memakan buah ara?

RAMAI yang gemar memakan buah ara yang baru dipetik ataupun yang sudah dikeringkan. Buah ini ditanam dengan meluas. Buah ara juga sangat bernilai bagi orang Yahudi purba. (Nah. 3:12; Luk. 13:6-9) Ada yang kata buah ini baik untuk kesihatan kerana mengandungi serat, antioksidan, dan mineral yang berkhasiat.

2 Yehuwa juga pernah bercakap mengenai buah ara. Namun Dia bukannya bercakap tentang manfaat memakan buah ara. Dia sebenarnya membandingkan buah ara dengan hati kiasan kita. Apa yang dikatakan-Nya melalui nabi Yeremia melibatkan hati kita dan hati orang tersayang. Sambil kita membincangkan kata-kata-Nya, renungkanlah pengajarannya.

3. Apakah yang digambarkan oleh buah ara yang disebutkan di Yeremia bab 24?

3 Mari kita memperhatikan kata-kata Tuhan pada zaman Yeremia tentang buah ara. Pada 617 S.M., bangsa Yehuda berada dalam keadaan rohani yang teruk. Tuhan telah memberikan suatu penglihatan tentang masa depan Yehuda dengan memberikan gambaran mengenai dua jenis buah ara—buah ara yang “sangat baik” dan yang “sangat busuk.” (Baca Yeremia 24:1-3.) Buah ara yang busuk menggambarkan Raja Zedekia dan orang lain sepertinya yang akan diserang oleh Raja Nebukadnezar serta tenteranya. Bagaimana pula dengan Yehezkiel, Daniel dan tiga sahabatnya, dan sesetengah orang Yahudi lain yang bakal menjadi tahanan di Babilon? Mereka digambarkan sebagai buah ara yang baik. Beberapa orang Yahudi ini kemudiannya kembali ke Yerusalem untuk membina semula Rumah Tuhan dan kota itu.—Yer. 24:8-10; 25:11, 12; 29:10.

4. Bagaimanakah kata-kata Tuhan mengenai buah ara yang baik menggalakkan kita?

 4 Yehuwa berjanji kepada mereka yang digambarkan sebagai buah ara yang baik, ‘Aku akan memberikan kemahuan kepada mereka untuk memahami bahawa Akulah Yehuwa. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku.’ (Yer. 24:7) Betapa bersyukurnya kita kerana Yehuwa ingin memberikan kita “kemahuan” untuk mengenal-Nya dan menjadi umat-Nya. Langkah-langkah untuk membuat demikian adalah mempelajari dan menerapkan Firman-Nya, bertaubat dan mengubah haluan hidup, membaktikan diri kepada Tuhan, dan dibaptis dalam nama Bapa, Anak, dan daya aktif. (Mat. 28:19, 20; Kis. 3:19) Anda mungkin sudah melakukan semua ini, atau anda mungkin menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa secara tetap dan sedang berusaha mencapai matlamat itu.

5. Kata-kata Yeremia ditujukan kepada siapa?

5 Walaupun kita sudah mengambil semua langkah tersebut, kita masih perlu menjaga sikap dan kelakuan kita. Mengapa? Anda boleh mengetahui jawapannya sambil kita membincangkan kata-kata Yeremia mengenai hati. Beberapa bab daripada buku Yeremia ialah tentang bangsa-bangsa di sekeliling Yehuda. Tetapi fokus utama buku itu ialah mengenai bangsa Yehuda semasa di bawah pemerintahan lima orang raja. (Yer. 1:15, 16) Kata-kata Yeremia tertuju kepada orang yang sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Mereka setuju menjadi milik Yehuwa sejak zaman Musa. (Kel. 19:3-8) Dan pada zaman Yeremia, mereka juga berkata, ‘Sekarang kami datang kepada Yehuwa kerana Dia Tuhan kami.’ (Yer. 3:22) Apakah keadaan hati mereka pada masa itu?

ADAKAH PEMBEDAHAN HATI KIASAN DIPERLUKAN?

6. Mengapakah kita berminat akan kata-kata Yehuwa mengenai hati?

6 Para doktor boleh menggunakan alat terkini untuk memeriksa kesihatan kita. Namun, Yehuwa boleh melakukan lebih daripada itu, seperti apa yang telah dilakukan-Nya pada zaman Yeremia. Tuhan berkata, ‘Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa; hati manusia lebih licik daripada segala-galanya, dan penyakitnya terlalu parah. Aku, Yehuwa, menyelidiki hati; Kuperlakukan menurut tingkah lakunya, dan Kuperlakukan sesuai dengan perbuatannya.’ (Yer. 17:9, 10, ABB) Semasa Yehuwa “menyelidiki hati,” Dia tidak melakukan pemeriksaan perubatan. Tetapi Dia menyelidiki hati kiasan yang menggambarkan batin, keinginan, fikiran, sikap, perangai, dan matlamat kita. Anda juga boleh berusaha menyelidiki hati kiasan sendiri.

7. Apakah keadaan hati orang Yahudi pada zaman Yeremia?

7 Semasa menyelidiki hati sendiri, fikirkanlah keadaan hati kiasan orang Yahudi pada zaman Yeremia. Yeremia berkata bahawa walaupun orang Yahudi telah bersunat, mereka “tidak memegang perjanjian yang dilambangkan oleh sunat itu.” (Yer. 9:25, 26) Ya, hati mereka tidak setia.

8, 9. Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Yahudi mengenai hati mereka?

8 Tuhan telah merayu kepada orang Yahudi untuk “menghentikan cara hidup yang berdosa, serta mengubah kelakuan dan perbuatan mereka.” (Yer. 18:11) Kelakuan mereka jahat kerana hati serta fikiran mereka jahat. (Baca Markus 7:20-23.) Melalui Yeremia, Tuhan mendedahkan punca kejahatan orang Yahudi. Hati mereka degil dan suka melawan. Niat  hati dan pemikiran mereka tidak menyenangkan hati Tuhan. (Baca Yeremia 5:23, 24; 7:24-26.) Oleh itu, Tuhan memberitahu mereka, “Sunatkanlah hatimu di hadapan Yehuwa, dan singkirkan kekotoran dari hatimu.”—Yer. 4:4, NW.

9 Orang Yahudi pada zaman Yeremia tidak memiliki hati yang taat. Begitu juga dengan orang Israel pada zaman Musa. (Ul. 10:16; 30:6) Orang Yahudi perlu menyingkirkan fikiran, keinginan, atau niat yang menyebabkan mereka mengingkari perintah Tuhan.—Kis. 7:51.

MEMUPUK KEMAHUAN UNTUK MENGENAL TUHAN

10. Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Daud?

10 Betapa bersyukurnya kita kerana Tuhan membantu kita memahami hati kiasan! Sebagai seorang penyembah Yehuwa, perlukah kita menjaga hati kita? Kebanyakan orang Kristian dalam sidang berkelakuan baik dan menyembah Yehuwa dengan setia. Mereka bukannya seperti “buah ara yang busuk.” Namun, Daud yang menyembah Yehuwa dengan setia berkata, ‘Selidikilah aku, ya Tuhan, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku. Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku.’—Mzm. 17:3; 139:23, 24, ABB.

11, 12. (a) Mengapakah kita harus menyelidiki hati sendiri? (b) Apakah yang tidak akan dilakukan oleh Tuhan?

11 Yehuwa ingin kita selalu diperkenankan-Nya. Yeremia berkata tentang orang yang adil benar, ‘Ya, Yehuwa Yang Maha Kuasa, dengan adil Engkau menguji manusia; Engkau tahu akan isi hati dan fikiran mereka.’ (Yer. 20:12) Jika Tuhan Yang Maha Kuasa menyelidiki hati orang yang adil benar, kita juga patut menyelidiki hati sendiri dengan tulus. (Baca Mazmur 11:5.) Sewaktu kita berbuat demikian, kita mungkin mendapati sikap, matlamat, dan perasaan yang menyebabkan hati kita kurang peka. Kalau begitu, hal-hal tersebut harus dibuang dari hati kita. Proses ini boleh disamakan dengan pembedahan hati kiasan. Jika anda setuju bahawa menyelidiki hati adalah bermanfaat, apakah yang harus anda perhatikan? Dan bagaimanakah anda boleh membuat perubahan?—Yer. 4:4.

12 Yehuwa berkata bahawa Dia akan ‘memberikan kemahuan untuk memahami-Nya’ kepada orang yang seperti “buah ara yang baik.” Yehuwa tidak berkata bahawa Dia akan memaksa mereka untuk berubah. Mereka sendiri perlu memupuk hati yang ingin mengenal Tuhan. Tidakkah kita harus melakukan hal yang sama?

Orang yang menyelidiki hati kiasan dan membetulkan keinginan yang salah akan diberkati

13, 14. Bagaimanakah hati seorang Kristian boleh menjadi berbahaya?

13 Yesus berkata, “Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.” (Mat. 15:19, ABB) Contohnya, seorang Kristian yang tidak  memiliki hati yang peka mungkin melakukan perzinaan atau perbuatan cabul. Jika dia tidak ingin bertaubat, dia boleh kehilangan perkenan Tuhan selama-lamanya. Biarpun dia tidak melakukan perbuatan salah itu, dia mungkin membenarkan keinginan yang salah bertumbuh dalam hatinya. (Baca Matius 5:27, 28.) Oleh itu, adalah penting untuk menyelidiki hati sendiri. Semasa anda berbuat demikian, adakah anda mendapati bahawa anda mempunyai perasaan yang tidak wajar terhadap seseorang yang berlawanan jantina? Adakah anda perlu membuang keinginan itu?

14 Begitu juga, walaupun seorang Kristian tidak “membunuh,” dia mungkin berasa marah terhadap rakan seiman sehingga mula membencinya. (Im. 19:17) Tidakkah dia seharusnya berusaha untuk membuang perasaan ini daripada hatinya?—Mat. 5:21, 22.

15, 16. (a) Berikan contoh bagaimana seorang Kristian boleh memiliki hati yang tidak setia. (b) Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa tidak ingin kita memiliki hati yang tidak setia?

15 Kebanyakan orang Kristian tidak mempunyai masalah hati sebegini. Namun, Yesus juga menyatakan tentang “fikiran jahat.” Contohnya, seseorang mungkin memiliki pandangan yang salah mengenai kesetiaannya kepada keluarga dan saudara mara. Sudah tentu, orang Kristian “mengasihi” saudara mara mereka, tidak seperti kebanyakan orang sekarang yang kurang memiliki sifat ini. (2 Tim. 3:1, 3) Namun, mereka mungkin menunjukkan perasaan itu dengan keterlaluan. Mereka mungkin berfikir bahawa pertalian darah adalah sangat penting sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi membela ahli keluarga yang tersinggung. Fikirkanlah tindakan terburu-buru yang diambil oleh abang-abang Dina. (Kej. 34:13, 25-30) Dan bayangkan apa yang mendorong Absalom untuk membunuh abangnya, Amnon. (2 Sam. 13:1-30) Bukankah tindakan mereka disebabkan oleh “fikiran jahat”?

16 Kebanyakan orang Kristian sejati tidak membunuh. Tetapi, seseorang mungkin menaruh perasaan negatif yang kuat terhadap saudara atau saudari yang disangka menyinggung perasaan saudara maranya. Dia mungkin enggan bergaul dengan rakan seiman tersebut. (Ibr. 13:1, 2) Tetapi, seorang Kristian yang pengasih tidak akan melakukan sedemikian.  Yehuwa boleh menyelidiki hati kita dan Dia mungkin akan mendapati bahawa hati kita tidak setia. (Yer. 9:25, 26) Yehuwa mengingatkan kita, “Singkirkan kekotoran dari hatimu.”—Yer. 4:4, NW.

MEMPEROLEH DAN MEMUPUK “KEMAHUAN” UNTUK MENGENAL TUHAN

17. Mengapakah mudah untuk mengubah hati jika kita menghormati Yehuwa?

17 Bagaimana pula jika anda mendapati hati anda tidak peka terhadap nasihat Yehuwa? Mungkin anda memiliki perasaan takut akan manusia, berhasrat menjadi masyhur atau kaya, atau degil dan menginginkan kebebasan. (Yer. 7:24; 11:8) Yeremia menulis bahawa orang Yahudi yang tidak setia pada zamannya bersikap “degil dan suka melawan.” Melalui Yeremia, Yehuwa berkata kepada mereka, “Kamu tidak pernah ingat untuk menghormati Aku, padahal Akulah yang mengirim hujan pada musim luruh.” (Yer. 5:23, 24) Rasa hormat akan Yehuwa membantu kita memiliki hati yang peka terhadap kehendak-Nya. Oleh itu, kita akan menyingkirkan kejahatan daripada hati kita, serta mengubah hati kita supaya tetap setia kepada-Nya.

18. Apakah yang Yehuwa janjikan kepada mereka yang terlibat dalam perjanjian baru?

18 Jika kita bekerjasama dengan Yehuwa, Dia akan memberi kita “kemahuan” untuk mengenali-Nya. Dalam perjanjian baru kepada kaum terurap, Yehuwa berkata, ‘Aku akan menyimpan hukum-Ku dalam batin mereka, dan menulisnya pada hati mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.’ Dia menambah, ‘Tidak seorang pun antara mereka perlu mengajar sesamanya untuk mengenal Yehuwa, kerana mereka semua, besar kecil, akan mengenal Aku. Aku akan melupakan kesalahan mereka dan mengampunkan dosa mereka.’—Yer. 31:31-34. *

19. Apakah harapan yang dinanti-nantikan oleh orang Kristian sejati?

19 Sama ada anda menantikan masanya untuk meraih manfaat perjanjian baru di syurga ataupun di bumi, anda harus memupuk keinginan untuk mengenal Yehuwa dan menjadi sebahagian daripada umat-Nya. Untuk mengenal Yehuwa buat selama-lamanya, dosa kita perlu diampunkan melalui korban tebusan Kristus. Oleh sebab kita diampunkan, kita pun harus mengampuni orang lain, walaupun susah untuk berbuat demikian. Sekiranya kita berusaha untuk menyingkirkan perasaan marah dan benci terhadap orang lain, hati kita akan meraih manfaat. Hal ini menunjukkan bahawa kita ingin berkhidmat kepada Yehuwa dan semakin mengenali-Nya. Yehuwa berkata, “Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati. Sesungguhnya, kamu akan menemui Aku.”—Yer. 29:13, 14, ABB.

^ per. 18 Untuk perbincangan tentang perjanjian baru, sila lihat majalah pembelajaran 15 Januari 2012, muka 26-30.