Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Janganlah Menjauhkan Diri daripada Yehuwa

Janganlah Menjauhkan Diri daripada Yehuwa

“Tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi.”YOS. 24:15.

1-3. (a) Mengapakah Yosua merupakan teladan yang baik dalam hal membuat pilihan? (b) Apakah yang harus kita ingat semasa membuat pilihan?

MEMBUAT pilihan merupakan perbuatan yang sangat penting. Apabila seseorang membuat pilihan, dia sedang membuat keputusan yang dapat mempengaruhi haluan hidupnya. Bayangkan seorang lelaki yang sedang berjalan lalu mendapati jalan itu bercabang dua. Jalan manakah yang harus ditempuhinya? Jika destinasinya jelas di minda, dia akan memilih jalan yang menghala ke sana dan bukannya jalan yang menjauhkannya daripada destinasi.

2 Bible mengandungi banyak contoh orang yang menghadapi situasi yang sama. Contohnya, Kain perlu memutuskan sama ada untuk melampiaskan atau mengawal kemarahannya. (Kej. 4:6, 7) Yosua perlu memilih sama ada untuk menyembah Tuhan yang benar atau tuhan-tuhan yang palsu. (Yos. 24:15) Matlamat Yosua adalah untuk mendekati Yehuwa, jadi dia memilih haluan yang selaras dengan matlamatnya. Kain pula tidak mempunyai matlamat yang sama, jadi haluan yang dipilihnya menjauhkannya daripada Yehuwa.

3 Ada kalanya kita juga berdepan dengan pilihan yang penting dalam hidup. Semasa hal itu berlaku, ingatlah destinasi, atau matlamat anda—untuk memuliakan Yehuwa melalui segala perbuatan anda dan mengelakkan haluan yang akan menjauhkan anda daripada-Nya. (Baca Ibrani 3:12.) Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat membuat pilihan yang bijak dalam tujuh aspek hidup. Dengan ini, kita tidak akan menjauhkan diri daripada Yehuwa.

PEKERJAAN DAN KERJAYA

4. Mengapakah sangat penting untuk mencari nafkah?

4 Orang Kristian wajib menampung keperluan diri  sendiri dan keluarganya. Bible memberitahu kita bahawa seseorang yang tidak ingin menjaga keluarganya adalah lebih jahat daripada orang yang tidak beriman. (2 Tes. 3:10; 1 Tim. 5:8) Jelaslah, pekerjaan merupakan aspek hidup yang penting. Namun, jika kita tidak berhati-hati, pekerjaan dan kerjaya dapat menjauhkan kita daripada Yehuwa. Bagaimana?

5. Apakah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan semasa menerima tawaran kerja?

5 Katakan anda sedang mencari kerja, tetapi tinggal di tempat yang kurang peluang pekerjaan. Anda mungkin tergoda untuk menerima apa-apa sahaja kerja yang ditawarkan. Bagaimana pula jika pekerjaan itu bercanggah dengan prinsip Bible? Atau jika jadual pekerjaan itu menyebabkan anda tiada masa yang secukupnya untuk aktiviti Kristian dan keluarga? Haruskah anda menerima pekerjaan yang tidak sesuai kerana tidak ingin menganggur? Ingatlah, pilihan yang salah akan menjauhkan anda daripada Yehuwa. (Ibr. 2:1) Jadi, bagaimanakah anda dapat membuat keputusan yang bijak semasa mencari atau menukar pekerjaan?

6, 7. (a) Apakah dua matlamat bagi orang yang bekerja? (b) Matlamat yang manakah dapat mendekatkan anda kepada Yehuwa? Mengapa?

6 Seperti yang dibincangkan, anda harus ingat destinasi anda. Tanyalah diri, “Apakah tujuan saya bekerja?” Jika matlamat anda bekerja adalah untuk membiayai keperluan keluarga sambil berkhidmat kepada Yehuwa, Dia pasti memberkati usaha anda. (Mat. 6:33) Yehuwa dapat membantu anda semasa anda hilang kerja atau mengalami masalah kewangan. (Yes. 59:1) Dia “tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.”—2 Ptr. 2:9.

7 Bagaimana pula jika matlamat anda adalah untuk menjadi kaya? Anda mungkin akan berjaya. Tetapi ingatlah bahawa setiap kejayaan ada harganya, dan pengorbanan yang terlibat tidak berbaloi. (Baca 1 Timotius 6:9, 10.) Anda akan semakin jauh daripada Yehuwa sekiranya terlalu mementingkan kekayaan atau kerjaya.

8, 9. Apakah soalan-soalan yang harus difikirkan oleh ibu bapa berkenaan pekerjaan dan kerjaya? Mengapa?

8 Jika anda seorang ibu atau bapa, fikirkanlah bagaimana contoh anda mempengaruhi anak-anak. Apakah yang paling penting bagi anda—kerjaya atau hubungan dengan Yehuwa? Jika anda mengutamakan status, prestij, dan kekayaan, mungkinkah anak-anak akan mengikut haluan yang memudaratkan itu? Atau mungkinkah mereka akan kurang menghormati anda? Seorang saudari muda berkata, “Sejak saya kecil, bapa sangat sibuk bekerja. Pada mulanya, nampaknya dia bekerja kerana ingin menyara kami dengan baik. Namun hal ini telah berubah. Belakangan ini dia asyik bekerja dan berfokus pada kemewahan, bukannya pada keperluan. Akibatnya, kami dikenali sebagai keluarga yang kaya-raya, dan bukannya keluarga yang menggalakkan orang lain untuk mengutamakan hal-hal rohani. Saya lebih suka sokongan rohani bapa daripada wangnya.”

9 Ibu bapa, jangan terlalu mengejar kerjaya sehingga hal itu menjauhkan anda daripada Yehuwa. Menerusi teladan anda, biarlah anak-anak melihat bahawa kekayaan yang terbaik ialah harta rohani, bukan jasmani.Mat. 5:3.

10. Apakah yang harus difikirkan oleh orang muda semasa memilih kerjaya?

10 Jika anda orang muda yang sedang memilih kerjaya, bagaimanakah anda dapat membuat pilihan yang bijak? Seperti yang dibincangkan, anda perlu tahu apa tujuan hidup anda. Adakah latihan dan kerjaya yang dipilih membantu anda untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan? Atau adakah kerjaya itu menjauhkan anda daripada  Yehuwa? (2 Tim. 4:10) Adakah anda bercita-cita untuk mengejar kebahagiaan dunia yang naik turun mengikut pasaran saham atau simpanan bank? Atau adakah anda akan percaya kepada Yehuwa seperti Daud yang berkata, ‘Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan Yehuwa, ataupun anak mereka meminta-minta makanan’? (Mzm. 37:25, ABB) Ingatlah, satu haluan akan menjauhkan anda daripada Yehuwa, manakala satu lagi merupakan jalan hidup yang terbaik. (Baca Amsal 10:22; Maleakhi 3:10.) Haluan manakah yang akan anda pilih? *

REKREASI DAN HIBURAN

11. Apakah yang Bible ajarkan mengenai rekreasi dan hiburan? Namun, apakah yang perlu kita ingat?

11 Bible tidak mengutuk orang yang ingin bergembira, ataupun mendakwa bahawa rekreasi dan hiburan merupakan perkara yang sia-sia. “Latihan jasmani ada faedahnya,” tulis Paulus kepada Timotius. (1 Tim. 4:8) Bible turut menyatakan bahawa ada “waktu untuk tertawa” dan ada “waktu untuk menari.” Bible juga menggalakkan rehat yang secukupnya. (Pkh. 3:4; 4:6) Tetapi, jika anda tidak berhati-hati, rekreasi dan hiburan mungkin menjauhkan anda daripada Yehuwa. Bagaimana? Dua faktor perlu dipertimbangkan, iaitu jenis hiburan dan masa yang diluangkan untuk hiburan.

Jenis rekreasi yang betul dalam kuantiti yang berpatutan akan menyegarkan kita

12. Apakah faktor-faktor yang perlu anda pertimbangkan apabila memilih rekreasi dan hiburan?

12 Pertama, fikirkan tentang jenis hiburan yang dipilih. Jangan khuatir! Anda tentu dapat menemui jenis rekreasi dan hiburan yang sihat. Tetapi, kebanyakan rekreasi dan hiburan hari ini mengagung-agungkan perkara yang dibenci oleh Tuhan seperti keganasan, spiritisme, dan perbuatan seks yang tidak bermoral. Maka, pilihlah hiburan dan rekreasi dengan cermat. Fikirkan soalan-soalan sebegini: Apakah kesannya kepada saya? Adakah rekreasi dan hiburan ini menggalakkan keganasan, sikap suka bersaing, atau semangat nasionalisme? (Ams. 3:31) Adakah rekreasi dan hiburan ini menelan banyak belanja? Adakah rekreasi dan hiburan ini boleh menyebabkan orang lain tersandung? (Rm. 14:21) Dengan siapakah saya bergaul semasa melakukan rekreasi atau hiburan ini? (Ams. 13:20) Adakah hiburan ini membangkitkan  nafsu yang berdosa dalam diri saya?—Yak. 1:14, 15.

13, 14. Mengapakah anda harus mempertimbangkan jumlah masa yang diluangkan untuk aktiviti riadah?

13 Fikirkan juga masa yang diluangkan untuk rekreasi dan hiburan. Tanyalah diri anda, “Adakah saya meluangkan begitu banyak masa untuk aktiviti riadah sehingga kekurangan masa untuk aktiviti rohani?” Jika anda meluangkan terlalu banyak masa untuk rekreasi dan hiburan, anda mungkin akan berasa lebih letih. Sebenarnya, orang yang bersikap sederhana dalam aktiviti riadah akan berasa lebih seronok. Mengapa? Memandangkan mereka sudah melakukan perkara-perkara yang lebih penting, mereka tidak berasa bersalah semasa berseronok.—Baca Filipi 1:10, 11.

14 Walaupun menghabiskan banyak masa untuk aktiviti riadah nampaknya sangat menyeronokkan, hal ini dapat menjauhkan anda daripada Yehuwa. Itulah pengalaman seorang saudari bernama Kim yang berumur 20 tahun. “Dulu saya suka menghadiri semua parti,” katanya. “Setiap hujung minggu—Jumaat, Sabtu, dan Ahad, saya berseronok. Namun sekarang, saya sedar ada banyak hal lain yang lebih penting. Sebagai seorang perintis, saya perlu bangun pukul 6 pagi untuk menginjil, jadi saya tidak boleh keluar bersama kawan sampai pukul 1 atau 2 pagi. Saya tahu bukan semua kegiatan sosial salah. Namun hal itu dapat menjadi suatu gangguan. Seperti hal-hal lain, kegiatan sosial perlu ada batasnya.”

15. Bagaimanakah ibu bapa dapat memilih rekreasi yang sesuai untuk anak-anak mereka?

15 Ibu bapa bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan fizikal, rohani, dan emosi sendiri serta anak-anak. Hal ini termasuk menyediakan aktiviti riadah. Janganlah beranggapan bahawa semua kegiatan riadah memudaratkan. Pada masa yang sama, berwaspadalah terhadap pengaruh yang negatif. (1 Kor. 5:6) Jika anda berusaha untuk memilih rekreasi dan hiburan yang sesuai, anda dapat menikmati masa yang gembira bersama keluarga. * Pilihan sebegini dapat membantu anda dan anak-anak untuk menghampiri Yehuwa.

HUBUNGAN KELUARGA

16, 17. Apakah situasi sedih yang dialami oleh ramai ibu bapa? Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa memahami perasaan mereka?

16 Ikatan antara ibu bapa dan anak adalah sangat kuat sehingga Yehuwa menggunakan hubungan itu untuk menggambarkan kasih-Nya terhadap umat-Nya. (Yes. 49:15) Maka semasa seorang anggota keluarga meninggalkan Yehuwa, secara lazimnya kita akan berasa sangat sedih. “Hati saya hancur berkecai,” kata seorang saudari yang anak perempuannya disingkirkan. “Saya tertanya-tanya, ‘Mengapa dia meninggalkan Yehuwa?’ Saya rasa sangat bersalah.”

17 Yehuwa memahami kepedihan hati anda. Dia sendiri menjadi “begitu kecewa” semasa pasangan manusia pertama, dan kebanyakan orang yang hidup sebelum Banjir memberontak menentang-Nya. (Kej. 6:5, 6) Orang yang tidak pernah mengalami kehilangan sebegini mungkin susah membayangkannya. Namun, apabila seorang ahli keluarga disingkirkan, janganlah menjauhi Yehuwa kerana perbuatannya. Jadi bagaimanakah anda dapat menghadapi kesedihan yang dialami?

18. Mengapakah ibu bapa tidak harus menyalahkan diri jika anak mereka meninggalkan Yehuwa?

18 Janganlah salahkan diri atas apa yang berlaku. Yehuwa memberikan kebebasan untuk memilih kepada setiap orang, dan mereka yang sudah dibaptis “harus  memikul tanggungjawab masing-masing.” (Gal. 6:5) Dari pandangan Yehuwa, pendosa itulah yang bertanggungjawab atas perbuatannya, bukannya anda. (Yeh. 18:20) Selain itu, janganlah salahkan orang lain. Hormatilah cara Yehuwa mendisiplinkan umat-Nya. Lawanlah Iblis dan bukannya para gembala yang berusaha melindungi sidang.—1 Ptr. 5:8, 9.

Tidaklah salah untuk berharap agar orang kesayangan akan kembali kepada Yehuwa

19, 20. (a) Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa yang sedih atas penyingkiran anak mereka? (b) Apakah harapan bagi ibu bapa yang anaknya disingkirkan?

19 Sebaliknya, jika anda terus marah kepada Yehuwa, anda sebenarnya menjauhkan diri daripada-Nya. Ingatlah, ahli keluarga anda yang disingkirkan perlu melihat bahawa anda mengutamakan Yehuwa berbanding hal-hal lain, bahkan ikatan keluarga. Jadi untuk mengatasi kesedihan yang dialami, anda perlu menjaga kerohanian anda. Janganlah menyisihkan diri daripada saudara saudari. (Ams. 18:1) Luahkanlah segala perasaan anda kepada Yehuwa melalui doa. (Mzm. 62:8, 9) Jangan mencari alasan untuk bergaul bersama ahli keluarga yang telah disingkirkan, contohnya melalui e-mel atau telefon. (1 Kor. 5:11) Pastikan anda tetap sibuk dalam aktiviti-aktiviti rohani. (1 Kor. 15:58) Saudari yang disebut tadi berkata, “Saya mesti sibuk dalam khidmat Yehuwa dan tetap kuat secara rohani. Dengan demikian, barulah saya dapat menolong anak perempuan saya apabila dia kembali kepada Yehuwa.”

20 Bible menyatakan bahawa kasih “tidak hilang harapan.” (1 Kor. 13:4, 7) Maka tidaklah salah untuk berharap agar orang kesayangan anda akan kembali kepada Yehuwa. Tahun demi tahun, ramai orang yang telah disingkirkan bertaubat lalu kembali ke organisasi Yehuwa. Yehuwa tidak marah terhadap mereka. Sebaliknya, Dia “suka mengampuni orang.”Mzm. 86:5.

BUATLAH PILIHAN YANG BIJAK

21, 22. Apakah tekad anda mengenai kebebasan untuk memilih yang telah dikurniakan kepada anda?

21 Yehuwa telah mengurniai manusia kebebasan untuk memilih. (Baca Ulangan 30:19, 20.) Tetapi kita perlu bertanggungjawab atas pilihan yang dibuat. Setiap Kristian harus bertanya, “Adakah saya memilih haluan yang betul? Adakah saya membenarkan pekerjaan dan kerjaya, rekreasi dan hiburan, atau hubungan keluarga untuk menjauhkan saya daripada Yehuwa?”

22 Kasih Yehuwa kepada umat-Nya tidak akan pudar. Jadi tiada apa-apa yang dapat menjauhkan kita daripada Tuhan kecuali jika kita membuat pilihan yang salah. (Rm. 8:38, 39) Janganlah biarkan hal itu berlaku! Bertekadlah untuk tidak membenarkan apa-apa menjauhkan kita daripada Yehuwa. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat membuat pilihan yang bijak dalam empat lagi aspek hidup.

^ per. 10 Untuk maklumat lanjut semasa memilih kerjaya, sila lihat buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask—Answers That Work), Jilid 2, bab 38.

^ per. 15 Sila lihat majalah pembelajaran 15 Oktober 2011, muka 8-12, dan buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, bab 6.