Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Keadaan Kewangan

Keadaan Kewangan

Ramai orang berjaya mengurangkan masalah kewangan dengan mengikut prinsip Bible.

PERANCANGAN YANG BAIK

PRINSIP BIBLE: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan, tetapi tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.”​—Amsal 21:5.

MAKSUDNYA: Rancanglah dengan teliti sebelum berbelanja dan ikutlah rancangan itu. Ingatlah, anda biasanya tidak dapat membeli semua barang yang anda ingini. Oleh itu, gunakanlah wang anda dengan bijak.

APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN:

  • Ikutlah bajet. Tuliskan semua perbelanjaan anda, dan bahagikannya menurut kategori. Kemudian, tentukan jumlah wang yang hendak digunakan untuk setiap kategori. Jika anda terlebih belanja dalam salah satu kategori, gunakanlah wang daripada kategori lain untuk menutupi perbelanjaan itu. Contohnya, jika anda terlebih belanja untuk mengisi minyak kereta, gunakanlah wang daripada kategori yang kurang penting, seperti makan di restoran, untuk menutupinya.

  • Elakkan hutang yang tidak diperlukan. Seboleh-bolehnya, janganlah berhutang. Sebaliknya, simpanlah wang untuk membeli barang yang diperlukan. Jika anda menggunakan kad kredit, cubalah membayar bil anda dengan sepenuhnya pada setiap bulan supaya anda tidak dikenakan caj tambahan. Sekiranya anda berhutang, buatlah rancangan untuk membayarnya, dan ikutlah rancangan itu.

    Menurut kajian, orang yang menggunakan kad kredit cenderung berbelanja lebih. Maka, jika anda memiliki kad kredit, gunakannya dengan cermat.

 BERWASPADA TERHADAP SIKAP BURUK

PRINSIP BIBLE: “Orang malas tidak membajak semasa cuaca sejuk, maka dia terpaksa mengemis pada musim menuai kerana tidak mempunyai apa-apa.”​—Amsal 20:4.

MAKSUDNYA: Orang yang malas akan jatuh miskin. Maka bekerjalah dengan rajin, dan cubalah urus wang anda dengan bijak supaya keperluan anda pada masa depan terjaga.

APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN:

  • Bekerja dengan tekun. Majikan menghargai pekerja yang rajin dan yang dapat diharapkan. Jika anda memiliki sifat-sifat ini, pekerjaan anda akan lebih terjamin.

  • Bersikap jujur. Janganlah mencuri daripada majikan anda. Jika anda tidak jujur, hal itu dapat merosakkan nama baik anda, dan orang lain mungkin tidak mahu mengupah anda pada kemudian hari.

  • Jangan tamak. Jika anda asyik mengejar wang, lambat laun kesihatan anda dan hubungan anda dengan orang lain akan terjejas. Ingatlah, duit bukan segala-galanya.

PRINSIP-PRINSIP BIBLE YANG LAIN

JANGAN MEMBAZIRKAN MASA DAN WANG UNTUK TABIAT YANG BURUK.

“Orang mabuk dan orang gelojoh akan jatuh miskin, dan rasa mengantuk akan menyebabkan mereka berpakaian compang-camping.”​—AMSAL 23:21.

JANGAN TERLALU RISAU TENTANG WANG.

“Jangan khuatir lagi tentang hidupmu, iaitu tentang apa yang akan kamu makan dan minum. Jangan khuatir lagi tentang tubuhmu, iaitu tentang apa yang akan kamu pakai.”​—MATIUS 6:25.

JANGAN CEMBURU.

“Orang yang iri hati mendambakan kekayaan, tetapi dia tidak menyedari bahawa kemiskinan akan melandanya.”​—AMSAL 28:22, nota kaki.