BEBERAPA tahun lalu, Rúbia (1), seorang saudari yang sekarang berusia 30 tahun, telah mengunjungi Sandra (2), seorang perintis yang berkhidmat di bahagian selatan Brazil. Pengalaman Rúbia di situ sangat mengagumkan sehingga mengubah haluan hidupnya. Marilah kita baca pengalamannya.

“SUSAH NAK PERCAYA!”

“Sandra telah membawa saya untuk berjumpa dengan seorang wanita yang sedang belajar Bible. Semasa belajar, wanita itu berkata, ‘Sandra, tiga gadis di tempat kerja saya mahu belajar Bible juga. Tapi saya tahu jadual kamu sudah penuh tahun ini, jadi saya beritahu mereka bahawa mereka kena tunggu.’ Susah nak percaya! Orang yang ingin belajar tentang Yehuwa terpaksa  menunggu! Di sidang saya, sangat susah untuk jumpa satu orang pun yang mahu belajar. Pada masa itu juga, di rumah pelajar Bible itu, saya bertekad mahu membantu orang di pekan kecil itu. Tidak lama kemudian, saya pindah dari bandar ke pekan di mana Sandra merintis.”

Apakah kesudahannya bagi Rúbia? Dia berkata, “Selepas berpindah ke sana selama dua bulan, saya sudah ada 15 pelajar Bible.” Tidak lama kemudian, banyak orang juga menunggu untuk belajar Bible dengan Rúbia.

DIDORONG UNTUK MEMERIKSA AKTIVITI PENYEBARANNYA

Diego (3), seorang saudara yang berusia awal 20-an, telah melawat beberapa perintis yang berkhidmat di Prudentópolis, sebuah bandar kecil di selatan Brazil. Lawatan itu telah meninggalkan kesan yang mendalam dan mendorongnya untuk memeriksa aktiviti penyebarannya. Dia berkata, “Saya ikut sahaja sidang saya sambil meluangkan beberapa jam untuk menginjil setiap bulan. Tetapi apabila saya melawat perintis di sana dan mendengar pengalaman mereka, saya mendapati bahawa mereka jauh lebih gembira daripada saya. Saya pun ingin gembira dan seronok seperti mereka.” Selepas lawatan itu, Diego mula merintis.

Seperti Diego, adakah anda seorang penyiar muda yang menginjil dan menghadiri perjumpaan tetapi berasa bahawa kerja penyebaran tidak begitu memberangsangkan? Jika ya, bolehkah anda membuat perubahan dalam hidup anda dan menikmati sukacita seraya berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan penyiar? Mungkin anda teragak-agak untuk meninggalkan gaya hidup yang selesa. Namun banyak orang muda telah berbuat demikian. Mereka berani mengubah matlamat peribadi dan keinginan supaya dapat meningkatkan khidmat kepada Yehuwa. Sekarang mari kita lihat contoh Bruno.

PEMUZIK ATAU PENGINJIL?

Beberapa tahun lalu, Bruno (4), yang sekarang berumur 28 tahun, telah belajar di sebuah sekolah  muzik yang terkenal. Dia ingin menjadi konduktor orkestra. Dia sangat mahir dan telah dijemput beberapa kali untuk menjadi konduktor sebuah orkestra simfoni. Dia mempunyai kerjaya yang cerah di hadapannya. Namun Bruno berkata, “Saya rasa hidup saya masih kekurangan sesuatu. Saya telah membaktikan diri kepada Yehuwa, tetapi tidak menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Hal ini mengganggu saya. Saya telah meluahkan perasaan saya kepada Yehuwa dan bercakap dengan saudara yang berpengalaman di sidang. Selepas berfikir masak-masak, saya membuat keputusan untuk mengutamakan kerja penyebaran dan bukannya muzik. Saya berhenti belajar muzik, dan mula berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan penyiar.” Apakah yang berlaku seterusnya?

Bruno telah berpindah ke pekan Guapiara (populasi sekitar 7,000 orang), kira-kira 260 km dari bandar São Paulo. Sememangnya ini merupakan perubahan yang besar. Dia berkata, “Rumah kecil saya tiada peti sejuk, TV, atau Internet. Tetapi rumah itu ada sesuatu yang tidak pernah saya miliki: Kebun sayur dan buah-buahan!” Bruno berkhidmat di sebuah sidang kecil di sana. Setiap minggu, dia membawa bekalan air, makanan, dan bahan bacaan lalu menaiki motosikal ke kawasan terpencil untuk menginjil. Ramai orang di sana tidak pernah mendengar berita baik. “Saya ada 18 orang pelajar Bible,” katanya. “Apabila saya melihat mereka membuat perubahan dalam hidup mereka, saya sangat gembira.” Dia berkata lagi, “Pada masa itu, saya sedar mengapa hidup saya dulu kosong. Mengutamakan Kerajaan Tuhan memang membawa kepuasan yang besar. Saya tidak dapat menikmati kepuasan ini jika saya terus mengejar cita-cita di dunia.” Bagaimanakah Bruno menampung kehidupannya di Guapiara? Sambil tersenyum, dia berkata, “Saya mengajar gitar.” Ya, dia masih seorang pemuzik.

“SAYA TERUS TINGGAL DI SANA”

Mariana (5), yang berumur lewat 20-an, menghadapi situasi yang sama dengan Bruno. Walaupun dia seorang peguam dengan gaji yang lumayan, dia  tidak gembira. Dia berkata, “Saya rasa saya seperti ‘mengejar angin sahaja.’” (Pkh. 1:17) Beberapa saudara saudari menggalakkannya untuk menjadi perintis. Selepas mempertimbangkan hal itu, Mariana bersama kawan-kawannya Bianca (6), Caroline (7), dan Juliana (8), membuat keputusan untuk membantu sebuah sidang di Barra do Bugres. Pekan itu terletak beribu-ribu kilometer dari tempat mereka dan terletak dekat Bolivia. Apakah pengalamannya?

Mariana berkata, “Saya ingin tinggal di sana selama tiga bulan sahaja. Tetapi selepas tamat tempoh itu, saya sudah ada 15 pelajar Bible! Dan mereka semua memerlukan banyak bantuan lagi. Saya tidak sampai hati untuk memberitahu mereka bahawa saya akan pulang. Jadi saya terus tinggal di sana.” Ketiga-tiga kawannya pun terus menetap di sana. Adakah hidup Mariana menjadi lebih bermakna? Dia berkata, “Oleh sebab Yehuwa menggunakan saya untuk membantu orang, saya berasa gembira. Saya diberkati kerana dapat menggunakan masa dan tenaga untuk suatu kerja yang penting.” Caroline mencerminkan perasaan mereka berempat dengan berkata, “Sebelum tidur, saya rasa sangat puas kerana saya telah menghabiskan masa dan tenaga untuk Kerajaan Tuhan. Hidup saya berpusat pada usaha membantu pelajar-pelajar Bible. Dan saya rasa teruja untuk melihat kemajuan mereka. Kata-kata Bible memang benar, ‘Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa!’”​—Mzm. 34:9.

Betapa gembiranya Yehuwa kerana ramai penyiar muda di seluruh dunia menyerantakan berita baik di kawasan-kawasan terpencil “dengan sukarela”! (Mzm. 110:3; Ams. 27:11) Semua pekerja sukarela ini pasti menikmati berkat yang melimpah daripada Yehuwa.​—Ams. 10:22.