Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 RENCANA PEMBELAJARAN 32

Biarlah Kasihmu Semakin Bertambah

Biarlah Kasihmu Semakin Bertambah

“Aku terus berdoa agar kasih kamu akan semakin bertambah.”​—FLP. 1:9.

LAGU 106 Memupuk Sifat Kasih

PENGENALAN *

1. Siapakah yang menubuhkan sidang di kota Filipi?

SEMASA Rasul Paulus, Silas, Lukas, dan Timotius tiba di kota Filipi, mereka menemui ramai orang yang berminat tentang berita baik. Empat orang saudara yang bersemangat itu telah menubuhkan sebuah sidang, dan murid-murid baharu mula berkumpul untuk beribadat. Barangkali, mereka telah berhimpun di rumah Lidia, seorang saudari yang murah hati.​—Kis. 16:40.

2. Apakah cabaran yang dihadapi sidang itu tidak lama kemudian?

2 Dalam masa yang singkat, sidang baharu itu menghadapi cabaran. Syaitan telah menggerakkan musuh-musuh kebenaran untuk menentang kerja penyebaran mereka. Paulus dan Silas telah ditangkap, dipukul, dan dipenjarakan. Selepas dibebaskan, mereka berdua melawat saudara saudari yang baharu dan menggalakkan mereka. Kemudian, Paulus, Silas, dan Timotius meninggalkan kota Filipi, manakala Lukas nampaknya tetap berada di situ. Bagaimanakah keadaan sidang baharu itu? Dengan adanya bantuan kuasa suci Yehuwa, mereka telah berkhidmat kepada Tuhan dengan penuh semangat. (Flp. 2:12) Paulus pasti berasa bangga dengan mereka!

3. Menurut Filipi 1:9-11, apakah yang didoakan oleh Paulus?

3 Kira-kira 10 tahun kemudian, Paulus telah menulis surat kepada sidang di Filipi. Semasa membaca surat itu, anda dapat merasai betapa dalamnya kasih Paulus terhadap mereka. Dia menulis, “Aku sangat rindu akan kamu semua, dan aku mengasihi kamu dengan kasih yang dimiliki Kristus Yesus.” (Flp. 1:8) Paulus juga menyatakan bahawa dia telah memohon kepada Yehuwa untuk membantu mereka agar kasih mereka semakin bertambah, agar mereka dapat mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting, agar mereka tidak bercacat cela dan tidak  membuat orang lain tersandung, dan agar mereka berlimpah-limpah dengan buah yang diperkenankan Tuhan. Kata-kata Paulus yang ikhlas itu juga bermanfaat untuk kita hari ini. Maka, marilah kita mengkaji suratnya kepada sidang di Filipi. (Baca Filipi 1:9-11.) Kita akan membincangkan isi-isi yang disebut Paulus dan cara untuk menerapkannya.

KASIH YANG SEMAKIN BERTAMBAH

4. (a) Menurut 1 Yohanes 4:9, 10, bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kasih-Nya kepada kita? (b) Seberapa dalamkah kita harus mengasihi Tuhan?

4 Yehuwa telah menunjukkan kasih yang besar kepada kita semasa Dia mengutus Anak-Nya untuk mati demi kita. (Baca 1 Yohanes 4:9, 10.) Kasih Tuhan mendorong kita untuk mengasihi-Nya. (Rm. 5:8) Seberapa dalamkah kita harus mengasihi Tuhan? Yesus menjawab soalan itu semasa dia memberitahu seorang Farisi, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.” (Mat. 22:36, 37) Kita tidak ingin mengasihi Tuhan dengan separuh hati. Sebaliknya, kita ingin memperdalam kasih kita kepada-Nya setiap hari. Paulus memberitahu sidang di Filipi bahawa kasih mereka harus “semakin bertambah.” Bagaimanakah kita dapat memperdalam kasih kita kepada Tuhan?

5. Bagaimanakah kasih kita kepada Tuhan dapat bertambah?

5 Kita mesti mengenali Tuhan, barulah kita dapat mengasihi-Nya. Bible menyatakan, “Sesiapa yang tidak mempunyai kasih, belum lagi mengenal Tuhan, kerana Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Rasul Paulus menjelaskan bahawa apabila kita memperoleh “daya pertimbangan yang baik” dan “pengetahuan yang tepat” tentang Tuhan, kasih kita untuk-Nya akan bertambah. (Flp. 1:9) Semasa baru mempelajari Bible, kita mula membina kasih kita untuk Yehuwa, meskipun pengetahuan kita tentang sifat-sifat-Nya terhad. Namun, apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kasih kita untuk-Nya pun akan menjadi semakin kuat. Itulah sebabnya pembelajaran Bible dan perenungan yang tetap begitu penting bagi kita!​—Flp. 2:16.

6. Menurut 1 Yohanes 4:11, 20, 21, bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih yang semakin bertambah?

6 Kasih Tuhan yang agung terhadap kita akan mendorong kita untuk mengasihi rakan seiman. (Baca 1 Yohanes 4:11, 20, 21.) Kita semua menyembah Yehuwa dan berusaha meniru sifat-sifat-Nya. Kita juga berusaha mengikut teladan Yesus, yang begitu mengasihi kita sehingga mengorbankan nyawanya demi kita. Jadi, kita mungkin berfikir bahawa tidaklah susah untuk mengasihi saudara saudari. Namun, hal itu tidak semestinya benar. Perhatikan satu contoh dalam sidang di Filipi.

7. Apakah yang kita pelajari daripada nasihat Paulus kepada Euodia dan Sintikhe?

7 Euodia dan Sintikhe merupakan dua orang saudari di Filipi yang pernah berkhidmat dengan bersemangat ‘di sisi Paulus.’ Namun, nampaknya perselisihan telah berlaku antara mereka berdua. Maka dalam suratnya, Paulus menyebut tentang Euodia dan Sintikhe dan menggesa mereka agar “seia sekata.” (Flp. 4:2, 3) Paulus juga berasa bahawa dia perlu menasihati seluruh sidang, “Teruslah melakukan segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar.” (Flp. 2:14) Nasihatnya yang terus terang itu pasti telah membantu dua orang saudari yang setia itu dan seluruh sidang untuk lebih mengasihi satu sama lain.

Mengapakah kita patut berpandangan positif terhadap saudara saudari kita? (Lihat perenggan 8) *

8. Apakah yang mungkin membuat kita berasa susah untuk mengasihi saudara saudari? Bagaimanakah kita dapat mengatasinya?

8 Seperti Euodia dan Sintikhe, kita mungkin berasa susah untuk mengasihi orang lain kerana kita cenderung berfokus kepada  ketidaksempurnaan mereka. Kita semua berbuat silap setiap hari. Jika kita asyik melihat ketidaksempurnaan orang lain, kasih kita untuk mereka akan mendingin. Contohnya jika seorang saudara lupa menolong kita membersihkan Dewan Perjumpaan, kita mungkin berasa geram. Jika kita mula menyenaraikan semua kesilapannya yang lain, rasa geram kita akan bertambah dan kasih kita untuknya akan berkurang. Sekiranya anda berdepan dengan situasi sebegini, renungkanlah hakikat ini: Yehuwa melihat ketidaksempurnaan kita dan saudara kita, tetapi Dia masih mengasihi kita dan saudara kita. Oleh itu, kita perlu meniru kasih Yehuwa dan berpandangan positif terhadap saudara saudari. Apabila kita berusaha keras untuk mengasihi mereka, perpaduan antara kita dengan mereka akan bertambah erat.​—Flp. 2:1, 2.

“PERKARA-PERKARA YANG LEBIH PENTING”

9. “Perkara-perkara yang lebih penting” yang disebut Paulus merangkumi apa?

9 Yehuwa menyuruh Paulus untuk memberitahu orang Kristian di Filipi agar “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” Kita juga perlu berbuat demikian pada zaman ini. (Flp. 1:10) Perkara-perkara penting itu merangkumi penyucian nama Yehuwa, penunaian janji-janji-Nya, serta kedamaian dan perpaduan sidang. (Mat. 6:9, 10; Yoh. 13:35) Apabila hal-hal itu menjadi pusat kehidupan kita, kita membuktikan bahawa kita mengasihi Yehuwa.

10. Apakah yang harus kita lakukan supaya Yehuwa menganggap kita sebagai orang yang tidak bercacat cela?

10 Paulus juga berkata bahawa kita harus “tidak bercacat cela.” Paulus tidak bermaksud bahawa kita mesti menjadi sempurna seperti Yehuwa, kerana hal itu mustahil. Namun, Yehuwa akan menganggap kita sebagai orang yang tidak bercacat cela jika kita berusaha dengan sebaik-baiknya untuk memperdalam kasih kita dan mengutamakan perkara-perkara yang lebih penting. Salah satu cara kita menunjukkan kasih adalah dengan melakukan apa yang terdaya supaya orang lain tidak tersandung.

11. Mengapakah kita tidak patut membuat orang lain tersandung?

11 Nasihat untuk tidak membuat orang lain tersandung sebenarnya merupakan amaran. Kita mungkin membuat orang lain tersandung kerana hiburan, pakaian, atau pekerjaan yang kita pilih. Pilihan kita itu mungkin tidak salah, tetapi jika pilihan kita mengganggu hati nurani seseorang dan membuatnya tersandung, hal itu sangat serius. Yesus berkata bahawa jika kita membuat salah satu daripada biri-birinya tersandung, lebih baik jika batu besar diikatkan pada leher kita, lalu kita dibuang ke dalam laut!​—Mat. 18:6.

12. Apakah yang kita pelajari daripada teladan sepasang perintis?

12 Perhatikan bagaimana sepasang suami isteri yang merintis telah mendengarkan nasihat Yesus. Mereka berkhidmat di sebuah sidang bersama satu pasangan yang baru dibaptis, yang dibesarkan dalam keluarga yang agak tegas. Pasangan baharu itu percaya bahawa orang Kristian tidak patut pergi ke panggung wayang, bahkan untuk menonton filem yang tidak bermasalah. Mereka terkejut semasa mendapat tahu bahawa pasangan perintis itu telah pergi ke pawagam untuk menonton wayang. Selepas kejadian itu, pasangan perintis itu tidak lagi pergi ke panggung wayang, sehinggalah pasangan baharu itu dapat memupuk hati nurani yang lebih seimbang. (Ibr. 5:14) Pasangan perintis yang tidak mementingkan diri itu telah menunjukkan bahawa kasih mereka kepada rakan seiman bukan sekadar  ucapan di bibir, tetapi juga dibuktikan melalui perbuatan.​—Rm. 14:19-21; 1 Yoh. 3:18.

13. Bagaimanakah kita mungkin menyebabkan seseorang berdosa?

13 Satu lagi cara kita mungkin menyebabkan seseorang tersandung adalah dengan membuatnya berdosa. Bagaimana? Bayangkan situasi ini: Setelah berjuang dengan keras untuk masa yang lama, seorang pelajar Bible akhirnya mengatasi masalah ketagihan alkohol, dan dia sedar bahawa dia langsung tidak boleh minum minuman keras lagi. Dia membuat kemajuan dengan cepat lalu dibaptis. Kemudian, seorang saudara menjemputnya ke jamuan dan memujuknya untuk minum minuman beralkohol. Saudara itu berkata kepadanya, “Sekarang kamu orang Kristian. Kamu sudah ada kuasa suci Yehuwa, dan salah satu aspek buah kuasa suci ialah kawalan diri. Jadi, tiada masalahnya kalau kamu minum sedikit.” Jika saudara baharu tersebut mengikut nasihat yang tidak bijak itu, akibatnya pasti sangat menyedihkan!

14. Bagaimanakah perjumpaan kita membantu kita menerapkan nasihat di Filipi 1:10?

14 Terdapat beberapa cara perjumpaan kita membantu kita menerapkan nasihat di Filipi 1:10. Pertama, perbincangan rohani di perjumpaan mengingatkan kita tentang hal-hal yang lebih penting dalam pandangan Yehuwa. Kedua, kita belajar cara untuk menerapkan pengajaran yang diperoleh, supaya kita menjadi tidak bercacat cela. Ketiga, kita didorong agar “memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.” (Ibr. 10:24, 25) Semakin banyak galakan yang kita terima daripada  saudara saudari, semakin besar kasih kita kepada Tuhan dan mereka. Apabila dua kasih ini melimpah di hati kita, kita akan melakukan segala yang terdaya agar tidak membuat rakan seiman kita tersandung.

TERUS “BERLIMPAH-LIMPAH DENGAN BUAH YANG DIPERKENANKAN TUHAN”

15. Apakah maksud “berlimpah-limpah dengan buah yang diperkenankan Tuhan”?

15 Paulus berdoa agar orang Kristian di Filipi “berlimpah-limpah dengan buah yang diperkenankan Tuhan.” (Flp. 1:11) “Buah” itu pasti merangkumi kasih mereka kepada Yehuwa dan umat-Nya, serta usaha mereka untuk memberitahu orang lain tentang harapan mereka dan iman mereka kepada Yesus. Di Filipi 2:15, satu lagi ungkapan digunakan, iaitu “bersinar seperti cahaya di dalam dunia ini.” Ungkapan itu mengingatkan kita akan kata-kata Yesus bahawa murid-muridnya ialah “cahaya dunia.” (Mat. 5:14-16) Yesus juga menyuruh murid-muridnya ‘menjadi saksinya sampai ke hujung bumi’ dan ‘menjadikan orang lain pengikutnya.’ (Mat. 28:18-20; Kis. 1:8) Apabila kita bergiat dalam kerja yang amat penting ini, kita sedang menghasilkan “buah yang diperkenankan Tuhan.”

Semasa dikurung dalam sebuah rumah di Roma, Paulus menulis suratnya kepada sidang di Filipi. Paulus juga mengambil peluang untuk menginjil kepada para pengawal dan pelawatnya (Lihat perenggan 16)

16. Bagaimanakah kata-kata di Filipi 1:12-14 menunjukkan bahawa kita dapat bersinar seperti cahaya bahkan dalam keadaan yang mencabar? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

16 Tidak kira apa situasi kita, kita dapat bersinar seperti cahaya. Ada kalanya, hal-hal yang nampaknya menghalang kita menginjil dapat menjadi peluang untuk mengongsi berita baik. Misalnya, semasa Paulus menulis suratnya kepada sidang di Filipi, dia dikurung dalam sebuah rumah di Roma. Tetapi hal itu tidak menghalangnya daripada menginjil kepada para pengawal dan pelawatnya. Paulus tetap menginjil dengan bersemangat, dan teladannya  telah memberi rakan seimannya keyakinan dan keberanian untuk “mengkhabarkan firman Tuhan tanpa rasa takut.”​—Baca Filipi 1:12-14; 4:22.

Marilah kita sentiasa mencari jalan untuk bergiat sepenuhnya dalam kerja penyebaran (Lihat perenggan 17) *

17. Bagaimanakah rakan seiman kita terus menghasilkan buah dalam keadaan yang susah?

17 Ramai daripada saudara saudari kita telah menunjukkan keberanian seperti Paulus. Mereka tidak boleh menginjil dari rumah ke rumah secara terbuka, maka mereka menggunakan cara lain untuk mengongsi berita baik. (Mat. 10:16-20) Di sebuah negara yang menyekat kerja penyebaran, seorang penyelia litar mencadangkan agar setiap penyiar bertumpu kepada “kawasan penyebaran” masing-masing, yang terdiri daripada saudara-mara, jiran, rakan sekolah, rakan sekerja, dan kenalan sendiri. Dalam masa dua tahun, jumlah sidang dalam litar itu telah bertambah secara mendadak. Biarpun kerja penyebaran di negara kita tidak disekat, kita masih dapat mempelajari sesuatu daripada mereka: Hendaklah kita sentiasa mencari jalan untuk bergiat sepenuhnya dalam kerja penyebaran, dan yakinlah bahawa Yehuwa akan memberi kita kekuatan untuk mengatasi segala halangan.​—Flp. 2:13.

18. Apakah seharusnya tekad kita?

18 Pada waktu yang genting ini, semoga kita bertekad untuk menerapkan nasihat Paulus kepada sidang di Filipi. Marilah kita mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting, berusaha agar tidak bercacat cela, mengelak daripada membuat orang lain tersandung, dan menghasilkan buah yang diperkenankan Tuhan. Dengan itu, kasih kita akan semakin bertambah, dan kita dapat memuliakan Yehuwa, Bapa kita yang penyayang.

LAGU 17 “Aku Rela”

^ per. 5 Kita perlu memperdalam kasih kita untuk rakan seiman, lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Surat kepada sidang di Filipi akan menjelaskan caranya kita dapat membiarkan kasih kita semakin bertambah, bahkan semasa kita berasa susah untuk berbuat demikian.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Semasa membersihkan Dewan Perjumpaan, seorang saudara yang bernama Joe menghentikan kerjanya untuk bersembang dengan seorang saudara dan anaknya. Mike, iaitu saudara yang sedang menggunakan vakum, berasa geram lalu berfikir, “Joe sepatutnya bekerja dan bukannya bercerita.” Kemudian, Mike melihat Joe membantu seorang saudari yang tua. Mike teringat bahawa dia harus bertumpu kepada sifat-sifat baik saudaranya.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Di sebuah negara yang menyekat kerja penyebaran, seorang saudara mengongsi berita Kerajaan Tuhan dengan seorang kenalan tanpa menarik perhatian. Kemudian, pada waktu rehat di tempat kerja, saudara itu memberikan kesaksian kepada rakan sekerjanya.