Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 RENCANA PEMBELAJARAN 48

“Selesaikanlah Apa yang Telah Kamu Mulakan”

“Selesaikanlah Apa yang Telah Kamu Mulakan”

“Selesaikanlah apa yang telah kamu mulakan.”​—2 KOR. 8:11.

LAGU 35 “Mengenal Pasti Perkara-Perkara yang Lebih Penting”

PENGENALAN *

1. Yehuwa membenarkan kita melakukan apa?

YEHUWA membenarkan kita memilih jalan hidup masing-masing. Dia mengajar kita cara membuat keputusan yang baik, dan apabila kita membuat keputusan yang menyenangkan hati-Nya, Dia akan membantu kita untuk berjaya. (Mzm. 119:173) Jika kita menerapkan nasihat Bible, kita dapat membuat keputusan yang lebih baik.​—Ibr. 5:14.

2. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi selepas membuat keputusan?

2 Biarpun kita membuat keputusan yang bijak, kita mungkin berasa susah untuk melaksanakan keputusan itu. Fikirkan contoh-contoh ini: Seorang saudara muda memutuskan untuk membaca seluruh Bible. Dia membaca Bible dengan tetap selama beberapa minggu, tetapi kemudian dia berhenti. Seorang saudari memutuskan untuk menjadi perintis biasa, tetapi dia asyik menangguhkan tarikh untuk memulakannya. Badan penatua memutuskan untuk melakukan lebih banyak kunjungan penggembalaan, tetapi berbulan-bulan kemudian, mereka masih belum bertindak. Ketiga-tiga contoh itu mempunyai satu persamaan: Keputusan yang dibuat tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya. Hal yang sama pernah terjadi kepada orang Kristian abad pertama di Korintus. Marilah kita bincangkan cabaran mereka.

3. Apakah keputusan yang dibuat oleh orang Kristian di Korintus, tetapi apakah yang terjadi?

3 Sekitar tahun 55 M, sidang di Korintus telah membuat satu keputusan yang penting. Sidang itu mendengar bahawa rakan seiman di Yerusalem dan Yudea hidup susah dan miskin, dan bahawa sidang-sidang lain sedang mengumpulkan sumbangan untuk membantu mereka. Sidang di Korintus yang baik hati dan murah hati telah memutuskan untuk menghulurkan bantuan, maka mereka bertanya kepada Rasul Paulus tentang  cara untuk membantu. Setelah memberitahu mereka caranya, Paulus melantik Titus untuk mengumpulkan sumbangan mereka. (1 Kor. 16:1; 2 Kor. 8:6) Namun, beberapa bulan kemudian, Paulus mendapati bahawa sumbangan yang hendak diberikan itu belum tersedia. Nampaknya sumbangan mereka tidak sempat dihantar ke Yerusalem bersama sumbangan daripada sidang-sidang lain.​—2 Kor. 9:4, 5.

4. Seperti yang dinyatakan di 2 Korintus 8:7, 10, 11, Paulus menggalakkan sidang Korintus untuk melakukan apa?

4 Sidang di Korintus memang membuat keputusan yang bagus, dan Paulus telah memuji mereka atas iman dan kemurahan hati mereka. Tetapi dia juga perlu menggalakkan mereka agar menyelesaikan apa yang telah dimulakan. (Baca 2 Korintus 8:7, 10, 11.) Contoh mereka mengajar kita bahawa orang Kristian yang setia pun mungkin berasa susah untuk melaksanakan keputusan yang baik.

5. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

5 Seperti sidang di Korintus, kita mungkin berasa susah untuk melaksanakan keputusan kita. Mengapa? Kita tidak sempurna dan cenderung menunda-nunda. Selain itu, kejadian yang tidak terduga mungkin menghalang kita daripada bertindak. (Pkh. 9:11; Rm. 7:18) Apakah langkah yang dapat diambil jika kita perlu menilai semula keputusan yang pernah dibuat? Bagaimanakah kita dapat menentukan sama ada keputusan itu perlu diubah atau tidak? Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kita menyelesaikan apa yang telah kita mulakan?

SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN

6. Mengapakah kita mungkin perlu mengubah keputusan yang dibuat?

6 Sesetengah keputusan yang penting tidak akan diubah. Contohnya, kita akan tetap menyembah Yehuwa, dan kita akan tetap setia kepada pasangan hidup. (Mat. 16:24; 19:6) Namun, terdapat keputusan yang mungkin perlu diubah. Mengapa? Kerana situasi kita berubah. Jika hal itu terjadi, apakah yang dapat kita lakukan?

7. Apakah yang harus kita minta daripada Yehuwa, dan mengapa?

7 Berdoa memohon kebijaksanaan. Di bawah ilham Yehuwa, Yakobus menulis, “Jika ada sesiapa antara kamu yang kurang bijaksana, hendaklah dia terus meminta kebijaksanaan daripada Tuhan. . . . Tuhan akan menunaikan permintaannya.” (Yak. 1:5) Kita semua memerlukan kebijaksanaan. Maka, mintalah bantuan Yehuwa semasa membuat keputusan dan semasa menilai semula keputusan yang telah dibuat. Dengan itu, Yehuwa akan membantu kita membuat pilihan yang bijak.

8. Apakah penyelidikan yang harus kita lakukan sebelum membuat keputusan?

8 Buat penyelidikan dengan teliti. Kajilah Firman Tuhan dan bahan bacaan organisasi Yehuwa, dan mintalah nasihat daripada orang yang dapat dipercayai. (Ams. 20:18) Langkah ini amat penting sebelum kita memutuskan untuk menukar pekerjaan, berpindah, atau memilih kursus yang akan membolehkan kita menyembah Yehuwa dan menyara kehidupan sendiri.

9. Apakah manfaatnya jika kita jujur dengan diri sendiri?

9 Periksa niat hati anda. Niat kita penting bagi Yehuwa. (Ams. 16:2) Dia ingin kita sentiasa jujur, maka semasa membuat keputusan, kita harus jujur dengan diri sendiri dan dengan orang lain. Jika tidak, kita mungkin akan berasa susah untuk melaksanakan keputusan kita. Contohnya, seorang saudara muda memutuskan untuk menjadi perintis biasa. Namun, beberapa lama kemudian, dia tidak dapat memenuhi jumlah masa yang ditentukan, dan dia tidak lagi menikmati khidmat perintis. Saudara itu mungkin fikir bahawa dia merintis kerana berniat untuk menggembirakan Yehuwa. Namun, mungkinkah  dia sebenarnya berniat untuk menggembirakan ibu bapanya atau orang lain?

10. Apakah yang diperlukan untuk membuat perubahan?

10 Fikirkan contoh seorang pelajar Bible yang memutuskan untuk berhenti merokok. Pada mulanya dia tidak merokok selama seminggu dua, tetapi kemudiannya dia merokok lagi. Meskipun begitu, dia berjaya membuang tabiat buruk itu pada akhirnya. Mengapa? Kerana dia mengasihi Yehuwa dan ingin menyenangkan hati-Nya.​—Kol. 1:10; 3:23.

11. Mengapakah kita perlu menetapkan langkah yang spesifik?

11 Tetapkan langkah-langkahnya. Jika anda menentukan dengan jelas langkah-langkah yang perlu diambil, anda dapat menyelesaikan apa yang telah anda mulakan. Misalnya, anda mungkin sudah memutuskan untuk membaca Bible dengan lebih kerap. Tetapi jika anda tidak mempunyai jadual yang spesifik, matlamat anda mungkin tidak akan tercapai. * Atau para penatua mungkin memutuskan untuk membuat lebih banyak kunjungan penggembalaan, tetapi setelah sekian lama, mereka masih belum bertindak. Jika begitu, mereka dapat memikirkan soalan-soalan ini: “Sudahkah kami menyenaraikan nama saudara saudari yang perlu dikunjungi? Sudahkah kami tetapkan masa untuk melawat mereka?”

12. Apakah yang mungkin perlu kita lakukan? Mengapa?

12 Berpandangan realistik. Hakikatnya, tiada orang yang mempunyai masa, tenaga, atau kemampuan untuk melakukan semua perkara yang diingini. Maka, kita harus munasabah dan berpandangan realistik. Hal ini bererti bahawa ada kalanya, kita perlu mengubah keputusan yang tidak mampu kita laksanakan. (Pkh. 3:6) Namun, katakan anda sudah menilai semula keputusan anda, membuat perubahan yang diperlukan, dan anda berasa bahawa anda dapat melaksanakannya. Apakah yang dapat anda lakukan? Perhatikan lima langkah berikut.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MELAKSANAKAN KEPUTUSAN ANDA

13. Bagaimanakah anda dapat memperoleh kekuatan untuk melaksanakan keputusan anda?

13 Berdoa memohon kekuatan untuk bertindak. Tuhan dapat memberi anda “kekuatan untuk bertindak” dan melaksanakan keputusan anda. (Flp. 2:13) Jadi, mintalah kuasa suci Yehuwa, dan teruslah berdoa biarpun permintaan anda nampaknya belum dijawab. Yesus berkata, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerima [kuasa suci Tuhan].”​—Luk. 11:9, 13.

14. Bagaimanakah prinsip di Amsal 21:5 dapat membantu anda melaksanakan keputusan anda?

14 Buat rancangan. (Baca Amsal 21:5.) Untuk menyiapkan apa-apa projek yang telah anda mulakan, anda perlu membuat rancangan dan bertindak mengikut rancangan itu. Begitu juga, setelah membuat keputusan, senaraikan langkah-langkah yang hendak anda ambil untuk melaksanakan keputusan itu. Jika anda membahagikan sebuah tugas yang besar kepada beberapa peringkat yang kecil, anda dapat melihat kemajuan sendiri dengan lebih mudah. Contohnya, Paulus menggalakkan sidang di Korintus untuk menyimpan sedikit wang “pada hari pertama setiap minggu” dan bukannya menunggu sehingga dia tiba. (1 Kor. 16:2) Selain itu, jika anda membahagikan sebuah tugas yang besar kepada beberapa peringkat yang kecil, anda akan berasa lebih mudah untuk melaksanakannya.

15. Setelah membuat rancangan, apakah yang dapat anda lakukan?

15 Jika anda menuliskan rancangan sendiri dengan jelas, hal itu dapat membantu anda melaksanakan keputusan anda. (1 Kor. 14:40)  Sebagai contoh, badan penatua disuruh menugaskan seorang penatua untuk mencatatkan semua keputusan badan penatua, termasuk siapa yang akan melaksanakannya dan tarikh untuk menyiapkannya. Penatua-penatua yang mengikut arahan itu dapat melaksanakan keputusan mereka dengan lebih mudah. (1 Kor. 9:26) Anda juga boleh berbuat demikian untuk hal-hal peribadi. Misalnya, buatlah satu senarai tugas harian dan tuliskan hal-hal yang ingin anda lakukan menurut urutan. Dengan itu, anda bukan sahaja dapat menyelesaikan apa yang telah anda mulakan, tetapi juga melakukannya dengan lebih cekap.

16. Apakah yang diperlukan untuk melaksanakan keputusan anda? Bagaimanakah Roma 12:11 menekankan hal ini?

16 Curahkan usaha. Anda perlu berusaha untuk mengikut rancangan anda dan menyelesaikan apa yang telah anda mulakan. (Baca Roma 12:11.) Paulus menasihati Timotius agar ‘terus mencurahkan usaha’ untuk menjadi pengajar yang lebih mahir dan berbuat demikian “dengan tekun.” Nasihat itu juga sesuai untuk matlamat rohani yang lain.​—1 Tim. 4:13, 16.

17. Semasa bertindak untuk melaksanakan keputusan kita, bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat di Efesus 5:15, 16?

17 Urus masa anda dengan bijak. (Baca Efesus 5:15, 16.) Tetapkan masa untuk bertindak, dan ikutlah jadual yang telah ditetapkan. Janganlah menunggu waktu yang sempurna, kerana waktu itu tidak akan datang. (Pkh. 11:4) Berhati-hatilah agar hal yang remeh tidak mencuri masa dan tenaga yang diperlukan untuk hal-hal yang lebih penting. (Flp. 1:10) Seboleh-bolehnya, pilihlah masa yang paling sedikit gangguan untuk bertindak. Beritahulah orang lain bahawa anda perlu berfokus pada masa itu. Anda juga boleh mematikan telefon bimbit dan memeriksa e-mel atau menggunakan media sosial pada waktu yang lain. *

18-19. Semasa menghadapi halangan, apakah yang dapat membantu anda agar tidak berputus asa?

18 Bertumpu kepada hasilnya. Hasil daripada keputusan anda adalah seperti destinasi dalam perjalanan. Jika anda benar-benar ingin sampai ke destinasi, anda akan terus berusaha dan mencari jalan lain biarpun jalan utama sudah ditutup. Begitu juga, jika kita berfokus kepada hasil daripada keputusan kita, kita tidak akan cepat putus asa biarpun menghadapi halangan.​—Gal. 6:9.

19 Memang tidak mudah untuk membuat dan melaksanakan keputusan yang baik. Namun, Yehuwa dapat memberi anda kebijaksanaan dan kekuatan yang diperlukan untuk menyelesaikan apa yang telah anda mulakan.

LAGU 65 Maralah ke Depan!

^ per. 5 Adakah anda menyesali sesetengah keputusan yang pernah anda buat? Atau adakah anda berasa susah untuk membuat keputusan yang baik dan melaksanakannya? Rencana ini akan membantu anda menghadapi cabaran-cabaran itu dan menyelesaikan apa yang telah anda mulakan.

^ per. 11 Anda boleh menggunakan “Jadual untuk Pembacaan Bible” di jw.org® semasa merancang pembacaan Bible anda.

^ per. 17 Lihat cadangan-cadangan lain untuk mengurus masa dalam rencana 20 Cara Menciptakan Lebih Banyak Waktudalam Sedarlah! bahasa Indonesia terbitan April 2010.