“Inilah warisan yang dimiliki hamba Yehuwa.”—YES. 54:17, NW.

1. Apakah yang diberi oleh Yehuwa kepada umat manusia untuk manfaat mereka?

YEHUWA, ‘Tuhan yang hidup dan kekal’, memberitahu kita cara mendapat hidup sejati. Firman-Nya tidak berubah kerana “firman Tuhan kekal selama-lamanya.” (1 Ptr. 1:23-25) Betapa bersyukurnya kita kerana Yehuwa telah memelihara Firman-Nya yang mengandungi mesej penting!

2. Apakah yang dipelihara oleh Yehuwa dalam Firman-Nya?

2 Dalam Firman-Nya, Tuhan telah memelihara nama-Nya untuk digunakan oleh umat-Nya. Bible menyebut nama Yehuwa * untuk kali pertama semasa “riwayat penciptaan alam semesta.” (Kej. 2:4, nota kaki) Nama Yehuwa ditulis beberapa kali di atas batu-batu Sepuluh Hukum. Contohnya, hukum pertama berbunyi, ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’ (Kel. 20:1-17) Iblis mencuba menghapuskan Bible supaya kita tidak mengenali Tuhan dan nama-Nya. Tetapi Yehuwa tidak membenarkan hal itu berlaku.

3. Walaupun ajaran palsu berleluasa, apakah yang dipelihara oleh Tuhan?

3 Yehuwa turut memelihara kebenaran dalam Firman-Nya. Walaupun ajaran palsu berleluasa, kita sangat bersyukur kerana Yehuwa menyinari kita dengan kebenaran. (Baca Mazmur 43:3, 4.) Sementara orang lain sedang berjalan dalam kegelapan, kita pula berasa gembira dapat berjalan dalam cahaya rohani Tuhan.—1 Yoh. 1:6, 7.

MENGHARGAI WARISAN KITA

4, 5. Apakah penghormatan istimewa yang kita miliki sejak tahun 1931?

4 Sebagai orang Kristian, kita memiliki warisan yang berharga. Sebuah kamus menyatakan, “Warisan  sesebuah negara merangkumi semua sifat, tradisi, atau cara hidup yang sudah lama berlangsung turun-temurun.” (Collins Cobuild English Dictionary) Warisan rohani kita merangkumi pengetahuan tepat tentang Bible dan kebenaran tentang Tuhan dan tujuan-Nya. Kita turut diberi satu lagi penghormatan istimewa.

Kami gembira menyandang nama Saksi-Saksi Yehuwa di sebuah konvensyen pada tahun 1931

5 Penghormatan itu menjadi sebahagian daripada warisan kita pada tahun 1931 di sebuah konvensyen di Columbus, Ohio, A.S. Huruf “JW” dicetak atas atur cara konvensyen. Seorang saudari berkata bahawa ramai mencuba meneka maksud di sebalik JW—Tunggu Sahaja (Just Wait), Lihat Sahaja (Just Watch), dan sesetengah orang meneka Saksi-Saksi Yehuwa (Jehovah’s Witnesses). Sebelum itu, kita hanya dikenali sebagai Pelajar Bible, tetapi semua hadirin bersetuju menyandang nama Saksi-Saksi Yehuwa melalui satu resolusi pada 26 Julai 1931. Hari itu merupakan hari yang menggembirakan kerana kita mula menggunakan nama yang berasal daripada Bible. (Baca Yesaya 43:11, 12.) “Saya tidak akan melupakan jeritan dan tepukan gemuruh waktu itu,” kenang seorang saudara. Tiada organisasi lain yang menginginkan nama itu, tetapi Tuhan telah membenarkan kita untuk menggunakan nama itu selama lebih daripada 80 tahun. Betapa istimewanya penghormatan untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa!

6. Apakah maklumat yang terangkum dalam warisan rohani kita?

6 Warisan rohani kita merangkumi banyak maklumat yang tepat dan bernilai mengenai hamba Tuhan pada masa lampau. Contohnya, Abraham, Ishak dan Yakub. Sudah tentu mereka berbincang dengan ahli keluarga tentang cara hidup yang menyenangkan Yehuwa. Maka, tidak hairanlah Yusuf enggan berzina dengan isteri Potifar supaya tidak ‘berdosa terhadap Tuhan.’ (Kej. 39:7-9) Pada abad pertama, tradisi Kristian diajar secara lisan mahupun menerusi teladan. Salah satunya berkenaan Perjamuan Malam Tuan yang dikongsi oleh Paulus kepada sidang-sidang Kristian. (1 Kor. 11:2, 23) Hari ini, Bible mengandungi maklumat yang kita perlukan supaya dapat menyembah Tuhan “dalam roh dan kebenaran.” (Baca Yohanes 4:23, 24, nota kaki.) Bible dapat memberi bimbingan kepada semua orang, dan sebagai umat Tuhan, kita sangat menghargainya.

7. Apakah janji yang terkandung dalam warisan rohani kita?

7 Warisan rohani kita turut menunjukkan bahawa ‘Yehuwa menolong kita.’ (Mzm. 118:7) Bahan bacaan kita mengandungi pelbagai kisah tentang cara Yehuwa melindungi umat-Nya. Walaupun kita dianiaya, kita dapat berasa selamat. Yehuwa berjanji, “Tiada senjata yang dapat mencederakan kamu; semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah. Aku  akan membela hamba-hamba-Ku, serta memberi mereka kemenangan [“Inilah warisan yang dimiliki hamba Yehuwa,” NW].” (Yes. 54:17) Tiada apa-apa pun senjata daripada Syaitan dapat mencederakan kita secara kekal.

8. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini dan yang seterusnya?

8 Syaitan telah mencuba untuk memusnahkan Firman Tuhan, melenyapkan nama Yehuwa, dan menyembunyikan kebenaran. Tetapi, Syaitan tidak berjaya. Dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan membincangkan (1) cara Yehuwa memelihara Firman-Nya; (2) cara Yehuwa memastikan nama-Nya dipelihara; dan (3) bagaimana Bapa kita yang di syurga ialah Sumber dan Pemelihara kebenaran.

YEHUWA MEMELIHARA FIRMANNYA

9-11. Bagaimanakah Yehuwa memelihara Bible?

9 Terdapat banyak usaha untuk memusnahkan Bible. Tetapi Yehuwa telah memelihara Firman-Nya. Sebuah buku rujukan menyatakan, “Pada tahun 1229, Majlis Toulouse melarang orang biasa daripada menggunakan [Bible bahasa tempatan] kerana penentangan terhadap kumpulan Albigenses dan Waldenses . . . Perhimpunan pada tahun 1234 yang diadakan di Tarragona, Sepanyol, oleh James I juga mengenakan larangan yang serupa. . . . Roman See bercampur tangan buat kali pertama pada tahun 1559, apabila Paul ke-4 melarang orang mencetak dan memiliki B[ible] dalam bahasa tempatan tanpa izin Holy Office.”Enciclopedia Cattolica (Ensiklopedia Katolik).

10 Walaupun musuh mencuba untuk memusnahkannya, Bible tetap terpelihara. Pada tahun 1382, John Wycliffe dan rakan-rakannya menerbitkan terjemahan Bible bahasa Inggeris yang pertama. Pada tahun 1536, seorang penterjemah Bible, William Tyndale, dijatuhkan hukuman mati. Semasa diikat pada tiang kayu, dia menjerit, “Tuan, bukalah mata Raja England.” Kemudian, dia dijerut lalu dibakar.

11 Pada tahun 1535, Miles Coverdale turut menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Inggeris. Coverdale menggunakan terjemahan Tyndale untuk sebahagian daripada Biblenya. Bagi bahagian lain, dia merujuk kepada Bible bahasa Latin dan Bible Martin Luther dalam bahasa Jerman. Hari ini, Terjemahan Dunia Baharu sangat dihargai kerana terjemahannya jelas, tepat, dan berguna dalam aktiviti penyebaran. Kita bergembira kerana Syaitan mahupun kuasa manusia tidak dapat memusnahkan Firman Yehuwa.

YEHUWA MEMELIHARA NAMANYA

Para penterjemah seperti Tyndale rela mempertaruhkan nyawa demi Firman Tuhan

12. Bagaimanakah Terjemahan Dunia Baharu membantu orang ramai mengenali nama Yehuwa?

12 Tuhan Yehuwa telah memastikan bahawa nama-Nya dipelihara dalam Firman-Nya. Dalam Terjemahan Dunia Baharu, nama  Yehuwa digunakan setiap kali nama itu muncul dalam tulisan asal Bible. Nama itu digunakan sebanyak 6,973 kali dalam Kitab Ibrani dan 237 kali dalam Kitab Yunani Kristian. Kini, Terjemahan Dunia Baharu diterbitkan dalam 116 buah bahasa dan lebih daripada 178,545,862 buah buku telah dicetak.

13. Bagaimanakah kita tahu bahawa nama Yehuwa sudah dikenali sejak penciptaan manusia?

13 Nama Tuhan sudah dikenali sejak penciptaan manusia. Adam dan Hawa kenal nama Tuhan, dan mereka tahu bagaimana untuk menyebut nama itu dengan betul. Apabila Ham menunjukkan sikap tidak hormat kepada ayahnya selepas Banjir Besar, Nuh berkata, ‘Pujilah Yehuwa, Tuhan Sem. Kanaan [anak Ham] akan menjadi abdi Sem.’ (Kej. 4:1; 9:26, ABB) Semasa bercakap dengan umat-Nya, Tuhan berkata, ‘Akulah Yehuwa, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa.’ Dia turut mengatakan, ‘Akulah Yehuwa; selain Aku tiada yang lain.’ (Yes. 42:8; 45:5) Yehuwa telah memastikan bahawa nama-Nya dipelihara dan dikenali oleh orang di serata dunia. Betapa besarnya penghormatan bagi kita kerana menjunjung nama Yehuwa sebagai Saksi-Saksi-Nya. Kita bagaikan menyeru, ‘Biarlah semuanya memuji nama Yehuwa’!—Mzm. 148:5.

14. Selain di dalam Bible, di manakah nama Tuhan dijumpai?

14 Nama Tuhan bukan sahaja muncul di dalam Bible. Contohnya, nama-Nya muncul pada Batu Orang Moab yang dijumpai di Dhiban (Dibon), 21 km dari timur Laut Mati. Batu itu menyebut tentang raja Israel iaitu Raja Omri dan menceritakan pertempuran Raja Mesa dari Moab dengan bangsa Israel. (1 Raj. 16:28; 2 Raj. 1:1; 3:4, 5) Batu Orang Moab itu sangat menarik kerana nama Tuhan muncul dalam bentuk Tetragrammaton, iaitu empat abjad YHWH dalam bahasa Ibrani. Tetragrammaton ini turut muncul dalam Surat-Surat Lachish, iaitu serpihan tembikar yang dijumpai di Israel.

15. Apakah itu Septuagint? Mengapakah Septuagint diperlukan?

15 Lebih daripada 2,000 tahun yang lalu, Kitab Ibrani diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani dan kitab itu dikenali sebagai Septuagint. Mengapakah kitab itu perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani? Orang Yahudi telah menjadi tahanan di Babilon selama 70 tahun. Apabila mereka dibebaskan pada tahun 537 SM, sesetengah orang Yahudi memilih untuk menetap di Babilon. Kemudian, ramai yang berpindah ke Aleksandria, Mesir, di mana bahasa Yunani digunakan. Orang Yahudi ini memerlukan terjemahan Kitab Ibrani dalam bahasa Yunani. Beberapa salinan daripada Septuagint Yunani itu mengandungi nama Yehuwa dalam bahasa Ibrani.

16. Bagaimanakah nama Tuhan digunakan dalam buku Bay Psalm?

16 Nama Tuhan dijumpai dalam buku Bay Psalm, buku pertama yang diterbitkan pada tahun 1640, di tanah jajahan Inggeris di Amerika. Buku ini menterjemahkan buku Mazmur daripada bahasa Ibrani ke bahasa Inggeris. Nama Tuhan, dieja sebagai Iehovah, digunakan dalam Mazmur 1:1, 2 yang menyatakan, “Orang yang diberkati” tidak mengikut nasihat orang jahat, “tetapi hukum Iehovah, itulah yang disukainya.” Untuk maklumat lanjut mengenai nama Tuhan, sila rujuk buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?, muka 225.

YEHUWA MEMELIHARA KEBENARAN ROHANI

17, 18. (a) Apakah itu kebenaran? (b) Apakah yang terangkum dalam ‘berita baik yang benar’?

17 Kita menyembah Yehuwa, ‘Tuhan yang suka akan kebenaran.’ (Mzm. 37:28) Apakah itu kebenaran? Menurut sebuah  kamus, “Kebenaran mengenai sesuatu merangkumi semua fakta tentangnya, dan bukan sesuatu yang dibayangkan atau direka-reka.” (Collins Cobuild English Dictionary) Dalam bahasa asal Bible, perkataan bagi “kebenaran” boleh merujuk kepada sesuatu yang sah, merupakan fakta, boleh dipercayai, benar, dan betul.

18 Yehuwa telah memelihara kebenaran sejati dan membantu kita untuk mendapat lebih pengetahuan tentang kebenaran. (2 Yoh. 1, 2) Pemahaman kita mengenai kebenaran semakin jelas kerana “kehidupan orang baik bagaikan terbitnya matahari, kian lama kian cerah sehingga hari pun terang.” (Ams. 4:18, ABB) Sudah tentu, kita bersetuju dengan Yesus yang berdoa kepada Tuhan dan berkata, “firman-Mu selalu benar.” (Yoh. 17:17) Firman Tuhan mengandungi ‘berita baik yang benar,’ iaitu semua ajaran yang dipercayai oleh orang Kristian. (Gal. 2:14) Apakah ajaran-ajaran tersebut? Kebenaran tentang nama Yehuwa, kedaulatan-Nya, korban tebusan Yesus, pembangkitan, dan Kerajaan Tuhan. Marilah kita bincangkan cara Yehuwa memelihara kebenaran walaupun Syaitan berusaha menyembunyikannya.

YEHUWA MEMATAHKAN SERANGAN TERHADAP KEBENARAN

19, 20. Siapakah Nimrod, dan apakah yang berlaku semasa pemerintahannya?

19 Selepas Banjir Besar, ada “seorang pemburu ulung yang menentang Yehuwa.” (Kej. 10:9, NW) Pemburu itu yang dikenali sebagai Nimrod sebenarnya menyembah Syaitan kerana dia menentang Tuhan Yehuwa. Nimrod sama seperti penentang-penentang Anak Tuhan. Yesus berkata kepada mereka, “Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. . . . Dia tidak pernah memihak kebenaran.”—Yoh. 8:44.

20 Kerajaan Nimrod meliputi Babel dan kota-kota lain yang berada di antara Sungai Tigris dan Sungai Efrat. (Kej. 10:10) Dia mungkin telah mengarahkan pembinaan kota Babel dengan sebuah menara kira-kira pada tahun 2269 SM. Hal ini bertentangan dengan tujuan Yehuwa yang menginginkan umat manusia tinggal di seluruh bumi. Tetapi, para pembina berkata, “Mari kita bina kota dengan sebuah menara yang puncaknya sampai ke langit, supaya kita termasyhur dan tidak tercerai-cerai di seluruh bumi.” Rancangan itu gagal kerana Tuhan “mengacau bahasa manusia” dan mencerai-beraikan para pembina menara itu. (Kej. 11:1-4, 8, 9) Syaitan ingin melenyapkan ibadat sejati dan membuat semua orang untuk menyembahnya. Namun, Syaitan gagal. Yehuwa telah memastikan ibadat sejati dipelihara, dan kini bilangan orang yang menyembah-Nya kian bertambah.

21, 22. (a) Mengapakah agama palsu tidak pernah menjadi ancaman serius terhadap agama benar? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

21 Agama palsu tidak pernah menjadi ancaman serius terhadap agama benar. Mengapa? Kerana Pendidik Agung kita merupakan Sumber kebenaran rohani. Dia memastikan Firman-Nya dan nama-Nya dipelihara. (Yes. 30:20, 21) Menyembah Tuhan dalam kebenaran membawa sukacita. Tetapi, kita haruslah berjaga-jaga secara rohani, bergantung sepenuhnya kepada Yehuwa, dan mengikut bimbingan daya aktif-Nya.

22 Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan asal usul sesetengah ajaran palsu. Kita akan mendapati bahawa Bible mendedahkan doktrin palsu. Tambahan lagi, kita akan meneliti bagaimana Pemelihara kebenaran kita, Yehuwa, mengurniai kita dengan ajaran benar yang menjadi sebahagian daripada warisan rohani kita.

^ per. 2 Dalam terjemahan Alkitab Berita Baik, nama Yehuwa tidak digunakan. Sebaliknya, gelaran-gelaran digunakan. Namun dalam bahasa asal Bible, nama Yehuwa digunakan beribu-ribu kali.