Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Kebenaran ‘Bukannya Membawa Kedamaian, tetapi Perpecahan’

Kebenaran ‘Bukannya Membawa Kedamaian, tetapi Perpecahan’

“Jangan berfikir bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian. Aku datang bukannya untuk membawa kedamaian, tetapi untuk membawa perpecahan.”​—MAT. 10:34.

LAGU: 123, 128

1, 2. (a) Apakah kesejahteraan atau kedamaian yang dinikmati orang Kristian? (b) Mengapakah kita tidak dapat menikmati kedamaian yang sepenuhnya hari ini? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

KITA ingin hidup damai dan bebas daripada kekhuatiran. Maka kita bersyukur kerana dikurniai “kesejahteraan daripada Tuhan” agar hati dan minda kita tetap tenteram. (Flp. 4:6, 7) Sebagai orang yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa, kita juga “menikmati kedamaian dengan Tuhan,” iaitu hubungan yang baik dengan-Nya.​—Rm. 5:1.

2 Namun, masa Tuhan untuk membawa kedamaian ke seluruh bumi belum tiba. Kehidupan pada hari-hari terakhir penuh dengan konflik dan orang yang suka bertengkar. (2 Tim. 3:1-4) Orang Kristian juga perlu melawan Syaitan dan ajaran palsu. (2 Kor. 10:4, 5) Namun, cabaran yang terbesar mungkin datang daripada saudara-mara yang tidak seiman. Mereka mungkin mengejek kepercayaan kita, menuduh kita merosakkan perpaduan  keluarga, atau mengugut tidak akan menerima kita sebagai keluarga. Bagaimanakah kita patut memandang tentangan keluarga? Bagaimanakah kita dapat menghadapi cabaran itu?

PANDANGAN BETUL TERHADAP TENTANGAN DARIPADA KELUARGA

3, 4. (a) Ajaran Yesus mungkin menyebabkan apa? (b) Apakah cabaran yang mungkin dihadapi pengikut Yesus?

3 Yesus tahu bahawa ajarannya akan menimbulkan perpecahan, bahkan dalam kalangan keluarga. Maka, orang yang ingin menjadi pengikutnya memerlukan keberanian. Yesus berkata, “Jangan berfikir bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian. Aku datang bukannya untuk membawa kedamaian, tetapi untuk membawa perpecahan. Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa, anak perempuan melawan ibu, dan menantu melawan ibu mentua. Sememangnya, musuh seseorang ialah anggota rumah tangganya sendiri.”​—Mat. 10:34-36.

4 Semasa Yesus berkata, “Jangan berfikir bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian,” dia ingin pendengarnya sedar akan apa yang mungkin berlaku jika mereka menjadi pengikutnya. Memang benar, kebenaran yang disebarkan Yesus bukanlah untuk merosakkan hubungan keluarga. (Yoh. 18:37) Namun, pengikut Yesus yang setia akan menghadapi cabaran jika keluarga atau kawan karib mereka menolak kebenaran.

5. Apakah yang dialami oleh pengikut Yesus?

5 Semasa menjelaskan kesusahan yang akan dihadapi oleh pengikutnya, Yesus juga menyebut mengenai tentangan keluarga. (Mat. 10:38) Sesetengah murid Yesus telah diejek atau dipulaukan oleh ahli keluarga. Walaupun mereka terpaksa membuat pengorbanan yang besar, mereka menerima banyak berkat.​—Baca Markus 10:29, 30.

6. Apakah yang harus kita ingat jika saudara-mara menentang ibadat kita?

6 Walaupun saudara-mara menentang ibadat kita, kita masih mengasihi mereka. Namun, ingatlah bahawa kasih kita terhadap Tuhan dan Kristus harus diutamakan. (Mat. 10:37) Kita perlu sedar bahawa Syaitan akan memperalatkan kasih kita terhadap keluarga untuk mematahkan kesetiaan kita kepada Yehuwa. Mari kita lihat beberapa situasi yang mencabar dan cara untuk menghadapinya.

PASANGAN YANG TIDAK SEIMAN

7. Apakah sepatutnya pandangan orang Kristian terhadap pasangan yang tidak seiman?

7 Bible menyatakan bahawa orang yang berkahwin “akan menghadapi banyak kesusahan.” (1 Kor. 7:28) Jika pasangan anda tidak seiman, “kesusahan” yang anda hadapi mungkin berganda. Namun, lihatlah situasi anda dari pandangan Yehuwa. Anda tidak boleh berpisah atau bercerai semata-mata kerana pasangan anda enggan mengikut Kristus. (1 Kor. 7:12-16) Seorang suami yang tidak seiman mungkin tidak mengetuai keluarganya dalam hal-hal rohani, tetapi dia harus dihormati sebagai kepala keluarga. Begitu juga, seorang suami Kristian patut mengasihi dan mengambil berat terhadap isterinya yang tidak seiman.​—Ef. 5:22, 23, 28, 29.

8. Apakah soalan yang dapat anda fikirkan jika pasangan anda mengehadkan kegiatan rohani anda?

8 Bagaimana pula jika pasangan anda mengehadkan kegiatan rohani anda? Contohnya, suami seorang saudari memberitahunya bahawa dia hanya boleh menginjil pada hari-hari tertentu. Jika itulah situasi anda, tanyalah diri, “Adakah pasangan saya memaksa saya berhenti menyembah Tuhan? Jika tidak, dapatkah saya memenuhi permintaannya?” Dengan bersikap munasabah,  anda mengelakkan banyak konflik dalam perkahwinan.​—Flp. 4:5.

9. Bagaimanakah orang Kristian dapat mengajar anak mereka untuk menghormati ibu atau bapa yang tidak seiman?

9 Jika pasangan anda tidak seiman, anda perlu lebih banyak usaha untuk melatih anak anda. Contohnya, anda perlu mengajar anak untuk mentaati perintah Bible, “Hormatilah ibu bapa kamu.” (Ef. 6:1-3) Tetapi bagaimana pula jika pasangan anda tidak mematuhi piawaian Bible? Jadilah teladan yang baik dan hormatilah pasangan anda. Bertumpulah kepada sifatnya yang baik dan nyatakan penghargaan anda kepadanya. Jangan bercakap buruk tentangnya di depan anak. Sebaliknya, jelaskan kepada mereka bahawa setiap orang mesti membuat keputusan sendiri untuk menyembah Yehuwa. Kelakuan baik anak anda mungkin mendorong pasangan anda untuk memeluk kebenaran.

Ajarkan kebenaran Bible kepada anak-anak anda pada kesempatan yang sesuai (Lihat perenggan 10)

10. Bagaimanakah seorang ibu atau bapa Kristian dapat mengajar anaknya kebenaran Bible jika pasangannya tidak seiman?

10 Ada kalanya, pasangan yang tidak seiman mungkin menyuruh anak menyambut perayaan kafir atau belajar ajaran agama palsu. Sesetengah suami yang tidak seiman mungkin melarang isteri mereka mengajar anak tentang Bible. Namun, isteri Kristian dapat mencari jalan untuk mengajar anaknya kebenaran. (Kis. 16:1; 2 Tim. 3:14, 15) Contohnya, jika seorang ibu tidak diizinkan mengadakan pembelajaran Bible dengan anak atau membawa mereka ke perjumpaan, dia masih dapat bercakap tentang kepercayaannya kepada mereka pada peluang yang sesuai. Dengan itu, dia dapat melatih anak-anak  dan mengajar mereka tentang Yehuwa, dan pada masa yang sama menghormati keputusan suaminya. (Kis. 4:19, 20) Sudah pasti, anak-anaknya mesti membuat keputusan sendiri dalam soal ibadat pada kemudian hari.​—Ul. 30:19, 20. *

SAUDARA-MARA YANG MENENTANG

11. Apakah yang mungkin menimbulkan masalah antara kita dengan saudara-mara yang bukan Saksi?

11 Kita mungkin tidak memberitahu ahli keluarga semasa kita mula bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Namun apabila iman kita bertambah, kita sedar bahawa kita harus berterus terang dengan mereka. (Mrk. 8:38) Sekiranya tindakan anda menimbulkan masalah antara anda dan saudara-mara yang bukan Saksi, berikut merupakan beberapa langkah untuk memelihara kedamaian dan tetap setia kepada Yehuwa.

12. Mengapakah saudara-mara yang tidak seiman menentang kepercayaan kita? Apakah yang dapat kita lakukan?

12 Fikirkan perasaan mereka. Kita pasti gembira setelah mempelajari kebenaran Bible, tetapi saudara-mara kita mungkin menyangka bahawa kita sudah ditipu atau menyertai agama sesat. Apabila kita tidak menyambut perayaan bersama mereka, mereka mungkin berasa bahawa kita tidak menyayangi mereka lagi. Mereka bahkan mungkin risau kita akan ditimpa perkara buruk selepas kita mati. Maka, cubalah memahami perasaan dan pandangan mereka. Dengarlah luahan mereka supaya kita tahu sebabnya mereka risau. (Ams. 20:5) Tirulah Rasul Paulus yang berusaha memahami “segala macam orang” agar dia dapat mengongsi berita baik dengan mereka.​—1 Kor. 9:19-23.

13. Apakah sifat yang harus kita tunjukkan semasa bercakap kepada saudara-mara yang tidak seiman?

13 Gunakan kata-kata yang lembut. Bible menyatakan, “Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan.” (Kol. 4:6) Berdoalah supaya kita dapat menunjukkan buah kuasa suci Yehuwa semasa bercakap kepada saudara-mara. Janganlah berdebat tentang kepercayaan mereka yang salah. Jika kita dilukai kerana kata-kata atau perbuatan mereka, ingatlah teladan para rasul. Paulus menulis, “Semasa orang menghina kami, kami memberkati mereka. Semasa orang menganiaya kami, kami menanggungnya dengan sabar. Semasa kami difitnah, kami menjawab dengan lemah lembut.”​—1 Kor. 4:12, 13.

14. Apakah manfaat yang terhasil apabila kita sentiasa berkelakuan baik?

14 Tetap berkelakuan baik. Kata-kata yang lembut amat penting, tetapi kelakuan baik kita akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam. (Baca 1 Petrus 3:1, 2, 16.) Menerusi teladan anda, bantulah saudara-mara anda untuk melihat bahawa Saksi-Saksi Yehuwa menikmati perkahwinan yang bahagia, menjaga anak mereka, dan menjalankan hidup yang bersih, bermoral, dan bermakna. Biarpun saudara-mara kita tidak menerima kebenaran, kita masih dapat bersukacita kerana kelakuan baik kita menyenangkan hati Yehuwa.

15. Bagaimanakah kita dapat merancang untuk menghadapi situasi yang mungkin mencetuskan konflik?

15 Merancang dengan baik. Fikirkan situasi-situasi yang mungkin mencetuskan konflik dan cara untuk menanganinya. (Ams. 12:16, 23) Seorang saudari dari Australia berkata, “Bapa mentua saya sangat menentang kebenaran. Jadi sebelum menghubunginya, saya dan suami akan berdoa meminta bantuan Yehuwa agar kami tetap tenang tidak kira apa reaksinya. Kami  akan sediakan topik yang menyenangkan supaya kami dapat berbual dengan ramah. Kami juga mengehadkan masa dengannya bagi mengelakkan perbualan panjang yang biasanya berakhir dengan perdebatan tentang agama.”

16. Jika saudara-mara tidak senang hati dengan pendirian kita, bagaimanakah kita dapat mengatasi rasa bersalah?

16 Sudah pasti, anda tidak dapat mengelakkan semua konflik dengan saudara-mara yang tidak seiman. Hal itu mungkin membuat anda berasa bersalah, kerana anda mengasihi mereka dan ingin menggembirakan mereka. Namun, ingatlah bahawa kesetiaan anda kepada Yehuwa lebih penting daripada kasih anda untuk mereka. Pendirian anda yang teguh mungkin membuat mereka sedar pentingnya hidup menurut kebenaran Bible. Meskipun anda tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima kebenaran, anda dapat menunjukkan manfaat yang anda raih kerana mematuhi Yehuwa. Seperti kita, mereka juga diberi peluang untuk memilih haluan yang ingin ditempuh.​—Yes. 48:17, 18.

JIKA AHLI KELUARGA MENINGGALKAN YEHUWA

17, 18. Apakah yang dapat anda lakukan jika ahli keluarga anda meninggalkan Yehuwa?

17 Apabila ahli keluarga anda disingkirkan atau menyisihkan diri daripada sidang, anda mungkin rasa seperti ditikam pedang. Bagaimanakah anda dapat menghadapi situasi sebegini?

18 Teruskan rutin rohani anda. Kuatkan iman anda dengan membaca Bible secara tetap, membuat persiapan untuk perjumpaan, menghadiri perjumpaan, menginjil, dan berdoa agar dapat bertabah. (Yud. 20, 21) Bagaimana pula jika anda tiada semangat untuk melakukan semua itu? Jangan putus asa! Apabila anda memupuk rutin rohani yang baik dan menyembah Yehuwa dengan setia, anda akan dibantu untuk mengawal fikiran dan perasaan sendiri, seperti yang berlaku kepada penulis Mazmur 73. Dia susah hati ketika pandangannya dikelabui, tetapi fikirannya dibetulkan semasa dia masuk ke tempat ibadat Tuhan.​—Mzm. 73:16, 17.

19. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati aturan disiplin Yehuwa?

19 Hormati aturan disiplin Yehuwa. Meskipun hati kita tertusuk semasa orang tersayang didisiplinkan, ingatlah bahawa aturan Tuhan bermanfaat untuk semua, termasuk orang yang bersalah. (Baca Ibrani 12:11.) Yehuwa memerintahkan kita agar “tidak lagi bergaul” dengan orang yang enggan bertaubat. (1 Kor. 5:11-13) Hal itu tidak mudah, tetapi kita mesti berhenti bergaul dengan mereka melalui telefon, SMS, surat, e-mel, atau rangkaian sosial.

20. Apakah yang patut kita terus harapkan?

20 Jangan putus harapan. Kasih “tidak hilang harapan.” Maka kita terus berharap agar orang yang meninggalkan Yehuwa akan kembali kepada-Nya. (1 Kor. 13:7) Jika anda mendapati ahli keluarga anda sedang mengubah sikapnya, berdoalah agar dia mendapat kekuatan daripada Bible dan menyambut seruan Yehuwa, “Kembalilah kepada-Ku.”​—Yes. 44:22.

21. Apakah yang patut anda lakukan sekiranya usaha anda untuk mengikut Yesus membawa perpecahan ke dalam keluarga anda?

21 Yesus menyatakan bahawa untuk menjadi pengikutnya, kita harus mengasihinya lebih daripada mengasihi mana-mana manusia. Dia yakin bahawa pengikutnya dapat tetap setia kepadanya meskipun ditentang ahli keluarga. Maka, jika anda “membawa perpecahan” ke dalam keluarga kerana mengikut Yesus, bergantunglah pada Yehuwa supaya anda dapat menghadapi cabaran itu. (Yes. 41:10, 13) Anda dapat bersukacita kerana kesetiaan anda menyenangkan hati Yehuwa dan Yesus, dan pasti membawa berkat.

^ per. 10 Untuk maklumat lanjut tentang cara melatih anak dalam keluarga yang tidak seiman, lihat rencana “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal 15 Ogos 2002 dalam bahasa Indonesia.