Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Mereka Rela Berkhidmat—Di Norway

Mereka Rela Berkhidmat—Di Norway

BEBERAPA tahun yang lalu, Roald dan Elsebeth, pasangan yang berumur lewat 40-an, tinggal di Bergen, bandar kedua terbesar di Norway. Mereka setia mengambil bahagian dalam aktiviti sidang bersama anak-anak mereka, Isabel dan Fabian. Roald ialah seorang penatua dan Elsebeth ialah seorang perintis, manakala Isabel dan Fabian ialah penyiar yang aktif.

Namun, pada September 2009, keluarga ini telah memutuskan untuk menginjil di sebuah kawasan terpencil selama seminggu. Jadi, Roald dan Elsebeth serta Fabian yang berumur 18 tahun, pergi ke Nordkyn di daerah Finnmark yang terletak di atas Garisan Artik. Mereka menginjil di sebuah kampung bernama Kjøllefjord bersama saudara dan saudari lain yang juga datang untuk tujuan yang sama. “Mula-mula, saya berpuas hati kerana dapat meluangkan satu minggu untuk menyertai aktiviti istimewa itu,” kenang Roald. Tetapi kemudian, Roald mula berasa tidak senang hati. Apakah yang berlaku?

SOALAN YANG TIDAK DIDUGA

“Tanpa diduga,” kata Roald, “Mario, seorang perintis di Finnmark bertanya jika kami sudi berpindah ke Lakselv untuk berkhidmat  bersama 23 penyiar di sana.” Roald sangat terkejut dengan soalan yang tidak diduga itu. Dia menjelaskan, “Elsebeth dan saya pernah berfikir untuk berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan—tetapi selepas anak-anak kami besar dan berdikari.” Namun, semasa menginjil di kawasan terpencil itu, Roald dapat melihat bahawa orang di sana sangat ingin belajar tentang Yehuwa. Mereka memerlukan bantuan sekarang, bukan nanti. “Hati nurani saya terganggu, dan saya tidak dapat tidur nyenyak selama beberapa malam,” ujarnya. Kemudian Mario membawa Roald dan keluarganya ke Lakselv, yang terletak kira-kira 240 km di selatan Kjøllefjord. Mario mahu mereka melihat sendiri sidang kecil itu di sana.

Andreas, salah seorang penatua di sana telah membawa mereka untuk melawat sekitar Lakselv dan Dewan Perjumpaan tempatan. Sidang itu menyambut mereka dengan ramah dan mengalu-alukan mereka sekeluarga untuk membantu kerja penyebaran di sana. Sambil tersenyum, Andreas berkata bahawa dia sudah pun mengaturkan temu duga kerja untuk Roald dan Fabian. Apakah reaksi mereka?

APAKAH PILIHAN MEREKA?

Reaksi pertama Fabian ialah, “Saya tiada keinginan untuk pindah ke sini.” Dia tidak sanggup tinggal di pekan yang kecil dan meninggalkan kawan-kawan karib yang membesar bersamanya di sidang. Lagipun, dia belum menghabiskan latihannya untuk menjadi seorang juruelektrik. Namun, reaksi Isabel (21 tahun) berbeza. Dia berkata, “Sudah lama saya ingin berbuat demikian! Tapi, bila saya berfikir lebih banyak tentangnya, saya tertanya-tanya, ‘Adakah ini idea yang baik? Adakah saya akan merindui rakan-rakan? Saya sudah biasa dengan sidang asal, jadi patutkah saya berpindah?’” Bagaimana pula dengan Elsebeth? “Saya menganggap ini sebagai tugasan daripada Yehuwa. Tapi, saya juga terfikir tentang rumah kami yang baru diubahsuai dan semua barang yang telah kami peroleh selama 25 tahun ini.”

Elsebeth dan Isabel

Selepas minggu istimewa itu berakhir, Roald dan keluarganya kembali ke Bergen. Namun, mereka tidak dapat melupakan saudara saudari Kristian mereka di Lakselv yang jauhnya 2,100 km dari Bergen. Kata Elsebeth, “Saya banyak berdoa kepada Yehuwa. Saya juga selalu bertukar gambar dan pengalaman dengan kawan-kawan di sana.” Roald berkata, “Saya perlukan masa untuk menerima kenyataan bahawa kami akan berpindah. Saya juga perlu berfikir: Bagaimanakah kami akan mencari nafkah? Saya banyak berdoa kepada Yehuwa, dan berbincang dengan keluarga serta saudara lain yang berpengalaman.” Fabian berkata, “Semakin saya berfikir tentang hal itu, semakin saya sedar bahawa tiada alasan yang kukuh untuk mengatakan tidak. Saya kerap berdoa, dan keinginan untuk berpindah beransur-ansur menjadi kuat.” Bagaimana pula dengan Isabel? Sebagai persiapan, dia mula merintis di sidang sendiri dan meluangkan lebih banyak masa untuk pembelajaran Bible peribadi. Enam bulan kemudian, dia berasa bahawa dia sudah bersedia untuk berpindah.

MENGORAK LANGKAH MENUJU MATLAMAT

Seraya keinginan untuk berpindah bertambah kuat, keluarga ini mengambil langkah-langkah untuk mencapai matlamat mereka. Roald bergaji tinggi dan dia amat menyukai kerjanya, namun dia telah memohon cuti selama setahun. Tetapi majikannya menawarkan kerja separuh masa—dua minggu kerja, enam minggu cuti. “Gaji saya sangat kurang berbanding dahulu, tapi masih cukup makan,” kata Roald.

Elsebeth menambahkan, “Suami meminta saya mencari rumah di Lakselv dan menyewakan rumah kami di Bergen. Hal ini memakan banyak masa dan tenaga, tetapi akhirnya kami berjaya. Selepas anak-anak mendapat kerja sambilan, mereka juga membantu menampung kos makanan dan pengangkutan.”

Isabel berkata, “Kami berpindah ke sebuah pekan yang kecil, jadi susah untuk mencari kerja yang sesuai sambil merintis. Kadangkala saya rasa putus asa.” Namun dengan melakukan apa sahaja kerja sambilan yang ada, Isabel dapat menampung perbelanjaannya. Dia telah melakukan 9 pekerjaan yang berbeza dalam tahun pertamanya di sana. Bagaimana pula dengan Fabian? “Saya perlu menjalani  latihan praktikal sebelum menghabiskan kursus saya. Jadi saya melakukannya di Lakselv. Setelah lulus peperiksaan, saya mendapat kerja sambilan sebagai juruelektrik.”

PENYIAR LAIN YANG RELA BERKHIDMAT

Marelius dan Kesia memberi kesaksian kepada seorang wanita Sami di Norway

Marelius dan isterinya, Kesia, juga mahu berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan penyiar. Marelius, 29 tahun, berkata, “Ceramah dan temu ramah tentang kerja merintis di konvensyen menggalakkan saya untuk mengembangkan khidmat saya.” Namun, Kesia yang berusia 26 tahun teragak-agak untuk berpindah daripada keluarganya. “Saya sangat takut untuk berjauhan dengan semua orang yang saya kasihi,” katanya. Selain itu, Marelius bekerja sepenuh masa untuk membayar pinjaman wang rumah mereka. Dia berkata, “Kami sering meminta Yehuwa agar membantu kami membuat perubahan. Akhirnya kami dapat berpindah.” Pertama sekali, mereka menggunakan lebih banyak masa untuk mempelajari Bible. Kemudian, pasangan itu menjual rumah mereka, berhenti kerja, dan berpindah ke Alta di utara Norway pada bulan Ogos 2011. Bagaimanakah perintis ini menyara hidup mereka? Marelius bekerja sebagai akauntan manakala Kesia bekerja di sebuah kedai.

Knut dan Lisbeth, pasangan yang berumur pertengahan 30-an, sangat tersentuh dengan pengalaman dalam Buku Tahunan tentang saudara saudari yang berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. “Pengalaman-pengalaman ini membuat kami berfikir untuk berkhidmat di luar negara,” kata Lisbeth, “tapi saya masih ragu-ragu kerana hal ini nampaknya terlalu mencabar bagi saya.” Namun, mereka telah mengambil langkah-langkah untuk mencapai matlamat mereka. Knut berkata, “Kami menjual apartmen dan berpindah ke rumah ibu saya agar dapat berjimat. Kemudian, untuk mengalami bagaimana rasanya berkhidmat di kawasan bahasa asing, kami telah berpindah ke sidang bahasa Inggeris di Bergen selama setahun. Di sana, kami tinggal bersama ibu Lisbeth.” Tidak lama kemudian, Knut dan Lisbeth rasa mereka sudah bersedia untuk berpindah. Ke mana? Ke Uganda. Mereka kembali ke Norway dua bulan setahun untuk bekerja supaya mereka mempunyai cukup wang untuk hidup dan menginjil sepenuh masa di Uganda.

‘RASAKANLAH SENDIRI BETAPA BAIKNYA YEHUWA’

“Keluarga kami menjadi lebih rapat.”—Roald

Adakah kerelaan mereka membuahkan hasil? Roald berkata, “Sejak berpindah ke kawasan terpencil ini, kami menghabiskan lebih banyak masa bersama-sama. Keluarga kami menjadi lebih rapat berbanding masa kami di Bergen. Kami melihat anak-anak membuat kemajuan rohani dan ini merupakan satu berkat.” Dia menambah, “Sikap kami terhadap harta benda juga berubah. Kami sedar bahawa harta benda tidaklah begitu penting seperti yang difikirkan.”

Elsebeth menyedari keperluan untuk mempelajari  bahasa baru. Mengapa? Kawasan penyebaran sidang Lakselv merangkumi kampung Karasjok, kawasan tumpuan orang Sami—penduduk peribumi di bahagian utara Norway, Sweden, Finland, dan Rusia. Elsebeth mengambil kursus bahasa Sami untuk memudahkannya menyampaikan berita baik kepada mereka. Sekarang dia dapat berbual secara ringkas dalam bahasa Sami. Adakah dia menyukai kawasan penyebaran itu? Dengan wajah yang berseri-seri, dia berkata, “Saya ada 6 pembelajaran Bible. Saya sangat gembira di sini!”

Fabian kini seorang perintis dan pembantu sidang. Dia dan Isabel pernah membantu tiga orang remaja di sidang mereka supaya lebih aktif dalam kegiatan sidang. Ketiga-tiga remaja itu sekarang menginjil dengan aktif. Dua orang sudah dibaptis dan menjadi perintis sokongan pada Mac 2012. Salah seorang daripada mereka sangat bersyukur atas bantuan Fabian dan Isabel kerana sebelum itu dia beransur-ansur meninggalkan kebenaran. Fabian berkata, “Saya sangat terharu mendengar kata-katanya. Saya sangat gembira kerana dapat membantu seseorang!” Isabel berkata, “Dalam tugasan ini, saya betul-betul merasakan sendiri ‘betapa baiknya Yehuwa!’” (Mzm. 34:9) Dia menambah, “Lagipun, berkhidmat di sini sangat seronok!”

Kehidupan Marelius dan Kesia di Alta sekarang lebih sederhana tetapi lebih bermakna. Sidang mereka kini mempunyai 41 penyiar. Marelius berkata, “Perubahan-perubahan yang berlaku dalam hidup kami sepanjang masa ini sungguh menggalakkan. Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana dapat merintis di sini. Inilah kehidupan yang terbaik.” Kesia menambah, “Saya belajar untuk mempercayai Yehuwa dengan lebih dalam lagi. Dia telah menjaga kami dengan baik. Oleh kerana saya hidup berjauhan daripada saudara mara, saya lebih menghargai masa yang diluangkan bersama-sama. Saya tidak pernah menyesali keputusan kami.”

Knut dan Lisbeth sedang belajar bersama sebuah keluarga di Uganda

Bagaimanakah kehidupan Knut dan Lisbeth di Uganda? Ujar Knut, “Masa diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya yang baru. Masalah sakit perut, serta bekalan air dan elektrik yang tidak menentu sudah menjadi lumrah hidup. Tapi kami dapat mengadakan seberapa banyak pembelajaran Bible yang kami mahu!” Lisbeth berkata, “Hanya setengah jam dari tempat tinggal kami, terdapat ramai orang yang tidak pernah mendengar berita baik. Apabila kami pergi ke sana, kami menemui orang yang sedang membaca Bible, dan meminta kami untuk mengajar mereka. Mengajarkan mesej Bible kepada orang yang rendah hati membawa sukacita yang tiada bandingannya!”

Betapa gembiranya Pemimpin kita, Kristus Yesus, semasa melihat kerja penyebaran berlangsung di lebih banyak kawasan! Ya, dengan rela hati, umat Tuhan melaksanakan perintah Yesus untuk menjadikan semua bangsa di seluruh dunia pengikutnya.—Mat. 28:19, 20.