Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Jadilah Berani—Yehuwa Menyertai Anda!

Jadilah Berani—Yehuwa Menyertai Anda!

‘Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Yehuwa, Tuhanmu, menyertai engkau.’YOS. 1:9.

1, 2. (a) Apakah sifat-sifat yang akan membantu kita semasa mengalami kesusahan? (b) Apakah definisi iman? Berikan contoh.

KITA gembira semasa berkhidmat kepada Yehuwa. Namun kita juga menghadapi kesusahan yang lazim dialami manusia, dan kita “menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik.” (1 Ptr. 3:14; 5:8, 9; 1 Kor. 10:13) Untuk menghadapi kesusahan sebegini, kita memerlukan iman dan keberanian.

2 Apakah itu iman? Rasul Paulus menulis, “Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat.” (Ibr. 11:1, ABB) Terjemahan Bible lain berbunyi, “Iman ialah surat hak milik bagi perkara yang kita harapkan. Orang yang beriman yakin akan perkara yang tidak dapat dilihat.” (The Simple English Bible) Jika kita mempunyai surat hak milik tanah, kita yakin bahawa kita merupakan pemiliknya. Iman kita juga seperti surat hak milik. Memandangkan kita percaya bahawa Tuhan sentiasa menepati janji-Nya, “surat hak milik” ini memberi kita jaminan bahawa janji-janji yang kita nantikan pasti akan menjadi kenyataan, walaupun kita tidak dapat melihatnya sekarang.

3, 4. (a) Apakah itu keberanian? (b) Bagaimanakah kita dapat menjadi lebih beriman dan berani?

3 Menurut sebuah kamus, keberanian ialah “keteguhan seseorang secara rohani, emosi, dan moral untuk bercakap dan bertindak tanpa gentar semasa menghadapi halangan dan ancaman.” (The New Interpreter’s Dictionary of the Bible) Jika kita berani, kita yakin, gagah, bahkan tidak takut malu.—Mrk. 6:49, 50; 2 Tim. 1:7.

4 Iman dan keberanian merupakan sifat-sifat yang baik. Kita mungkin menginginkan lebih iman dan keberanian. Bible mengandungi ribuan contoh orang yang  memperlihatkan sifat-sifat ini. Maka satu cara kita dapat menjadi lebih beriman dan berani adalah dengan belajar tentang mereka.

YEHUWA MENYERTAI YOSUA

5. Apakah yang harus diperlihatkan oleh Yosua untuk menjadi pemimpin yang baik?

5 Mari kita fikir tentang apa yang berlaku sekitar 35 abad yang lalu. Yehuwa telah membebaskan orang Israel dari Mesir dan melantik Musa untuk memimpin mereka. Empat puluh tahun kemudian, ketika Musa berumur 120 tahun, dia telah melihat Tanah yang Dijanjikan dari Gunung Nebo lalu meninggal di situ. Yehuwa telah melantik Yosua sebagai pengganti Musa dan ‘mengurniakan kebijaksanaan kepadanya.’ (Ul. 34:1-9) Orang Israel bersedia untuk menakluki tanah Kanaan. Maka untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, Yosua memerlukan kebijaksanaan daripada Tuhan. Selain itu dia memerlukan iman, keberanian, dan keyakinan.—Ul. 31:22, 23.

6. (a) Menurut Yosua 23:6, apakah yang perlu kita lakukan dengan berani? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata di Kisah 4:18-20 dan Kisah 5:29?

6 Semasa berperang untuk menakluki tanah Kanaan, Yosua telah memperlihatkan kebijaksanaan, keberanian, dan iman. Hal ini pasti menguatkan orang Israel. Namun, mereka bukan sahaja perlu berjuang dengan perkasa di medan perang. Mereka juga perlu mentaati Yehuwa dengan berani. Pada akhir riwayatnya, Yosua berkata, “Kamu harus bersungguh-sungguh mentaati dan melakukan segala sesuatu yang tercatat di dalam Kitab Taurat Musa. Jangan langgar satu pun daripada hukum itu.” (Yos. 23:6) Kita juga perlu mentaati Yehuwa dengan berani pada setiap masa, terutamanya semasa orang lain mendesak kita untuk melanggar kehendak Tuhan. (Baca Kisah 4:18-20; 5:29.) Jika kita bersandar pada Yehuwa melalui doa, Dia pasti akan membantu kita menjadi berani.

CARA KITA DAPAT BERJAYA

7. Apakah yang harus dilakukan Yosua untuk menjadi berani dan berjaya?

7 Untuk melakukan kehendak Yehuwa dengan berani, kita perlu mengkaji dan menerapkan Firman Tuhan. Itulah yang perlu dilakukan oleh Yosua semasa dia dilantik sebagai pengganti Musa. Yehuwa berkata, ‘Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya.’ (Yos. 1:7, 8) Yosua dapat berjaya kerana dia menuruti nasihat tersebut. Jika kita mengamalkan nasihat ini, kita juga akan menjadi lebih berani dan berjaya dalam khidmat kepada Yehuwa.

Ayat tahunan 2013: Jadilah yakin dan berani! Tuhan Yehuwa menyertaimu.Yosua 1:9

8. Ayat tahunan untuk 2013 didasarkan pada ayat mana? Apakah perasaan anda tentang ayat itu?

8 Yehuwa kemudian memberitahu Yosua, ‘Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, Yehuwa, Tuhanmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.’ (Yos. 1:9, ABB) Yehuwa menyertai kita juga. Jadi janganlah  “takut ataupun tawar hati” semasa menghadapi dugaan. Yosua 1:9 menjadi dasar bagi ayat tahunan 2013: “Jadilah yakin dan berani! Tuhan Yehuwa menyertaimu.” Ayat tahunan ini serta teladan dan kata-kata orang lain yang beriman dan berani pasti akan menguatkan kita pada bulan-bulan yang akan datang.

MEREKA MELAKUKAN KEHENDAK TUHAN DENGAN BERANI

9. Bagaimanakah Rahab menunjukkan iman dan keberanian?

9 Apabila Yosua menghantar dua pengintip ke Kanaan, seorang pelacur bernama Rahab telah menyembunyikan mereka dan mengelirukan musuh mereka. Oleh sebab dia memperlihatkan iman dan keberanian, Rahab dan keluarganya terselamat apabila orang Israel membinasakan kota Yerikho. (Ibr. 11:30, 31; Yak. 2:25) Untuk menjadi penyembah Yehuwa, Rahab telah meninggalkan kehidupannya yang tidak bermoral. Sesetengah orang Kristian juga beriman dan berani seperti Rahab. Mereka mengubah haluan hidup supaya dapat menyenangkan hati Tuhan.

10. Apakah situasi Rut semasa dia memilih untuk menyembah Yehuwa? Bagaimanakah Yehuwa memberkatinya?

10 Selepas kematian Yosua, terdapat seorang wanita Moab yang berani demi ibadat sejati. Namanya Rut. Dia mungkin tahu tentang Yehuwa kerana dia seorang balu kepada lelaki Israel. Ibu mentuanya, Naomi, yang tinggal di Moab ingin kembali ke Betlehem di Israel. Semasa perjalanan, Naomi menyuruh Rut kembali kepada bangsanya. Tetapi Rut menjawab, ‘Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Tuhan yang disembah mak, akan saya sembah juga.’ (Rut 1:16) Kemudian, Rut mengahwini Boas, saudara Naomi, dan berpeluang menjadi nenek moyang Daud dan Yesus. Jelaslah, Yehuwa memberkati mereka yang beriman dan berani.—Rut 2:12; 4:17-22; Mat. 1:1-6.

RAMAI MEMPERTARUHKAN NYAWA SENDIRI!

11. Bagaimanakah Yoyada dan Yoseba menunjukkan keberanian? Apakah yang tercapai dengan perbuatan mereka?

11 Iman dan keberanian kita pasti dikuatkan ketika melihat Tuhan memperkenankan orang yang mengutamakan kehendak-Nya dan kepentingan rakan seiman. Mari kita lihat contoh Imam Agung Yoyada dan isterinya, Yoseba. Selepas Raja Ahazia mangkat, ibunya, Atalya, membunuh semua anak-anak raja kecuali Yoas dan merampas takhta. Yoyada dan Yoseba mempertaruhkan nyawa mereka dengan melindungi putera Ahazia, Yoas, selama enam tahun. Pada tahun ketujuh, Yoyada mengisytiharkan Yoas sebagai raja dan mengarahkan supaya Atalya dibunuh. (2 Raj. 11:1-16) Yoyada kemudian menyokong usaha Raja Yoas untuk membaiki Rumah Tuhan. Apabila Yoyada berumur 130 tahun, dia meninggal lalu dikebumikan di makam diraja kerana ‘jasanya kepada Tuhan, Rumah Yehuwa, dan umat Israel.’ (2 Taw. 24:15, 16) Tambahan lagi, keberanian Yoyada dan Yoseba telah memelihara garis keturunan Mesias.

12. Apakah perbuatan Ebed-Melekh yang berani?

12 Ebed-Melekh, seorang sida-sida di istana Raja Zedekia, telah menggadaikan nyawanya demi Yeremia. Raja Zedekia telah memberikan Yeremia kepada putera-putera Yehuda. Mereka menuduh bahawa Yeremia menghasut dan membuangnya ke dalam sebuah perigi berlumpur supaya dia mati. (Yer. 38:4-6) Walaupun ramai orang membenci Yeremia, Ebed-Melekh merayu kepada Raja Zedekia supaya diizinkan untuk menyelamatkan Yeremia. Raja Zedekia setuju lalu Ebed-Melekh dan 30 orang  lelaki pergi dan mengeluarkan Yeremia dari perigi itu. Melalui Yeremia, Yehuwa berjanji kepada Ebed-Melekh bahawa dia akan selamat semasa orang Babilon menawan Yerusalem. (Yer. 39:15-18) Ya, Tuhan memang memberkati orang yang berani melakukan kehendak-Nya.

13. Bagaimanakah tiga pemuda Ibrani menunjukkan keberanian? Apakah pengajaran daripada kisah mereka?

13 Pada abad ketujuh SM, tiga pemuda Ibrani telah diberkati kerana mereka beriman dan berani. Raja Nebukadnezar telah mengumpulkan semua pegawainya dan mengarahkan mereka untuk menyembah sebuah patung emas yang besar. Sesiapa yang ingkar akan dibuang ke dalam relau berapi. Tiga pemuda Ibrani itu memberitahu raja dengan sopan, ‘Jika Tuhan yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.’ (Dan. 3:16-18, ABB) Di Daniel 3:19-30, kita dapat membaca kisah yang mendebarkan tentang cara Yehuwa menyelamatkan mereka bertiga. Orang mungkin tidak mengancam untuk membuang kita ke dalam relau berapi. Namun kita masih akan menghadapi pelbagai situasi yang menguji integriti kita. Tuhan pasti memberkati kita jika kita tetap beriman dan berani.

14. Menurut Daniel bab 6, bagaimanakah Daniel menunjukkan bahawa dia berani? Apakah yang berlaku kepadanya?

14 Iman dan keberanian Daniel juga telah diuji. Musuhnya berjaya memujuk Raja Darius untuk mengeluarkan perintah “agar selama tiga puluh hari tidak seorang pun boleh meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada [Raja Darius] sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu harus dibuang ke dalam gua singa.” Sejurus selepas Daniel tahu tentang perintah ini, dia pulang ke rumah dan ‘seperti biasa, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka, lalu berdoa kepada Tuhan tiga kali sehari.’ (Dan. 6:7-11) Akibatnya Daniel dibuang ke dalam gua singa, namun Yehuwa telah menyelamatkannya.—Dan. 6:17-24.

15. (a) Bagaimanakah Akwila dan Priskila menunjukkan iman dan keberanian? (b) Apakah erti kata-kata Yesus di Yohanes 13:34? Apakah caranya orang Kristian memperlihatkan kasih sedemikian?

15 Bible memberitahu kita bahawa Akwila dan Priskila ‘menyabung nyawa untuk Paulus.’ (Rm. 16:3, 4; Kis. 18:2) Tindakan berani mereka selaras dengan kata-kata Yesus, ‘Sekarang aku memberikan perintah  baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi.’ (Yoh. 13:34, ABB) Hukum Musa menghendaki seseorang mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri. (Im. 19:18) Namun perintah Yesus tentang kasih adalah “baru” kerana kita perlu mengasihi orang lain ‘sebagaimana Yesus mengasihi kita.’ Maksudnya, kita sanggup mengorbankan nyawa sendiri demi orang lain. Ramai orang Kristian telah memperlihatkan kasih sebegini. Dengan berani, mereka “menyabung nyawa” untuk melindungi rakan seiman daripada diseksa atau dibunuh oleh musuh.—Baca 1 Yohanes 3:16.

Orang Kristian masa awal enggan berkompromi

16, 17. Apakah cubaan yang dihadapi oleh orang Kristian masa awal? Apakah pula cubaan yang dihadapi oleh orang Kristian pada zaman kita?

16 Seperti Yesus, orang Kristian masa awal hanya menyembah Yehuwa. (Mat. 4:8-10) Mereka enggan membakar kemenyan demi menghormati maharaja Roma. (Lihat gambar.) Daniel P. Mannix menulis, “Tidak banyak orang Kristian menyangkal kepercayaan mereka. Seorang tahanan hanya perlu menabur secubit kemenyan atas mazbah berapi yang biasanya terdapat di arena. Kemudian dia akan diberikan Sijil Korban lalu dibebaskan. Tahanan juga diberitahu bahawa dia bukan menyembah maharaja. Dia hanya mengakui maharaja sebagai dewa dan ketua negeri Roma. Namun hampir tiada orang Kristian yang menyelamatkan diri dengan cara ini.”—Those About to Die.

17 Orang Kristian di kem Nazi juga diberi peluang berulang kali untuk melepaskan diri daripada hukuman mati. Mereka hanya perlu menandatangani dokumen yang menunjukkan bahawa mereka menyangkal Yehuwa. Namun, tidak ramai yang menandatanganinya. Di Rwanda, Saksi-Saksi Tutsi dan Hutu melindungi satu sama lain apabila berlakunya pembunuhan besar-besaran antara dua puak tersebut. Orang Kristian memang perlu berani dan beriman semasa peristiwa-peristiwa sebegini.

INGATLAH, YEHUWA MENYERTAI KITA!

18, 19. Apakah contoh iman dan keberanian dalam Bible yang dapat membantu kita untuk menjalankan kerja penyebaran?

18 Kini, kita berpeluang untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dan menjadikan orang murid Yesus. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Kita sangat menghargai teladan sempurna Yesus! Dia ‘menjelajah kota dan pekan untuk mengkhabarkan berita baik bahawa Tuhan mula memerintah.’ (Luk. 8:1) Seperti Yesus, kita memerlukan iman dan keberanian untuk menginjil. Dengan bantuan Tuhan, kita dapat menunjukkan keberanian seperti Nuh. Dia “mengisytiharkan kebenaran” kepada “orang derhaka zaman itu” yang bakal dibinasakan dalam banjir besar.—2 Ptr. 2:4, 5, nota kaki.

19 Doa membantu kita dalam kerja penyebaran. Sesetengah pengikut Yesus yang dianiaya berdoa supaya mereka dapat menyampaikan Firman Tuhan dengan “penuh keberanian.” Doa mereka dikabulkan. (Baca Kisah 4:29-31.) Jika anda berasa takut untuk menginjil, berdoalah kepada Yehuwa. Dia akan memberi anda lebih iman dan keberanian.—Baca Mazmur 66:19, 20. *

20. Apakah bantuan yang dapat kita peroleh sebagai hamba Yehuwa?

20 Di dunia yang jahat ini, tidak mudah bagi kita untuk melakukan kehendak Tuhan. Tetapi, kita tidak bersendirian. Tuhan menyertai kita, begitu juga dengan Yesus, Kepala sidang Kristian. Selain itu, ada lebih daripada 7,000,000 Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia. Semoga kita tetap beriman, menyebarkan berita baik, dan mengingati ayat tahunan 2013: “Jadilah yakin dan berani! Tuhan Yehuwa menyertaimu.”—Yos. 1:9.

^ per. 19 Lebih banyak contoh tentang keberanian terkandung dalam rencana “Hendaklah Engkau Yakin dan Berani” dalam majalah pembelajaran 15 Februari 2012.