SETELAH berpindah ke sidang yang terletak kira-kira 1,400 km dari rumahnya, Allen * berkata, “Saya berasa gementar. Saya tidak pasti saya akan diterima atau mendapat kawan di sini.”

Jika anda berpindah ke sidang baharu, anda juga mungkin berasa gementar. Apakah yang dapat membantu anda menyesuaikan diri? Apakah yang dapat dilakukan jika penyesuaian itu lebih susah daripada jangkaan anda? Jika ada orang berpindah ke sidang anda, bagaimanakah anda dapat membantu mereka menyesuaikan diri?

CARA MENYESUAIKAN DIRI DAN BERKEMBANG MAJU

Biasanya, pokok yang dipindahkan akan mengalami “stres.” Banyak akarnya akan dikerat agar pokok itu mudah diangkut. Setelah dipindahkan, pokok itu perlu segera menumbuhkan akar baharu. Begitu juga, semasa berpindah ke sidang lain, anda akan berasa stres, kerana anda sudah “berakar” dalam persahabatan dan rutin rohani di sidang lama. Kini, anda perlu menumbuhkan “akar” baharu agar dapat maju dalam persekitaran baharu. Apakah yang dapat membantu anda? Mari kita lihat beberapa prinsip Bible yang berguna.

Orang yang selalu membaca Firman Tuhan akan “berjaya dalam segala usaha; mereka seperti pokok yang ditanam di tepi sungai yang berbuah pada musimnya, dan tidak pernah layu daunnya.”​Mzm. 1:1-3.

Sebagaimana pokok perlu sentiasa mendapat air untuk bertumbuh subur, orang Kristian perlu menyantap Firman Tuhan secara tetap untuk kuat secara rohani. Maka, bacalah Bible setiap hari dan hadirilah perjumpaan dengan tetap. Teruskan tabiat penyembahan keluarga dan pembelajaran peribadi. Semua bekalan rohani yang anda perlukan dahulu, juga anda perlukan sekarang.

“Orang yang suka menolong akan ditolong juga.”​Ams. 11:25.

Anda akan disegarkan dan lebih cepat menyesuaikan diri dengan bergiat dalam kerja penyebaran. Kevin, seorang penatua, berkata, “Kami terus menjadi perintis sokongan selepas berpindah. Hasilnya, kami dapat mengenal saudara saudari, para perintis, dan kawasan penyebaran, dalam masa yang singkat.” Roger yang telah berpindah lebih daripada 1,600 km ke sidang baharunya berkata, “Cara terbaik untuk menyesuaikan diri adalah dengan menginjil sekerap mungkin. Selain itu, beritahulah para penatua bahawa anda sudi membantu, sama ada membersihkan Dewan Perjumpaan, menggantikan tugasan orang lain, atau menyediakan pengangkutan. Apabila saudara saudari nampak bahawa anda rela membuat pengorbanan, mereka akan senang berkawan dengan anda.”

“Bukalah hati kamu lebar-lebar.”​2 Kor. 6:13.

Luaskanlah kasih anda. Setelah Melissa dan keluarganya berpindah ke sidang baharu, mereka berusaha menjalin persahabatan baharu. “Kami luangkan masa untuk bergaul dengan orang sebelum dan selepas perjumpaan,” kata Melissa. “Dengan itu, perbualan kami tidak terhad kepada salam sahaja.” Usaha itu juga membantu keluarganya mengingat nama saudara saudari dengan lebih  cepat. Selain itu, mereka menjemput saudara saudari ke rumah. Hasilnya, persahabatan baharu mereka telah bertambah erat. Melissa menambah, “Kami saling bertukar nombor telefon, supaya saudara saudari mudah hubungi kami dan jemput kami menyertai kegiatan rohani atau aktiviti lain.”

Jika anda kurang selesa bersuai kenal dengan orang baharu, ambilah langkah-langkah kecil dahulu. Contohnya, cubalah senyum, biarpun anda keberatan. Senyuman akan membuat anda mudah didekati, kerana “wajah gembira meriangkan hati.” (Ams. 15:30) Rachel telah pindah ke tempat yang jauh dari kawasan dia membesar. Dia berkata, “Saya memang pemalu. Kadang-kadang saya perlu paksa diri untuk bercakap kepada orang di sidang baharu. Saya cari mereka yang duduk diam, kerana mereka mungkin pemalu seperti saya.” Bagaimana pula dengan anda? Tetapkanlah matlamat untuk berbual dengan orang baharu sebelum atau selepas setiap perjumpaan.

Selama beberapa minggu yang pertama, anda mungkin sangat teruja untuk mengenali kawan-kawan baharu. Namun, perasaan itu mungkin beransur-ansur pudar. Jika demikian, berusahalah untuk terus menjalin persahabatan baharu.

Pokok yang dipindahkan akan mengalami “stres,” tetapi akan menumbuhkan akar lagi di lokasi baharu

MASA DIPERLUKAN UNTUK MENYESUAIKAN DIRI

Sesetengah pokok mengambil lebih banyak masa untuk berakar di tempat baharu. Begitu juga, setiap orang memerlukan jangka masa yang berbeza untuk menyesuaikan diri. Jika anda masih berasa tidak biasa setelah berpindah beberapa lama kemudian, prinsip-prinsip berikut dapat membantu:

“Teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.”​Gal. 6:9.

Anda mungkin perlu lebih banyak masa daripada yang dijangkakan. Contohnya, banyak mubaligh dari Gilead tinggal di tempat mereka ditugaskan selama beberapa tahun sebelum melawat ke negara asal mereka. Dengan itu, mereka dapat lebih mengenali saudara saudari dan budaya tempatan.

Alejandro pernah berpindah beberapa kali, dan dia tahu proses menyesuaikan diri memerlukan masa. Dia berkata, “Kali terakhir kami berpindah, isteri saya kata, ‘Kawan saya semuanya di sidang lama!’” Alejandro mengingatkan isterinya bahawa dia pernah mengatakan hal yang sama semasa mereka berpindah ke sidang itu dua tahun lalu. Namun, oleh sebab isterinya mengambil berat terhadap orang lain, orang baharu di situ telah menjadi kawan karibnya.

“Jangan sekali-kali bertanya, ‘Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?’”​Pkh. 7:10.

Elakkan daripada membuat perbandingan. Rakan seiman di sidang baharu mungkin lebih pemalu atau periang berbanding sidang dahulu. Berfokuslah kepada sifat positif mereka, kerana anda tentu ingin mereka berbuat demikian kepada anda. Sesetengah orang yang berpindah mendapati bahawa perubahan itu mendorong mereka untuk menanya diri sendiri, “Adakah saya benar-benar mengasihi ‘semua saudara seiman’?”​—1 Ptr. 2:17.

 “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya.”​Luk. 11:9.

Teruslah memohon bantuan Yehuwa. “Janganlah menghadapinya seorang diri. Ada banyak perkara yang hanya dapat dilakukan dengan bantuan Yehuwa. Maka, berdoalah!” kata David, seorang penatua. Rachel yang disebut tadi berkata, “Jika saya dan suami berasa kurang rapat dengan sidang, kami berdoa kepada Yehuwa, ‘Beritahulah kami jika ada apa-apa yang membuat orang lain susah mendekati kami.’ Kemudian, kami cuba meluangkan lebih banyak masa bersama saudara saudari.”

Ibu bapa, jika anak anda berasa susah untuk menyesuaikan diri, berdoalah bersama mereka tentang hal itu. Aturkan aktiviti yang akan memberi mereka peluang untuk bergaul dan menjalin persahabatan baharu.

BANTU ORANG BAHARU MENYESUAIKAN DIRI

Bagaimanakah anda dapat membantu orang yang baru berpindah ke sidang anda? Berusahalah untuk menjadi sahabat sejati dari mula lagi. Bayangkan hal-hal yang akan anda hargai jika anda ialah mereka, dan lakukanlah perkara itu untuk mereka. (Mat. 7:12) Dapatkah mereka mengikuti penyembahan keluarga anda atau menonton Siaran JW bersama anda? Dapatkah anda menjemput mereka untuk menginjil bersama anda? Jika anda mengundang mereka untuk makan bersama, mereka akan sentiasa mengingati kemurahan hati anda. Apakah bantuan lain yang dapat anda berikan?

“Semasa kami tiba di sidang baharu,” kata Carlos, “seorang saudari memberi kami senarai kedai yang harganya berpatutan. Itu sangat membantu.” Rakan seiman yang berasal dari lokasi yang iklimnya berbeza juga menghargai maklumat tentang cara pakaian semasa cuaca panas, sejuk, atau hujan. Anda juga boleh menjelaskan sejarah atau kepercayaan tempatan supaya mereka tahu cara untuk menginjil dengan lebih efektif.

USAHA YANG AMAT BERBALOI

Allen yang disebut tadi sudah berkhidmat lebih daripada setahun di sidang baharu. Dia berkata, “Mula-mulanya, saya perlu berusaha untuk mengenali saudara saudari. Tetapi sekarang mereka seperti keluarga saya, dan saya berasa gembira.” Allen sedar bahawa apabila dia berpindah, dia tidak kehilangan kawan. Sebaliknya, dia telah mendapat kawan-kawan baharu yang akan menjadi sahabatnya seumur hidup.

^ per. 2 Sesetengah nama telah diubah.