‘Engkaulah Tuhanku; ajarlah aku melakukan kehendak-Mu.’​—MZM. 143:10.

1, 2. Apakah manfaat yang boleh kita raih jika kita memberikan perhatian kepada pandangan Tuhan? Apakah yang akan kita belajar daripada Raja Daud?

PERNAHKAH anda menggunakan peta komputer yang membolehkan anda mempunyai pandangan udara semasa merancang perjalanan ke destinasi anda? Dari sudut pandangan udara, anda boleh nampak jalan terbaik dengan jelas. Dalam cara yang sama, adalah baik jika kita mempunyai pandangan Pencipta kita semasa membuat keputusan. Pandangan Yehuwa yang luhur dapat membantu kita ‘mengikut jalan’ yang diperkenankan-Nya.​—Yes. 30:21.

2 Raja Daud memberikan perhatian kepada kehendak Tuhan dalam hidupnya dan berusaha menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Kita akan membincangkan beberapa peristiwa dalam hidup Daud dan belajar daripada teladan baiknya.​—1 Raj. 11:4.

DAUD MENJUNJUNG TINGGI NAMA YEHUWA

3, 4. (a) Apakah yang mendorong Daud menentang Goliat? (b) Apakah pandangan Daud terhadap nama Tuhan?

3 Mari kita lihat peristiwa semasa Daud menentang Goliat, jaguh orang Filistin. Goliat sangat besar, tingginya kira-kira 2.9 m, dan dia mempunyai perlengkapan perang. Apakah yang menggerakkan Daud untuk menyahut cabaran Goliat? (1 Sam. 17:4) Adakah dia digerakkan oleh keberaniannya atau imannya? Sebenarnya, kedua-dua sifat ini diperlukan. Tetapi apa yang benar-benar mendorong Daud ialah rasa hormat untuk Yehuwa dan nama-Nya yang luhur. Dengan marah, Daud berseru, ‘Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Tuhan, mencabar tentera Tuhan yang hidup!’​—1 Sam. 17:26.

4 Semasa berdepan dengan Goliat, Daud berkata,  ‘Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama Yehuwa Yang Maha Kuasa, Tuhan tentera Israel, yang engkau hina itu.’ (1 Sam. 17:45) Daud bergantung pada Tuhan dan berjaya menewaskan Goliat dengan sebiji batu yang dihumban dengan ali-alinya. Sepanjang hayat Daud, dia menjunjung nama Yehuwa dan menaruh keyakinan pada-Nya. Ya, Daud ingin ‘memuji nama Yehuwa yang suci.’​—Baca 1 Tawarikh 16:35.

5. Dewasa ini, bagaimanakah orang mungkin mencemuh Yehuwa seperti Goliat?

5 Adakah anda berasa bangga kerana Yehuwa ialah Tuhan anda? (Yer. 9:24) Apakah reaksi anda semasa jiran, rakan sekerja, rakan sekelas, atau saudara-mara bercakap buruk tentang Yehuwa dan mempersendakan Saksi-Saksi-Nya? Adakah anda yakin bahawa Yehuwa akan menyokong usaha anda untuk membela nama-Nya? Memang, ada waktunya kita perlu “berdiam diri,” tetapi kita tidak patut berasa malu kerana kita Saksi-Saksi Yehuwa dan pengikut Yesus. (Pkh. 3:7; Mrk. 8:38) Walaupun kita perlu bersikap lembut dan sopan semasa berdepan dengan orang yang tidak suka akan kebenaran, kita tidak patut menjadi seperti orang Israel yang menjadi ‘cemas dan sangat takut’ semasa mendengar cemuhan Goliat. (1 Sam. 17:11) Sebaliknya, kita mahu bertekad untuk menyucikan nama Tuhan Yehuwa. Kita mahu membantu orang lain mengenali Yehuwa. Oleh itu, kita menggunakan Firman-Nya untuk membantu orang lain sedar akan pentingnya untuk menghampiri Tuhan.​—Yak. 4:8.

6. Mengapakah Daud ingin menghadap Goliat? Apakah yang sepatutnya menjadi keutamaan kita?

6 Peristiwa antara Daud dan Goliat memberi kita satu lagi pengajaran yang penting. Semasa Daud berlari ke medan pertempuran, dia bertanya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan?” Orang Israel menjawab, “Orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu.” (1 Sam. 17:25-27) Ganjaran itu memang lumayan, tetapi itu bukan keutamaan Daud. Memuliakan Tuhan yang benar lebih penting baginya. (Baca 1 Samuel 17:46, 47.) Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita mahu memasyhurkan nama sendiri atau mengejar kemewahan? Kita tentu mahu bersikap seperti Daud yang bernyanyi, ‘Agungkanlah Yehuwa bersama dengan aku, marilah bersama-sama memuji nama-Nya.’ (Mzm. 34:4, ABB) Semoga kita menaruh keyakinan pada Tuhan dan mengutamakan nama-Nya.​—Mat. 6:9.

7. Bagaimanakah kita boleh memupuk iman yang kukuh meskipun orang tidak mahu mendengar mesej kita?

7 Semasa berdepan dengan Goliat, Daud perlu bergantung sepenuhnya pada Yehuwa. Daud memiliki iman yang kukuh. Satu cara dia membina imannya adalah dengan bergantung pada Tuhan semasa bekerja sebagai seorang gembala. (1 Sam. 17:34-37) Kita juga perlu ada iman yang kukuh agar dapat bertabah dalam aktiviti penyebaran, terutamanya semasa berdepan dengan orang yang tidak menyambut kebenaran. Kita dapat memupuk iman yang kukuh dengan bergantung pada Tuhan semasa menjalankan aktiviti harian. Contohnya, semasa menggunakan pengangkutan awam, kita boleh berbual tentang kebenaran dengan orang yang duduk di sebelah kita. Dan kita boleh bercakap kepada orang yang lalu-lalang semasa menginjil dari rumah ke rumah.​—Kis. 20:20, 21.

 DAUD SABAR MENUNGGU YEHUWA

Mengapakah Daud tidak membunuh Saul meskipun dia berpeluang untuk berbuat demikian?

8, 9. Berkenaan Raja Saul, bagaimanakah Daud menunjukkan bahawa dia mengutamakan kehendak Yehuwa?

8 Satu lagi peristiwa yang menunjukkan bahawa Daud bergantung pada Tuhan berkaitan dengan Saul, raja Israel yang pertama. Raja Saul yang iri hati cuba melembing Daud sebanyak tiga kali. Tetapi setiap kali Daud mengelak dan tidak membalas perbuatan buruk Saul. Akhirnya, Daud melarikan diri. (1 Sam. 18:7-11; 19:10) Kemudian, Saul memilih 3,000 orang askar Israel yang terbaik lalu pergi mencari Daud. (1 Sam. 24:3) Tanpa diketahuinya, Saul telah masuk ke dalam gua di mana Daud dan anak buahnya sedang bersembunyi. Daud berpeluang menggunakan kesempatan itu untuk membunuh Saul. Lagipun, Tuhan mahu Daud menggantikan Saul sebagai raja Israel. (1 Sam. 16:1, 13) Jika Daud mendengar nasihat anak buahnya, Raja Saul mungkin telah dibunuh. Tetapi Daud berkata, ‘Semoga Yehuwa mencegah aku daripada berbuat jahat terhadap rajaku yang telah dipilih Yehuwa. Aku tidak boleh menyakiti raja sedikit pun kerana raja telah dipilih Yehuwa.’ (Baca 1 Samuel 24:5-8.) Saul masih merupakan raja yang dilantik Tuhan. Daud tidak mahu merampas kuasa Saul, memandangkan Yehuwa belum memansuhkan kedudukan Saul. Dengan memotong sedikit tepi jubah Saul, Daud membuktikan bahawa dia tidak berniat untuk membunuhnya.​—1 Sam. 24:12.

9 Kali terakhir Daud bertemu dengan Raja Saul, dia masih memperlihatkan hormat kepada Saul. Pada masa itu, Daud dan Abisai menjumpai tempat perkhemahan Saul dan mendapati bahawa Saul sedang tidur nyenyak. Abisai menyimpulkan bahawa Tuhan telah menyerahkan musuh Daud ke dalam tangannya, dan meminta kebenaran untuk menancapkan tombak ke badan Saul sehingga tembus ke tanah. Tetapi, Daud tidak mengizinkan Abisai berbuat demikian. (1 Sam. 26:8-11) Oleh sebab Daud selalu bergantung pada bimbingan Yehuwa, dia tidak mahu menyakiti raja yang dilantik Yehuwa walaupun Abisai menggesanya berbuat demikian.

10. Apakah situasi mencabar yang mungkin kita hadapi, dan bagaimanakah kita boleh teguh menghadapi situasi sedemikian?

10 Ada kalanya, sahabat kita juga mungkin mendesak kita supaya bertindak menurut pandangan manusia. Seperti Abisai, mereka mungkin mahu kita bertindak tanpa memikirkan pandangan Yehuwa. Agar kita dapat menghadapi situasi sebegini dengan teguh, pandangan Yehuwa harus  terpahat di hati dan kita harus bertekad untuk menurut kehendak-Nya.

11. Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Daud dan mengutamakan kehendak Yehuwa?

11 Daud berdoa kepada Yehuwa, ‘Ajarlah aku melakukan kehendak-Mu.’ (Baca Mazmur 143:5, 8, 10.) Daud lebih rela diajar oleh Tuhan daripada menurut pandangannya sendiri atau pandangan orang lain. Dia ‘memikirkan segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan mengenangkan segala perbuatan-Nya.’ Kita juga dapat mengetahui kehendak Tuhan dengan membaca dan merenungkan kisah Bible yang menunjukkan cara Yehuwa berurusan dengan manusia.

DAUD MENGHARGAI PRINSIP DI SEBALIK HUKUM TUHAN

12, 13. Mengapakah Daud mencurahkan air yang dibawa oleh tiga orang askarnya ke tanah?

12 Daud menghargai prinsip di sebalik Hukum Tuhan dan berusaha untuk hidup menurutnya. Pernah sekali, Raja Daud meluahkan keinginan untuk minum air “dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem.” Jadi, tiga orang askarnya menembusi pertahanan orang Filistin, menimba air dari perigi, lalu membawanya kepada Daud. Tetapi, ‘Daud tidak mahu meminum air itu, malahan mencurahkannya sebagai persembahan kepada Yehuwa.’ Mengapa? Daud menjelaskan, “Tidak mungkin beta minum air ini! Jika beta meminumnya, seolah-olah beta minum darah orang yang telah mempertaruhkan nyawa mereka!”​—1 Taw. 11:15-19.

Apakah yang dapat kita pelajari daripada Daud semasa dia enggan meminum air yang dibawa oleh tiga orang askarnya?

13 Daud tahu bahawa dalam Hukum Tuhan, darah tidak boleh dimakan dan harus dicurahkan ke tanah. Dia juga memahami mengapa Tuhan memberikan perintah ini. Daud tahu bahawa “nyawa tiap-tiap makhluk terkandung di dalam darahnya.” Tetapi, mengapakah Daud enggan meminum air yang dibawa oleh tiga orang askarnya? Dia memahami prinsip di sebalik hukum Tuhan mengenai darah. Di mata Daud, air itu mempunyai nilai yang sama dengan darah askarnya. Jadi, dia tidak sanggup meminumnya. Sebaliknya, dia menyimpulkan bahawa air itu patut dicurahkan ke tanah.​—Im. 17:11; Ul. 12:23, 24.

14. Apakah yang membantu Daud memiliki pandangan Yehuwa?

 14 Daud mencuba untuk menyelami Hukum Tuhan. Dia bernyanyi, ‘Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Tuhanku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.’ (Mzm. 40:9, ABB) Daud mempelajari dan merenungi hukum Tuhan. Dia mempercayai kebijaksanaan perintah Yehuwa. Oleh itu, Daud bukan sahaja mematuhi setiap Hukum tetapi ingin menurut prinsip yang tersirat dalamnya. Semasa mempelajari Bible, adalah bijak jika kita merenungi apa yang dibaca dan memastikan bahawa hukum Tuhan terukir di hati kita. Dengan demikian, kita dapat membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa dalam apa jua situasi.

15. Bagaimanakah Salomo menunjukkan bahawa dia tidak mengendahkan perintah Yehuwa?

15 Tuhan Yehuwa sangat menyayangi Salomo. Tetapi, Salomo kemudiannya mengingkari perintah Tuhan. Dia tidak mengendahkan perintah Yehuwa untuk ‘tidak mempunyai banyak isteri.’ (Ul. 17:17) Salomo mengahwini banyak wanita asing dan ketika dia sudah tua, mereka “berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain.” Tidak kira apa alasan Salomo, Bible menyatakan bahawa dia ‘berdosa terhadap Yehuwa. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo taat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya.’ (1 Raj. 11:1-6) Betapa pentingnya untuk menurut hukum dan prinsip dalam Firman Tuhan! Sekarang, mari kita lihat bagaimana hal ini dapat diterapkan dalam soal perkahwinan.

16. Bagaimanakah orang Kristian yang ingin berkahwin dapat mematuhi prinsip di sebalik perintah di 1 Korintus 7:39?

16 Andai kata seorang yang tidak seiman cuba memikat anda, apakah reaksi anda? Adakah anda akan menjadi seperti Daud atau Salomo? Jika penyembah Tuhan ingin berkahwin, calon pasangan mereka “haruslah seorang Kristian.” (1 Kor. 7:39) Ya, kita patut mengahwini rakan seiman sahaja. Jika kita menghayati prinsip yang tersirat dalam perintah ini, kita bukan sahaja tidak akan mengahwini orang yang tidak seiman malah kita tidak akan berfikir untuk menjalin hubungan romantik dengannya.

17. Apakah yang dapat membantu kita menghindari jerat pornografi?

17 Cara Daud bergantung pada bimbingan Tuhan juga boleh membantu kita menghindari godaan untuk melihat bahan lucah. Bacalah ayat-ayat berikut, fikirlah tentang prinsipnya, dan pupuklah pandangan Tuhan dalam hal ini. (Baca Mazmur 119:37; Matius 5:28, 29; Kolose 3:5.) Dengan merenungkan piawaian Tuhan yang luhur, kita dapat menghindari jerat pornografi.

SENTIASA MEMUPUK PANDANGAN TUHAN

18, 19. (a) Walaupun Daud tidak sempurna, mengapakah dia terus mendapat perkenan Tuhan? (b) Apakah tekad anda?

18 Meskipun Daud menetapkan teladan yang menonjol, dia pernah melakukan beberapa dosa yang serius. (2 Sam. 11:2-4, 14, 15, 22-27; 1 Taw. 21:1, 7) Namun, mengapakah Bible menyatakan bahawa Daud menyembah Tuhan “dengan jujur dan tulus hati”? (1 Raj. 9:4) Hal ini adalah kerana Daud telah bertaubat dan berikhtiar untuk hidup menurut kehendak Yehuwa.

19 Walaupun kita tidak sempurna, kita boleh mendapat perkenan Yehuwa. Bagaimana? Dengan mempelajari Firman Tuhan secara tekun, membuat perenungan, dan bertindak selaras dengan apa yang dipelajari. Jika kita berbuat demikian, kita akan mencerminkan tekad pemazmur yang memohon kepada Tuhan: “Ajarlah aku melakukan kehendak-Mu.”