Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Orang Berkecukupan Membantu Orang Berkekurangan

Orang Berkecukupan Membantu Orang Berkekurangan

PADA tahun 49 M, Petrus, Yakobus, dan Yohanes memberi Paulus dan Barnabas suatu tugas khas. Mereka diminta untuk sentiasa memperhatikan orang Kristian yang miskin semasa menginjil kepada bangsa lain. (Gal. 2:9, 10) Bagaimanakah mereka melaksanakan tanggungjawab itu?

Surat-surat Paulus menunjukkan apa yang dilakukannya. Sehubungan wang yang akan dikumpulkan, dia menulis kepada orang Kristian di Korintus, ‘Kamu harus melakukan apa yang aku beritahukan kepada kumpulan jemaah di Galatia. Pada tiap-tiap hari Ahad, kamu haruslah menyimpan sedikit wang sesuai dengan pendapatannya. Simpanlah wang itu sehingga aku datang, supaya pada waktu itu tidak payah lagi mengumpulkannya. Setelah aku datang, aku akan memberikan surat pengenalan kepada beberapa orang yang kamu setujui. Aku akan mengutus mereka untuk membawa wang derma kamu ke Yerusalem.’​—1 Kor. 16:1-3, ABB.

Dalam surat kedua kepada sidang Korintus, sekali lagi Paulus menyatakan bahawa wang ini dikumpulkan supaya mereka yang berkecukupan dapat membantu orang yang berkekurangan.​—2 Kor. 8:12-15.

Pada tahun 56 M, tugas Paulus hampir selesai. Dia menulis kepada sidang Roma, ‘Aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Tuhan di situ. Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Tuhan di Yerusalem.’ (Rm. 15:25, 26, ABB) Tidak lama selepas itu, Paulus menyempurnakan tugasnya. Semasa dia ditahan di Yerusalem dan dihadapkan kepada Gabenor Feliks, dia berkata, ‘Saya kembali ke sini untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban.’​—Kis. 24:17.

Orang Kristian pada abad pertama sangat murah hati. Paulus berkata bahawa orang Kristian di Makedonia ‘merayu supaya dibenarkan membantu umat Tuhan.’ Paulus menggalakkan orang Kristian di Korintus untuk meniru teladan mereka. Dia berkata, ‘Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya. Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.’ Mengapakah orang Kristian pada abad pertama begitu murah hati? Mereka bukan sahaja mahu membantu umat Tuhan, tetapi mahu ‘banyak orang bersyukur kepada Tuhan.’ (2 Kor. 8:4; 9:7, 12, ABB) Semoga kita bermurah hati dengan niat yang sama. Dengan demikian, Yehuwa pasti akan memberkati kita. Sememangnya, berkat Tuhanlah yang membuat kita kaya.​—Ams. 10:22.

CARA-CARA MEMBERIKAN SUMBANGAN UNTUK KERJA SEDUNIA

Seperti pada zaman rasul Paulus, ramai hari ini memperuntukkan sejumlah wang untuk dimasukkan ke dalam kotak yang berlabel “Kerja Sedunia.” (1 Kor. 16:2) Setiap bulan, sidang-sidang mengirimkan sumbangan yang diterima ke pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Anda juga boleh menggunakan cara lain untuk memberikan sumbangan kepada Saksi-Saksi Yehuwa di negara anda. Untuk mengetahui caranya, sila hubungi pejabat cawangan tempatan. Alamat pejabat cawangan boleh didapati di www.jw.org. Sumbangan-sumbangan yang boleh diberikan adalah seperti berikut:

PEMBERIAN TANPA SYARAT

  • Wang, barang kemas, atau barangan lain yang berharga boleh disumbangkan.

  • Lampirkan surat ringkas yang menyatakan bahawa barangan ini merupakan pemberian tanpa syarat.

SUMBANGAN BERSYARAT

  • Wang dapat diamanahkan dengan syarat bahawa wang itu akan dikembalikan apabila diminta balik.

  • Lampirkan surat ringkas yang menyatakan bahawa wang itu merupakan sumbangan bersyarat.

PERANCANGAN AMAL

Penderma perlu membuat perancangan awal untuk memberikan sumbangan. Selain wang dan harta milik peribadi, terdapat cara-cara lain untuk memberikan sumbangan kepada kerja sedunia. Antara cara yang dimaksudkan tertera di bawah. Namun, sila hubungi pejabat cawangan tempatan untuk mengetahui cara mana yang boleh digunakan di negara anda. Memandangkan tuntutan perundangan setiap negara adalah berbeza, sila dapatkan nasihat undang-undang dan cukai sebelum memberikan sumbangan.

Insurans: Badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dapat dinamakan sebagai benefisiari, atau penama polisi insurans hayat atau pelan persaraan/pencen.

Akaun Bank: Akaun bank, deposit tetap, atau akaun pesara boleh diamanahkan atau dibayar kepada badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa setelah kematian pemiliknya, mengikut syarat-syarat bank tempatan.

Saham dan Bon: Saham dan bon boleh disumbangkan kepada badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa sebagai pemberian tanpa syarat. Badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa juga boleh dinamakan sebagai benefisiari apabila pemilik meninggal.

Hartanah: Hartanah boleh disumbangkan sebagai pemberian tanpa syarat kepada badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa menderma hartanah kediaman, penderma boleh menyatakan bahawa dia ingin terus mendiaminya selama masa hidupnya.

Wasiat dan Amanah: Hartanah atau wang dapat diwariskan kepada badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Surat wasiat yang sah di sisi undang-undang diperlukan. Badan yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa juga dapat dinamakan sebagai benefisiari amanah.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat cawangan tempatan.