Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 PELAJARAN 3

Cara Memupuk Ketabahan

Cara Memupuk Ketabahan

APAKAH ITU KETABAHAN?

Seseorang yang tabah tidak cepat berputus asa meskipun menghadapi masalah dan kekecewaan. Sifat ini dipupuk melalui pengalaman seseorang. Sepertimana seorang budak kecil tidak dapat berjalan jika dia tidak bangun semula setelah terjatuh, anak anda juga tidak dapat berjaya dalam kehidupannya jika dia tidak belajar cara untuk menghadapi cabaran.

MENGAPAKAH KETABAHAN PENTING?

Sesetengah kanak-kanak berasa tawar hati jika mereka gagal melakukan sesuatu, menghadapi situasi yang mencabar, atau jika orang mengkritik mereka. Ada pula yang langsung berputus asa. Namun, mereka perlu sedar akan perkara-perkara yang berikut:

  • Kegagalan tidak dapat dielakkan.​—Yakobus 3:2.

  • Semua orang menghadapi masalah.​—Pengkhutbah 9:11.

  • Anda dapat membuat kemajuan jika orang membetulkan kesilapan anda.​—Amsal 9:9.

Ketabahan akan membantu anak anda untuk mengatasi cabaran hidup.

CARA MENGAJARKAN KETABAHAN

Jika anak anda gagal.

PRINSIP BIBLE: “Orang baik mungkin jatuh tujuh kali, namun dia akan bangun semula.”​—Amsal 24:16.

Bantulah anak anda untuk mempunyai pandangan yang seimbang. Sebagai contoh, apakah yang akan dilakukan oleh anak anda jika dia gagal dalam salah satu mata pelajaran semasa peperiksaannya? Adakah dia akan berputus asa?

Bantulah anak anda untuk memupuk ketabahan dengan membantunya untuk menangani masalah yang serupa dengan lebih baik pada kemudian hari. Dengan demikian, dia sendiri dapat menyelesaikan masalah itu dan tidak akan berputus asa.

Tetapi jangan selesaikan masalah anak anda. Sebaliknya, bantu dia untuk mencari jalan penyelesaian sendiri. Tanyalah dia, “Apakah yang dapat kamu lakukan untuk meningkatkan pemahaman kamu tentang subjek yang sedang diajarkan?”

Jika masalah menimpa.

PRINSIP BIBLE: “Kamu tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kamu hari esok.”​—Yakobus 4:14.

Seseorang yang kaya hari ini mungkin akan menjadi miskin esok; seseorang yang sihat hari ini mungkin  akan jatuh sakit esok. Bible menyatakan, “Orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, orang yang kuat tidak semestinya menang dalam pertempuran . . . kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.”​—Pengkhutbah 9:11.

Sebagai ibu bapa, anda pasti berusaha sedaya upaya untuk melindungi anak anda daripada bahaya. Tetapi, hakikatnya ialah anda tidak dapat melindungi anak anda daripada setiap masalah dalam hidupnya.

Walaupun anak anda masih kecil dan belum lagi menghadapi masalah kewangan atau kehilangan kerja, anda masih dapat mengajarnya cara untuk menangani masalah seperti kehilangan seorang kawan baik atau menghadapi kematian seorang ahli keluarga. *

Jika anak anda mendapat kritikan yang membina.

PRINSIP BIBLE: ‘Dengarkanlah nasihat. Dengan demikian kamu akan menjadi bijaksana kelak.’​—Amsal 19:20.

Jika orang lain memberi kritikan yang membina, niat mereka bukanlah untuk membuli anak anda. Mereka mahu membantu anak anda untuk mengubah sikap atau tindakannya agar dia dapat menjadi orang yang lebih baik.

Semasa anda mengajar anak anda cara untuk menerima kritikan yang membina, anda dan anak anda akan meraih manfaat. “Jika anak-anak selalu dilindungi daripada akibat buruk perbuatan mereka,” kata seorang bapa yang bernama John, “mereka tidak akan belajar. Mereka akan menghadapi lebih banyak masalah dalam kehidupan mereka kelak dan anda akan asyik menyelesaikan masalah mereka. Hal itu akan menyusahkan hidup anda dan anak anda.”

Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda menerima kritikan yang membina? Jika dia ditegur atau dikritik, jangan berkata bahawa dia diperlakukan dengan tidak adil. Sebaliknya, tanyalah dia:

  • “Kamu rasa, mengapakah orang itu menegur kamu?”

  • “Apakah yang dapat kamu lakukan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama?”

  • “Apakah yang akan kamu lakukan jika kamu menghadapi situasi yang sama?”

Ingatlah, kritikan yang membina dapat membantu anak anda sekarang dan pada masa depan.

^ per. 21 Lihat rencana “Bantu Anak Anda Mengatasi Dukacita” dalam majalah Menara Pengawal, terbitan 1 Julai 2008 dalam bahasa Indonesia.