Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Bantulah Anak-Anak “Orang Asing”

Bantulah Anak-Anak “Orang Asing”

“Tidak ada yang membuat aku lebih bersukacita daripada mendengar bahawa anak-anakku tetap berjalan mengikut kebenaran.”​—3 YOH. 4.

LAGU: 134, 133

1, 2. (a) Apakah masalah yang dihadapi oleh anak-anak yang ibu bapa mereka berhijrah ke tempat lain? (b) Apakah soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

“SEJAK bayi lagi, saya menggunakan bahasa ibu bapa saya di rumah dan di sidang,” kata Joshua. “Tetapi selepas bersekolah, saya lebih suka guna bahasa tempatan. Dalam masa beberapa tahun, saya tidak faham perjumpaan dalam bahasa ibu bapa saya, dan saya tidak mengikut budaya mereka lagi.” Ramai juga mempunyai pengalaman sedemikian.

2 Hari ini, lebih daripada 240 juta orang tinggal di tempat yang bukan negara asal mereka. Jika anda telah berhijrah ke negara lain, bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda untuk “berjalan mengikut kebenaran”? (3 Yoh. 4) Bagaimanakah orang lain dapat membantu?

IBU BAPA​—TUNJUKKANLAH TELADAN YANG BAIK

3, 4. (a) Bagaimanakah ibu bapa dapat menunjukkan teladan yang baik? (b) Apakah yang tidak patut diharapkan oleh ibu bapa daripada anak-anak?

3 Ibu bapa, teladan anda dapat membantu anak menempuh haluan kehidupan kekal. Jika anak-anak melihat anda “mengutamakan  Kerajaan Tuhan,” mereka akan belajar untuk bergantung pada Yehuwa. (Mat. 6:33, 34) Maka hiduplah dengan sederhana dan elakkanlah daripada berhutang. Jangan korbankan hal-hal rohani demi harta benda. Utamakan “harta di syurga,” dan bukannya kekayaan atau sanjungan manusia.​—Baca Markus 10:21, 22; Yoh. 12:43.

4 Janganlah terlalu sibuk sehingga anda tiada masa untuk anak-anak. Apabila mereka mengutamakan Yehuwa dan bukannya mengejar kekayaan atau kemasyhuran untuk diri mereka atau anda, beritahulah mereka bahawa anda bangga dengan keputusan mereka. Janganlah anggap bahawa anak-anak patut menjamin keselesaan hidup ibu bapa mereka. Itu bukan pandangan orang Kristian. Ingatlah, “anak-anak tidak perlu mengumpulkan harta untuk ibu bapa, tetapi ibu bapalah yang perlu mengumpulkan harta untuk anak-anak.”​—2 Kor. 12:14.

MERENTASI SEMPADAN BAHASA

5. Mengapakah ibu bapa harus mengajar anak-anak tentang Yehuwa?

5 Seperti yang dinubuatkan, orang dari segala bangsa dan bahasa sedang menyertai organisasi Yehuwa. (Za. 8:23) Namun, sempadan bahasa mungkin menghalang anda daripada mengajarkan kebenaran kepada anak-anak. Merekalah pelajar Bible anda yang terpenting. Jadi, “percakapkanlah” ajaran Yehuwa pada setiap kesempatan yang sesuai supaya anak-anak anda mengenali Yehuwa dan “mendapat kehidupan kekal.”​—Baca Ulangan 6:6, 7; Yoh. 17:3.

6. Jika anak-anak mempelajari bahasa anda, apakah manfaatnya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Anak-anak anda akan mempelajari bahasa tempatan di sekolah dan melalui pergaulan mereka. Namun, jika anda bertutur dengan mereka dalam bahasa anda secara kerap, mereka akan mempelajari bahasa anda. Dengan itu, anak anda bukan sahaja dapat berkomunikasi dengan anda dari hati ke hati, malah fikiran mereka akan menjadi lebih tajam. Mereka juga akan lebih mahir bergaul dengan orang lain jika mereka pandai menuturkan beberapa bahasa. Kebolehan berbahasa itu juga dapat digunakan untuk meluaskan khidmat. Carolina, yang ibu bapanya berhijrah ke negara lain, berkata, “Saya suka berada di sidang bahasa asing dan berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan bantuan.”

7. Apakah yang dapat anda lakukan untuk merentasi sempadan bahasa dalam keluarga?

7 Namun, seraya anak-anak membiasakan diri dengan budaya dan bahasa tempatan, mereka mungkin tidak ingin dan bahkan tidak dapat menggunakan bahasa ibunda mereka lagi. Jika hal itu berlaku kepada anak anda, dapatkah anda belajar bahasa tempatan supaya anda memahami percakapan, hiburan, kerja rumah mereka, dan dapat berkomunikasi dengan guru sekolah mereka? Hal itu akan memudahkan anda untuk membesarkan anak-anak mengikut haluan Kristian. Memang benar, anda perlu masa, usaha, dan kerendahan hati, untuk mempelajari bahasa baharu. Tetapi fikirkan: Jika seorang anak kehilangan pendengaran, tidakkah ibu bapanya akan belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengannya? Oleh itu, jika anak anda lebih memahami bahasa lain, bukankah lebih baik untuk belajar bahasa itu agar anda dapat berkomunikasi dengannya? *

8. Jika anda tidak dapat menguasai bahasa baharu anak, bagaimanakah anda dapat membantu mereka?

8 Sesetengah ibu bapa mungkin tidak  dapat menguasai bahasa baharu anak-anak mereka. Hal itu akan menyukarkan usaha mereka untuk mengajarkan pengetahuan yang mendalam tentang “tulisan-tulisan suci.” (2 Tim. 3:15) Jika demikian, anda masih dapat membantu anak mengenali dan mengasihi Yehuwa. Seorang penatua yang bernama Shan berkata, “Mak ialah ibu tunggal. Adik dan kakak saya tidak fasih menggunakan bahasanya, dan dia kurang memahami bahasa yang biasa kami gunakan. Tetapi kami nampak dia membuat pembelajaran, berdoa, dan berusaha mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu. Jadi, kami sedar betapa pentingnya mengenali Yehuwa.”

9. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak belajar tentang Yehuwa dalam dua bahasa?

9 Ada anak yang perlu belajar tentang Yehuwa dalam bahasa yang digunakan di sekolah dan di rumah. Maka, sesetengah ibu bapa menggunakan bahan bacaan, rakaman audio, dan video, dalam kedua-dua bahasa. Jelaslah, mereka harus meluangkan lebih banyak masa dan usaha untuk menguatkan hubungan anak dengan Yehuwa.

SIDANG MANAKAH YANG PATUT ANDA SERTAI?

10. (a) Semasa memilih sidang, siapakah yang harus membuat keputusan? (b) Apakah yang patut dilakukannya sebelum membuat keputusan?

10 “Orang asing” perlu menyertai sidang bahasa tempatan jika kawasan mereka tidak ada kumpulan atau sidang bahasa ibunda mereka. (Mzm. 146:9) Namun, jika terdapat sidang bahasa ibunda yang berhampiran, anda perlu berfikir, “Sidang manakah yang paling sesuai untuk keluarga saya?” Ketua keluarga perlu membuat keputusan setelah berdoa dan membincangkan hal itu bersama isteri dan anak. (1 Kor. 11:3) Apakah prinsip Bible dan faktor yang harus dipertimbangkan?

11, 12. (a) Bagaimanakah bahasa perjumpaan mempengaruhi manfaat yang diraih anak-anak? (b) Mengapakah sesetengah anak tidak suka mempelajari bahasa ibu bapa mereka?

11 Keperluan anak-anak perlu dipandang secara realistik. Meskipun perjumpaan bukanlah satu-satunya cara untuk membantu anak berakar umbi dalam kebenaran, ingatlah bahawa jika mereka menghadiri perjumpaan dalam bahasa yang paling difahami mereka, manfaat yang diraih mungkin lebih banyak daripada sangkaan ibu bapa. Hal itu tidak akan berlaku jika mereka kurang memahami bahasa perjumpaan. (Baca 1 Korintus 14:9, 11.) Bagi seorang anak, bahasa ibundanya tidak semestinya kekal sebagai bahasa minda atau hatinya. Sesetengah anak bahkan dapat memberikan komen, ceramah, atau penyampaian dalam bahasa ibunda mereka, tetapi semua itu tidak diucapkan dari hati.

12 Hati seorang anak bukan sahaja dipengaruhi oleh bahasa. Begitulah keadaan Joshua, yang disebut tadi. Kakaknya Esther berkata, “Bagi anak kecil, bahasa, budaya, dan agama ibu bapa ialah satu pakej.” Jika anak-anak tidak berasa bahawa mereka tergolong dalam budaya ibu bapa mereka, mereka mungkin tidak suka mempelajari bahasa dan agama ibu bapa mereka juga. Jadi, apakah yang dapat dilakukan?

13, 14. (a) Mengapakah Samuel memindahkan keluarganya ke sidang bahasa tempatan? (b) Bagaimanakah Samuel dan isterinya memelihara kerohanian sendiri?

13 Bagi ibu bapa Kristian, kerohanian anak lebih penting daripada keselesaan diri. (1 Kor. 10:24) Samuel, iaitu bapa kepada Joshua dan Esther, berkata, “Saya dan isteri memerhatikan anak-anak untuk mengetahui bahasa apa yang terbaik untuk kerohanian mereka, dan kami berdoa  meminta kebijaksanaan. Jawapan yang kami terima bukanlah sesuatu yang mudah bagi kami. Namun, oleh sebab mereka tidak mendapat faedah daripada perjumpaan bahasa ibunda kami, kami berpindah ke sidang bahasa tempatan. Kami selalu menghadiri perjumpaan dan menginjil bersama-sama. Kami juga mengajak saudara saudari tempatan untuk makan dan jalan-jalan bersama kami. Hasilnya, anak-anak kami bukan sahaja mengenali saudara saudari, tetapi juga mengenali Yehuwa sebagai Bapa dan Sahabat mereka. Hal ini jauh lebih penting daripada mempelajari bahasa ibunda kami.”

14 Samuel menambah, “Demi kerohanian kami sendiri, saya dan isteri juga menghadiri perjumpaan dalam bahasa kami. Kami sangat sibuk dan penat, tetapi kami bersyukur kerana Yehuwa memberkati usaha dan pengorbanan kami. Kini, tiga orang anak kami semuanya pekhidmat sepenuh masa.”

ANAK MUDA​—APAKAH PERANAN ANDA?

15. Mengapakah Saudari Kristina berasa bahawa menyertai sidang bahasa tempatan lebih baik untuk dirinya?

15 Selepas menjadi dewasa, anak-anak mungkin berasa bahawa mereka dapat menyembah Yehuwa dalam cara terbaik jika mereka menyertai sidang bahasa tempatan. Dalam keadaan sebegitu, ibu bapa tidak harus berasa bahawa mereka diabaikan. Kristina berkata, “Saya tahu sedikit sebanyak bahasa ibu bapa saya, tetapi bahasa yang digunakan di perjumpaan mereka terlalu susah. Semasa saya berumur 12 tahun, saya menghadiri konvensyen dalam bahasa yang digunakan di sekolah. Buat kali pertama saya sedar bahawa itulah kebenaran! Kemudian semasa saya mula berdoa dalam bahasa itu, saya dapat bercakap kepada Yehuwa dari hati!” (Kis. 2:11, 41) Apabila Kristina menjadi dewasa, dia berbincang dengan ibu bapanya dan berpindah ke sidang bahasa tempatan. Dia berkata, “Setelah belajar tentang Yehuwa dalam bahasa tempatan, saya terdorong untuk bertindak.” Tidak lama kemudian, dia mula merintis.

16. Mengapakah Saudari Nadia bersyukur kerana tidak berpindah ke sidang bahasa tempatan?

16 Anak-anak muda, adakah anda lebih suka menyertai sidang bahasa tempatan? Sebelum berpindah, fikirkanlah sebabnya. Adakah tujuannya untuk lebih menghampiri Yehuwa? (Yak. 4:8) Adakah tujuannya untuk mengelakkan pengawasan ibu bapa atau tanggungjawab? Semasa Nadia dan adik-beradiknya remaja, mereka ingin berpindah ke sidang bahasa tempatan. Tetapi ibu bapa Nadia tahu bahawa tindakan itu tidak bermanfaat untuk kerohanian mereka. Kini, Nadia berkhidmat di Bethel. Dia berkata, “Kami bersyukur kerana ibu bapa berusaha mengajar kami bahasa ibunda dan menyuruh kami tetap menyertai sidang bahasa ibunda. Hasilnya, hidup kami lebih bermakna, dan kami ada lebih banyak peluang untuk membantu orang lain mengenali Yehuwa.”

BAGAIMANA ORANG LAIN DAPAT MEMBANTU

17. (a) Yehuwa memberi siapa tanggungjawab untuk membesarkan anak? (b) Apakah yang dapat dilakukan jika ibu bapa memerlukan bantuan untuk mengajar anak kebenaran?

17 Penghormatan untuk mengajar anak-anak kebenaran diberikan oleh Yehuwa kepada ibu bapa, bukan orang lain. (Baca Amsal 1:8; 31:10, 27, 28.) Namun, ibu bapa yang tidak fasih dalam bahasa tempatan mungkin memerlukan bantuan untuk mencapai hati anak mereka. Meminta bantuan sebegini tidak bermaksud  menyerahkan tanggungjawab kepada orang lain. Sebaliknya tindakan itu sebahagian daripada usaha untuk membesarkan anak “dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Ef. 6:4) Misalnya, ibu bapa dapat meminta cadangan para penatua tentang cara mengadakan penyembahan keluarga atau mengaturkan pergaulan yang baik untuk anak-anak mereka.

Pergaulan bersama ahli sidang membawa manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak (Lihat perenggan 18, 19)

18, 19. (a) Bagaimanakah saudara saudari yang matang secara rohani dapat membantu orang muda? (b) Apakah yang perlu diingat oleh ibu bapa?

18 Contohnya, ibu bapa dapat menjemput keluarga lain untuk menyertai penyembahan keluarga mereka dari masa ke masa. Apabila anak-anak muda mempunyai rakan untuk menginjil atau menikmati kegiatan rekreasi yang sihat, mereka juga dapat maju secara rohani. (Ams. 27:17) Shan berkata, “Saya masih ingat saudara-saudara yang membantu saya menyediakan tugasan perjumpaan. Saya selalu belajar hal baharu, dan saya suka berekreasi bersama mereka.”

19 Sudah pasti, semasa menolong anak muda saudara saudari lain, kita perlu bercakap positif tentang ibu bapa dan mengajar mereka menghormati ibu bapa, bukannya mengambil alih tugas ibu bapa. Semasa memberikan bantuan, kita juga harus berwaspada agar tidak memberi sesiapa pun tanggapan yang salah bahawa kita terlibat dalam kelakuan yang tidak bermoral. (1 Ptr. 2:12) Biarpun orang lain dapat membantu, ibu bapa mesti ingat bahawa mereka sendiri bertanggungjawab untuk mengajar anak dan memantau bantuan rohani yang diberikan oleh pihak lain.

20. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka menyembah Yehuwa dengan setia?

20 Ibu bapa, mintalah bantuan Yehuwa dan berusahalah dengan sedaya upaya. (Baca 2 Tawarikh 15:7.) Utamakanlah persahabatan anak anda dengan Yehuwa. Lakukan apa yang mampu supaya Firman Tuhan mencapai hati anak anda. Percayalah bahawa anak anda dapat menjadi hamba Yehuwa yang setia, dan janganlah putus asa. Apabila mereka mematuhi Firman Tuhan dan mengikut teladan baik anda, anda akan mengucapkan kata-kata Rasul Yohanes tentang anak-anak rohaninya, “Tidak ada yang membuat aku lebih bersukacita daripada mendengar bahawa anak-anakku tetap berjalan mengikut kebenaran.”​—3 Yoh. 4.

^ per. 7 Lihat rencana “Anda Pasti Bisa Belajar Bahasa Lain!” dalam majalah Sedarlah! bulan Mac 2007, ms. 10-12 dalam bahasa Indonesia.