“Kami akan melakukannya!” Itulah reaksi saya dan suami serta abang saya dan isterinya semasa ditawarkan satu tugasan. Mengapakah kami menerimanya? Bagaimanakah Yehuwa memberkati kami? Biarlah saya ceritakan serba sedikit tentang diri saya.

SAYA lahir pada tahun 1923 di Hemsworth, sebuah pekan di Yorkshire, England. Abang saya bernama Bob. Semasa saya berusia sembilan tahun, Ayah menerima beberapa buku yang mendedahkan penipuan agama palsu. Ayah membenci sifat munafik dalam banyak agama dan dia sangat suka buku-buku itu. Beberapa tahun kemudian, Bob Atkinson datang ke rumah kami dan memainkan ceramah Saudara Rutherford dengan menggunakan peti nyanyi. Rupa-rupanya penceramah ini daripada kumpulan yang sama dengan yang menerbitkan buku-buku itu! Emak dan Ayah menjemput Saudara Atkinson makan malam bersama kami setiap hari dan menjawab soalan-soalan Bible kami. Apabila kami dijemput untuk menghadiri perjumpaan di rumah seorang saudara yang berdekatan, kami segera hadir, lalu terbentuklah sebuah sidang kecil di Hemsworth. Tidak lama kemudian kami menyediakan penginapan untuk pembantu zon (kini penyelia litar) dan menjemput perintis yang berdekatan untuk makan di rumah kami. Pergaulan itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.

Kami baru sahaja memulakan suatu perniagaan, tetapi Ayah memberitahu abang, “Jika kamu mahu merintis, kita akan tutup perniagaan ini.” Bob setuju, dan dia meninggalkan rumah pada umur 21 tahun untuk merintis. Dua tahun kemudian, sewaktu saya berumur 16 tahun, saya mula merintis. Saya menginjil dengan menggunakan kad mesej Bible dan peti nyanyi, dan saya biasanya menginjil seorang diri kecuali pada hujung minggu. Namun Yehuwa mengurniai saya seorang pelajar Bible yang membuat kemajuan. Ramai dalam keluarganya juga menerima kebenaran pada kemudian hari. Tahun berikutnya, saya dilantik sebagai perintis khas bersama Mary Henshall. Kami ditugaskan ke kawasan di Cheshire yang belum pernah dikunjungi Saksi.

Semasa Perang Dunia Kedua, kaum wanita disuruh membantu pasukan tentera. Sebagai perintis  khas, kami sangka kami akan dikecualikan seperti penginjil agama lain. Tetapi, saya dipenjarakan selama 31 hari. Tahun berikutnya, apabila saya berumur 19 tahun, saya mendaftar sebagai orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Saya dibicarakan di dua mahkamah, tetapi kes saya akhirnya digugurkan. Selama itu, saya dapat merasakan bantuan kuasa suci Tuhan. Yehuwa seperti memegang tangan saya dan menjadikan saya kuat dan teguh.​—Yes. 41:10, 13.

TEMAN BAHARU

Saya berjumpa dengan Arthur Matthews pada tahun 1946. Setelah dipenjarakan selama tiga bulan kerana enggan menyertai tentera, dia datang ke Hemsworth untuk berkhidmat bersama adiknya Dennis, seorang perintis khas. Bapa mereka mengajar mereka tentang Yehuwa sejak mereka bayi lagi, dan mereka dibaptis semasa remaja. Tidak lama kemudian, Dennis ditugaskan ke Ireland, maka Arthur perlu merintis seorang diri. Ibu bapa saya kagum dengan kelakuannya dan menjemputnya tinggal bersama mereka. Semasa saya lawat mereka, saya dan Arthur akan membasuh pinggan selepas makan. Sejak itu, kami menyurati satu sama lain. Pada tahun 1948, Arthur dipenjarakan selama tiga bulan lagi. Kami berkahwin pada Januari 1949 dan ingin terus berkhidmat sepenuh masa. Dengan berkat Yehuwa dan pengurusan yang bijak, kami menggunakan masa cuti untuk memetik buah supaya kami ada wang untuk merintis.

Di Hemsworth, tidak lama selepas kami berkahwin pada tahun 1949

Kira-kira setahun kemudian, kami ditugaskan ke Ireland Utara, mula-mulanya ke Armagh dan kemudian ke Newry. Banyak orang di sana beragama Katolik, dan kami harus berhati-hati semasa menginjil kerana situasinya agak tegang. Perjumpaan diadakan di rumah satu pasangan Saksi yang tinggal 16 km dari tempat kami. Semasa dijemput untuk bermalam di situ, kami akan tidur di lantai dan menikmati sarapan yang enak keesokan paginya. Dahulu hadirin perjumpaan hanya sekitar lapan orang, tetapi kini ada banyak Saksi di situ.

“KAMI AKAN MELAKUKANNYA!”

Abang saya dan isterinya Lottie, yang berkhidmat sebagai perintis khas di Ireland Utara, menghadiri konvensyen distrik bersama kami di Belfast pada tahun 1952. Kami berempat tinggal di rumah seorang saudara bersama Pryce Hughes, pembantu cawangan Britain ketika itu. Pada suatu malam, kami bercakap tentang buku kecil God’s Way Is Love, yang dikeluarkan khasnya untuk Ireland. Pryce menyebut cabaran untuk membantu orang Katolik di Republik Ireland. Saudara saudari dihalau dari rumah sendiri, dan paderi-paderi menghasut orang ramai menyerang mereka. Dia berkata, “Kami perlu pasangan yang ada kereta untuk edarkan buku kecil itu di seluruh negara itu.” * Kami segera  menjawab, “Kami akan melakukannya!” Itulah yang berlaku pada permulaan cerita ini.

Menaiki motosikal dan kereta sisi bersama rakan perintis

Saudari Rutland yang telah lama menjadi Saksi, sentiasa membuka rumahnya di Dublin kepada perintis. Selepas tinggal seketika di situ, kami menjual sesetengah barang kami lalu menaiki motosikal Bob untuk mencari kereta. Kami menjumpai sebuah kereta terpakai dan meminta penjualnya untuk menghantarnya ke rumah kami kerana kami tidak tahu memandu. Pada malam yang sama, Arthur duduk di atas katil dan berlatih tukar gear. Keesokan paginya, semasa dia cuba memandu kereta itu, Saudari Mildred Willett (yang kemudiannya mengahwini John Barr) datang dan dia tahu memandu! Setelah berlatih beberapa kali bersamanya, kami sudah bersedia untuk bertolak!

Kereta dan treler kami

Seterusnya, kami perlu mencari penginapan. Kami dinasihatkan agar tidak tinggal dalam treler kerana penentang mungkin akan membakarnya. Kami tidak dapat mencari rumah, jadi kami bermalam sahaja dalam kereta. Pada keesokan harinya, kami hanya dapat menjumpai sebuah treler kecil yang mempunyai dua katil bertingkat. Itulah rumah kami. Kami akan meletakkan treler itu di kawasan peladang yang ramah dan menginjil di kawasan yang terletak kira-kira 16 hingga 24 km dari sana. Kemudian kami memindahkan treler kami dan kembali untuk mengunjungi orang di sekitar tempat kami meletakkan treler dahulu.

Kami mengunjungi setiap rumah di tenggara negara itu tanpa mengalami apa-apa masalah. Kami mengedarkan lebih daripada 20,000 buku kecil dan mengirim nama-nama orang yang berminat ke pejabat cawangan di Britain. Sekarang, ada beratus-ratus Saksi di situ!

KEMBALI KE ENGLAND, KEMUDIAN KE SCOTLAND

Beberapa tahun kemudian, kami ditugaskan ke selatan London. Dalam masa beberapa minggu, pejabat cawangan Britain menghubungi Arthur untuk memintanya melakukan kerja litar bermula keesokan hari! Selepas dilatih untuk seminggu, kami pergi ke Scotland. Arthur tiada masa untuk menyiapkan ceramahnya, tetapi kesudiannya untuk menerima tugasan rohani yang mencabar amat menggalakkan. Memandangkan kami telah lama berkhidmat di kawasan yang baharu, kami sangat suka kerja litar kerana dapat jumpa ramai saudara saudari.

Semasa Arthur dijemput untuk menghadiri kursus Gilead selama 10 bulan pada tahun 1962, kami perlu buat keputusan yang besar. Akhirnya, kami memutuskan bahawa Arthur patut menerima jemputan itu. Oleh sebab saya tiada rakan, saya ditugaskan sebagai perintis khas di Hemsworth. Setahun kemudian, Arthur dan saya ditugaskan melakukan kerja distrik di Scotland, kawasan utara England, dan Ireland Utara.

 TUGAS BAHARU DI IRELAND

Pada tahun 1964, Arthur ditugaskan sebagai pembantu cawangan di Republik Ireland. Pada mulanya, saya berasa teragak-agak kerana saya sangat suka kerja distrik. Namun sekarang saya bersyukur kerana dapat berkhidmat di Bethel. Saya percaya bahawa Yehuwa pasti memberkati kita jika kita menerima apa sahaja tugasan, bahkan yang kurang disukai. Di Bethel, saya bekerja di pejabat, membungkus bahan bacaan, memasak, dan membuat kerja pembersihan. Untuk suatu ketika, kami juga melakukan kerja distrik. Jadi kami dapat berjumpa dengan saudara saudari di serata Ireland dan melihat pelajar Bible kami membuat kemajuan. Kami diberkati kerana sangat rapat dengan keluarga rohani kami di Ireland!

DETIK BERSEJARAH DI IRELAND

Konvensyen antarabangsa pertama di Ireland diadakan di Dublin pada tahun 1965. * Meskipun ditentang kuat, konvensyen itu berlangsung dengan jayanya. Sebanyak 3,948 orang telah hadir dan 65 orang dibaptis. Setiap orang yang menyediakan tempat tinggal untuk 3,500 orang wakil antarabangsa diberi surat penghargaan. Tuan rumah pula memuji kelakuan baik para wakil. Itulah detik yang bersejarah bagi Ireland.

Arthur menyambut ketibaan Nathan Knorr sewaktu konvensyen pada tahun 1965

Arthur mengumumkan pengeluaran Buku Cerita Bible Saya dalam bahasa Gaelik pada tahun 1983

Pada tahun 1966, pejabat cawangan Dublin mula menyelia kerja di utara dan selatan Ireland. Keadaan ini jauh berbeza daripada keadaan politik dan agama di Ireland yang berpecah belah. Kami gembira melihat ramai orang Katolik menerima kebenaran dan berkhidmat bersama saudara saudari yang dahulunya beragama Protestan.

PERUBAHAN BESAR DALAM TUGAS KAMI

Pada tahun 2011, kehidupan kami mengalami perubahan besar. Cawangan Ireland dan Britain telah digabungkan dan kami ditugaskan ke Bethel London. Pada masa itu, kesihatan Arthur mula membimbangkan saya. Dia didapati menghidap penyakit Parkinson. Pada 20 Mei 2015, Arthur yang menemani saya selama 66 tahun telah meninggal.

Kebelakangan ini, saya berasa murung dan sedih kerana saya sangat merindui Arthur. Tetapi situasi sebegini bantu saya menghampiri Yehuwa. Saya berasa lega semasa mendapat tahu bahawa Arthur sangat dikasihi. Saya pernah menerima surat daripada sahabat di Ireland, Britain, dan Amerika Syarikat. Surat-surat itu dan galakan daripada Dennis (adik Arthur), isterinya Mavis, dan anak buah saya Ruth dan Judy, telah banyak membantu saya.

Saya mendapat banyak galakan daripada Yesaya 30:18 yang berbunyi, ‘Yehuwa menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Tuhan yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada Yehuwa.’ Saya berasa lega kerana Yehuwa menanti-nantikan saatnya untuk menyelesaikan semua masalah kita dan memberi kita tugasan yang mendebarkan di dunia baharu.

Apabila saya kenang kembali kehidupan kami, saya dapat lihat bagaimana Yehuwa membimbing dan memberkati kerja di Ireland! Saya berbesar hati kerana dapat memberikan sedikit sumbangan kepada pertumbuhan rohani itu. Memang benar, kita pasti diberkati jika kita mengikut arahan Yehuwa.

^ per. 12 Lihat Yearbook of Jehovah’s Witnesses 1988, ms. 101-102.

^ per. 22 Lihat Yearbook tahun 1988, ms. 109-112.