Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Tirulah Belas Kasihan Yehuwa

Tirulah Belas Kasihan Yehuwa

‘Yehuwa, Tuhan yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan.’​—KEL. 34:6.

LAGU: 57, 147

1. Bagaimanakah Yehuwa menyingkapkan diri-Nya kepada Musa? Mengapakah hal itu menyentuh hati kita?

PERNAH sekali, Tuhan menyingkapkan nama-Nya dan sifat-sifat-Nya kepada Musa. Sifat-sifat pertama yang disebut Yehuwa ialah “rahmat dan belas kasihan.” (Baca Keluaran 34:5-7.) Pada masa itu, Musa perlu diyakinkan bahawa Tuhan sedang menyokongnya, tetapi Yehuwa tidak menyatakan kuasa atau kebijaksanaan-Nya. Sebaliknya, Tuhan menegaskan sifat-sifat yang menunjukkan kerelaan-Nya untuk membantu hamba-hamba-Nya. (Kel. 33:13) Tidakkah anda tersentuh kerana Yehuwa menyebut sifat-sifat ini dahulu? Rencana ini akan membincangkan sifat belas kasihan, iaitu perasaan simpati terhadap kesusahan atau penderitaan orang lain dan keinginan untuk melegakan mereka.

2, 3. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa sifat belas kasihan tersemai dalam diri manusia? (b) Mengapakah ajaran Bible tentang belas kasihan penting bagi kita?

2 Manusia diciptakan menurut gambaran Tuhan. Memandangkan Yehuwa berbelas kasihan, sifat itu juga tersemai dalam diri manusia, bahkan dalam diri mereka yang tidak mengenal Tuhan. (Kej. 1:27) Dalam Bible, terdapat banyak kisah tentang belas kasihan.  Misalnya, apabila Raja Salomo ingin mengetahui siapa antara dua orang wanita ialah ibu sebenar seorang bayi, dia menguji mereka dengan mengarahkan agar bayi itu dibelah dua. Kerana berbelas kasihan, ibu yang sebenar bahkan sanggup menyerahkan anak kandungnya kepada wanita yang seorang lagi. (1 Raj. 3:23-27) Fikirkan juga puteri Firaun yang menyelamatkan Musa yang masih bayi. Meskipun dia sedar bahawa bayi itu berbangsa Ibrani dan harus dibunuh, dia “berasa kasihan terhadap bayi itu” dan membesarkannya sebagai anak sendiri.​—Kel. 2:5, 6.

3 Mengapakah sifat belas kasihan penting bagi kita? Kerana Bible menggalakkan kita untuk meniru Yehuwa. (Ef. 5:1) Meskipun sifat belas kasihan tersemai dalam diri manusia, kita tidak sempurna dan cenderung mementingkan diri. Ada masanya kita tidak pasti sama ada kita patut membantu orang lain atau bertumpu kepada diri sendiri. Jadi, apakah yang dapat membantu kita untuk memupuk dan memelihara sikap prihatin terhadap orang lain? Pertama, luangkanlah masa untuk mengkaji bagaimana Yehuwa dan orang lain menunjukkan belas kasihan. Kedua, fikirkan bagaimana kita dapat meniru Tuhan dan manfaat yang akan kita raih.

YEHUWA—TELADAN YANG SEMPURNA

4. (a) Mengapakah Yehuwa mengutus malaikat ke Sodom? (b) Apakah yang kita belajar tentang Yehuwa daripada kisah Lot dan dua orang anak perempuannya?

4 Terdapat banyak contoh yang menunjukkan belas kasihan Yehuwa. Sebagai contoh, Lot, seorang lelaki yang baik, “sangat susah hati” kerana penduduk Sodom dan Gomora berkelakuan buruk tanpa rasa malu. (2 Ptr. 2:7, 8) Tuhan memutuskan untuk membinasakan semua orang jahat itu, tetapi Dia mengutus dua malaikat untuk menyelamatkan Lot. Malaikat-malaikat itu mendesak Lot sekeluarga untuk melarikan diri, namun Lot berlambat-lambat. Tetapi, kerana ‘Yehuwa mengasihani dia,’ kedua-dua malaikat itu memegang tangan Lot, isterinya, serta kedua-dua orang anak perempuannya, dan membawa mereka ke luar kota. (Kej. 19:16) Tidakkah contoh itu menunjukkan bahawa Yehuwa tahu benar akan cabaran yang dihadapi umat-Nya?​—Yes. 63:7-9; Yak. 5:11; 2 Ptr. 2:9.

5. Bagaimanakah Bible mengajar kita cara menunjukkan belas kasihan?

5 Yehuwa tidak hanya menunjukkan belas kasihan, malah Dia mengajar umat-Nya untuk berbuat demikian. Fikirkan hukum tentang mengambil jubah seseorang sebagai jaminan hutang. (Baca Keluaran 22:26, 27.) Pemiutang yang tidak berbelas kasihan mungkin akan merampas jubah orang yang berhutang. Jika begitu, orang itu akan kesejukan pada waktu malam. Namun, Yehuwa mengajar umat-Nya untuk berbelas kasihan dan mengelakkan sikap tidak berhati perut sebegini. Apakah yang kita pelajari daripada prinsip di sebalik hukum itu? Jika kita mampu mengurangkan kesusahan saudara saudari kita, lakukanlah sesuatu untuk membantu mereka.​—Kol. 3:12; Yak. 2:15, 16; baca 1 Yohanes 3:17.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada usaha Yehuwa yang berterusan untuk membantu umat-Nya yang berdosa?

6 Yehuwa berbelas kasihan terhadap umat-Nya bahkan apabila mereka berdosa. Bible menyatakan, ‘Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka, terus-menerus mengutus nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya, kerana Dia hendak menyelamatkan mereka dan Rumah Yehuwa.’ (2 Taw. 36:15) Tidakkah kita patut menunjukkan belas kasihan yang sama terhadap orang  yang masih berpeluang untuk bertaubat dan mendapat perkenan Tuhan? Yehuwa tidak ingin orang dibinasakan semasa penghakiman nanti. (2 Ptr. 3:9) Oleh itu, sebelum Tuhan menghapuskan orang jahat, marilah kita terus menyebarkan amaran Tuhan supaya lebih banyak orang dapat merasai belas kasihan-Nya.

7, 8. Mengapakah sebuah keluarga yakin bahawa Yehuwa telah berbelas kasihan terhadap mereka?

7 Ada banyak pengalaman yang mencerminkan belas kasihan Tuhan. Pada awal tahun 1990-an, terdapat permusuhan kaum di Bosnia. Milan, seorang budak lelaki yang berusia 12 tahun, adik lelakinya, ibu bapanya, dan beberapa orang Saksi, sedang menaiki bas dari Bosnia ke Serbia. Mereka hendak menghadiri konvensyen, dan ibu bapa Milan akan dibaptis. Tetapi semasa di sempadan, askar-askar melihat bahawa keluarga Milan berbangsa lain dan menyuruh mereka turun dari bas. Penumpang lain dibenarkan meneruskan perjalanan, tetapi keluarga Milan ditahan selama dua hari. Kemudian, pegawai di situ menghubungi pihak atasan untuk bertanya apa yang harus dilakukan dengan keluarga itu. Keluarga Milan mendengar pegawai atasan itu berkata, “Bawa mereka keluar dan tembak mereka!”

8 Semasa pegawai itu bercakap kepada orang bawahannya, dua orang lelaki yang tidak dikenali menghampiri keluarga itu dan berbisik bahawa mereka berdua ialah Saksi dan mereka mendengar apa yang terjadi daripada penumpang lain. Mereka menyuruh Milan dan adiknya menaiki kereta mereka untuk menyeberangi sempadan, kerana dokumen kanak-kanak tidak diperiksa. Kemudian, mereka memberitahu ibu bapa Milan untuk berjalan di belakang pondok kawalan sempadan dan bertemu dengan mereka di seberang. Milan tidak tahu dia harus ketawa atau menangis semasa mendengar kata-kata mereka. Ibu bapanya juga bertanya, “Kamu rasa mereka akan biar kami jalan begitu saja?” Namun, semasa ibu bapa Milan beredar, askar-askar seolah-olah tidak nampak mereka. Keluarga itu bertemu lagi di seberang sempadan lalu meneruskan perjalanan ke konvensyen. Mereka yakin bahawa Yehuwa telah menjawab rayuan mereka yang sungguh-sungguh. Bible menyatakan bahawa Yehuwa tidak selalu melindungi umat-Nya dalam cara sedemikian. (Kis. 7:58-60) Namun, Milan berkata, “Saya berasa bahawa malaikat telah membutakan para askar dan Yehuwa telah menyelamatkan kami.”​—Mzm. 97:10.

9. Apakah reaksi Yesus semasa melihat orang ramai yang mengikutnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Kita juga dapat meniru belas kasihan Yesus. Dia mengasihani orang ramai yang “ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” Apakah reaksinya semasa melihat keadaan mereka? “Dia mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.” (Mat. 9:36; baca Markus 6:34.) Sikap Yesus jauh berbeza dengan orang Farisi yang langsung tidak berminat untuk membantu orang lain. (Mat. 12:9-14; 23:4; Yoh. 7:49) Tidakkah anda mempunyai keinginan yang sama seperti Yesus untuk membantu orang yang kelaparan secara rohani?

10, 11. Haruskah belas kasihan ditunjukkan dalam semua situasi? Jelaskan.

10 Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa kita harus berbelas kasihan dalam semua situasi. Raja Saul mungkin berfikir bahawa dia berbelas kasihan semasa dia enggan membunuh musuh umat Tuhan, iaitu Raja Agag, dan ternakan yang terbaik. Namun, perbuatan Saul melanggar perintah Yehuwa dan dia ditolak sebagai raja. (1 Sam. 15:3, 9, 15) Sebagai Hakim yang adil, Yehuwa dapat membaca isi hati orang.  Maka, Dia tahu sama ada Dia patut berbelas kasihan atau tidak. (Rat. 2:17; Yeh. 5:11) Tidak lama lagi, Dia akan menghukum semua orang yang enggan mentaati-Nya. (2 Tes. 1:6-10) Pada masa itu, Dia tidak akan berbelas kasihan terhadap orang jahat. Sebaliknya, Dia akan membinasakan mereka kerana Dia mengasihani orang baik dan ingin melindungi mereka.

11 Jelaslah, kita tidak berhak untuk menentukan sama ada seseorang patut dibinasakan atau diselamatkan. Sebaliknya, kita harus berusaha untuk membantu orang lain. Maka bagaimanakah kita dapat menunjukkan belas kasihan kepada orang lain dalam cara yang praktikal? Mari kita lihat beberapa cadangan.

MEMUPUK DAN MENUNJUKKAN BELAS KASIHAN

12. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan belas kasihan terhadap orang lain?

12 Bersedialah membantu orang dalam kehidupan seharian. Orang yang berusaha meniru Yesus harus berbelas kasihan terhadap rakan Kristian dan orang lain. (Yoh. 13:34, 35; 1 Ptr. 3:8) Salah satu maksud bagi belas kasihan ialah “menderita bersama-sama.” Seorang yang berbelas kasihan akan terdorong untuk mengurangkan penderitaan orang lain. Maka carilah peluang untuk menghulurkan bantuan! Misalnya, dapatkah anda menawarkan diri untuk menolong dalam kerja rumah atau urusan lain?​—Mat. 7:12.

Tunjukkanlah belas kasihan dengan membantu orang lain (Lihat perenggan 12)

13. Apakah sifat umat Tuhan yang menjadi lebih nyata terutamanya selepas bencana melanda?

13 Bantulah mangsa bencana. Penderitaan mangsa bencana mendorong ramai orang untuk menunjukkan belas kasihan. Umat Yehuwa dikenali kerana rela menghulurkan bantuan pada masa sedemikian. (1 Ptr. 2:17) Seorang saudari Jepun tinggal di kawasan yang mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011. Dia “amat digalakkan dan dilegakan” kerana banyak pekerja sukarela dari Jepun dan negara lain datang untuk membaiki bangunan yang rosak. Dia menulis, “Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa Yehuwa prihatin terhadap kita dan bahawa Saksi-Saksi-Nya mengambil berat terhadap satu sama lain. Saya diingatkan bahawa saudara  saudari di serata dunia sedang berdoa untuk kami.”

14. Bagaimanakah anda dapat menolong orang yang sakit dan berusia?

14 Tolonglah orang yang tua dan sakit. Apabila kita melihat orang menderita akibat dosa Adam, kita patut berbelas kasihan terhadap mereka. Kita menantikan masanya penyakit dan usia tua menjadi kisah silam, maka kita berdoa agar Kerajaan Tuhan datang. Sebelum hal itu terjadi, kita ingin melakukan apa yang kita mampu untuk membantu mereka yang tua dan sakit. Fikirkan contoh seorang pengarang yang ibunya menderita penyakit Alzheimer. Pada suatu hari, ibunya mengotorkan diri tanpa sengaja. Semasa dia membersihkan diri, dua orang Saksi yang selalu mengunjunginya datang. Mereka bertanya sama ada mereka boleh membantunya. Wanita itu menjawab, “Malunya saya, tapi ya, saya perlukan bantuan.” Dua orang saudari itu membantu membersihkan bajunya. Kemudian, mereka membuat teh untuk wanita itu dan bersembang seketika dengannya. Anak itu sangat berterima kasih kepada mereka. Dia menulis bahawa Saksi-Saksi “mengamalkan apa yang diajarkan mereka.” Adakah rasa belas kasihan mendorong anda untuk melakukan apa yang terdaya bagi mengurangkan kesusahan orang yang sakit dan berusia?​—Flp. 2:3, 4.

15. Bagaimanakah kerja penyebaran kita membantu orang lain?

15 Bantulah orang secara rohani. Oleh sebab manusia menghadapi banyak masalah dan kerisauan, kita terdorong untuk membantu mereka secara rohani. Cara terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan mengajar mereka tentang Tuhan dan Kerajaan-Nya. Kita juga dapat membantu mereka melihat manfaatnya hidup selaras dengan piawaian Tuhan. (Yes. 48:17, 18) Ya, kerja penyebaran memuliakan Yehuwa dan mencerminkan belas kasihan anda terhadap orang lain. Maka, dapatkah anda meningkatkan usaha dalam kerja ini?​—1 Tim. 2:3, 4.

SIFAT BELAS KASIHAN BERMANFAAT UNTUK ANDA!

16. Mengapakah sifat belas kasihan bermanfaat untuk diri kita?

16 Para pakar kesihatan mental mengatakan bahawa orang yang menunjukkan belas kasihan akan menjadi lebih sihat, sejahtera, dan menikmati hubungan yang lebih baik dengan orang lain. Apabila anda membantu mengurangkan kesusahan orang lain, anda akan lebih gembira, berpandangan positif, dan kurang cenderung untuk berasa sunyi atau memikirkan hal negatif. Ya, sifat belas kasihan bermanfaat untuk anda. (Ef. 4:31, 32) Orang Kristian yang pengasih dan selalu membantu orang akan memiliki hati nurani yang murni kerana sedar bahawa mereka bertindak selaras dengan prinsip Tuhan. Sifat belas kasihan juga membantu orang menjadi ibu bapa yang lebih penyayang, suami atau isteri yang lebih baik, dan sahabat yang lebih akrab. Selain itu, orang biasanya lebih rela memberikan bantuan dan sokongan kepada orang yang berbelas kasihan.​—Baca Matius 5:7; Lukas 6:38.

17. Mengapakah anda ingin memupuk dan menunjukkan belas kasihan?

17 Meskipun sifat belas kasihan bermanfaat untuk diri kita, sebab utama kita ingin memupuk sifat itu adalah untuk meniru dan memuliakan Tuhan Yehuwa, Sumber kasih dan belas kasihan. (Ams. 14:31) Semoga kita berusaha meniru teladan-Nya yang sempurna. Dengan itu, kita akan lebih menghampiri saudara saudari kita dan menjalin hubungan yang lebih akrab dengan orang lain.​—Gal. 6:10; 1 Yoh. 4:16.