Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Disiplin membimbing anak sebagaimana kemudi memastikan perahu tetap mengikut haluan yang betul

 IBU BAPA

6: Disiplin

6: Disiplin

MAKSUDNYA

Perkataan disiplin merangkumi bimbingan dan ajaran. Ada kalanya, disiplin diperlukan untuk menegur anak yang berbuat salah. Namun, sebahagian besar usaha disiplin melibatkan latihan moral yang diberikan supaya anak belajar cara membuat keputusan yang baik.

MENGAPA PENTING

Belakangan ini, disiplin dalam sesetengah keluarga hampir lesap kerana ibu bapa fikir disiplin akan mengurangkan harga diri anak. Namun, ibu bapa yang bijak akan menetapkan peraturan yang munasabah dan melatih anak mereka untuk mematuhinya.

“Anak perlu peraturan untuk menjadi orang dewasa yang matang. Tanpa disiplin, anak-anak seperti perahu tanpa kemudi, yang akan sesat dan bahkan terkandas.”​—Pamela.

LANGKAH-LANGKAH

Konsisten. Jika anak anda langgar peraturan anda, pastikan dia menerima akibatnya. Apabila dia patuh, bersedialah untuk memujinya.

“Saya sering puji anak saya kerana bersikap patuh dalam dunia yang ingkar ini. Dengan itu, mereka lebih mudah terima teguran pada waktu mereka memerlukannya.”​—Christine.

PRINSIP BIBLE: “Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”​—Galatia 6:7.

Bersikap munasabah. Semasa memberikan disiplin, ambil kira umur, kebolehan, dan seberapa seriusnya kesalahan anak anda. Denda yang paling berkesan biasanya berkaitan dengan kesalahannya. Contohnya, anak yang menyalahgunakan telefon mungkin tidak dibenarkan menggunakannya untuk suatu ketika. Pada masa yang sama, janganlah naik marah kerana hal kecil yang membuat anda geram.

“Saya cuba kenal pasti sama ada anak saya hanya tersilap langkah atau memang sengaja lawan cakap. Jika dia tersilap langkah, dia hanya perlu diingatkan, tetapi jika dia asyik mengulangi kesalahannya, hal itu bermaksud perangainya perlu dibetulkan.”​—Wendell.

PRINSIP BIBLE: “Janganlah menjengkelkan anak-anak kamu, supaya mereka tidak menjadi tawar hati.”​—Kolose 3:21, nota kaki.

Bersikap penyayang. Anak akan lebih mudah terima dan ikut disiplin jika mereka tahu disiplin itu diberikan atas dasar kasih.

“Semasa anak kami buat silap, kami yakinkannya bahawa kami bangga dengan semua keputusan baik yang dibuatnya dahulu. Kami jelaskan bahawa kesilapan itu tidak akan rosakkan namanya selagi dia betulkan kesilapan itu, dan kami ingin bantunya berbuat demikian.”​—Daniel.

PRINSIP BIBLE: “Kasih itu sabar dan baik hati.”​—1 Korintus 13:4.