Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 JALAN YANG MENUJU KEBAHAGIAAN

Rela Mengampuni

Rela Mengampuni

“SEMASA KECIL SAYA SELALU DENGAR ORANG MEMAKI HAMUN,” kata Patricia. “Saya tidak tahu mengampuni. Selepas dewasa, jika saya tersinggung, saya akan asyik fikir tentang hal itu sampai tidak dapat tidur.” Ya, orang yang sering marah dan berdendam tidak akan bahagia mahupun sihat. Menurut kajian, orang yang enggan memaafkan . . .

  • Akhirnya akan berasa sunyi kerana kemarahan mereka merosakkan hubungan mereka dengan orang lain

  • Senang tersinggung, risau, atau menghadapi kemurungan

  • Terlalu berfokus kepada kesalahan orang sehingga tidak dapat menikmati hidup

  • Berasa bersalah kerana tindakan itu bercanggah dengan hati nurani mereka

  • Menghadapi lebih banyak stres dan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung, artritis, sakit kepala, dan sebagainya *

MAKSUD PENGAMPUNAN. Mengampuni bermaksud memaafkan seseorang dan tidak lagi marah, berdendam, atau berfikir untuk membalas perbuatannya. Memaafkan seseorang tidak bererti kita menyetujui perbuatannya, meremehkan kesalahannya, atau menganggap bahawa hal itu tidak pernah berlaku. Sebaliknya, seseorang memutuskan untuk mengampuni kerana dia pengasih dan bertekad untuk menjalin atau memelihara hubungan yang baik dengan orang lain.

Orang yang rela memaafkan juga faham bahawa semua orang berdosa dan akan tersilap dalam perbuatan dan kata-kata. (Roma 3:23) Itulah sebabnya Bible menasihati kita, “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu.”​—Kolose 3:13.

Pengampunan ialah salah satu aspek penting dalam kasih, iaitu sifat yang “menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kolose 3:14) Menurut laman web Mayo Clinic, orang yang rela mengampuni . . .

  •   Ada hubungan yang lebih baik dengan orang lain kerana mereka bertimbang rasa, berbelas kasihan, dan menunjukkan empati terhadap pesalah

  • Lebih sihat secara mental dan rohani

  • Kurang kerisauan, kebencian, dan stres

  • Kurang mengalami kemurungan

MEMAAFKAN DIRI. Menurut terbitan berkala Disability & Rehabilitation, memaafkan diri “sangat susah,” tetapi “amat penting untuk kesihatan” mental dan fizikal. Apakah yang dapat bantu kita?

  • Jangan harapkan kesempurnaan. Terimalah hakikat bahawa seperti orang lain, anda akan berbuat silap.​—Pengkhutbah 7:20

  • Belajarlah daripada kesilapan supaya anda dapat mengelakkannya kelak

  • Bersabarlah dengan diri sendiri; anda perlu masa untuk membuang kelemahan atau tabiat buruk.​—Efesus 4:23, 24

  • Cari kawan yang menggalakkan, bersikap positif, dan baik hati, tetapi yang juga jujur dengan anda.​—Amsal 13:20

  • Jika anda menyakiti orang lain, akuilah kesalahan diri dan minta maaf dengan segera. Usaha untuk berdamai akan membawa ketenangan batin.​—Matius 5:23, 24

PRINSIP BIBLE MEMANG BERMANFAAT!

Selepas mengkaji Bible, Patricia belajar untuk mengampuni. Dia menulis, “Saya berasa bahawa kemarahan tidak lagi meracuni kehidupan saya. Saya tidak lagi menderita, dan saya tidak buat orang lain menderita. Prinsip Bible menunjukkan bahawa Tuhan sayang kita dan menginginkan yang terbaik untuk kita.”

Seorang lelaki yang bernama Ron berkata, “Saya tidak dapat kawal fikiran dan tindakan orang lain, tetapi saya dapat kawal reaksi sendiri. Jika saya mahu tenang, saya tidak boleh berdendam. Saya mula sedar bahawa ketenangan dan dendam adalah seperti utara dan selatan. Mustahil saya berada di dua tempat itu pada masa yang sama. Sekarang hati nurani saya bersih.”

^ per. 8 Sumber: Laman web Mayo Clinic dan Johns Hopkins Medicine, serta terbitan berkala Social Psychiatry and Psychiatric Epidemiology.