Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Adakah kata-kata Yesus di Matius 19:10-12 menunjukkan bahawa orang yang memilih untuk membujang dikurniai kemampuan itu dengan cara yang misteri?

Sebelum Yesus memberikan pendapatnya tentang kehidupan bujang, orang Farisi menanyakan Yesus mengenai topik perceraian. Maka, Yesus menjelaskan prinsip Yehuwa dalam hal perkahwinan. Di bawah Hukum Musa, seorang suami boleh menulis surat cerai sekiranya dia mendapati ‘tingkah laku isterinya tidak senonoh.’ Namun, hal ini bukanlah tujuan asal Tuhan. (Ul. 24:1, 2, nota kaki) Yesus menyatakan, “Sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.”​—Mat. 19:3-9.

Setelah mendengar kata-kata Yesus, pengikutnya menyimpulkan, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.” Yesus menjawab, ‘Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Tuhan kemampuan untuk menerimanya. Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Tuhan. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.’​—Mat. 19:10-12, ABB.

Sesetengah “orang tidak berkahwin” kerana mereka dilahirkan mandul, dimandulkan, atau menjadi mandul akibat kemalangan. Namun, ada juga yang memilih untuk tidak berkahwin atas kemahuan sendiri. Walaupun mereka boleh berkahwin, mereka mengawal diri dan terus membujang kerana ingin ‘mengabdikan diri kepada Tuhan.’ Seperti Yesus, mereka memilih untuk hidup membujang supaya dapat berkhidmat sepenuhnya demi Kerajaan Tuhan. Mereka tidak dikurniai kemampuan untuk hidup bujang sejak lahir atau dengan cara yang misteri. Sebenarnya, mereka telah membuat keputusan untuk hidup membujang dan berusaha untuk memperoleh kurniaan ini.

Sehubungan dengan kata-kata Yesus, rasul Paulus menerangkan bahawa semua orang Kristian, baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin, boleh menyembah Tuhan dan mendapat perkenan-Nya. Namun, mereka yang “mengambil keputusan untuk tidak berkahwin” dapat melakukannya dengan “lebih baik.” Mengapa? Orang yang sudah berkahwin perlu meluangkan masa dan tenaga untuk menjaga pasangan hidup. Manakala, orang Kristian yang bujang boleh berkhidmat kepada Tuhan tanpa perlu memikirkan hal itu. Mereka menganggap keadaan mereka sebagai “kurnia” daripada Tuhan.​—1 Kor. 7:7, 32-38.

Maka, Bible tidak mengajar bahawa seorang Kristian yang memilih untuk hidup membujang telah dikurniai kemampuan itu dengan cara yang misteri. Sebaliknya, dia perlu berusaha untuk memperoleh kurniaan ini agar dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan tanpa gangguan. Atas sebab yang sama, ramai hari ini bertekad untuk terus membujang. Orang lain harus menjadi sumber galakan kepada mereka.