Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

“Firman Tuhan . . . Berkuasa”

“Firman Tuhan . . . Berkuasa”

‘Firman Tuhan itu hidup dan berkuasa.’​IBR. 4:12.

LAGU: 96, 94

1. Mengapakah kita yakin bahawa Firman Tuhan berkuasa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SEBAGAI umat Yehuwa, kita yakin bahawa Firman Tuhan ‘hidup dan berkuasa.’ (Ibr. 4:12) Ramai antara kita telah melihat kuasa Bible dalam kehidupan kita sendiri dan orang lain. Sesetengah saudara saudari kita dahulu ialah pencuri, penagih dadah, atau menjalani kehidupan yang tidak bermoral. Ada pula yang berjaya dalam hidup, tetapi berasa kehidupan mereka kosong. (Pkh. 2:3-11) Kuasa Bible telah mengubah banyak individu yang hilang hala tuju dan membantu mereka menemui jalan yang membawa kehidupan. Anda mungkin suka membaca pengalaman-pengalaman sebegini dalam siri rencana “Bible Mengubah Hidup” dalam Menara Pengawal. Selepas menerima kebenaran, Firman Tuhan terus membantu orang Kristian membuat kemajuan rohani.

2. Bagaimanakah Firman Tuhan mempengaruhi orang Kristian abad pertama?

2 Patutkah kita berasa hairan apabila melihat perubahan besar yang dilakukan oleh mereka yang belajar Bible? Tidak! Pengalaman sedemikian mengingatkan kita tentang saudara saudari terurap pada abad pertama. (Baca 1 Korintus 6:9-11.)  Selepas menyenaraikan beberapa perkara yang menyebabkan seseorang tidak dapat mewarisi Kerajaan Tuhan, Rasul Paulus berkata, “Demikianlah cara hidup sesetengah orang antara kamu dahulu.” Namun, mereka berubah dengan bantuan Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya. Selepas menerima kebenaran, sesetengah orang melakukan dosa serius yang menjejaskan hubungan mereka dengan Yehuwa. Bible menyebut tentang seorang Kristian terurap pada abad pertama yang perlu disingkirkan, tetapi dia kemudiannya diterima kembali. (1 Kor. 5:1-5; 2 Kor. 2:5-8) Tidakkah kita digalakkan apabila melihat saudara saudari yang telah mengatasi masalah besar dengan bantuan Firman Tuhan?

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Memandangkan kita diberi kurniaan yang begitu berkuasa, kita ingin menggunakannya dengan sebaik-baiknya. (2 Tim. 2:15) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menggunakan kuasa Firman Tuhan (1) dalam kehidupan peribadi kita, (2) dalam kerja penyebaran kita, dan (3) semasa mengajar dari pentas. Peringatan ini akan membantu kita untuk menunjukkan kasih dan penghargaan terhadap Bapa di syurga yang mengajar kita apa yang baik bagi kita.​—Yes. 48:17.

DALAM KEHIDUPAN PERIBADI KITA

4. (a) Apakah yang perlu kita lakukan jika kita ingin merasai kuasa Firman Tuhan? (b) Bagaimanakah anda mencari masa untuk membaca Bible?

4 Jika kita ingin merasai kuasa Firman Tuhan, kita perlu membacanya dengan tetap. Jika dapat, kita harus membacanya setiap hari. (Yos. 1:8) Sudah tentu, kehidupan kita sangat sibuk. Namun, janganlah membiarkan apa-apa, bahkan tanggungjawab kita, untuk mengganggu rutin pembacaan Bible kita. (Baca Efesus 5:15, 16.) Ramai antara umat Yehuwa menetapkan masa untuk membaca Bible setiap hari, sama ada pada waktu pagi, malam, atau masa lain. Mereka setuju dengan perasaan pemazmur yang menulis, “Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.”​—Mzm. 119:97.

5, 6. (a) Mengapakah perenungan penting? (b) Bagaimanakah kita dapat membuat perenungan dengan berkesan? (c) Apakah manfaat yang telah anda peroleh daripada membaca dan merenungkan Firman Tuhan?

5 Selain membaca Bible, kita perlu membuat perenungan. (Mzm. 1:1-3) Dengan berbuat demikian, kita dapat menerapkan kebijaksanaan yang terdapat dalam Bible. Tidak kira kita menggunakan Bible bercetak atau elektronik, matlamat kita adalah untuk memastikan Firman Tuhan menyentuh hati kita dan mendorong kita untuk membuat perubahan.

 6 Bagaimanakah kita dapat membuat perenungan dengan berkesan? Selepas membaca suatu petikan Bible, berhentilah sejenak dan renungkan soalan berikut: “Apakah yang dapat saya pelajari tentang Yehuwa? Bagaimanakah saya sedang menerapkan prinsip ini dalam kehidupan saya? Bagaimanakah saya dapat melakukannya dengan lebih baik lagi?” Apabila kita berdoa sambil merenungkan Firman Tuhan, kita akan didorong untuk menerapkan nasihatnya dengan sepenuhnya. Dengan demikian, kita dapat merasai kuasa Firman Tuhan dalam kehidupan kita.​—2 Kor. 10:4, 5.

DALAM KERJA PENYEBARAN KITA

7. Bagaimanakah kita dapat menggunakan Firman Tuhan dengan baik dalam kerja penyebaran?

7 Bagaimanakah kita dapat menggunakan Firman Tuhan dengan baik dalam kerja penyebaran? Gunakanlah Bible dengan kerap semasa menginjil dan mengajar. Seorang saudara berkata, “Jika kamu sedang menginjil bersama Yehuwa, adakah kamu akan asyik bercakap atau membiarkan Dia yang bercakap?” Ya, jika kita memilih ayat Bible yang sesuai dan membacakannya kepada penghuni rumah, kita sedang membiarkan Yehuwa bercakap kepada penghuni itu, dan hal itu jauh lebih berkesan daripada apa sahaja yang kita katakan. (1 Tes. 2:13) Tanyalah diri, “Adakah saya menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengongsi Firman Tuhan semasa menginjil?”

8. Semasa menginjil, mengapakah tidak cukup untuk sekadar membacakan ayat Bible?

8 Sudah pasti, sekadar membacakan ayat Bible tidak mencukupi. Mengapa? Kerana kebanyakan orang kurang memahami Bible, seperti yang berlaku pada abad pertama. (Rm. 10:2) Maka kita tidak patut membuat andaian bahawa penghuni rumah akan terus memahami ayat yang dibaca. Kita perlu meluangkan masa untuk  mengupas ayat itu, mungkin dengan mengulangi kata kunci dan menjelaskan maksudnya. Dengan demikian, Firman Tuhan dapat tertanam dalam hati dan minda pendengar kita.​—Baca Lukas 24:32.

9. Bagaimanakah kita dapat membantu penghuni rumah untuk menghormati Bible? Berikan contoh.

9 Semasa memperkenalkan ayat Bible, bantulah penghuni rumah untuk menghormati Bible. Contohnya, kita boleh berkata, “Mari kita lihat pandangan Pencipta kita tentang topik ini.” Sewaktu bercakap dengan orang bukan Kristian, kita boleh berkata, “Perhatikan apa yang dikatakan dalam Kitab Suci ini.” Jika kita berjumpa dengan orang yang tidak mementingkan agama, kita boleh bertanya, “Pernahkah kamu mendengar kata-kata hikmat ini?” Adalah baik jika kita mempertimbangkan keadaan setiap individu dan menyesuaikan penyampaian kita.​—1 Kor. 9:22, 23.

10. (a) Ceritakan pengalaman seorang saudara. (b) Apakah manfaat yang telah anda peroleh semasa menggunakan Firman Tuhan dalam kerja penyebaran?

10 Banyak orang mendapati bahawa menggunakan Firman Tuhan semasa menginjil telah menyentuh hati pendengar mereka. Contohnya, seorang saudara mengunjungi seorang lelaki tua yang telah membaca majalah kita selama bertahun-tahun. Daripada terus memberikan majalah Menara Pengawal yang terkini, saudara itu membacakan satu ayat dalam majalah itu. Dia membacakan 2 Korintus 1:3, 4 yang menyatakan, “Bapa yang berbelas kasihan . . . melegakan hati kita dalam apa jua situasi.” Lelaki itu sangat tersentuh sehingga dia meminta saudara kita membacakan ayat itu sekali lagi. Kemudian lelaki itu menjelaskan bahawa dia dan isterinya memerlukan kelegaan, dan kini dia berminat terhadap mesej Bible. Tidakkah anda setuju bahawa Firman Tuhan berkuasa?​—Kis. 19:20.

CARA ANDA MENGAJAR DARI PENTAS

11. Apakah tanggungjawab saudara yang mengajar dari pentas?

11 Kita menikmati perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen kita. Tujuan utama kita hadir adalah untuk menyembah Yehuwa. Kita juga mendapat manfaat daripada apa yang dipelajari. Maka saudara yang mengajar dari pentas mempunyai penghormatan yang istimewa dan tanggungjawab yang berat. (Yak. 3:1) Mereka perlu memastikan semua ajaran mereka berdasarkan Firman Tuhan. Jika anda mengajar dari pentas, bagaimanakah anda dapat menggunakan kuasa Firman Tuhan?

12. Bagaimanakah penceramah dapat memastikan agar Bible menjadi tunjang ceramahnya?

12 Pastikan agar Bible menjadi tunjang ceramah anda. (Yoh. 7:16) Bagaimana? Berhati-hatilah agar tiada apa-apa dalam ceramah anda, tidak kira pengalaman, perumpamaan, atau penyampaian anda, menjadi lebih menonjol daripada ayat Bible yang anda gunakan. Ingatlah juga bahawa sekadar membaca beberapa ayat Bible tidak bermaksud anda telah mengajar berdasarkan Bible. Jika anda menggunakan terlalu banyak ayat, pendengar anda tidak akan mengingatinya. Jadi pilihlah ayat kunci dengan teliti, ambillah masa untuk membaca, menerangkan, dan menggunakan perumpamaan, supaya para hadirin dapat menerapkannya. (Neh. 8:8) Jika anda mendapat rangka ceramah yang disediakan oleh organisasi kita, kajilah rangka itu dan ayat-ayat Bible yang tertera. Cubalah memahami kaitan antara penyataan dalam rangka itu dengan ayat rujukan. Kemudian pilihlah ayat-ayat tertentu untuk menyampaikan isi penting dalam rangka itu. (Anda boleh  mendapat cadangan praktikal dalam buku Memperoleh Manfaat dari Pendidikan Sekolah Pelayanan Teokratis dalam bahasa Indonesia, pelajaran 21-23.) Yang paling penting, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat mengongsi ajaran penting daripada Firman-Nya.​—Baca Ezra 7:10; Amsal 3:13, 14.

13. (a) Bagaimanakah ayat-ayat yang dibaca di perjumpaan memberikan kesan terhadap seorang saudari? (b) Bagaimanakah anda mendapat manfaat daripada ayat-ayat Bible yang dibaca semasa perjumpaan?

13 Seorang saudari di Australia sangat tersentuh apabila ayat-ayat Bible dibaca semasa perjumpaan Kristian. Walaupun zaman kanak-kanaknya sangat teruk, dia menerima mesej Bible dan membaktikan dirinya kepada Yehuwa. Namun dia berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa mengasihinya. Apakah yang telah mengubah pandangannya? Hal ini berlaku apabila dia merenungkan satu ayat Bible yang digunakan semasa perjumpaan, dan dia mengaitkan ayat itu dengan ayat Bible yang lain. * Pernahkah anda mengalami hal yang serupa semasa mendengar Firman Tuhan dibacakan di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen?​—Neh. 8:12.

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai Firman Yehuwa?

14 Tidakkah kita bersyukur kepada Yehuwa atas Firman-Nya, Bible? Janji Tuhan bahawa Firman-Nya akan kekal buat selama-lamanya telah menjadi kenyataan. (1 Ptr. 1:24, 25) Maka kita ingin membacanya secara tetap, menerapkannya dalam kehidupan kita, dan menggunakannya untuk membantu orang lain. Dengan demikian, kita menunjukkan kasih dan penghargaan bukan sahaja terhadap Bible, tetapi juga terhadap Pengarangnya, Tuhan Yehuwa.

^ per. 13 Lihat kotak “ Titik Perubahan.”