Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Anda ‘Berpegang pada Hikmat’?

Adakah Anda ‘Berpegang pada Hikmat’?

MENURUT sebuah kisah, terdapat seorang budak lelaki miskin yang tinggal di kampung terpencil. Penduduk di sana berasa budak itu tidak pandai dan mentertawakannya. Apabila pengunjung melawat ke kampung itu, sesetengah penduduk mengejeknya di hadapan kawan-kawan mereka. Mereka akan memegang dua syiling, satu syiling perak yang besar, manakala satu lagi syiling emas yang kecil tetapi nilainya dua kali ganda daripada syiling perak. Mereka akan berkata kepada budak itu, “Pilihlah mana satu yang kamu mahu.” Budak itu akan mengambil syiling perak dan lari.

Suatu hari, seorang pengunjung menanya budak lelaki itu, “Tidakkah kamu tahu bahawa nilai syiling emas dua kali ganda daripada syiling perak?” Budak itu tersenyum dan berkata, “Ya, saya tahu.” Pengunjung itu bertanya lagi, “Jadi mengapa kamu mengambil syiling perak? Jika kamu mengambil syiling emas, kamu lebih untung!” Budak lelaki itu menjawab, “Jika saya mengambil syiling emas, mereka akan berhenti bermain permainan ini dengan saya. Tahukah kamu berapa banyak syiling perak yang sudah saya kumpul?” Kisah budak itu menunjukkan satu sifat, iaitu hikmat.

Bible menyatakan, “Berpeganglah pada hikmat dan pengertian. Kamu akan berjalan dengan selamat; kamu tidak akan tersandung.” (Ams. 3:21, 23) Jadi dengan mengetahui maksud “hikmat” dan cara menerapkannya, kita akan dilindungi. Kita tidak akan tersandung secara rohani dan kita akan dibantu untuk tetap stabil.

APAKAH ITU HIKMAT?

Hikmat berbeza daripada pengetahuan dan pengertian. Seseorang yang mempunyai pengetahuan mengumpulkan maklumat atau fakta. Seseorang yang mempunyai pengertian dapat melihat bagaimana suatu fakta berkait dengan fakta yang lain. Seseorang yang mempunyai hikmat berupaya menerapkan pengetahuan dan pengertian dalam cara yang praktikal.

Contohnya, seseorang mungkin dapat membaca dan memahami buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? dalam masa yang singkat. Semasa pembelajaran Bible, dia mungkin dapat menjawab dengan betul. Dia mungkin mula menghadiri perjumpaan bahkan memberikan komen yang baik. Semua perkara tersebut mungkin menunjukkan bahawa dia sedang membuat kemajuan rohani, tetapi adakah dia telah memperoleh hikmat? Tidak semestinya. Dia mungkin seorang yang otak cair. Namun, apabila dia menerapkan kebenaran dalam kehidupannya, menggunakan pengetahuan dan pengertian dalam cara yang betul, barulah dia memperoleh hikmat. Jika dia berfikir dengan teliti dan membuat keputusan yang baik, hal ini menunjukkan bahawa dia berpegang pada hikmat.

Matius 7:24-27 mengandungi perumpamaan Yesus mengenai dua orang lelaki yang masing-masing membina rumah. Seorang lelaki digambarkan sebagai orang yang “bijaksana.” Memandangkan lelaki itu berpandangan jauh dan praktikal, dia membina rumahnya di atas batu. Dia tidak berfikir bahawa membina rumah di atas pasir lebih menjimatkan kos dan lebih cepat dibina. Dengan bijak, dia memikirkan akibat jangka panjang perbuatannya. Maka apabila ribut melanda, rumahnya terselamat. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat memperoleh dan berpegang pada hikmat?

 BAGAIMANAKAH SAYA MEMPEROLEHNYA?

Mula-mula, perhatikan Mikha 6:9 (NW): “Orang yang bijaksana akan berasa takut setelah mendengar nama [Tuhan].” Takut akan nama Yehuwa bererti menghormati-Nya. Hal ini melibatkan hormat yang mendalam terhadap nama-Nya, termasuklah piawaian-Nya. Untuk menghormati seseorang, anda perlu mengetahui cara pemikirannya. Dengan itu, anda akan percaya kepadanya dan belajar daripadanya, dan hal ini akan membawa hasil yang baik. Jika kita sering memikirkan cara tindakan kita mempengaruhi hubungan kita dengan Yehuwa dan membuat keputusan berdasarkan piawaian-Nya, maka kita sedang menunjukkan hikmat.

Kedua, Amsal 18:1 (NW) menyatakan, “Orang yang mengasingkan diri, mementingkan keinginannya sendiri; Orang sedemikian menolak semua kebijaksanaan.” Jika tidak berhati-hati, kita mungkin akan mengasingkan diri daripada Yehuwa dan umat-Nya. Untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku, kita perlu meluangkan masa dengan mereka yang takut akan nama Tuhan dan menghormati piawaian-Nya. Kita perlu menghadiri perjumpaan dan bergaul secara tetap dengan sidang Kristian. Semasa di perjumpaan, kita perlu membuka minda dan hati serta mengizinkan apa yang diajar untuk menyentuh hati kita.

Tambahan pula, jika kita mencurahkan isi hati kepada Yehuwa melalui doa, kita akan lebih menghampiri-Nya. (Ams. 3:5, 6) Apabila kita membuka minda dan hati semasa membaca Bible dan bahan bacaan  yang disediakan oleh organisasi Yehuwa, kita dibantu untuk “melihat” akibat daripada perbuatan kita, dan hal itu menggerakkan kita untuk membuat keputusan yang baik. Kita juga perlu rela menerima nasihat yang diberikan oleh saudara yang matang. (Ams. 19:20) Dengan demikian, kita tidak “menolak semua kebijaksanaan,” sebaliknya menguatkan sifat yang penting ini.

BAGAIMANA HIKMAT MEMBANTU KELUARGA

Hikmat dapat melindungi keluarga. Contohnya, Bible menggalakkan para isteri untuk “menghormati suaminya dengan mendalam.” (Ef. 5:33) Bagaimanakah seorang suami memperoleh rasa hormat daripada isteri? Jika dia menuntutnya secara paksa atau kasar, dia hanya mendapat hasil sementara. Untuk mengelakkan pergaduhan, isteri mungkin menghormati suami apabila bersama dengannya. Namun, adakah isteri akan menghormati suami apabila tidak bersamanya? Mungkin tidak. Suami perlu memikirkan hasil jangka panjang. Jika dia memperlihatkan buah daya aktif, iaitu menunjukkan kasih dan kebaikan hati, dia akan memperoleh rasa hormat daripada isteri. Sudah tentu, seorang isteri Kristian haruslah sentiasa menghormati suaminya.​—Gal. 5:22, 23.

Bible juga mengatakan bahawa suami harus mengasihi isteri. (Ef. 5:28, 33) Agar memastikan suami tetap mengasihinya, seorang isteri mungkin berfikir bahawa adalah baik untuk menyembunyikan sesuatu yang tidak menyenangkan walaupun suami berhak mengetahuinya. Namun, adakah hal itu menunjukkan hikmat? Apakah akibatnya jika suami tahu tentang hal yang disembunyikan? Adakah suami akan lebih mengasihi isteri? Mungkin tidak. Jika isteri mencari masa yang sesuai untuk menjelaskan hal itu dengan tenang, suami akan menghargai kejujuran isteri. Kasih suami terhadap isteri akan bertambah.

Cara anda mendisiplinkan anak pada hari ini akan mempengaruhi komunikasi mereka dengan anda pada kemudian hari

Anak-anak harus mentaati ibu bapa dan didisiplinkan mengikut cara Yehuwa. (Ef. 6:1, 4) Adakah hal ini bermaksud bahawa ibu bapa harus menyediakan senarai peraturan yang panjang bagi anak? Ibu bapa bukan hanya mengajar mereka mengetahui peraturan di rumah atau hukuman atas kelakuan buruk. Ibu bapa yang menunjukkan hikmat akan membantu anak memahami sebabnya mereka harus mentaati.

Katakan seorang anak bersikap biadab terhadap ibu atau bapa. Jika ibu bapa memarahi atau menghukumnya secara terburu-buru, anak akan berasa malu atau berdiam diri. Namun, dia mungkin berdendam dan menjauhkan diri daripada ibu bapa.

Ibu bapa yang memiliki hikmat memikirkan cara mendisiplinkan anak dan kesannya terhadap anak pada masa depan. Ibu bapa tidak harus bertindak melulu hanya kerana berasa malu akibat kelakuan anak mereka. Apabila bersendirian dengan anak, mereka boleh menaakul dengan tenang dan pengasih. Mereka boleh menjelaskan bahawa Yehuwa ingin anak-anak menghormati ibu bapa kerana hal ini membawa manfaat yang berkekalan. Apabila anak menghormati ibu bapa, dia akan sedar bahawa dia sebenarnya sedang menghormati Yehuwa. (Ef. 6:2, 3) Cara menaakul ini dapat menyentuh hati anak. Dia akan merasai keprihatinan ibu bapa dan semakin menghormati ibu bapa. Hal ini membuka peluang bagi anak itu untuk meminta bantuan apabila perkara serius berlaku pada masa depan.

Sesetengah ibu bapa berasa berat hati untuk membetulkan anak kerana tidak ingin menyakiti perasaan anak. Namun, apakah akan berlaku semasa anak menjadi dewasa? Adakah dia akan menghormati Yehuwa dan berpegang pada piawaian Tuhan? Adakah dia akan membuka hati dan minda kepada Yehuwa, atau mengasingkan diri secara rohani?​—Ams. 13:1; 29:21.

Seorang pengukir yang mahir akan merancang dahulu sebelum mengukir. Dia tidak akan mengukir sembarangan dan mengharapkan sesuatu yang indah dihasilkan. Ibu bapa yang memiliki hikmat meluangkan banyak masa untuk belajar dan menerapkan piawaian Yehuwa. Dengan itu, mereka takut akan nama Tuhan. Dengan tidak mengasingkan diri daripada Yehuwa dan organisasi-Nya, mereka memperoleh hikmat yang membina keluarga.

Setiap hari, kita membuat keputusan yang mungkin mempengaruhi masa depan kita. Kita tidak harus membuat keputusan dengan terburu-buru atau mengikut hati sahaja, sebaliknya kita harus berfikir. Fikirlah dengan teliti tentang akibat jangka masa panjang. Mintalah bimbingan Yehuwa dan gunakan hikmat. Dengan demikian, kita sedang berpegang pada hikmat dan hidup kita akan sejahtera.​—Ams. 3:21, 22.