Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

 RENCANA PEMBELAJARAN 13

Mengambil Berat terhadap Orang Lain semasa Menginjil

Mengambil Berat terhadap Orang Lain semasa Menginjil

“Dia berasa kasihan terhadap mereka . . . lalu dia mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.”​—MRK. 6:34.

LAGU 70 Carilah Mereka yang Layak

PENGENALAN *

1. Apakah salah satu sifat Yesus yang paling menawan hati? Berikan contoh.

SALAH satu sifat Yesus yang paling menawan hati ialah kebolehannya untuk memahami cabaran yang dihadapi manusia yang tidak sempurna. Semasa di bumi, Yesus ‘bersukacita bersama orang yang bersukacita dan menangis bersama orang yang menangis.’ (Rm. 12:15) Contohnya, semasa 70 orang muridnya kembali dengan gembira kerana mendapat hasil yang baik dalam kerja penyebaran, “Yesus sangat bersukacita.” (Luk. 10:17-21) Apabila Yesus melihat bahawa kematian Lazarus menyebabkan ramai orang bersedih, Yesus “berasa sangat susah hati dan pilu.”​—Yoh. 11:33.

2. Mengapakah Yesus begitu mengambil berat terhadap orang lain?

2 Yesus sempurna, tetapi dia amat berbelas kasihan terhadap manusia yang tidak sempurna. Mengapa? Sebab yang utama ialah Yesus mengasihi orang. Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, dia ‘paling menyukai manusia.’ (Ams. 8:31) Kasih itu mendorong Yesus untuk mengenali fikiran manusia secara mendalam. Rasul Yohanes menulis, “Dia tahu benar isi hati manusia.” (Yoh. 2:25) Oleh sebab Yesus begitu berbelas kasihan, orang lain dapat merasai kasihnya, dan mereka ingin mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan. Jika kita memupuk belas kasihan yang lebih mendalam terhadap orang, kita dapat melakukan kerja penyebaran dengan lebih berkesan.​—2 Tim. 4:5.

3-4. (a) Jika kita memiliki belas kasihan, apakah sikap kita terhadap kerja penyebaran? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Rasul Paulus tahu bahawa kerja penyebaran ialah kewajipannya, begitu juga dengan kita. (1 Kor. 9:16) Namun, jika kita memiliki belas kasihan, kita tidak akan berasa bahawa kerja ini  hanyalah tanggungjawab. Sebaliknya, kita juga akan menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap orang lain dan ingin membantu mereka. Apabila kita memupuk sikap sebegini, kita akan lebih menikmati kerja penyebaran, kerana Bible menyatakan, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—Kis. 20:35.

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk mengambil berat terhadap orang semasa menginjil. Mula-mulanya kita akan mengkaji perasaan Yesus terhadap orang lain. Kemudian kita akan melihat empat cara untuk meniru teladannya.​—1 Ptr. 2:21.

YESUS MENGAMBIL BERAT TERHADAP ORANG LAIN SEMASA MENGINJIL

Yesus mengambil berat terhadap orang lain, maka dia terdorong untuk melegakan hati mereka (Lihat perenggan 5-6)

5-6. (a) Yesus mengambil berat terhadap siapa? (b) Seperti yang dinubuatkan di Yesaya 61:1, 2, mengapakah Yesus berasa kasihan terhadap orang ramai?

5 Perhatikan satu contoh bagaimana Yesus mengambil berat terhadap orang lain. Pernah sekali, Yesus dan murid-muridnya begitu sibuk menyebarkan berita baik sehingga “langsung tidak ada masa untuk makan.” Mereka sudah penat dan ingin “pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.” Namun, orang ramai berlari ke tempat itu terlebih dahulu. Apabila Yesus sampai dan nampak mereka, apakah reaksinya? “Dia berasa kasihan * terhadap mereka kerana mereka seperti biri-biri tanpa gembala, lalu dia mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.”​—Mrk. 6:30-34.

6 Mengapakah Yesus berasa kasihan terhadap orang ramai? Dia melihat bahawa “mereka seperti biri-biri tanpa gembala.” Yesus mungkin tahu bahawa sesetengah antara mereka hidup miskin dan perlu membanting tulang untuk menyara keluarga. Ada juga yang mungkin bersedih kerana orang tersayang mereka telah meninggal. Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, Yesus sendiri mungkin telah mengalami cabaran yang sama, maka dia  dapat menyelami perasaan mereka. Oleh sebab Yesus mengambil berat terhadap mereka, dia terdorong untuk melegakan hati mereka.​—Baca Yesaya 61:1, 2.

7. Bagaimanakah kita dapat mengikut teladan Yesus?

7 Apakah yang kita pelajari daripada contoh Yesus? Hari ini, ramai orang juga “seperti biri-biri tanpa gembala.” Mereka dilanda banyak masalah, dan kita mempunyai penawarnya, iaitu berita tentang Kerajaan Tuhan. (Why. 14:6) Kita ingin meniru Tuan kita dan menyebarkan berita baik, kerana kita “mengasihani orang yang miskin dan orang yang lemah.” (Mzm. 72:13) Perasaan belas kasihan akan mendorong kita agar berusaha membantu mereka.

CARA UNTUK MENGAMBIL BERAT TERHADAP ORANG LAIN

Fikirkan keperluan setiap orang (Lihat perenggan 8-9)

8. Apakah satu cara untuk mengambil berat terhadap orang lain semasa menginjil? Berikan contoh.

8 Semasa menginjil, bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap orang yang kita temui? Kita perlu membayangkan fikiran dan perasaan mereka, dan melayan mereka sebagaimana kita ingin dilayan. * (Mat. 7:12) Terdapat empat cara untuk berbuat demikian. Pertama, kita memikirkan keperluan setiap orang. Para penginjil adalah seperti doktor. Seorang doktor yang baik akan mempertimbangkan keperluan setiap pesakit. Dia akan menanyakan soalan dan mendengar dengan teliti semasa pesakit itu menggambarkan situasi atau simptom yang dialaminya. Doktor itu tidak akan segera mengesyorkan rawatan tertentu, tetapi dia akan meluangkan masa untuk memerhatikan pesakit tersebut supaya dapat menentukan rawatan yang sesuai. Begitu juga, kita tidak akan menggunakan kaedah menginjil yang sama untuk semua orang yang kita temui. Sebaliknya, kita akan memikirkan keadaan dan pandangan setiap individu.

9. Apakah yang harus kita elakkan semasa menginjil? Apakah kaedah yang lebih baik?

9 Apabila anda berjumpa dengan seseorang semasa menginjil, jangan terus berfikir bahawa anda sudah tahu situasinya, kepercayaannya, dan sebab dia mempercayai sesuatu. (Ams. 18:13) Sebaliknya, gunakanlah soalan yang sesuai untuk menimba isi hatinya. (Ams. 20:5) Jika sesuai dengan budaya tempatan, tanyalah orang itu tentang pekerjaannya, keluarganya, latar belakangnya, dan pandangannya. Dengan ini, kita seolah-olah membiarkan orang itu memberitahu kita mengapa dia memerlukan berita baik. Setelah kita mengetahui sebabnya, kita dapat menunjukkan bahawa kita mengambil berat tentang keperluannya dan memberikan bantuan yang sesuai, seperti yang dilakukan oleh Yesus.​—Bandingkan 1 Korintus 9:19-23.

Bayangkan keadaan hidup orang yang kita jumpai (Lihat perenggan 10-11)

10-11. Menurut 2 Korintus 4:7, 8, apakah cara kedua untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap orang lain? Berikan contoh.

 10 Kedua, cubalah bayangkan keadaan hidup mereka. Sebenarnya, kita dapat memahami sesetengah cabaran mereka kerana kita sendiri pun tidak sempurna dan menghadapi masalah. (1 Kor. 10:13) Kita tahu betapa susahnya kehidupan dalam dunia sekarang, dan kita dapat bertahan hanya dengan bantuan Yehuwa. (Baca 2 Korintus 4:7, 8.) Sekarang, fikirlah tentang orang yang tidak akrab dengan Yehuwa. Mereka pasti berasa lebih susah untuk hidup di dunia ini tanpa bantuan-Nya. Seperti Yesus, kita berasa kasihan terhadap mereka dan ingin memberitahu mereka “berita baik tentang sesuatu yang lebih baik.”​—Yes. 52:7.

11 Perhatikan contoh seorang saudara yang bernama Sergey. Sebelum mempelajari kebenaran, dia sangat pemalu dan berasa susah untuk bercakap dengan orang lain. “Semasa saya belajar Bible,” kata Sergey, “saya sedar bahawa orang Kristian wajib memberitahu orang lain tentang kepercayaan sendiri. Saya fikir saya tidak mungkin dapat melakukannya.” Namun, Sergey memikirkan orang yang belum mendengar tentang kebenaran dan kehidupan mereka tanpa Yehuwa. Dia berkata, “Saya berasa sangat bahagia dan tenang setelah mempelajari kebenaran, dan saya tahu orang lain pun perlu belajar tentangnya.” Apabila Sergey semakin memikirkan keadaan orang lain, dia menjadi semakin berani untuk menginjil. Dia berkata, “Saya tidak sangka bahawa keyakinan dan iman saya telah bertambah kuat apabila saya memberitahu orang tentang Bible.” *

Sesetengah orang memerlukan masa untuk maju secara rohani (Lihat perenggan 12-13)

12-13. Mengapakah kita perlu bersabar semasa menginjil? Berikan contoh.

12 Ketiga, bersabarlah dengan mereka. Ingatlah, kebenaran Bible yang sangat kita kenali mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Ramai orang juga sangat terikat kepada kepercayaan sendiri. Mereka  mungkin berasa bahawa agama mereka ialah sebahagian daripada budaya mereka, dan menyatukan mereka dengan ahli keluarga atau masyarakat. Jika begitu, bagaimanakah kita dapat membantu mereka?

13 Fikirkan perbandingan ini: Sebelum sebuah jambatan yang lama dirobohkan, jambatan yang baharu akan dibina dahulu. Apabila jambatan yang baharu sudah siap, barulah jambatan yang lama dirobohkan. Begitu juga, sebelum kita mengajar orang untuk meninggalkan kepercayaan “lama” yang dihargai mereka, kita perlu membantu mereka membina penghargaan untuk kebenaran “baharu” yang mungkin belum dikenali mereka. Selepas itu, barulah mereka akan bersedia untuk meninggalkan kepercayaan yang lama. Perubahan sebegini mengambil masa.​—Rm. 12:2.

14-15. Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang tidak memahami ajaran tentang kehidupan abadi di bumi firdaus? Berikan contoh.

14 Jika kita bersabar semasa menginjil, kita tidak akan mengharapkan orang lain untuk menerima atau memahami kebenaran Bible sebaik sahaja mereka mendengarnya. Sebaliknya, kita akan menggalakkan mereka untuk memikirkan ajaran Bible sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, fikirkan ajaran tentang kehidupan abadi di bumi firdaus. Ramai orang tidak pernah memikirkan ajaran ini. Mereka mungkin percaya bahawa kematian ialah akhir segala-galanya, atau bahawa semua orang baik akan pergi ke syurga. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka?

15 Inilah cara yang digunakan oleh seorang saudara: Mula-mulanya, dia akan membaca Kejadian 1:28. Kemudian dia akan bertanya kepada penghuni rumah, “Tuhan mahu manusia tinggal di mana? Dalam keadaan apa?” Kebanyakan orang akan menjawab, “Tinggal di bumi dengan bahagia.” Seterusnya, dia membaca Yesaya 55:11 dan bertanya sama ada tujuan Tuhan sudah berubah atau tidak. Biasanya penghuni rumah akan berkata, “Tidak.” Akhirnya saudara itu membaca Mazmur 37:10, 11 dan bertanya, “Bagaimanakah masa depan manusia?” Melalui cara sebegini, dia telah membantu beberapa orang untuk faham bahawa Tuhan masih ingin orang yang baik hidup selama-lamanya di bumi Firdaus.

Perbuatan yang kecil, seperti mengirim surat yang menggalakkan, dapat membawa hasil yang baik (Lihat perenggan 16-17)

16-17. Seperti yang dinyatakan di Amsal 3:27, apakah sesetengah cara untuk mengambil berat terhadap orang lain? Jelaskan.

16 Keempat, fikirkan cara untuk menunjukkan sikap bertimbang rasa. Misalnya, jika kita melawat pada masa yang kurang sesuai, kita boleh meminta maaf dan memberitahu penghuni rumah bahawa kita sudi datang lagi pada masa yang lebih sesuai. Jika penghuni rumah memerlukan bantuan kecil, atau jika dia tidak dapat keluar dari rumah untuk membeli barang, dapatkah kita membantu mereka?​—Baca Amsal 3:27.

17 Seorang saudari mengambil berat terhadap sebuah keluarga yang anak mereka baru  meninggal. Oleh itu, dia menulis sepucuk surat kepada mereka untuk mengongsi ayat-ayat Bible yang melegakan. Usahanya mungkin nampaknya kecil, tetapi apakah reaksi keluarga tersebut? Ibu kepada anak itu menulis, “Saya rasa kamu mungkin tidak sedar betapa bernilainya surat kamu. Semalam, saya sangat susah hati, tetapi surat kamu telah melegakan hati saya. Saya berasa dikasihi dan digalakkan. Saya sudah membacanya lebih daripada 20 kali semalam. Kami ingin ucapkan ribuan terima kasih atas kebaikan hati kamu.” Apabila kita menyelami perasaan dan situasi orang yang menderita, lalu berusaha membantu mereka, kita akan menuai hasil yang baik.

MEMUPUK PANDANGAN YANG SEIMBANG

18. Menurut 1 Korintus 3:6, 7, apakah pandangan yang harus kita pupuk terhadap kerja penyebaran?

18 Sudah tentu, kita ingin memupuk pandangan yang seimbang terhadap peranan sendiri. Semasa menginjil, kita ingin membantu orang mengenal Tuhan, tetapi ingatlah bahawa tanggungjawab yang utama tidak terletak di bahu kita. (Baca 1 Korintus 3:6, 7.) Yehuwalah yang memimpin orang kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Keadaan hati setiap orang juga menentukan sama ada mereka akan menerima berita baik atau tidak. (Mat. 13:4-8) Ingatlah bahawa walaupun Yesus ialah Guru yang terbaik di bumi, kebanyakan orang enggan menyambut perkhabarannya. Oleh itu, jika orang tidak menyambut berita kita, janganlah tawar hati.

19. Apakah hasilnya jika kita mengambil berat terhadap orang lain semasa menginjil?

19 Jika kita mengambil berat terhadap orang lain semasa menginjil, kita akan mendapat hasil yang baik. Kita akan lebih menikmati kerja penyebaran dan berasa lebih bahagia kerana memberi. Selain itu, orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal” akan lebih rela menyambut berita baik. (Kis. 13:48) Maka, “selagi kita berpeluang, marilah kita berbuat baik kepada semua orang.” (Gal. 6:10) Dengan itu, kita akan memuliakan Bapa kita yang di syurga.​—Mat. 5:16.

LAGU 64 Menyertai Kerja Menuai dengan Riang

^ per. 5 Apabila kita mengambil berat terhadap orang lain semasa menginjil, kita akan lebih menikmati kerja penyebaran dan menuai hasil yang lebih baik. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan teladan Yesus dan empat cara untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap orang yang kita jumpa dalam kerja penyebaran.

^ per. 5 MAKSUD UNGKAPAN: Ungkapan “berasa kasihan” bermaksud berasa hiba atau sedih semasa melihat orang yang menderita atau yang dilayan dengan buruk. Perasaan ini dapat menggerakkan seseorang agar melakukan apa yang terdaya untuk menghulurkan bantuan.

^ per. 8 Lihat rencana yang bertajuk “Menginjil dengan Sopan dan Bertimbang Rasa” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Mei 2014.

^ per. 11 Lihat Menara Pengawal terbitan 1 Ogos 2011, ms. 21-22, dalam bahasa Indonesia.