Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Mengapakah Yesus mengutuk amalan bersumpah?

DI BAWAH Hukum Musa, orang dibenarkan bersumpah dalam keadaan tertentu. Namun pada zaman Yesus, perbuatan itu menjadi begitu meluas sehingga orang akan bersumpah setiap kali mereka ingin menegaskan bahawa kata-kata mereka dapat dipercayai. Sebanyak dua kali Yesus mengutuk amalan ini. Dia mengajar pendengarnya, “Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak.”​—Mat. 5:33-37; 23:16-22.

Menurut Theological Dictionary of the New Testament, kitab Talmud menjelaskan dengan sangat terperinci mengenai jenis sumpah yang harus ditunaikan dan yang boleh dimungkiri. Hal itu menunjukkan betapa seringnya orang Yahudi bersumpah untuk menegaskan kata-kata mereka.

Selain Yesus, terdapat pihak lain yang mengutuk penyalahgunaan sumpah. Contohnya, Flavius Josephus, seorang sejarawan Yahudi, menyatakan bahawa sebuah mazhab Yahudi “mengelak daripada mengucap sumpah kerana menganggap perbuatan itu lebih teruk daripada berbohong.” Mereka percaya bahawa orang yang harus bersumpah demi Tuhan agar dapat dipercayai memang pendusta. Sebuah buku Yahudi yang dikenali sebagai Kebijaksanaan Sirakh menyatakan, “Orang yang selalu bersumpah memang jahat.” Yesus mengutuk amalan bersumpah mengenai hal yang remeh-temeh. Jika kita selalu bercakap benar, kita tidak perlu bersumpah bahawa kata-kata kita dapat dipercayai.