Waktu itu tahun 59 M. Di bawah pengawasan para askar yang sudah letih berjalan, beberapa orang tahanan memasuki Roma melalui pintu gerbang Porta Capena. Di atas Bukit Palatine, istana Maharaja Nero dikawal oleh askar Praetoria. Mereka berpakaian toga dengan pedang tersembunyi di bawah pakaian. * Yulius, pegawai tentera Roma mengiringi para tahanannya melalui Forum Rom dan mendaki Bukit Viminal. Dalam perjalanan itu, mereka melalui sebuah taman yang mempunyai banyak mazbah untuk dewa dewi Roma serta tempat latihan tentera.

Ukiran askar Praetoria. Mungkin berasal daripada Arca Claudius yang dibina pada tahun 51 M

Rasul Paulus ada di antara para tahanan itu. Semasa berada di atas sebuah kapal yang dilanda ribut beberapa bulan sebelum itu, malaikat Tuhan memberitahunya, “Engkau akan menghadap Kaisar.” (Kis. 27:24) Adakah hal itu akan berlaku tidak lama lagi? Seraya dia menoleh melihat ibu kota Empayar Roma, pastilah dia teringat kembali kata-kata Yesus semasa di Menara Antonia, ‘Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.’—Kis. 23:10, 11.

Mungkin Paulus berhenti sejenak untuk melihat Castra Praetoria, sebuah kubu besar dengan tembok merah yang tinggi, dan dilengkapi dengan menara dan struktur pertahanan. Kubu ini menjadi tempat tinggal Pengawal Praetoria yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi maharaja serta polis di kota itu. Kubu yang besar itu dapat memuatkan 12 angkatan * Praetoria, angkatan tentera tempatan, dan pasukan askar  berkuda. Castra Praetoria merupakan tanda peringatan sumber kuasa Roma. Oleh sebab Pengawal Praetoria bertanggungjawab terhadap para tahanan dari wilayah itu, Yulius memimpin kumpulannya melalui salah satu daripada empat gerbang utama. Selepas menempuh perjalanan yang sangat berbahaya selama berbulan-bulan, akhirnya mereka tiba di destinasi.—Kis. 27:1-3, 43, 44.

PAULUS MEMBERI KESAKSIAN DENGAN BEBAS

Semasa di atas kapal, Paulus mendapat suatu penglihatan daripada Tuhan bahawa semua anak kapal akan terselamat daripada nahas kapal karam. Di Pulau Malta, Paulus menyembuhkan orang yang sakit dan tidak cedera walaupun dipagut ular berbisa. Oleh sebab itu, orang di sana mula menganggapnya sebagai dewa. Berita tentang peristiwa-peristiwa ini mungkin telah tersebar di antara Pengawal Praetoria yang mempercayai kepercayaan karut.

Paulus sudah berjumpa dengan saudara-saudara dari Roma yang ‘datang ke Pasar Apius dan Penginapan Tiga untuk menyambutnya.’ (Kis. 28:15) Sebagai seorang tahanan, bagaimanakah Paulus dapat mengisytiharkan berita baik di Roma? (Rm. 1:14, 15) Sesetengah orang berfikir bahawa para tahanan akan diserahkan kepada ketua pengawal. Jika demikian, Paulus mungkin dibawa kepada Afranius Burrus, Ketua Askar Praetoria, yang mungkin orang yang paling berkuasa selepas maharaja. * Di situ, Paulus tidak diawasi oleh pegawai tentera, tetapi oleh seorang askar Praetoria biasa. Paulus dibenarkan untuk mengurus penginapannya sendiri dan bahkan diberikan “kebebasan” untuk menerima pelawat dan memberikan kesaksian kepada mereka.—Kis. 28:16, 30, 31.

PAULUS MENGINJIL KEPADA ORANG BESAR MAHUPUN ORANG BIASA

Semasa Paulus dikurung, askar yang mengawasinya dapat mendengar kata-kata yang terkandung dalam suratnya

Dalam tatacara tugasnya, Burrus mungkin telah menemu ramah rasul Paulus, sama ada di istana atau di kem Praetoria sebelum menyerahkan kes itu kepada Nero. Paulus tidak melepaskan peluang unik itu untuk “memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa.” (Kis. 26:19-23) Walau apa pun penilaian Burrus, Paulus tidak dimasukkan ke dalam penjara di kem Praetoria. *

 Rumah yang disewa oleh Paulus cukup besar. Dia dapat menerima serta memberi kesaksian kepada “pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan” dan orang lain yang ‘datang ke tempat tinggalnya.’ Askar-askar Praetoria yang menjaga Paulus juga berpeluang mendengar bagaimana Paulus ‘menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Tuhan’ dan tentang Yesus kepada orang Yahudi “dari pagi hingga petang.”—Kis. 28:17, 23.

Tembok Castra Praetoria hari ini

Angkatan Praetoria yang bertugas di istana berganti kira-kira pada pukul 2 petang setiap hari. Pengawal yang menjaga Paulus juga bertukar secara tetap. Selama dua tahun Paulus dikurung, askar yang mengawasinya mendengar kata-kata Paulus yang terkandung dalam suratnya kepada orang Kristian di Efesus, Filipi, Kolose, dan orang Kristian berbangsa Ibrani. Mereka juga melihatnya menulis surat kepada Filemon. Semasa dipenjarakan, Paulus memberikan perhatian yang khusus kepada Onesimus, seorang hamba yang melarikan diri dari tuannya. Paulus menganggap Onesimus “seperti anak sendiri” dan menghantarnya kembali kepada tuannya. (Flm. 10) Pastilah Paulus juga mengambil berat terhadap para askar yang menjaganya. (1 Kor. 9:22) Kita dapat membayangkan bagaimana Paulus  bertanya kepada seorang askar tentang perlengkapan senjatanya lalu menggunakan maklumat itu sebagai perumpamaan yang berkesan.—Ef. 6:13-17.

MEMBERIKAN KESAKSIAN “TANPA BERASA TAKUT”

Pemenjaraan Paulus ‘menyebabkan lebih banyak orang mendengar berita baik’ termasuk Pengawal Praetoria. (Flp. 1:12, 13) Para penghuni Castra Praetoria mempunyai kenalan di seluruh Empayar Roma termasuklah maharaja dan anggota keluarganya, serta hamba-hamba mereka. Beberapa di antara mereka telah menjadi orang Kristian. (Flp. 4:22) Kesaksian Paulus yang berani mendorong saudara-saudara di Roma untuk mengkhabarkan berita baik “tanpa berasa takut.”—Flp. 1:14.

Dalam apa jua keadaan, kita dapat menginjil kepada orang yang memberikan pelbagai perkhidmatan

Kesaksian Paulus juga menggalakkan kita untuk sentiasa mengkhabarkan berita baik, biar senang atau susah. (2 Tim. 4:2) Ada di antara kita yang terpaksa tinggal di rumah penjagaan atau di hospital, atau dipenjarakan demi iman. Tidak kira bagaimana keadaannya, kita dapat menginjil kepada orang yang mengunjungi kita atau yang memberikan perkhidmatan tertentu. Apabila kita memberikan kesaksian dengan berani pada setiap kesempatan, kita akan melihat bahawa ‘firman Tuhan tidak dapat dirantai.’—2 Tim. 2:8, 9.

^ per. 2 Lihat kotak “Pengawal Praetoria pada Zaman Nero.”

^ per. 4 Satu angkatan boleh merangkumi sebanyak 1,000 orang askar.

^ per. 7 Lihat kotak “Sextus Afranius Burrus.”

^ per. 9 Herodes Agripa dipenjarakan di sini oleh Kaisar Tiberius pada tahun 36/37 M kerana menyatakan hasratnya bahawa Caligula menjadi maharaja tidak lama lagi. Selepas pertabalannya, Caligula telah melantik Herodes sebagai raja.—Kis. 12:1.