Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Janganlah Kehilangan Hadiah Anda

Janganlah Kehilangan Hadiah Anda

“Janganlah biarkan sesiapa pun menyebabkan kamu tidak dapat menerima hadiah kamu.”​—KOL. 2:18.

LAGU: 122, 139

1, 2. (a) Apakah hadiah yang dinanti-nantikan oleh hamba Tuhan? (b) Apakah yang dapat membantu kita agar terus bertumpu kepada hadiah itu? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SEPERTI Rasul Paulus, orang Kristian terurap berpeluang mendapat hadiah berupa “kehidupan di syurga.” (Flp. 3:14) Mereka menantikan masanya untuk memerintah bersama Yesus Kristus dalam Kerajaan Tuhan dan membantu manusia menjadi sempurna. (Why. 20:6) Tuhan telah memberi mereka harapan yang cukup istimewa! Biri-biri lain juga menantikan hadiah yang membawa sukacita, iaitu harapan untuk hidup kekal di bumi.​—2 Ptr. 3:13.

2 Untuk membantu kaum terurap tetap setia dan menerima hadiah mereka, Paulus mendesak mereka, “Teruslah memusatkan fikiran kamu pada perkara-perkara di syurga.” (Kol. 3:2) Mereka perlu sentiasa ingat akan harapan mereka di syurga. (Kol. 1:4, 5) Apabila hamba-hamba Tuhan merenungkan berkat yang tersedia bagi mereka, sama ada harapan di syurga atau di bumi, mereka dapat terus bertumpu kepada hadiah itu.​—1 Kor. 9:24.

3. Paulus mengingatkan rakan Kristiannya tentang bahaya apa?

 3 Paulus juga mengingatkan mereka tentang bahaya-bahaya yang akan menyebabkan mereka kehilangan hadiah mereka. Contohnya dia menulis kepada sidang Kolose tentang orang Kristian palsu yang ingin mendapat perkenan Tuhan dengan mentaati Hukum Musa, dan bukannya dengan beriman kepada Yesus. (Kol. 2:16-18) Paulus juga menjelaskan beberapa ancaman yang dapat menyebabkan kita kehilangan hadiah kita. Misalnya, dia menjelaskan cara melawan keinginan yang tidak bermoral, menangani salah faham dengan rakan seiman, dan menghadapi masalah keluarga. Nasihatnya masih berguna untuk kita hari ini. Maka marilah kita mengkaji sesetengah peringatan Paulus dalam suratnya kepada sidang di Kolose.

MATIKAN KEINGINAN YANG TIDAK BERMORAL

4. Mengapakah keinginan yang tidak bermoral dapat meragut hadiah kita?

4 Selepas menyebut tentang harapan yang menantikan rakan seimannya, Paulus menulis, “Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral, kenajisan, hawa nafsu yang tidak terkawal, keinginan yang jahat, dan ketamakan.” (Kol. 3:5) Nafsu yang tidak bermoral sangat kuat dan mampu meragut harta rohani kita. Seorang saudara yang tunduk kepada nafsu itu dan kemudiannya kembali kepada sidang berkata, “Daya tarikannya terlalu kuat. Saya tidak menyedari keadaan saya sehingga sudah terlambat.”

5. Bagaimanakah kita dapat melindungi diri dalam situasi yang berbahaya?

5 Kita harus berwaspada terutamanya semasa menghadapi situasi yang mungkin menggoda kita untuk melanggar piawaian moral Yehuwa. Contohnya, sebaik sahaja satu pasangan mula berpacaran, mereka dinasihatkan untuk menetapkan batas dalam hal menyentuh, bercumbuan, atau berdua-duaan. (Ams. 22:3) Situasi lain yang berbahaya mungkin timbul apabila seorang Kristian perlu membuat lawatan perniagaan ke tempat lain atau bekerja bersama seseorang yang berlawanan jantina. (Ams. 2:10-12, 16) Untuk melindungi diri, perkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, berjaga-jaga terhadap kelakuan sendiri, dan ingat bahawa perbuatan bermain cinta akan mengundang masalah. Semasa kita sedih atau sunyi, kita juga perlu berhati-hati, kerana kita mungkin terlalu mendambakan sokongan emosi sehingga sanggup menerima perhatian daripada sesiapa sahaja. Jika anda berasa demikian, dapatkanlah bantuan Yehuwa dan umat-Nya supaya anda tidak kehilangan hadiah anda.​—Baca Mazmur 34:19; Amsal 13:20.

6. Apakah yang harus kita ingat semasa memilih hiburan?

6 Untuk mematikan keinginan yang tidak bermoral, kita perlu menolak hiburan yang tidak bermoral. Banyak hiburan yang disajikan hari ini mengingatkan kita tentang keadaan di Sodom dan Gomora. (Yud. 7) Dunia hiburan menggambarkan perbuatan yang tidak bermoral sebagai perkara biasa yang tidak membawa padah. Maka, teruslah berwaspada dan janganlah menerima apa sahaja hiburan yang ditawarkan. Pilihlah hiburan yang tidak akan menghalang kita daripada bertumpu kepada hadiah berupa kehidupan.​—Ams. 4:23.

“HENDAKLAH KAMU MENGENAKAN” KASIH DAN KEBAIKAN HATI

7. Apakah masalah yang mungkin berlaku dalam sidang Kristian?

7 Kita amat bersyukur kerana dapat menganggotai sidang Kristian. Kita mengkaji  Firman Tuhan di perjumpaan, dan kita mengasihi, menyokong, dan berbaik hati kepada satu sama lain. Hal itu membantu kita terus bertumpu kepada hadiah kita. Namun, ada kalanya, ketegangan mungkin timbul akibat salah faham. Jika masalah sebegitu tidak diselesaikan, kita mungkin mula menyimpan dendam.​—Baca 1 Petrus 3:8, 9.

8, 9. (a) Sifat-sifat apakah yang dapat membantu kita menerima hadiah berupa kehidupan? (b) Bagaimanakah kita dapat memelihara kedamaian semasa rakan seiman menyinggung perasaan kita?

8 Apakah yang dapat dilakukan supaya perasaan dendam tidak meragut hadiah kita? Paulus menulis, “Hendaklah kamu mengenakan kasih, belas kasihan, kebaikan hati, kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran. Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan hendaklah kamu saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian. Selain daripada hal-hal ini, hendaklah kamu mengenakan kasih, kerana kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.”​—Kol. 3:12-14.

9 Kasih dan kebaikan hati dapat mendorong kita agar sudi mengampuni satu sama lain. Misalnya, jika kata-kata atau tindakan rakan seiman melukai kita, cubalah ingat bagaimana orang lain pernah mengampuni kita ketika kita mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti mereka. Tidakkah kita bersyukur kerana mereka begitu pengasih dan baik hati? (Baca Pengkhutbah 7:21, 22.) Kita juga menghargai kebaikan hati Kristus semasa dia menyatupadukan para penyembah sejati. (Kol. 3:15) Kita menyembah Tuhan yang sama, mengkhabarkan berita yang sama, dan menghadapi banyak cabaran yang sama. Jika kita menunjukkan kebaikan hati dan kasih, kita akan rela memaafkan satu sama lain. Dengan itu, kita menyumbang kepada perpaduan sidang dan dapat terus bertumpu kepada hadiah kita.

10, 11. (a) Mengapakah perasaan cemburu berbahaya? (b) Apakah yang dapat dilakukan supaya perasaan cemburu tidak meragut hadiah kita?

10 Teladan buruk beberapa watak Bible mengingatkan kita bahawa perasaan cemburu dapat meragut hadiah kita. Misalnya, Kain iri hati terhadap adiknya Habel lalu membunuhnya. Korah, Datan, dan Abiram menentang Musa kerana cemburu terhadapnya. Raja Saul iri hati terhadap kejayaan Daud dan ingin membunuhnya. Memang benar apa yang dinyatakan dalam Firman Tuhan: “Di mana ada rasa cemburu dan sikap suka bertengkar, di situ akan berlakunya kekacauan dan bermacam-macam kejahatan.”​—Yak. 3:16.

11 Kasih dan kebaikan hati dapat mencegah perasaan cemburu. Bible menyatakan, “Kasih itu sabar dan baik hati. Kasih tidak cemburu.” (1 Kor. 13:4) Untuk menghalang perasaan cemburu daripada berakar dalam hati, kita mesti berusaha memupuk pandangan Tuhan. Lihatlah saudara saudari kita sebagai anggota satu tubuh, iaitu sidang Kristian. Dengan demikian, kita dapat mengikut nasihat ini: “Jika satu anggota dimuliakan, semua anggota lain turut bersukacita bersamanya.” (1 Kor. 12:16-18, 26) Semasa orang lain menerima berkat, kita akan tumpang gembira, bukannya berasa cemburu. Fikirkan Yonatan, anak Raja Saul. Semasa Daud dipilih sebagai pewaris takhta, dia tidak cemburu, malah menggalakkan Daud. (1 Sam. 23:16-18) Dapatkah kita meniru kasih dan kebaikan hati Yonatan?

 MENERIMA HADIAH ITU BERSAMA KELUARGA

12. Apakah nasihat Bible yang dapat membantu sebuah keluarga memenangi hadiah yang disediakan Tuhan?

12 Keluarga yang menerapkan prinsip Bible dapat hidup damai dan bahagia, dan dibantu untuk memenangi hadiah berupa kehidupan. Apakah nasihat Paulus kepada keluarga Kristian di Kolose? “Hai para isteri, taatilah suami kamu kerana hal ini wajar di mata Tuan kita. Hai para suami, teruslah mengasihi isteri kamu dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka. Hai anak-anak, patuhilah ibu bapa kamu dalam segala perkara kerana hal ini menyenangkan hati Tuan kita. Hai bapa-bapa, janganlah menyakiti hati anak-anak kamu, supaya mereka tidak menjadi tawar hati.” (Kol. 3:18-21) Tidakkah anda setuju bahawa nasihat itu masih berguna untuk suami, isteri, dan anak?

13. Bagaimanakah seorang saudari dapat membantu suaminya yang tidak seiman untuk menjadi penyembah Yehuwa?

13 Bagaimana pula jika anda seorang isteri dan berasa bahawa suami anda yang bukan Saksi tidak melayan anda dengan sepatutnya? Adakah bertengkar dengannya akan membantu? Biarpun dia akhirnya tunduk kepada kemahuan anda, adakah dia akan tertarik kepada kebenaran? Barangkali tidak. Tetapi jika anda menghormati kedudukannya, anda akan menyumbang kepada  kedamaian keluarga, membawa pujian kepada Yehuwa, dan mungkin membantu suami anda menerima ibadat sejati. Ketika itu, anda berdua akan memenangi hadiah itu!​—Baca 1 Petrus 3:1, 2.

14. Apakah yang harus dilakukan seorang saudara jika isterinya yang bukan Saksi tidak menghormatinya?

14 Bagaimana pula jika anda seorang suami dan berasa bahawa isteri anda yang bukan Saksi tidak menghormati anda? Jika anda menengking dia, adakah dia akan terdorong untuk lebih menghormati anda? Pasti tidak! Tuhan mahu anda menjadi ketua yang pengasih seperti Yesus. (Ef. 5:23) Sebagai ketua sidang, Yesus sentiasa sabar dan pengasih. (Luk. 9:46-48) Dengan meniru teladan Yesus, anda mungkin akan membantu isteri anda menerima ibadat sejati.

15. Bagaimanakah seorang saudara menunjukkan bahawa dia mengasihi isterinya?

15 Para suami perlu ‘terus mengasihi isteri dan tidak berlaku kasar terhadap mereka.’ (Kol. 3:19) Suami yang pengasih akan mendengar kata-kata isteri dan menghargai pendapatnya. (1 Ptr. 3:7) Biarpun dia tidak dapat menurut semua permintaan isterinya, dia dapat membuat keputusan yang lebih seimbang setelah berbincang dengan isteri. (Ams. 15:22) Suami yang pengasih tidak akan memaksa isteri untuk menghormatinya. Jika dia menunjukkan kasih kepada isteri dan anak-anaknya, keluarga mereka akan bersukacita dalam khidmat kepada Yehuwa dan memperoleh hadiah berupa kehidupan kekal.

Apakah yang dapat dilakukan supaya masalah keluarga tidak membuat kita kehilangan hadiah berupa kehidupan? (Lihat perenggan 13-15)

KAUM MUDA—JANGANLAH KEHILANGAN HADIAH ANDA!

16, 17. Anak-anak muda, bagaimanakah anda dapat mengelak daripada berasa marah terhadap ibu bapa?

16 Bagaimana pula jika anda seorang remaja dan berasa bahawa ibu bapa Kristian anda tidak memahami anda atau terlalu tegas? Perasaan itu mungkin membuat anda meragui sama ada menyembah Yehuwa ialah jalan hidup terbaik atau tidak. Namun jika anda berhenti menyembah Yehuwa, anda akhirnya akan sedar bahawa tiada sesiapa pun yang mengasihi anda sebagaimana ibu bapa Kristian dan ahli sidang mengasihi anda.

17 Jika ibu bapa tidak pernah menegur anda, tidakkah anda tertanya-tanya sama ada mereka peduli tentang anda atau tidak? (Ibr. 12:8) Barangkali, anda tidak menyukai cara anda didisiplinkan. Namun, daripada bertumpu kepada cara disiplin diberikan, cubalah memahami sebab di sebalik tindakan mereka. Bertenanglah dan berusahalah untuk mengawal reaksi anda. Bible menyatakan, “Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang.” (Ams. 17:27) Berusahalah untuk menjadi orang yang matang. Terimalah teguran dengan tenang tanpa terlampau memikirkan cara teguran diberikan. (Ams. 1:8) Hargailah ibu bapa yang mengasihi Yehuwa, yang ingin membantu anda meraih hadiah berupa kehidupan.

18. Mengapakah anda bertekad untuk bertumpu kepada hadiah yang dijanjikan Tuhan?

18 Tidak kira kita berharap untuk hidup di syurga atau bumi, hadiah yang menantikan kita sungguh menakjubkan. Harapan itu dijanjikan oleh Pencipta kita dan pasti menjadi kenyataan. Tuhan berfirman bahawa bumi firdaus ‘akan penuh dengan orang yang mengenal dan menghormati Yehuwa.’ (Yes. 11:9) Semua orang di bumi akan diajar oleh Tuhan. Kita tentu menginginkan hadiah sebegitu. Maka teruslah bertumpu kepada janji Yehuwa dan janganlah kehilangan hadiah itu!