Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Belajarlah Daripada Rangka Ajaran Benar

Belajarlah Daripada Rangka Ajaran Benar

“Di dalam Taurat, kamu mempunyai segala [“rangka,” NW] pengetahuan dan ajaran yang benar.”​—RM. 2:20.

1. Mengapakah kita perlu memahami penjelasan Paulus tentang Hukum Musa?

TANPA surat-surat Paulus dalam Bible, kita sukar memahami pelbagai aspek yang penting dalam Hukum Musa. Sebagai contoh, dalam suratnya kepada orang Ibrani, dia menerangkan bagaimana Yesus, sebagai “Imam Agung yang setia” mempersembahkan korban sekali untuk selama-lamanya supaya orang yang beriman terhadapnya dapat ‘dibebaskan selama-lamanya.’ (Ibr. 2:17; 9:11, 12) Paulus menjelaskan bahawa khemah suci sebenarnya hanya “bayangan daripada apa yang di syurga.” Yesus telah menjadi Pengantara “suatu perjanjian yang lebih baik” berbanding Hukum Musa. (Ibr. 7:22; 8:1-5) Penjelasan Paulus tentang Hukum Musa amat bernilai bagi orang Kristian, baik dahulu mahupun sekarang. Penjelasannya akan memperdalam penghargaan kita terhadap segala pemberian Tuhan kepada kita.

2. Apakah kelebihan orang Kristian berbangsa Yahudi berbanding orang bukan Yahudi?

2 Sebahagian daripada surat Paulus kepada sidang di Roma ditujukan kepada orang Kristian berbangsa Yahudi yang pernah mempelajari Hukum Musa. Memandangkan mereka sudah mengenal Hukum Musa, Paulus berkata bahawa mereka mempunyai rangka “pengetahuan dan ajaran yang benar” tentang Yehuwa dan prinsip-prinsip-Nya yang adil benar. Mereka memahami dan mencintai “pengetahuan dan ajaran yang benar.” Jadi, seperti orang Yahudi dahulu yang setia, mereka dapat membimbing, mengajar, dan menerangkan Hukum Musa kepada orang lain.​—Baca Roma 2:17-20.

 BAYANGAN KORBAN YESUS

3. Apakah manfaat mengkaji korban orang Yahudi kuno?

3 Kita perlu mengenal rangka pengetahuan dan ajaran benar yang disebut oleh Paulus untuk memahami tujuan-tujuan Yehuwa. Ingatlah bahawa prinsip-prinsip yang menunjangi Hukum Musa tetap penting dan bernilai sampai hari ini. Jadi, kita akan mengupas satu aspek Hukum Musa—bagaimana pelbagai korban yang dipersembahkan membantu orang Yahudi yang rendah hati agar menerima Kristus dan memahami kehendak Tuhan bagi mereka. Hal-hal asas yang dikehendaki Yehuwa daripada hamba-hamba-Nya tidak berubah. Maka, dengan mengkaji hukum Tuhan tentang korban, kita dapat menilai mutu khidmat kita kepada-Nya.​—Mal. 3:6.

4, 5. (a) Hukum Musa mengingatkan umat Tuhan tentang apa? (b) Hukum Tuhan tentang korban ialah “bayangan” kepada apa?

4 Banyak aspek Hukum Musa mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka berdosa. Misalnya, sesiapa yang menyentuh mayat perlu disucikan. Seekor lembu betina merah yang tiada cacat cela akan disembelih dan dibakar. Kemudian, abunya disimpan untuk menyediakan “air bagi upacara penyucian,” yang dipercik ke atas orang itu pada hari ketiga dan ketujuh selepas dia menjadi najis. (Bil. 19:1-13) Untuk mengingatkan orang Israel bahawa semua orang tidak sempurna dan berdosa sejak lahir, seorang wanita yang bersalin dianggap najis untuk tempoh tertentu. Selepas itu dia perlu mempersembahkan korban untuk pengampunan dosa.​—Im. 12:1-8.

5 Korban binatang diperlukan dalam pelbagai situasi kehidupan untuk menebus dosa. Tidak kira sama ada orang Israel sedar atau tidak, korban-korban ini dan korban lain yang dipersembahkan di Rumah Yehuwa merupakan “bayangan” kepada korban Yesus yang sempurna.​—Ibr. 10:1-10.

SIKAP YANG BETUL TERHADAP KORBAN

6, 7. (a) Semasa mempersembahkan korban, apakah yang harus diingat oleh orang Israel? Apakah yang digambarkan oleh korban sebegini? (b) Apakah yang boleh kita tanya diri sendiri?

6 Semua binatang yang dipersembahkan kepada Yehuwa “tidak boleh ada kecacatan,” tidak boleh buta, cedera, terbantut, atau berpenyakit. (Im. 22:20-22) Buah atau bijirin yang dipersembahkan kepada Yehuwa mesti merupakan “hasil pertama” yang “paling baik.” (Bil. 18:12, 29) Korban yang bermutu rendah tidak akan menyenangkan hati Yehuwa. Perintah yang penting ini menggambarkan korban Yesus yang sempurna dan tidak bercacat cela. Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa sanggup mengorbankan Anak-Nya yang paling dikasihi untuk menebus manusia.​—1 Ptr. 1:18, 19.

7 Jika orang yang menyediakan korban benar-benar bersyukur atas segala kebaikan Yehuwa, dia pasti akan memberi-Nya apa yang terbaik dengan rela hati. Mutu korban terpulang kepada orang tersebut. Namun, dia juga tahu bahawa korban yang cacat tidak akan menyenangkan hati Tuhan, kerana ini akan menunjukkan bahawa dia menganggap korban itu sebagai sesuatu yang remeh atau membebankan. (Baca Maleakhi 1:6-8, 13.) Maka, kita masing-masing perlu  bertanya, “Apakah sikap saya semasa berkhidmat kepada Yehuwa? Perlukah saya mengubah niat hati dan mutu khidmat saya kepada-Nya?”

8, 9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada sikap orang Israel semasa memberikan korban?

8 Bagi orang Israel yang ingin meluahkan kesyukurannya atau memohon perkenan Yehuwa, dia akan mempersembahkan korban dengan rela hati. Dalam keadaan sebegini, mudah baginya untuk memilih ternakan yang terbaik dan mempersembahkannya kepada Yehuwa dengan besar hati. Orang Kristian hari ini tidak memberikan korban yang dinyatakan dalam Hukum Musa. Namun, mereka mengorbankan masa, tenaga, wang, dan harta benda untuk menyembah Yehuwa. Rasul Paulus berkata bahawa apabila kita memberikan “puji-pujian” serta “berbuat baik dan saling menolong,” hal ini seperti ‘korban yang menyenangkan hati Tuhan.’ (Ibr. 13:15, 16) Sikap umat Yehuwa semasa menjalankan aktiviti sedemikian menunjukkan sejauh mana mereka menghargai segala anugerah Tuhan. Maka, terdapat persamaan antara sikap dan niat hati orang Kristian hari ini dengan orang Israel kuno yang memberikan korban dengan rela hati.

9 Namun, Hukum Musa juga menuntut agar seseorang yang berbuat salah mempersembahkan korban untuk menebus dosanya. Memandangkan korban sebegini diwajibkan, adakah anda berasa hal ini akan mempengaruhi sikap orang Israel? Adakah mereka akan memberikan korban dengan rela hati? Mungkinkah mereka berasa berat hati kerana terpaksa berbuat demikian? (Im. 4:27, 28) Korban sebegini tidak sepatutnya membebankan jika mereka ikhlas dan ingin memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa.

10. Apakah pengorbanan yang perlu kita buat untuk memulihkan hubungan yang baik dengan Tuhan dan rakan seiman?

10 Dewasa ini, anda mungkin pernah terlanjur kata atau menyinggung seorang rakan seiman dengan tidak sengaja. Hati nurani anda mungkin terganggu kerana anda telah berbuat salah. Sesiapa sahaja yang benar-benar ingin menyenangkan hati Yehuwa pasti akan berusaha untuk membetulkan kesalahan itu. Maka, kita mungkin perlu meminta maaf dengan ikhlas daripada pihak yang tersinggung. Jika kita terlibat dalam salah laku yang serius, kita perlu meminta bantuan rohani daripada penatua. (Mat. 5:23, 24; Yak. 5:14, 15) Maksudnya, kita perlu membuat pengorbanan untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan. Namun, “korban” sebegini memulihkan hubungan kita dengan Yehuwa dan rakan seiman, serta memberi kita hati nurani yang bersih. Hasilnya, kita bertambah yakin bahawa haluan Yehuwa sentiasa terbaik.

11, 12. (a) Apakah korban perdamaian? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada korban perdamaian?

 11 Sesetengah korban yang diwajibkan dalam Hukum Musa merupakan korban perdamaian untuk melambangkan hubungan damai dengan Yehuwa. Pemberi korban dan ahli keluarganya akan makan daging binatang korban, mungkin dalam sebuah bilik makan dalam Rumah Tuhan. Imam yang mempersembahkan korban itu dan imam-imam lain akan diberi sebahagian daging binatang itu. (Im. 3:1, nota kaki; 7:31-33) Orang itu memberikan korban ini kerana ingin menikmati hubungan yang baik dengan Tuhan. Dia dan keluarganya seolah-olah sedang menjamu selera bersama Yehuwa dan para imam dalam suasana yang damai.

12 Maka, korban perdamaian ini bagaikan undangan kepada Yehuwa untuk makan bersama. Orang Israel pasti berbesar hati apabila Yehuwa menerima jemputan itu! Sudah tentu, tuan rumah akan menawarkan yang terbaik kepada tetamu kehormatnya. Korban perdamaian merupakan rangka kebenaran dalam Hukum Musa yang menggambarkan korban Yesus. Menerusi korban yang lebih agung ini, semua manusia berpeluang menikmati hubungan yang akrab dan damai dengan Pencipta. Hari ini, apabila kita mengorbankan tenaga dan wang untuk berkhidmat kepada Yehuwa, kita juga dapat menjadi sahabat-Nya.

KORBAN YANG TIDAK DIPERKENANKAN

13, 14. Meskipun Raja Saul ingin mempersembahkan korban, mengapakah Yehuwa tidak menerimanya?

13 Orang yang mempersembahkan korban harus mempunyai sikap yang betul, barulah Yehuwa akan menerima pemberiannya. Namun, terdapat contoh-contoh dalam Bible tentang korban yang tidak diterima oleh Tuhan. Apakah sebabnya? Mari kita mengambil iktibar daripada dua contoh berikut.

14 Nabi Samuel memberitahu Raja Saul bahawa masanya sudah tiba untuk melaksanakan hukuman Yehuwa ke atas orang Amalek. Saul perlu melenyapkan orang Amalek dan ternakan mereka. Namun, selepas memenangi pertempuran itu, Saul dan askarnya tidak membunuh Agag, raja orang Amalek. Saul juga menyimpan ternakan terbaik mereka untuk dipersembahkan kepada Yehuwa. (1 Sam. 15:2, 3, 21) Apakah reaksi Yehuwa? Dia menolak Saul kerana mengingkari perintah-Nya. (Baca 1 Samuel 15:22, 23.) Apakah pengajarannya? Kita mesti mentaati perintah Tuhan, barulah Dia akan menerima korban kita.

15. Apakah pandangan Yehuwa terhadap korban yang dipersembahkan oleh orang Israel yang jahat?

 15 Satu lagi contoh terdapat dalam buku Yesaya. Pada zaman Yesaya, orang Israel mempersembahkan korban, tetapi mereka terus berbuat jahat. Oleh itu Yehuwa tidak menerima korban mereka. “Jangan berfikir bahawa Aku mahu segala korban yang terus-menerus kamu persembahkan kepada-Ku! Aku sudah bosan dengan domba yang kamu persembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan lemak binatang yang digemukkan. Aku jemu dengan darah lembu jantan, domba, dan kambing. . . . Sia-sia sahaja kamu membawa persembahan kamu. Aku muak dengan bau kemenyan yang kamu bakar.” Apakah masalahnya? Tuhan berfirman, “Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan. Bersihkanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi.”​—Yes. 1:11-16, ABB.

16. Apakah yang menentukan sama ada suatu korban diperkenankan Tuhan?

16 Jika seorang pendosa enggan bertaubat, korbannya langsung tidak akan menyenangkan hati Yehuwa. Namun, apabila seseorang berusaha untuk mentaati perintah Tuhan, doa dan korbannya akan diperkenankan Tuhan. Rangka Hukum Musa mengajar orang sebegini bahawa mereka berdosa dan perlu diampuni. (Gal. 3:19) Kesedaran ini akan melahirkan hati yang insaf. Hari ini, kita juga perlu sedar bahawa korban Kristus merupakan satu-satunya jalan untuk mendapat pengampunan dosa. Jika kita benar-benar menghargainya, Yehuwa “akan berkenan” dengan segala khidmat kita untuk-Nya.​—Baca Mazmur 51:19, 21.

BERIMAN TERHADAP KORBAN YESUS!

17-19. (a) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai korban tebusan Yesus? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang berikut?

17 Apa yang diketahui orang Israel tentang tujuan Tuhan “hanya bayangan,” tetapi kita mendapat gambaran “yang sebenarnya.” (Ibr. 10:1) Hukum tentang korban mengajar orang Yahudi sikap yang wajar dipupuk untuk menjalin hubungan yang baik dengan Tuhan: Rasa syukur yang mendalam, ingin memberikan yang terbaik kepada Tuhan, dan menyedari bahawa mereka perlu diampuni. Kitab Yunani Kristian membantu kita memahami bahawa menerusi tebusan, Yehuwa akan melenyapkan kesan dosa. Bukan itu sahaja, bahkan sekarang, kita boleh memiliki hati nurani yang murni. Tebusan Yesus memang anugerah Tuhan yang tidak ternilai!​—Gal. 3:13; Ibr. 9:9, 14.

18 Sudah pasti, sekadar memahami korban tebusan tidak memadai. Untuk memanfaatkannya, kita perlu beriman. ‘Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang, kerana kita percaya pada Kristus,’ tulis rasul Paulus. (Gal. 3:24, ABB) Kepercayaan, atau iman kita juga harus diiringi perbuatan. (Yak. 2:26) Maka, Paulus menggalakkan orang Kristian abad pertama yang memiliki rangka pengetahuan Hukum Musa untuk memastikan agar pengetahuan itu diterjemahkan dengan tindakan. Dengan ini, barulah mereka hidup selaras dengan kebenaran yang diajarkan kepada orang lain.​—Baca Roma 2:21-23.

19 Meskipun orang Kristian dewasa ini tidak perlu mematuhi Hukum Musa, mereka masih perlu mempersembahkan korban yang diperkenankan Yehuwa. Bagaimana? Rencana yang berikut akan membincangkan caranya.

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 17]

Hal-hal asas yang dikehendaki Yehuwa daripada hamba-Nya tidak berubah

[Gambar pada muka surat 18]

Binatang manakah yang akan anda berikan kepada Yehuwa?

[Gambar pada muka surat 19]

Kita akan diperkenankan Yehuwa jika korban kita menyenangkan hati-Nya