Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Menyembah Yehuwa Tanpa Perasaan Menyesal

Menyembah Yehuwa Tanpa Perasaan Menyesal

‘Lupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan.’—FLP. 3:13.

1-3. (a) Apakah makna “menyesal,” dan apakah pengaruhnya terhadap hidup kita? (b) Apakah yang dapat kita pelajari tentang perasaan menyesal daripada teladan Paulus?

MENURUT seorang penyair, kata-kata yang paling menyedihkan, sama ada yang ditulis atau yang diucapkan, ialah, “Kalaulah.” Dia sebenarnya merujuk kepada perkara yang kita kesali, atau keinginan untuk melakukan sesuatu berbeza daripada apa yang sudah pun dilakukan. “Menyesal” ialah perasaan sedih atau kecewa kerana sesuatu yang dilakukan atau yang tidak dilakukan. Kita semua pernah tersilap dan berharap agar dapat kembali ke masa silam untuk membaikinya. Pernahkah anda menyesali perbuatan anda?

2 Sesetengah orang pernah melakukan kesilapan atau dosa besar. Namun yang lain pula tertanya-tanya sama ada mereka telah membuat keputusan yang terbaik dalam hidup. Ada orang yang dapat melupakan kisah silam mereka, tetapi ada pula yang terus dibelenggu perasaan menyesal. (Mzm. 51:5) Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda ingin menyembah Yehuwa tanpa sebarang perasaan menyesal? Teladan siapakah yang boleh kita ikuti? Jawapannya ialah rasul Paulus.

3 Sepanjang hidupnya, Paulus pernah membuat kesilapan besar dan juga pilihan yang bijak. Dia sangat menyesali perbuatan buruknya dahulu, tetapi dia juga seorang yang berjaya dalam khidmatnya kepada Tuhan. Marilah kita lihat bagaimana kita dapat mengatasi perasaan menyesal menerusi kisah hidupnya.

MASA SILAM PAULUS

4. Apakah masa silam Paulus yang dikesalinya?

4 Sebagai seorang Farisi yang muda, Paulus telah melakukan perkara yang dikesalinya. Contohnya, dia menganiaya pengikut Kristus dengan kejam. Bible menyatakan bahawa selepas Stefanus dibunuh, ‘Saulus  [kemudian dikenali sebagai Paulus] berusaha untuk membinasakan jemaah. Dia pergi dari rumah ke rumah, dan mengheret pengikut Yesus ke luar, baik lelaki mahupun perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.’ (Kis. 8:3, ABB) Menurut Albert Barnes, seorang cendekiawan Bible, ungkapan “berusaha untuk membinasakan” dalam bahasa Yunani menggambarkan betapa kuatnya semangat dan kesungguhan Saulus semasa menganiaya orang Kristian. Barnes berkata, “Saulus menyerang jemaah seperti binatang buas.” Saulus merupakan penganut kuat agama Yahudi dan dia percaya bahawa Tuhan menggunakannya untuk melenyapkan orang Kristian. Jadi dia dengan kejam “meneruskan ancamannya untuk membunuh . . . baik lelaki mahupun perempuan.”—Kis. 9:1, 2; 22:4. *

5. Mengapakah Saulus berhenti menganiayai orang Kristian dan mula menginjil mengenai Kristus?

5 Saulus ingin ke Damsyik untuk menangkap pengikut Yesus dan membawa mereka ke Majlis Agama untuk dihukum. Namun, hal itu bertentangan dengan kehendak Kepala sidang Kristian. (Ef. 5:23) Semasa dalam perjalanan ke Damsyik, Yesus berjumpa dengan Saulus. Saulus telah menjadi buta kerana pancaran cahaya yang terang. Kemudian Yesus mengarahkannya untuk pergi ke Damsyik, dan kita tahu apa yang berlaku seterusnya.—Kis. 9:3-22.

6, 7. Apakah yang menunjukkan bahawa Paulus sedar akan kesilapan yang dilakukannya?

6 Paulus telah berubah setelah menjadi orang Kristian. Daripada menjadi musuh ketat agama Kristian, dia telah menyebarkan berita baik dengan bersemangat. Walaupun begitu, dia menulis, ‘Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Tuhan, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka.’ (Gal. 1:13, ABB) Selepas itu, dia menulis lagi tentang masa silamnya kepada sidang Korintus, Filipi, dan kepada Timotius. (Baca 1 Korintus 15:9; Flp. 3:6; 1 Tim. 1:13) Paulus malu tentang perbuatannya yang lalu, tetapi dia tidak berpura-pura seakan-akan hal itu tidak pernah berlaku. Dia sedar bahawa dia telah melakukan kesilapan serius.—Kis. 26:9-11.

7 Cendekiawan Bible, Frederic W. Farrar menjelaskan tentang penganiayaan yang dilakukan oleh Saulus. Farrar berkata bahawa hanya apabila kita memikirkan tempoh masa hidup Paulus yang menyedihkan itu, barulah kita dapat merasai rasa kesal yang menyelubungi dirinya, dan perasannya apabila dicemuh oleh musuh-musuh. Semasa Paulus melawat ke sidang-sidang, mungkin ada di antara saudara yang berkata, “Oh, kamulah Paulus yang pernah menganiaya kami!”—Kis. 9:21.

8. Apakah perasaan Paulus tentang belas kasihan Tuhan dan Yesus terhadapnya? Apakah pengajarannya bagi kita?

8 Paulus sedar bahawa dia dapat terus menginjil hanya kerana rahmat Tuhan. Dia menyebut tentang sifat Tuhan ini kira-kira 90 kali dalam 14 pucuk surat yang ditulisnya. (Baca 1 Korintus 15:10.) Paulus sangat menghargai belas kasihan Tuhan, dan dia tidak ingin mensia-siakan rahmat Tuhan. Jadi dia “bekerja lebih keras” daripada rasul yang lain. Ya jika kita meniru teladan Paulus dengan mengakui dosa,  mengubah hidup, dan beriman pada korban tebusan Yesus, dosa kita akan dipadamkan. Jika anda berfikir bahawa dosa anda terlalu berat untuk diampunkan menerusi korban tebusan Yesus, ingatlah kisah Paulus! (Baca 1 Timotius 1:15, 16.) Walaupun Paulus menganiaya orang Kristian dengan teruk, dia dapat berkata, ‘Anak Tuhan mengasihi aku dan telah mengorbankan dirinya untuk aku.’ (Gal. 2:20; Kis. 9:5) Ya, Paulus mempelajari prinsip yang membolehkannya untuk berkhidmat kepada Yehuwa tanpa perasaan menyesal! Adakah anda juga melakukan hal yang sama?

Paulus belajar cara untuk berkhidmat kepada Tuhan tanpa perasaan menyesal

ADAKAH ANDA MENYESAL?

9, 10. (a) Mengapakah kita mungkin menyesal? (b) Mengapakah salah untuk senantiasa khuatir tentang kesilapan lampau?

9 Adakah anda menyesali perbuatan anda? Pernahkah anda membuang masa dan tenaga dalam perkara yang salah? Pernahkah anda menyakiti hati orang lain? Tidak kira apa sebabnya anda berasa sesal, apakah yang dapat anda lakukan?

10 Ramai orang selalu khuatir. Seseorang yang terus berasa khuatir asyik berdukacita dan menganiaya diri sendiri. Akhirnya dia diremukkan oleh kekhuatirannya. Tetapi dengan berasa khuatir, dapatkah anda menyelesaikan masalah? Tidak! Bayangkan seseorang yang mencuba bergerak ke hadapan dengan menggunakan kerusi goyang. Walaupun dia bergerak selama berjam-jam, dia tidak ke mana-mana. Daripada senantiasa khuatir, adalah lebih baik jika kita mengambil tindakan yang positif. Mungkin anda boleh meminta maaf dan membaiki keadaan. Fikirkan mengapa anda melakukan kesilapan itu supaya anda tidak mengulanginya. Kadangkala, anda terpaksa menanggung kesusahan akibat pilihan yang kurang bijak. Tetapi berasa khuatir tentang kesilapan lampau hanya akan melumpuhkan  kebolehan anda untuk menyembah Tuhan dengan sepenuhnya.

11. (a) Bagaimanakah kita dapat menerima belas kasihan dan kasih Tuhan? (b) Menurut Bible, apakah yang harus kita buat untuk mendapat ketenangan minda?

11 Sesetengah orang membiarkan kesilapan lampau untuk menguasai mereka sehingga mereka berasa tidak layak untuk menerima belas kasihan Tuhan. Mereka fikir kesalahan mereka terlalu besar, atau mereka sudah banyak kali melakukan kesalahan. Namun, tidak kira apa kesilapan yang pernah dilakukan, mereka boleh bertaubat, mengubah haluan hidup, dan memohon pengampunan. (Kis. 3:19) Yehuwa akan menunjukkan belas kasihan dan kasih kepada mereka, seperti yang ditunjukkan-Nya kepada orang lain. Yehuwa akan mengampuni sesiapa sahaja yang meminta pengampunan secara jujur dan rendah hati. Misalnya, Tuhan telah mengampuni Ayub yang berkata, “Dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.” (Ayb. 42:6) Untuk menikmati ketenangan minda, kita harus mengikut nasihat Bible, ‘Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Sesiapa mengakui dan meninggalkan dosanya, akan dikasihani Tuhan.’ (Ams. 28:13, ABB; Yak. 5:14-16) Maka, kita boleh mengaku kesilapan, berdoa memohon pengampunan, dan mengambil langkah untuk membaiki keadaan. (2 Kor. 7:10, 11) Dengan melakukan hal itu, kita akan menerima belas kasihan daripada Tuhan yang “sentiasa sedia mengampuni.”—Yes. 55:7.

12. (a) Jika hati nurani kita terganggu, bagaimanakah kita dapat meniru teladan Daud? (b) Bagaimanakah Tuhan menyesal? Dan bagaimanakah hal itu membantu kita? (Lihat kotak.)

12 Doa sangat berkuasa, dan Tuhan dapat membantu kita. Daud telah menyatakan imannya kepada Yehuwa dalam sebuah mazmur. (Baca Mazmur 32:1-5.) Sebelum Daud mengakui dosanya, hati nuraninya terganggu. Maka, dia berasa lemah secara mental dan fizikal serta kehilangan sukacita. Daud mendapat kelegaan hati hanya selepas dia mengakui kesilapannya kepada Tuhan. Yehuwa telah mengabulkan doa Daud dan membantunya untuk terus melakukan apa yang betul. Dalam cara yang sama, jika anda berdoa dan merayu dengan ikhlas, Yehuwa pasti akan mendengar doa anda. Jika kesilapan lampau menghantui anda, cubalah sedaya upaya untuk membetulkannya. Kemudian percayalah bahawa Yehuwa sudah mengampuni anda.Mzm. 86:5.

PANDANGLAH KE DEPAN

13, 14. (a) Kita harus memusatkan fikiran pada apa sekarang? (b) Apakah soalan-soalan yang dapat digunakan untuk memeriksa diri?

13 Kita boleh mengambil iktibar daripada kisah silam sendiri, tetapi janganlah  terbelenggu olehnya. Jadi usahlah risau tentang masa lampau, sebaliknya berfikirlah tentang sekarang dan masa depan. Tanyalah diri, “Beberapa tahun dari sekarang, mungkinkah saya menyesali pilihan saya? Adakah saya sedang menyembah Tuhan dengan setia supaya tidak menyesal pada masa depan?”

14 Seraya kesengsaraan besar mendekat, kita tidak mahu khuatir dengan persoalan seperti: “Mungkinkah saya dapat melakukan lebih dalam khidmat Yehuwa dahulu? Mengapakah saya tidak merintis semasa ada peluang dahulu? Apakah yang menghalang saya daripada menjadi pembantu sidang? Adakah saya telah mencuba sedaya upaya untuk mengenakan keperibadian baru? Adakah saya akan diterima ke dalam dunia baru Tuhan?” Kita tidak mahu dirundung kekhuatiran akibat perkara yang tidak dilakukan. Sebaliknya kita mahu memeriksa diri dan memastikan bahawa kita menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati sekarang supaya tidak menyesal pada kemudian hari.2 Tim. 2:15.

JANGAN MENYESALI KHIDMAT SUCI ANDA

15, 16. (a) Apakah pengorbanan ramai orang yang mengutamakan khidmat Tuhan? (b) Mengapakah kita tidak patut menyesali pengorbanan yang dibuat untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan?

15 Bagaimana pula dengan anda yang telah membuat pengorbanan untuk berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa? Mungkin anda telah meninggalkan kerjaya atau perniagaan yang maju supaya dapat hidup sederhana dan meluangkan lebih banyak masa dalam khidmat Yehuwa. Mungkin anda memilih untuk hidup bujang atau tidak mempunyai anak supaya dapat menyertai khidmat Bethel, pembinaan antarabangsa, kerja litar, atau khidmat mubaligh. Patutkah anda menyesali pilihan anda? Patutkah anda berasa bahawa pengorbanan anda sia-sia sahaja atau tidak sesuai masanya? Sudah pasti tidak!

16 Anda membuat pilihan-pilihan tersebut kerana kasih kepada Yehuwa dan keinginan anda untuk membantu orang lain menyembah-Nya. Janganlah berfikir bahawa kehidupan anda lebih baik jika anda membuat pilihan yang berbeza. Sebenarnya anda patut bergembira kerana membuat pilihan yang betul. Anda telah berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Yehuwa tidak akan melupakan segala pengorbanan anda. Semasa anda meraih kehidupan sejati nanti, Yehuwa pasti memberkati anda dengan berlimpah-limpah.Mzm. 145:16; 1 Tim. 6:19.

BERKHIDMAT TANPA SESAL—BAGAIMANA?

17, 18. (a) Apakah prinsip yang membantu Paulus berkhidmat tanpa perasaan menyesal? (b) Bagaimanakah anda akan meniru teladan Paulus?

17 Apakah prinsip yang membantu Paulus berkhidmat kepada Tuhan tanpa perasaan menyesal? Paulus berkata, “Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan.” (Baca Filipi 3:13, 14.) Paulus tidak terus berfikir tentang kesalahannya semasa dia menganut agama Yahudi. Sebaliknya, dia berusaha sedaya upaya agar layak mendapat hadiah kehidupan abadi.

18 Kita semua juga boleh menerapkan prinsip ini. Kita tidak harus khuatir tentang masa lampau atau perkara yang tidak dapat diubah lagi, sebaliknya kita harus mencapai apa yang di hadapan. Ya, kita mungkin tidak dapat melupakan kesilapan lampau, tetapi kita tidak perlu terus berasa bersalah. Kita harus berhenti khuatir tentang apa yang sudah berlaku, berusaha berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya, dan bertumpu pada masa depan indah yang akan kita nikmati.

^ per. 4 Bible berulang kali mencatatkan bahawa wanita juga dianiaya oleh Saulus. Hal ini menunjukkan bahawa mereka telah memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Kristian pada abad pertama, seperti pada zaman ini juga.—Mzm. 68:12.