Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 Khazanah Rohani Kita

Drama Penciptaan Ditayangkan Tepat pada Masanya!

Drama Penciptaan Ditayangkan Tepat pada Masanya!

“SUKAR untuk dilupakan!” Kata-kata itulah yang digunakan untuk menggambarkan “Drama Penciptaan.” Drama itu ditayangkan tepat pada masanya dan meninggalkan kesan yang sukar dilupakan kepada orang yang menontonnya. Ya, “Drama Penciptaan” memberikan kesaksian dan membawa pujian kepada Yehuwa sejurus sebelum rejim Hitler menganiaya umat Tuhan di Eropah. Apakah itu “Drama Penciptaan”?

Nama drama baru itu dipetik daripada buku Schöpfung (Penciptaan)

Pada tahun 1914, ibu pejabat umat Yehuwa di Brooklyn, New York, A.S., telah mengeluarkan “Drama-Foto Penciptaan.” “Drama-Foto” ini merupakan tayangan gambar bergerak dan pertunjukan slaid selama lapan jam, disertai warna dan bunyi. “Drama-Foto” ditonton oleh jutaan orang di serata dunia. Versi pendek—“Drama Eureka”—turut dikeluarkan pada tahun 1914. Tetapi, pada tahun 1920-an, slaid, filem, dan alat-alat untuk penayangan sudah usang. Namun, ramai yang masih ingin menonton “Drama-Foto.” Contohnya, penduduk di Ludwigsburg, Jerman, bertanya, “Bilakah ‘Drama-Foto’ akan ditayangkan lagi?” Apakah yang dapat dilakukan?

Untuk memenuhi keperluan ini, pada 1920-an, wakil daripada Bethel di Magdeburg, Jerman, telah membeli filem daripada sebuah agensi berita di Paris, Perancis, dan membeli slaid daripada syarikat grafik di Leipzig dan Dresden. Filem dan slaid itu digabungkan dengan beberapa keping slaid “Drama-Foto” yang masih dapat digunakan.

Saudara Erich Frost, seorang ahli muzik yang berbakat, menggubah muzik untuk mengiringi filem dan slaid. Sebahagian daripada kata-kata pengulas diambil dari buku “Penciptaan.” Oleh itu, tayangan ini diberi nama baru—“Drama Penciptaan.”

Masa tayangan “Drama Penciptaan” juga adalah selama lapan jam dan ditayangkan selama beberapa hari secara bersiri. Drama ini menayangkan tentang hari-hari penciptaan, sejarah Bible, sejarah sekular, dan mendedahkan bahawa agama palsu telah mengecewakan orang ramai. “Drama Penciptaan” telah ditayangkan di Austria, Jerman, Luxembourg, Switzerland, dan kepada penonton yang berbahasa Jerman di tempat lain.

Erich Frost dan nota muziknya untuk “Drama Penciptaan”

Erich Frost menerangkan, “Ketika tayangan Drama, saya menggalakkan rakan sekerja, terutamanya pemain orkestra untuk mengedarkan bahan bacaan kita kepada para hadirin semasa waktu rehat. Kami mengedarkan lebih banyak bahan bacaan  di sana berbanding dari rumah ke rumah.” Johannes Rauthe, yang mengatur tayangan-tayangan di Poland dan negara yang kini dikenali sebagai Republik Czech, masih ingat bahawa ramai orang meninggalkan alamat mereka supaya dapat dikunjungi. Alamat-alamat itu menjadi dasar kunjungan kembali yang produktif.

Pada awal tahun 1930-an, dewan selalu dipenuhi dengan orang setiap kali “Drama Penciptaan” ditayangkan. Maka, Saksi-Saksi Yehuwa menjadi buah mulut orang ramai. Pada tahun 1933, hampir sejuta orang telah menonton tayangan yang diaturkan oleh pejabat cawangan Jerman. Kenang Käthe Krauss, “Kami berulang-alik 20 km setiap hari selama lima hari, mengharungi hutan, bukit, dan lembah . . . hanya untuk menonton Drama.” “‘Drama Penciptaan’ mencetuskan kasih saya terhadap kebenaran,” kata Else Billharz.

Alfred Almendinger menceritakan bahawa apabila ibunya menonton Drama itu, dia berasa “sangat teruja lalu membeli sebuah Bible dan mencari ungkapan ‘api penyucian.’” Memandangkan dia tidak dapat mencari ungkapan itu, dia berhenti menghadiri gereja lalu dibaptis sebagai seorang Saksi. “Ramai orang mendapat kebenaran melalui ‘Drama Penciptaan,’” kata Erich Frost.—3 Yoh. 1-3.

Tatkala sambutan terhadap “Drama Penciptaan” kian hangat, bahang semangat Nazi pun kian terasa. Pada awal tahun 1933, aktiviti Saksi-Saksi di Jerman diharamkan. Bermula dari waktu itu hingga penghujung Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, hamba Yehuwa mengalami penganiayaan yang teruk. Erich Frost menghabiskan lapan tahun dalam tahanan. Tetapi, dia selamat dan kemudiannya berkhidmat di Bethel Wiesbaden, Jerman. Ya, “Drama Penciptaan” ditayangkan tepat pada masanya untuk memperkuat iman saudara saudari yang bakal menghadapi cubaan semasa Perang Dunia Kedua!—Dari khazanah rohani kita di Jerman.