“Simon anak Yohanes, adakah kasihmu terhadapku lebih mendalam daripada kasihmu terhadap semua ini?”​—YOH. 21:15.

LAGU: 143, 65

1, 2. Setelah menjala ikan semalaman, apakah yang berlaku kepada Petrus, dan apakah kesannya terhadap Petrus?

SETELAH menjala ikan semalaman di Tasik Galilea, tujuh orang murid Yesus tidak menangkap apa-apa. Dari pantai, Yesus memerhatikan mereka lalu berkata kepada mereka, “‘Tebarkanlah jala ke sebelah kanan perahu, dan kamu akan mendapat ikan.’ Mereka pun menebarkan jala, dan menangkap begitu banyak ikan sehingga tidak terdaya menarik jala itu kembali.”​—Yoh. 21:1-6.

2 Selepas menyediakan sarapan untuk mereka, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kasihmu terhadapku lebih mendalam daripada kasihmu terhadap semua ini?” Petrus suka menangkap ikan, maka Yesus mungkin sedang menanya Petrus sama ada dia lebih mengasihi kerja itu daripada mengasihi Yesus dan ajarannya. Petrus menjawab Yesus, “Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” (Yoh. 21:15) Petrus membuktikan kasihnya melalui perbuatan. Sejak  hari itu, dia berusaha keras untuk membantu orang menjadi murid Yesus. Dia telah memainkan peranan penting dalam sidang abad pertama.

3. Orang Kristian harus berwaspada terhadap apa?

3 Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada Petrus? Kita harus berwaspada agar kasih kita untuk Yesus tidak menjadi lemah. Yesus tahu bahawa kekhuatiran hidup dalam dunia ini dapat menyimpangkan perhatian kita daripada Kerajaan Tuhan. Dalam perumpamaannya tentang penabur benih, Yesus menyatakan bahawa sesetengah orang akan membuat kemajuan setelah mendengar “perkhabaran tentang Kerajaan Tuhan.” Tetapi pada kemudian hari, perkhabaran itu ‘dibantutkan’ kerana “kekhuatiran hidup sistem dunia ini dan tipu daya kekayaan.” (Mat. 13:19-22; Mrk. 4:19) Jika kita tidak berhati-hati, kekhuatiran hidup seharian akan membantutkan kita secara rohani. Maka Yesus mengingatkan murid-muridnya, “Perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan makan berlebihan, minum berlebihan, dan kekhuatiran hidup.”​—Luk. 21:34.

4. Bagaimanakah kita dapat menentukan betapa dalamnya kasih kita untuk Kristus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Seperti Petrus, kita membuktikan kasih kita untuk Kristus dengan mengutamakan kerja yang diamanahkan olehnya. Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kita selalu berbuat demikian? Dari masa ke masa, tanyalah diri sendiri, “Apakah perkara yang paling saya kasihi? Adakah saya lebih menikmati aktiviti rohani atau kegiatan lain?” Sekarang, mari kita bincangkan tiga aspek kehidupan yang mungkin melemahkan kasih kita untuk Kristus dan hal-hal rohani, iaitu (1) kerja sekular, (2) rekreasi, dan (3) harta benda.

PANDANGAN SEIMBANG TENTANG KERJA SEKULAR

5. Apakah tanggungjawab yang diberikan kepada ketua keluarga?

5 Bagi Petrus, kerja menangkap ikan bukan sekadar hobi, itulah mata pencariannya. Hari ini, Tuhan telah memberi ketua keluarga tanggungjawab untuk menyara keluarga mereka. (1 Tim. 5:8) Oleh itu mereka perlu bekerja keras untuk melaksanakan kewajipan itu. Namun, pada hari-hari terakhir ini, kerja sekular membawa banyak kekhuatiran.

6. Apakah tekanan yang dihadapi di tempat kerja?

6 Akibat persaingan yang sengit dalam dunia pekerjaan, banyak pekerja berasa bahawa mereka harus bekerja untuk masa yang lama walaupun gajinya rendah. Syarikat-syarikat juga sentiasa menekan pekerja supaya meningkatkan pengeluaran. Keadaan sebegitu membuat pekerja sangat tertekan dari segi fizikal, mental, dan emosi. Namun, jika mereka tidak membanting tulang untuk syarikat, mereka mungkin akan dipecat.

7, 8. (a) Kita paling mementingkan kesetiaan kepada siapa? (b) Apakah yang dipelajari oleh seorang saudara di Thailand tentang pekerjaannya?

7 Bagi orang Kristian, kesetiaan kepada Tuhan Yehuwa jauh lebih penting daripada kesetiaan kepada majikan. (Luk. 10:27) Kita bekerja supaya dapat mencari nafkah dan supaya kita dapat melakukan kerja Tuhan. Namun, jika kita tidak berhati-hati, kerja sekular dapat mengganggu ibadat kita. Seorang saudara di Thailand berkata, “Kerja saya ialah membaiki komputer. Kerja itu sangat menarik tetapi memakan begitu banyak masa sehingga saya tidak  ada waktu untuk hal-hal rohani. Akhirnya saya sedar bahawa saya perlu mengubah pekerjaan supaya dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan.” Jadi, apakah yang dilakukannya?

8 Saudara itu menjelaskan, “Selepas merancang selama setahun, saya menjadi penjaja aiskrim. Mula-mulanya, saya menghadapi masalah kewangan dan berasa tawar hati. Saya ditertawakan oleh bekas rakan sekerja kerana sanggup menjual aiskrim di tepi jalan, padahal saya dapat membaiki komputer di tempat yang dilengkapi penyaman udara. Saya meminta Yehuwa membantu saya bertahan dan mencapai matlamat saya untuk meluangkan lebih banyak masa bagi aktiviti rohani. Tidak lama kemudian, keadaan saya bertambah baik. Saya lebih mengenali cita rasa pelanggan dan menjadi lebih mahir membuat aiskrim. Hasilnya, semua aiskrim saya habis dijual setiap hari. Sebenarnya, pendapatan saya lebih baik daripada semasa saya membaiki komputer. Saya lebih bahagia kerana tidak risau dan tertekan seperti dulu. Penting sekali, saya lebih menghampiri Yehuwa sekarang.”​—Baca Matius 5:3, 6.

9. Bagaimanakah kita dapat tahu sama ada kita mempunyai pandangan yang seimbang tentang kerja sekular atau tidak?

9 Sifat rajin disenangi Yehuwa dan membawa hasil yang lumayan. (Ams. 20:13) Namun, seperti yang dipelajari oleh saudara yang disebut tadi, kita perlu ada pandangan yang seimbang tentang kerja sekular. Yesus berkata, “Hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu [keperluan asas] akan diberikan kepada kamu.” (Mat. 6:33) Untuk mengetahui sama ada anda mempunyai pandangan yang seimbang tentang kerja sekular dan tanggungjawab rohani, tanyalah diri, “Adakah saya berasa bahawa kerja saya menarik dan mencabar tetapi menganggap kegiatan rohani saya membosankan?” Apabila kita merenungkan perasaan kita terhadap kegiatan rohani dan sekular, kita dapat tahu perkara apa yang paling kita kasihi.

10. Apakah hal penting yang diajarkan oleh Yesus tentang keutamaan kita?

10 Semasa Yesus berkunjung ke rumah Marta dan Maria, dia telah mengajarkan maksudnya mengimbangi hal sekular dan rohani. Ketika itu, Marta sibuk menyediakan makanan manakala Maria duduk dan mendengar ajaran Yesus. Apabila Marta mengadu bahawa Maria tidak membantunya, Yesus berkata, “Maria sudah memilih perkara yang terbaik, yang tidak akan diambil daripadanya.” (Luk. 10:38-42) Apakah pengajarannya? Jika kita ingin membuktikan kasih kita untuk Kristus, janganlah membiarkan kerja sekular mengganggu perhatian kita. Sebaliknya, marilah kita “memilih perkara yang terbaik” dengan sentiasa mengutamakan perkara rohani.

PANDANGAN TENTANG REKREASI DAN HIBURAN

11. Apakah yang diajarkan dalam Bible tentang rehat?

11 Setelah bekerja keras, kita memerlukan masa untuk berehat. Firman Tuhan menyatakan, “Sebaik-baiknya yang dapat dilakukan oleh manusia adalah makan, minum, dan menikmati hasil usaha mereka.” (Pkh. 2:24) Yesus tahu bahawa kita perlu berehat. Pernah sekali, selepas menginjil kepada banyak orang, dia berkata kepada murid-muridnya, “Marilah kita pergi ke  suatu tempat yang sunyi untuk berehat.”​—Mrk. 6:31, 32.

12. Mengapakah kita perlu berwaspada terhadap rekreasi dan hiburan? Berikan contoh.

12 Sememangnya, rekreasi dan hiburan diperlukan. Namun, jika kita tidak berwaspada, keseronokan mungkin menjadi tumpuan utama hidup kita. Pada abad pertama, banyak orang ada sikap “marilah kita makan dan minum kerana esok kita akan mati.” (1 Kor. 15:32) Sikap itu masih berleluasa hari ini. Contohnya, seorang pemuda di Eropah Barat mula menghadiri perjumpaan, tetapi dia begitu khusyuk dengan hiburan sehingga berhenti bergaul bersama umat Yehuwa. Akhirnya dia sedar bahawa perbuatan itu hanya menyebabkan masalah dan kekecewaan. Maka dia belajar Bible lagi dan kemudiannya menjadi penyiar. Selepas dibaptis, dia berkata, “Saya menyesal kerana sudah membuang begitu banyak masa untuk mengejar hiburan. Sekarang saya tahu bahawa menyembah Yehuwa membawa kebahagiaan yang jauh lebih besar.”

13. (a) Gunakan contoh untuk menjelaskan bahayanya jika kita mengutamakan rekreasi dan hiburan. (b) Apakah yang dapat kita lakukan supaya memiliki pandangan yang seimbang tentang rekreasi dan hiburan?

13 Tujuan rekreasi adalah untuk menyegarkan kita. Jadi berapa banyakkah masa yang harus digunakan untuknya? Fikirkan contoh ini: Kita suka makan manisan dari masa ke masa, tetapi jika manisan menjadi makanan utama, kesihatan kita akan terjejas. Oleh itu, makanan yang berkhasiat harus menjadi sajian utama. Begitu juga, jika hiburan dan rekreasi menjadi “sajian utama” hidup kita, kesihatan rohani kita akan terancam. Oleh itu, kita perlu menyertai aktiviti rohani secara tetap. Untuk mengetahui sama ada pandangan anda terhadap rekreasi seimbang atau tidak, catatkanlah masa yang anda luangkan dalam seminggu untuk kegiatan rohani, seperti menghadiri perjumpaan, menginjil, dan mengadakan pembelajaran peribadi atau keluarga. Kemudian, bandingkan angka itu dengan jumlah masa yang anda gunakan untuk aktiviti riadah, seperti sukan, hobi, televisyen, atau permainan video. Tanyalah diri, “Adakah saya perlu mengurangkan ‘manisan’ dalam hidup saya?”​—Baca Efesus 5:15, 16.

14. Apakah yang harus kita ingat semasa memilih hiburan dan rekreasi?

14 Setiap individu dan ketua keluarga diberi kebebasan untuk memilih hiburan selagi pilihan itu selaras dengan prinsip Bible. * Rekreasi yang sihat merupakan ‘pemberian Tuhan.’ (Pkh. 3:12, 13) Walaupun kita boleh memilih rekreasi yang berbeza-beza, janganlah lupa akan keutamaan kita. (Gal. 6:4, 5) Yesus berkata, “Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.” (Mat. 6:21) Jika kita mengasihi Yesus, kita akan menumpukan fikiran, percakapan, dan tindakan kita, kepada Kerajaan Tuhan dan bukannya kepada hal ehwal kehidupan.​—Flp. 1:9, 10.

LAWANLAH SIKAP MENCINTAI KEBENDAAN

15, 16. (a) Bagaimanakah orang Kristian mungkin dijerat oleh sikap cinta akan kebendaan? (b) Apakah nasihat Yesus tentang harta benda?

15 Banyak orang hari ini menggilakan fesyen, alat elektronik, dan barangan terbaharu. Maka setiap orang Kristian harus selalu memeriksa keinginan hatinya dengan bertanya, “Adakah harta benda begitu penting bagi saya sehingga saya meluangkan lebih banyak masa untuk mencari  maklumat tentang kereta atau fesyen terbaharu daripada membuat persiapan untuk perjumpaan? Adakah saya begitu sibuk dengan hal-hal seharian sehingga kekurangan masa untuk berdoa atau membaca Bible?” Jika kita sedar bahawa hal itu sedang terjadi, ingatlah kata-kata Yesus, “Berjaga-jagalah dan hindarilah semua bentuk ketamakan.” (Luk. 12:15) Mengapakah Yesus berkata demikian?

16 Yesus menjelaskan bahawa “tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan.” Ya, kita “tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” Kita hanya dapat memberikan yang terbaik kepada satu “tuan.” Maka kita akan “membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi,” atau “setia kepada yang seorang tetapi memandang hina pada yang seorang lagi.” (Mat. 6:24) Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita perlu terus melawan “keinginan tubuh” kita, termasuk sikap mencintai kebendaan.​—Ef. 2:3.

17. (a) Mengapakah orang yang mengutamakan keinginan sendiri susah memiliki pandangan yang seimbang tentang harta benda? (b) Bagaimanakah kita dapat melawan sifat kebendaan?

17 Orang yang mengutamakan keinginan sendiri susah memiliki pandangan yang seimbang tentang harta benda. Mengapa? Kerana daya pemikiran rohani mereka sudah menjadi tumpul. (Baca 1 Korintus 2:14.) Memandangkan daya penilaian mereka sudah menjadi lemah, mereka tidak dapat membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. (Ibr. 5:11-14) Akhirnya, keinginan mereka untuk memperoleh harta benda tidak lagi dapat dipuaskan. (Pkh. 5:9) Apakah penawar untuk orang yang diracuni sifat kebendaan? Mereka perlu menerima “suntikan” berupa Firman Tuhan setiap hari. (1 Ptr. 2:2) Yesus berjaya menolak godaan kerana dia merenungkan Firman Tuhan. Jadi kita juga dapat melawan sifat kebendaan dengan menerapkan prinsip Bible. (Mat. 4:8-10) Usaha sedemikian membuktikan bahawa kita lebih mengasihi Yesus daripada kebendaan.

Apakah keutamaan hidup anda? (Lihat perenggan 18)

18. Apakah tekad anda?

18 Semasa Yesus menanya Petrus, “Adakah kasihmu terhadapku lebih mendalam daripada kasihmu terhadap semua ini?” dia sedang mengingatkan Petrus untuk mengutamakan hal rohani. Nama Petrus bermaksud “Seketul Batu,” dan dia telah menunjukkan sifat-sifat yang teguh seperti batu. (Kis. 4:5-20) Seperti Petrus, kita ingin meneguhkan kasih kita untuk Kristus. Maka buatlah pilihan yang sesuai mengenai kerja, rekreasi, dan harta benda. Dengan demikian, kita seolah-olah sedang memberitahu Yesus, “Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.”

^ per. 14 Lihat rencana “Adakah Anda Memilih Rekreasi yang Bermanfaat?” dalam majalah Menara Pengawal 15 Oktober 2011, ms. 9-12, per. 6-15.