Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Tolaklah Fikiran Duniawi

Tolaklah Fikiran Duniawi

‘Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu dengan falsafah dan tipu daya kosong dunia.’​—KOL. 2:8.

LAGU: 38, 31

1. Apakah nasihat yang diberikan Rasul Paulus kepada orang Kristian? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

RASUL PAULUS menulis suratnya kepada sidang di Kolose sekitar tahun 60-61 M, semasa dia dipenjarakan di Roma. Selepas Paulus menyebut tentang pentingnya “pemahaman rohani,” dia menyatakan, “Aku berkata demikian supaya tidak ada seorang pun yang akan memperdayakan kamu dengan kata-kata yang licik. Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu dengan falsafah dan tipu daya kosong yang berdasarkan adat istiadat manusia, yang berdasarkan perkara-perkara asas dalam dunia, dan yang tidak berdasarkan ajaran Kristus.” (Kol. 1:9; 2:4, 8) Kemudian, Paulus menjelaskan sebabnya sesetengah fikiran yang popular itu salah tetapi digemari manusia yang tidak sempurna. Contohnya, fikiran sedemikian akan membuat seseorang berasa dirinya bijak atau lebih hebat daripada orang lain. Maka Paulus ingin membantu rakan seimannya menolak fikiran dan amalan duniawi.​—Kol 2:16, 17, 23.

2. Mengapakah kita perlu membincangkan contoh-contoh fikiran duniawi?

2 Fikiran duniawi mengetepikan bimbingan Yehuwa dan dapat melemahkan iman kita secara beransur-ansur. Hari ini, kita semua terdedah kepada fikiran duniawi, sama ada di televisyen,  Internet, tempat kerja, atau sekolah. Rencana ini akan membincangkan apa yang dapat dilakukan supaya fikiran sedemikian tidak merosakkan minda kita. Mari kita lihat lima contoh fikiran duniawi dan cara untuk menolak fikiran sebegitu.

PATUTKAH KITA PERCAYA KEPADA TUHAN?

3. Apakah fikiran yang disukai ramai orang? Mengapa?

3 “Saya dapat jadi orang yang baik tanpa percaya kepada Tuhan.” Ramai orang di banyak negara tidak mempunyai agama dan tidak percaya Tuhan wujud. Mereka mungkin tidak pernah berfikir panjang tentang soal kewujudan Tuhan, tetapi mereka suka idea bahawa mereka bebas untuk bertindak sesuka hati. (Baca Mazmur 10:4.) Ada yang berasa diri mereka bijak semasa berkata, “Tanpa Tuhan, saya masih dapat jadi orang yang berprinsip.”

4. Bagaimanakah kita dapat membantu seseorang yang percaya bahawa Pencipta tidak wujud?

4 Adakah logik untuk percaya bahawa Pencipta tidak wujud? Seseorang yang mencari jawapannya melalui sains mungkin berasa keliru semasa melihat lautan maklumat yang ada. Tetapi sebenarnya, jawapannya mudah sahaja. Jika bangunan perlu pembina, apatah lagi benda hidup! Sel-sel yang paling ringkas di bumi pun lebih kompleks daripada mana-mana rumah. Sel dapat menyimpan dan menyalin maklumat untuk menghasilkan sel baharu, tetapi rumah tidak mungkin berbuat demikian. Siapakah yang memberi sel kebolehan sebegini? Bible menjawab, “Setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.”​—Ibr. 3:4.

5. Adakah wajar untuk berfikir bahawa manusia dapat mengetahui apa yang baik tanpa percaya kepada Tuhan? Jelaskan.

5 Bagaimana pula dengan fikiran bahawa seseorang dapat mengetahui apa yang baik tanpa percaya kepada Tuhan? Bible mengakui bahawa orang yang tidak percaya kepada-Nya juga berpegang pada prinsip yang baik. (Rm. 2:14, 15) Misalnya, mereka menghormati dan mengasihi ibu bapa. Namun, jika seseorang tidak mengakui bahawa Pencipta kita berhak menentukan apa yang betul dan salah, adakah piawaian moralnya akan selalu teguh? (Yes. 33:22, 23) Banyak orang yang pintar mengakui bahawa manusia memerlukan bantuan Tuhan untuk menyelesaikan pelbagai masalah dunia. (Baca Yeremia 10:23.) Maka, janganlah tergoda untuk berfikir bahawa seseorang mampu mengetahui apa yang baik tanpa mempercayai Tuhan dan mematuhi piawaian-Nya.​—Mzm. 146:3.

PERLUKAH KITA MEMPUNYAI AGAMA?

6. Apakah pandangan banyak orang terhadap agama?

6 “Anda dapat hidup bahagia tanpa agama.” Banyak orang tertarik kepada fikiran duniawi tersebut kerana mereka berasa agama itu membosankan dan tidak masuk akal. Ramai pemimpin agama menyebabkan orang menjauhi Tuhan kerana mereka mengajarkan api neraka, mewajibkan derma, atau terlibat dalam politik. Maka, tidak hairanlah semakin ramai orang berasa bahawa mereka dapat hidup bahagia tanpa agama! Mereka mungkin berkata, “Saya minat tentang hal rohani, tetapi saya tidak mahu ikut apa-apa agama.”

7. Bagaimanakah agama yang sejati membawa kebahagiaan?

7 Benarkah manusia dapat bahagia tanpa agama? Kita memang akan bahagia tanpa agama palsu, tetapi kita tidak akan mendapat kebahagiaan sejati tanpa hubungan dengan Yehuwa, “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11) Segala yang dilakukan Tuhan  adalah untuk kebaikan orang lain. Contohnya, melalui ibadat sejati, Dia mengajar kita untuk mengasihi dan menghormati pasangan hidup, memandang serius ikrar perkahwinan, menjauhi perzinaan, mengajar anak bersikap hormat, dan menunjukkan kasih sejati. Semua itu menghasilkan keluarga, sidang, dan persaudaraan sedunia yang bahagia dan bersatu padu. Apabila kita meniru Yehuwa dan berusaha membantu orang, kita juga akan berasa bahagia.​—Baca Yesaya 65:13, 14; Kis. 20:35.

8. Bagaimanakah kita dapat menggunakan Matius 5:3 untuk menjelaskan apa yang membuat orang bahagia?

8 Bagaimana pula dengan fikiran bahawa seseorang dapat bahagia tanpa menyembah Tuhan? Cuba fikirkan: Apakah yang membuat orang bahagia? Sesetengah orang mencari kepuasan melalui kerjaya, sukan, hobi, atau dengan menjaga keluarga dan sahabat. Semua kegiatan itu menggembirakan hati, tetapi kehidupan kita mempunyai tujuan yang lebih luhur. Tidak seperti binatang, kita diciptakan dengan keinginan untuk mengenal Pencipta kita dan menyembah-Nya dengan setia. Apabila kita memenuhi keinginan itu, kita akan merasai kebahagiaan yang kekal. (Baca Matius 5:3.) Contohnya, apabila umat Yehuwa berkumpul untuk menyembah-Nya, mereka sangat bersukacita dan digalakkan. (Mzm. 133:1) Mereka juga bahagia kerana dapat menganggotai persaudaraan yang bersatu padu, menikmati gaya hidup yang sihat, dan memiliki harapan yang cerah.

PERLUKAH KITA MEMPUNYAI PIAWAIAN MORAL?

9. (a) Apakah pandangan banyak orang terhadap seks? (b) Mengapakah Firman Tuhan melarang hubungan seks luar nikah?

9 “Apa salahnya hubungan seks luar nikah?” Ada orang mungkin berkata, “Nikmatilah hidupmu! Apa salahnya hubungan seks luar nikah?” Mengapakah perbuatan seks yang tidak bermoral itu salah? Kerana Firman Tuhan melarangnya. * (Baca 1 Tesalonika 4:3-8.) Sebagai Pencipta, Yehuwa berhak menetapkan hukum bagi kita. Hukum Tuhan yang hanya membenarkan seks antara suami isteri merupakan sebahagian daripada aturan perkahwinan. Hukum Tuhan adalah untuk kebaikan kita dan mencerminkan kasih-Nya. Jika semua ahli keluarga mematuhi Tuhan, mereka akan berasa selamat. Mereka juga akan lebih mengasihi dan menghormati satu sama lain. Namun, mereka yang sengaja melanggar perintah-Nya akan dihukum.​—Ibr. 13:4.

10. Bagaimanakah orang Kristian dapat menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral?

10 Firman Tuhan mengajar kita cara menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral. Satu cara yang penting adalah dengan menjaga mata kita. Yesus berkata, “Sesiapa yang terus memandang seorang wanita dengan perasaan berahi sudah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kanan kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu.” (Mat. 5:28, 29) Maka, orang Kristian tidak akan melihat pornografi atau mendengar lagu lucah. Rasul Paulus menulis, “Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral.” (Kol. 3:5) Untuk menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral, kita juga perlu mengawal fikiran dan kata-kata kita.​—Ef. 5:3-5.

 PATUTKAH KITA MENGEJAR KERJAYA SEKULAR?

11. Mengapakah kita mungkin mula terfikir untuk mengejar kerjaya sekular?

11 “Kerjaya yang baik ialah kunci kebahagiaan.” Banyak orang menggesa kita untuk mengejar kerjaya sekular supaya kita menjadi kaya, masyhur, dan berpengaruh. Memandangkan itulah matlamat hidup kebanyakan orang, fikiran sedemikian mungkin mempengaruhi orang Kristian.

12. Adakah kerjaya yang baik kunci kebahagiaan?

12 Adakah kerjaya yang menjadikan kita berpengaruh dan masyhur benar-benar membawa kebahagiaan yang kekal? Tidak. Ingatlah, Syaitan juga ingin menguasai orang lain dan disanjung tinggi, tetapi adakah dia bahagia? Tidak. Sebaliknya Bible menyatakan bahawa dia sangat marah. (Mat. 4:8, 9; Why. 12:12) Namun, apabila kita membantu orang mengenali kebijaksanaan Tuhan dan meraih hidup abadi, kita akan merasakan sukacita yang kekal, yang tidak mungkin diraih daripada kerjaya sekular. Selain itu, semangat persaingan dunia membuat orang berlumba-lumba dan iri hati terhadap satu sama lain. Tetapi akhirnya, jerih payah mereka seperti “mengejar angin” sahaja.​—Pkh. 4:4.

13. (a) Bagaimanakah kita patut memandang kerja sekular? (b) Menurut surat Paulus kepada sidang di Tesalonika, apakah yang memberinya sukacita yang besar?

13 Kita perlu cari makan, dan tiada salahnya menceburi kerja yang kita sukai. Namun, kerja sekular tidak patut menjadi keutamaan hidup kita. Yesus berkata, ‘Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.’ (Mat. 6:24) Jika kita mengutamakan khidmat Yehuwa dan mengajar orang Firman-Nya, kita akan sangat bersukacita. Itulah pengalaman Paulus. Dia berpeluang menjadi orang yang terkemuka dalam agama Yahudi, tetapi apabila dia membantu orang menjadi murid Yesus dan melihat mesej Tuhan mengubah hidup mereka, dia mendapat kebahagiaan sejati. (Baca 1 Tesalonika 2:13, 19, 20.) Tiada kerjaya lain yang dapat membawa kepuasan sebegitu.

Kita meraih sukacita yang kekal dengan membantu orang memanfaatkan kebijaksanaan Tuhan (Lihat perenggan 12, 13)

 DAPATKAH KITA MENYELESAIKAN MASALAH MANUSIA?

14. Mengapakah orang suka idea bahawa manusia mampu menyelesaikan masalah sendiri?

14 “Manusia mampu menyelesaikan masalah sendiri.” Banyak orang suka fikiran duniawi ini. Mengapa? Jika fikiran itu benar, manusia tidak perlu dibimbing Tuhan dan dapat bertindak sesuka hati. Fikiran itu nampaknya berasas, kerana menurut sesetengah kajian, peperangan, jenayah, penyakit, dan kemiskinan sedang berkurang. Satu laporan menyatakan, “Keadaan manusia semakin baik kerana kita memutuskan untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.” Dapatkah manusia menyelesaikan masalah dunia yang wujud selama ini? Mari kita meneliti hakikatnya.

15. Apakah yang menunjukkan bahawa masalah manusia amat teruk?

15 Peperangan: Dua perang dunia yang lalu telah meragut lebih daripada 60 juta nyawa. Namun, manusia masih tidak berhenti berperang. Sehingga tahun 2015, terdapat sebanyak 65 juta orang di serata dunia yang tinggal di tempat lain kerana peperangan atau penindasan. Pada tahun 2015 sahaja, sekitar 12.4 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka. Jenayah: Meskipun sesetengah jenayah telah berkurang, jenayah siber, keganasan rumah tangga, terorisme, dan rasuah meningkat secara mendadak. Penyakit: Sesetengah penyakit dapat diubati, tetapi menurut sebuah laporan pada tahun 2013, setiap tahun, sembilan juta orang yang berumur di bawah 60 tahun meninggal akibat masalah jantung, strok, kanser, masalah pernafasan, dan diabetes. Kemiskinan: Menurut Bank Dunia, di Afrika sahaja, jumlah orang yang hidup melarat telah meningkat dari 280 juta orang pada tahun 1990 hingga 330 juta orang pada tahun 2012.

16. (a) Mengapakah hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan masalah manusia? (b) Menurut Yesaya dan pemazmur, apakah berkat yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan?

16 Sistem ekonomi dan politik sekarang dikuasai orang yang mementingkan diri. Sudah pasti mereka tidak dapat melenyapkan peperangan, jenayah, penyakit, dan kemiskinan. Hanya Kerajaan Tuhan yang dapat melakukan semua itu. Fikirkan apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa untuk manusia. Peperangan: Kerajaan Tuhan akan melenyapkan penyebab peperangan, seperti sikap mementingkan diri, rasuah, semangat patriotik, agama palsu, dan Syaitan. (Mzm. 46:9, 10) Jenayah: Kerajaan Tuhan sudah mengajar jutaan orang untuk saling mempercayai dan mengasihi. Tiada kerajaan lain yang mampu berbuat demikian. (Yes. 11:9) Penyakit: Yehuwa akan memberi umat-Nya kesihatan yang sempurna. (Yes. 35:5, 6) Kemiskinan: Yehuwa akan membolehkan umat-Nya hidup makmur secara fizikal dan rohani. Bukankah itu lebih bernilai daripada harta benda?​—Mzm. 72:12, 13.

HENDAKLAH ANDA TAHU CARA UNTUK MENJAWAB

17. Bagaimanakah anda dapat menolak fikiran duniawi?

17 Jika anda terdengar fikiran duniawi yang menguji iman anda, selidikilah ajaran Bible tentang topik itu dan bincangkannya dengan rakan seiman yang berpengalaman. Renungkan sebabnya fikiran itu kedengaran menarik, sebabnya fikiran itu salah, dan cara untuk menolaknya. Ya, kita dapat melindungi diri daripada fikiran duniawi dengan mematuhi nasihat Paulus kepada sidang di Kolose: ‘Teruslah hidup dengan bijaksana dalam hubungan kamu dengan mereka yang bukan sebahagian daripada sidang. Hendaklah kamu tahu cara untuk menjawab setiap orang.’​—Kol. 4:5, 6.

^ per. 9 Banyak orang tidak sedar bahawa teks di Yohanes 7:53–8:11 dalam sesetengah Bible bukan sebahagian daripada teks asal dan merupakan ayat tambahan. Sebilangan orang menggunakan ayat-ayat itu untuk menyatakan bahawa hanya orang yang bebas daripada dosa dapat menghakimi orang yang berzina. Tetapi Hukum Musa menyatakan, “Jika seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan isteri orang lain, kedua-dua mereka mesti dihukum mati.”​—Ul. 22:22.